Wednesday, 12 April 2017

BAB 9 TMA of Cik Reen dan En. Ngok Ngek.^0^

BAB 9

Cantik rumah ini. Walaupun rumah kayu, namun binaannya masih utuh dan molek. Harris hirup kopi ‘o’ itu perlahan-lahan. Jemput-jemput ikan bilis tadi dia habiskan dalam sekelip mata saja. Sedap. Asli dan sedap. Memang sedap. Entah berapa kali dia mahu cakap sedap. Dia senyum sendiri. Kucing hitam yang ada bertompok putih pada dada dan muka itu setia disampingnya. Che Tam kan nama dia?
“Che Tam.”
Kucing itu dongak, mengiau pendek.
Harris ketawa. Pandai juga kucing ni.
“Dia kalau dengan lelaki memang dia suka sangat. Dulu dia rapat dengan arwah suami Tuk Chik. Semenjak dia meninggal dua tahun lepas, Che Tam nilah yang temankan Tuk Chik.”
Harris angguk, usap Che Tam yang galak berbaring dihadapannya.
“Dia sakit ke, tuk?”
Tuk Chik senyum tawar. “Sakit tua. Sudah sampai masanya dijemput Allah.”
Dia dengar bunyi kelengkung kelangkang di dapur. Azreen memasak kah?
“Isteri kamu yang masak. Baik orangnya. Cantik pula tu. Baguslah. Kadang-kadang kita dapat yang cantik, yang ada rupa tapi hatinya tak cantik. Dapat yang rupa biasa-biasa tapi hati macam emas. Tapi, kalau dapat yang ada rupa, ada agama dan budi bahasa, bertuahlah kita sebenarnya.”
Okay, dia rasa macam kena ceramah dengan Tuk Chik. Harris mampu senyum cuma.
“Arwah suami Tuk Chik, muka macam Nordin Ahmad. Baik, rajin. Tak pernah tinggikan suara. Kalau dia marah pun setakat sepatah dua perkataan. Bila dia tiada, separuh hidup Tuk Chik rasa hilang bersama.”
Harris pandang wajah tua itu yang sayu. Begitu sekalikah cinta mereka?
“Tuk Chik ada anak?”
Diam, geleng pun tidak, angguk pun tidak.
“Yang kamu sampai kena rompak ni kenapa?”
Hehehe…pandai Tuk Chik pesongkan tajuk.
“Panjang ceritanya…”
Sirih dan gambir disuanya ke mulut.
“Ceritalah. Tuk Chik bukan ada apa nak buat pun. Masak, bini kamu dah masak.”
Harris gelak, lalu menyambung cerita.

Nasi panas berasap. Sayur air labu dan pucuk kayu manis. Ikan sungai masak asam pedas. Ikan pekasam goreng dan sambal belacan. Bulat matanya melihat segala hidangan. Ada juga ulam-ulaman yang pelbagai di meja itu.
“Ikan apa tu, Tuk Chik?” Fish and chips dia tahulah. Ikan sungai mana pernah dia makan. Jumpa yang sudah siap jadi lauk adalah. Ikan keli, ikan patin.
“Baung. Ni Azreen…pandai kamu masak asam pedas. Kena semuanya.”
Azreen senyum, tuangkan air masak ke dalam gelas. “Tak pandai mana, tuk. Belajar dengan nenek, dengan ibu.”
“Nenek kamu orang mana?”
“Terengganu.”
Tuk Chik angguk.  “Ni Harris, pandai kamu makan ikan sungai, ulam macam ni?”
Dia baru mahu buka mulut, Azreen pantas menjawab.
“Dia mana tahu makan lauk macam gini, tuk. Dia makan salad dengan sandwich saja.” Huh, pandai ke makan ikan sungai bagai? Hari-hari pergi lunch dengan dinner dekat Subway kot. Dia teguk air sambil jeling Harris yang berkerut dahi.
“Dengan Zaza, ke Iza namanya tu?”
Terbelahak dia. Bulat mata Azreen. Dia pandang Tuk Chik, dia pandang Harris. Tuk Chik sengih, Harris lagi lebar sengihnya.
“Harris cerita tadi. Seronok pula mendengarnya.”
Amboi, suka hati bercerita. Lain kali, tulis dalam surat khabar terus. Takpun nak lagi kick, tulis novel. Biar satu Malaysia ni tahu. Kelas kau!
“Dah, tak baik masam muka depan rezeki. Kita makan dulu. Harris, baca doa makan.”

Serius dia tak sangka dia mampu habiskan tiga pinggan nasi, dua keping isi ikan baung, setengah pinggan ulam dan ikan pekasam. Sambal belacan air tangan Azreen juga cukup menyengat, berpeluh dahi dibuatnya. Mujur ada teh ‘o’ suam, hilang pedas yang melekat pada bibir. Sewaktu solat Zuhur tadi pun masih terasa pijar. Azreen masih dalam bilik, solat mungkin. Ataupun tidur. Biarlah, biar Azreen lelap.
“Nah, makan.”
Ohh, dia pernah tengok benda ni, tapi lupa.
“Apa namanya ni, tuk?”
Tuk Chik senyum sambil geleng-geleng. Orang muda sekarang, kuih tradisi pun sudah tak berapa nak kenal.
“Tapai. Tuk Chik buat pakai daun getah. Patut pun rasa nak buat, ada tetamu nak datang.”
Dia suap segumpal tapai ke mulut. Oiiit, sedapnya. Manis tapi manis yang sedang elok. Dia suap lagi.
“Siapa?”
“Kamulah, siapa lagi.”
Dia senyum, sumbat lagi satu tapai.
“Kalau Tuk Chik pesan, kamu marah tak?”
Ya, jauh disudut hati, dia terasa seakan mahu diberi ceramah. Ya, dia rasa dia betul. “Pesan apa?”
“Jadilah seorang suami.” Tuk Chik senyum sambil kepalanya toleh ke arah dapur. Azreen masih sibuk membasuh itu dan ini. Di dapur rupanya, ingat dah tergolek, membuta.
Ha…kan betul katanya. Harris sengih-sengih.
“Memang kamu nikah tanpa rasa cinta, rasa sayang, rasa suka pada satu sama lain. Orang zaman Tuk Chik ramai yang begitu.”
“Tuk Chik pun sama ke?” tanyanya mahu mengcungkil rahsia.
Angguk, sumbat sekeping sirih lagi ke mulut.
“Allah Maha Mengetahui. Kadang-kadang kita fikir, kita marah kenapa Allah buat pada kita macam itu, macam ini. Tapi pernah tak kita fikir apa yang kita dah buat pada Dia? Cukup ke solat kita, sedekah amal jariah kita? Pada mak ayah kita? Kita sebagai manusia terlalu persoalkan apa dan kenapa Allah takdirkan begitu bila kita ditimpa musibah. Bila sebenarnya, Allah ‘jentik’ kita supaya kita ingat yang Dia ada, memerhati.”
Nah, menyusup juga dalam hatinya dengan kata-kata itu.
“Kamu lelaki, suami. Allah sudah berikan tanggungjawab, bertanggungjawablah. Amanah. Isteri, paksa atau rela, dia juga kena taat selagi suaminya minta dia buat benda yang mengikut perintah, yang bukan menyalahi syariah dan agama. Tu, Azreen…Tuk Chik lihat cukup lengkap sebagai seorang isteri. Kan?”
Dia angguk. Amboi. Cepat pula dia angguk, tak tersedar dia. “Dia lengkap, tuk…tapi bukan untuk saya. Saya ada seseorang yang saya inginkan untuk jadi isteri, tuk.”
Tuk Chik mengeluh kecil, senyum tawar. “Kamu tahu. Bila mana dia tiada nanti, barulah kita tercari-cari bayang dia, bau dia. Jadi sasau, jadi teringat-ingat. Kalau sudah teguh nekad kamu, Tuk Chik tak nak cakap apa. Terserah.”

Pinggan itu disusunnya perlahan. Dia dengar apa yang dibicarakan. Dia dengar. Azreen sandar pada dinding, senyum dalam sebak. Bodohnya dia bukan? Sudah berapa kali dia ingatkan hati sendiri, ini semua cerita dongeng. Tak mungkin jadi kenyataan.
“Reen, Tuk Chik cakap belakang menghala ke telaga ada anak sungai. Nak ikut?”
Terkejut dia seketika.
“Awak takut pacat?”
Lelaki itu senyum, buat hatinya berdegup pantas, umpama panahan kilat yang menggetarkan dada. Sudah kenapa dengan dia?
“Saya takut sesat. Kalau awak ikut, at least kita sesat sama-sama.”
Kata tadi bukan isteri pilihan, kenapa pula nak sesat bersama-sama. Pergilah kau sorang-sorang.
“Reen, ikut tak?”
Hishhh…sibuk saja.
“Sekejap, saya solat dulu.”

Subhanallah, jernihnya. Airnya pula paling dalam setakat kepala lutut. Cantik amat. Dia hulurkan kaki. Mak aihhh…sejuk nyaman.
“Awak pandai mandi sungai?”
Dia toleh, lihat Harris sudah tidak berbaju, tinggal seluar pendek sahaja. Cepat-cepat dia alihkan pandangan. Panas menyerbu ke pipi. Aduhai, naya dia kalau macam ni. Buat biasa-biasa tak bolehkah?
“Pandai. Bila balik kampung, saya selalu mandi sungai dengan Yan dan sepupu-sepupu yang lain. Kutip ulam, cari anak udang. Seronok. Awak?”
“Kampung nenek tak ada sungai. Longkang adalah.” Dia mengharung air, rendamkan tubuh ke dalam air. Aduhai, sejuknya. Air punyalah jernih, pasir di bawah pun nampak jelas. Matanya pandang Azreen yang sedang menanggalkan tudung. Terurai rambut Azreen yang hitam berkilat. Cantik dan mengasyikkan. Rambut separas bahu itu dilepas bebas. Sungguh, dia akui Azreen cukup cantik, ayu di matanya. Dia suka melihat Azreen mengukir senyum, ketawa. Terasa dia terbuai dengan ketawa itu. Namun, dia tidak lupa. Zaza. Dia masih ada Zaza. Dia takkan lupa itu.
“Awak kenal adik-beradik pacat?”
Ternganga dia pandang Azreen. Apahal pula tiba-tiba perkara itu yang dibangkitkan? Pacat pandai mandi sungai ke? Dia pandang sekeliling.
“Kenapa? Pacat pandai berenang ke?” Harris telan liur. Ada ke benda alah itu dalam air ni?
Mahu dia gelak guling-guling. Seronok juga tengok encik macho macam Harris pucat gigi. Ingatkan jenis tak takut apa-apa.
“Kat atas tanah, pacat. Kalau dalam air, abang sulong dia kita panggil lintah. Leech. Tahu menatang tu?”
Okay, dia pernah tengok dalam National Geographic. Kenapa? Ada ke benda tu dalam sungai nan murni ini?
“Reen, awak jangan usik saya…” Cepat-cepat dia bangun, melangkah ke pasir yang terdampar.
Tergelak juga dia. Yalah, kalau dah muka hensem macam Harris penakut separuh nak mati, buat video dan viralkan bagus juga.
“Saya mana usik awak. Ni sungai. Memang tempat dia dalam sungai. Tapi kalau sungai macam ni tak ada kot.”
Harris cekak pinggang, jenguk dalam air. Azreen dilihatnya bangun, menuju ke arahnya. Tiba-tiba saja tangannya ditarik.
“Mandi jelah. Kalau ada saya tanggalkan untuk awak.” Dia tarik lengan Harris namun lelaki itu tak bergancak.
Sentuhan Azreen umpama renjatan, menjalar masuk ke urat darah, mengalir ke nadi rasa. Entah bila hatinya tidak mahu mendengar arahan, dia tidak pasti. Sedarinya dia yang menarik Azreen dalam rangkulan, bertentangan mata.
Hoi, hoi, hoi! Apa ni? Dia telan liur.
“Awak usik saya, kan?” Suara garau itu menyentuh telinganya.
Dia kaku. Tangannya terasa kebas di dada pejal itu. Ibu, ibu…Reen nak buat apa ni? Kena baca ayat Qursi jugakah? Alahai…
“Reen…”
“Ya. Saya dengar. Saya tak usik awaklah. Saya cuma cakap yang betul saja. Saya mandi dulu ya.” Dia senyum, cuba lepaskan diri. Malang, pegangan Harris kian kejap.
“Kenapa awak tak ada kekasih hati? Boyfriend?”
Eh, tiba-tiba saja soalan ini. Kuiz spontan ke apa ni?
“Kenapa? Tak boleh?”
Harris tilik wajah itu. Ada resah di riak wajah Azreen.
“Tak, saya hairan. Tak mungkin orang cantik macam awak tak ada sesiapa di dalam hati awak, insan istimewa.”
Matanya mencari sepasang mata milik Harris. Senyum.
“Ada.”
Oh, ada. Siapa?
“Ibu. Ayah. Mereka teristimewa untuk saya. Tanpa mereka saya rebah, saya hilang arah.”
Ahhh…baguslah. Harris lepaskan rangkulan. Dia sendiri tidak faham, kenapa dia sendiri yang terasa lega, terasa gembira.
“Saya tak mudah jatuh cinta. Saya percaya cinta saya ada pemiliknya. Hak mutlak seorang lelaki. Lelaki yang bernama suami.”
Tajam dia menyorot wajah itu.
Azreen terkesima. Apa dia cakap ni? Ya Allah mulut…apa yang kau dah cakap ni?
“Saya?”
Sekali lagi dia telan liur, alihkan pandangan ke sungai yang mengalir indah. “Suami yang sebenar suami. Awak pun tahu, kan?” Sebak tiba-tiba menyapa hati. Lembut dan sebu. Apa yang dia harapkan? Dia sudah bodohkah? Perlahan dia jauhkan diri.
“Maksud awak?”
Errr…bila masa Harris ada disebelahnya?
“Maksud saya, suami yang sah.”
“Saya suami yang sah.”
Aduh…macam mana nak cakap ni? Dan, kenapa pula Harris mesti mahu tahu?
“Suami yang mahukan saya. Yang cintanya hanya pada saya.” Nah, dia nokhtahkan rasa hati. Pandangannya tajam, melawan tenungan Harris.
“Baguslah.” Itu sahaja yang dia mampu katakan.
Ribut di dada kembali hilang, surut. Dia faham, Harris memahami apa yang ingin dia sampaikan. Azreen duduk, rendamkan tubuh ke dalam sungai. Nyamannya.
“Awak pasti akan jumpa dia?”
Ada lagi ke soalan cepumas ni?
“Kalau Allah takdirkan dia untuk saya, pasti ada. Itupun kalau dia tak kisah dengan status saya nanti.”
“Maksud awak?”
Dia juga duduk, berhadapan dengan Azreen. Kenapa hatinya mahu mendengar penjelasan Azreen? Kenapa dia mahu ambil tahu?
“Maksud yang mana? Status?”
Harris angguk.
Satu keluhan dia lepaskan. Harris tak tahu ada sengaja buat tak tahu?
“Bila kita, awak dan saya, berpisah nanti, saya dapat satu title paling hot di Malaysia ni. Janda. Kalau lelaki yang ditakdirkan untuk saya mahu menerima saya dengan status itu, saya berbesar hati. Bukan semua orang mahu terima awak tahu.”
“Kenapa janda pula? Awak pasti ke yang saya akan lepaskan awak?” soalnya mencabar.
“Zaza awak nak letak mana? Tolonglah…” Dia gulingkan biji mata. Eleh, macam dia tak tahu. Zaza sana, Zaza sini. Dia tahu di mana tempatnya.
“Awak pasti, saya akan lepaskan awak?” soalnya sekali lagi. Kian dekat dia dengan Azreen. Hatinya membara dengan tiba-tiba. Sudah kenapa dengan dia? Sawan? Mengawan? Tertawan?
Lengan Azreen dicapainya kembali. Kejap.
Berdentum hatinya jatuh ke lantai kaki. Sungguh dia terkejut namun masih dia lemparkan senyuman. Tenang, Azreen. Dia sekadar mahu menguji.
“Saya? Awak yang yang memegang kuasa, bukan saya. Tapi saya pasti. Lagipun, hati awak hanya untuk Zaza. Awak sentiasa ingatkan saya tentang itu. Saya tak lupa, Harris.”
“Baguslah. Saya cuma mahu awak ingat.”
“Ingat apa?”
“Jangan jatuh cinta.”
Dia kelu seketika namun cepat menyimbah senyum. “Jangan bimbang, Encik Harris. Saya takkan.”
Hening dan sunyi seketika.
Azreen pantas bangun. “Saya jalan dulu.”
Harris juga bangun. “Saya pun nak balik.”
Ishhhh…sibuk.

Sewaktu sampai di teratak Tuk Chik, seorang pemuda bermotorsikal baru saja berlalu. Sempat Harris membalas salam yang diberikan.
“Siapa tu, tuk?”
“Saiful, anak ketua kampung. Hujung bulan macam ni Tuk Chik selalu kirimkan bil air, bil letrik.”
“Bil air? Rumah Tuk Chik bukan pakai air telaga ke?” tanya Harris hairan.
“Ada je air paip. Belakang dapur tu kan ada pintu. Buka pintu tu ada bilik air, tandas. Apa kamu tak ke tandas ke semalam?”
Laa…patutlah Azreen dia tengok cool saja. Dia dari semalam memulas, tapi dia tahan. Bukan apa, mati-mati dia ingat kena membuang dalam semak dekat telaga itu.
“Awak tahu?”
Azreen angguk. “Yang saya memasak, basuh pinggan mangkuk kat dapur tu awak ingat saya guna air apa? Tak nampak ke kepala paip dekat sinki tu? Ahh…lupa. Awak mana turun dapur pun kan. Semuanya saya hadap.”
Amboi, lembutnya bahasa.
“Alang-alang macam tu, izinkan saya, tuk.”
Tuk Chik kedutkan dahi, pandang Azreen.
“Ke mana?” tanya Azreen ingin tahu.
“Buang air besar? Nak ikut?”
Eee…bangangnya dia ni.

Selesai makan malam, Azreen jenguk ke luar anjung. Pemuda siang tadi ada sedang rancak berbual dengan Tuk Chik dan Harris. Dia sarungkan tudung, bawa talam berhati-hati.
“Jemput minum. Saiful, kan?”
Pemuda itu angguk. “Terima kasih, kak.”
“Reen, Saiful setuju pinjamkan kita motor dia. Esok kita gerak, buat laporan polis dulu. Nanti bila semua selesai, kita datang sini semula. Hantar balik motor. Tak, saya bayar pun tak apa.”
“Tak apalah, abang Har. Abang guna dulu. Saya ada lagi sebuah kat rumah. Nanti dah selesai, terserah pada abang. Mungkin abang dan kakak tak tahu, rumah Tuk Chik ni jauh sikit je. Kalau akak dan abang jalan depan sana, jumpa jalan besar. Balai polis pun dah tak jauh. Dalam lima enam kilometer saja dari kampung kami. Esok pun saya nak ke pekan, ambik tv Tuk Chik.”
Tuk Chik seringaikan senyum. “Dah siap tv aku, Saiful?”
Saiful angguk.
“Baguslah. Dah lama nak tengok Mari Mengaji. Drama melayu pun aku dah lama tak tengok. Sayang tv aku. Peninggalan arwah tu,” tutur Tuk Chik sedikit sebak.
Ohh…serba ada. Patutlah dia nampak rak televisyen. Ingatkan sekadar hiasan. Azreen gelak sendiri dalam hati.
“Pagi esok saya hantarkan motor dan topi keledarnya sekali. Kita gerak ke pekan sama-sama.”
Tuk Chik tepuk belakang Azreen. “Sunyi bila kamu taka da nanti. Tak apalah, Allah pinjamkan kamu berdua untuk temankan Tuk Chik masa tv rosak. Tv elok, kamu pun dah nak pergi.”
Azreen ketawa hiba, peluk orang tua itu erat-erat.

Matanya kembali terbuka. Dalam kelambu itu, dia masih terkebil-kebil. Kata Tuk Chik malam-malam kena pakai kelambu, cuaca panas macam malam sebegini memang mengundang nyamuk. Semalam memang dia tak sedar, kepenatan. Lagipun kena penangan kipas, terus dia lena. Malam ini matanya tidak mahu pejam. Harris sudah lama berlayar lena mungkin. Dia pusing, mengadap Harris yang nampak nyenyak. Jemarinya dihulurkan. Mahu saja dia menyelak rambut Harris yang terjuntai jatuh ke dahi namun masih dia menahan diri. Masih ingat pesan Harris siang tadi. Jangan. Jangan jatuh cinta. Dia senyum dalam pilu. Harris boleh melarang namun mematuhi arahan itu adalah miliknya. Tidurlah, Azreen. Esok perjalanan ini akan kembali bermula, menuju ke penghujung yang ditunggu-tunggu Harris. Dalam sedar, airmatanya mengalir. Meyesali hati yang mula diusik perasaan sayang.

Azreen sudah lena. Dia pasti kerana sendu itu sudah diam. Wajah muram Azreen yang lena disebelahnya ditenungnya dalam balam cahaya. Jemarinya mengesat pipi Azreen yang sudah kering. Dia tahu, Azreen terseksa. Dia juga pasti, selesai saja semua ini, Azreen pasti ketemu bahagia, berjumpa dengan lelaki yang tahu menghargai, menjulang cintanya. Dia? Dia akan kembali pada Zaza. Pada cinta hatinya. Harris kembali pejamkan mata. Dalam sedar juga, dia merangkul Azreen bawa ke pelukannya. Hanya untuk malam ini.

Hujankah? Bunyinya menari-nari di bumbung sana bagai irama. Lebat dan menyanyi riang. Entah jam berapa, masih awal mungkin. Harris kemaskan rangkulan.
Jantungnya bergegar. Sejuk yang mengcengkam mulai hilang bila Harris merangkulnya kemas. Bila masa mereka tidur begini? Sewaktu hujan turun tadikah? Dia bernafas perlahan-lahan, tidak mahu Harris tahu yang dia sudah sedar dari lena.
“Awak dah bangun ke? Tidurlah. Saya rasa awal lagi. Hujan kat luar.”
Ya, dia bodoh. Sepatutnya dia diam saja, tapi oleh kerana bodohnya dia, dia angguk. Bodohkan?
Sepatutnya dia leraikan pelukan. Sepatutnya, kan. Namun hatinya kata tunggu. Tunggu sebentar sehingga hujan berlalu. Lagipun Azreen mungkin akan kecil hati.
“Tidurlah.”
Dia angguk, sandar kepala dicelah ketiak itu. Selesa. Serasa itu tempat yang sebaiknya dicipta untuk dia. Sementara.
Terasa hembusan nafas Azreen hangat menyentuh kulitnya. Dia terpana. Perlahan dia tunduk, mengucup kepala itu lembut. Sekali. Dua kali.
Airmatanya mengalir lagi, lalu dia pejamkan mata, menangisi kebodohan hati. Tolong, tolong hai hati. Jangan sesekali kau jatuh cinta dengan lelaki ini.  Dia dongak, sekadar mahu melihat riak Harris walaupun tanpa cahaya mencukupi.
Kali ini. Kali ini sahaja. Azreen isterinya. Wajah Azreen yang mendongak buat hatinya digesa rasa. Seribu rasa yang macam-macam. Sumpah, sekali ini sahaja. Tanpa kata, dia biarkan bibirnya berbicara bahasa yang hanya deria rasa memahami. Berbicara tanpa suara.
Dia patut menolak, menjauh. Tapi kata hatinya, selepas ini tiada lagi. Untuk kali yang pertama, jua yang terakhir, dia menerima bicara itu tanpa paksa.

Sudah pagi. Hujan yang turun sudah hilang namun masih berbaki dihujung daun mahupun di lantai tanah. Azreen sudah tiada. Mungkin sudah selesai solat dan ke dapur. Dia bangun, menggeliat. Bila masa Che Tam tidur disebelahnya? Pandai kucing ini menyelit. Kelambu sudah dilipat kemas. Azreen mungkin. Dia bangun, bertuala menuju ke bilik air. Betul tekaannya. Azreen sudah ada di dapur, berbual riang dengan Tuk Chik. Dia berdehem.
“Dah bangun pun kamu. Mandi, solat. Subuh dah nak habis ni,” tegur Tuk Chik lembut. Dia tersenyum penuh makna.
Harris sengih-sengih. Matanya melirik pada Azreen yang buat-buat sibuk. Kenapa tak pandang dia? Dia berdehem lagi.
“Kamu sakit tekak ke? Tu, minum air masak. Bagus sebenarnya minum air masak awal pagi sebelum makan, cepat membuang.”
Hehehe…mana tak sakit tekak Tuk Chik, semalam bibir kerja kuat. Nasib baik cakap dalam hati, kalau cakap kuat-kuat, mahu kena tempeleng dengan Azreen. Muahahaha…cari pasal.
Tak boleh pergi mandi lagikah? Tergegat macam Tugu Negara kat situ. Dia larikan anak mata, cuba melihat di mana Harris berada.
“Masak apa?”
Oh mamat ngok ngek tak pakai baju! Aduhhh…terhempas jantungnya ke lantai logik. Bila masa lelaki ni ada di sebelahnya.
“Nasi lemak.”
“Sedap ke?”
“Makanlah sendiri.”
“Tak gosok gigi lagi.”
Hisshhh…pergi mandilah!
Dia senyum pada Tuk Chik, terus melenggang ke bilik mandi sambil bersiul-siul riang. Dia suka hati, salahkah?
Tiga biji sambal telur dia habiskan. Sedap juga nasi lemak air tangan isterinya. Eh, dia sebut isteri ke tadi? Hehehe…lidah hati tergeliat tu. Kopi ‘o’ yang masih panas itu juga dihirupnya beberapa kali. Aduhai, terbuka intuisi rasa.
“Kopi mana ni, tuk?”
“Kopi kampung. Tuk Chik buat sendiri. Tepi telaga tu kalau kamu kenal, bersusun pokok kopi. Dulu masa arwah ada, dia yang selalu buatkan…”
“Atuk nama apa, tuk?”
Terukir senyuman di bibir tua itu. “Muhammad bin Awang. Tuk Chik, Chik binti Sulaiman. Nama orang zaman dulu, bukan nama-nama macam kamu, macam dalam televisyen. Nak menyebutnya pun susah.”
“Arwah meninggal kenapa, tuk?”
“Orang tua macam kami ni biasalah, Reen. Sudah sampai masanya kami pergi. Dah, makan. Nanti Saiful sampai, kamu nak gerak kan. Pergi balai polis dulu, buat report.” Tuk Chik perlahan bagi, cuci tangan di sinki lalu kembali duduk.
“Mesti tuk sayang dengan dia…”
Angguk. “Siapa tak sayang suami, Reen…”
Dia angkat muka, bertaut pandangan dengan Harris. Jiwa dilastik keharuan. Masalahnya tuk, mungkin dia saja yang jatuh sayang, Harris lain pandangan. Dia kembali tunduk, pandang pinggan yang masih separuh penuh. Cepat-cepat dia bangun.
“Dah siap?”
Dia angguk. “Reen nak kemaskan barang dulu. Tuk Chik makanlah.” Selesai membasuh tangan, dia cepat-cepat beredar. Bunyi hon motorsikal buat dia jenguk keluar. Saiful dan seorang lagi pemuda datang dengan dua motorsikal. Cepat-cepat dia sarungkan tudung lalu terus ke bilik.
Harris juga bangun. “Saiful, jom makan dulu. Ajak kawan sekali.”
Saiful senyum, angkat ibu jari.

Semuanya sudah siap. Beg galasnya sudah siap tersedia. Harris juga sama. Lelaki itu masih di anjung, berbual riang dengan Saiful dan Syahir. Terasa sesuatu dalam poket kecil seluar jeansnya itu. Azreen tarik perlahan-lahan.
Cincin. Allahu, cincin pemberian Harris. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya cincin ini masih ada, bukti dia dan Harris pernah bersama. Kembali dia tolak cincin itu hujung poket. Nanti dia simpan baik-baik. Kalau pakai, dia bimbang Harris salah faham.
“Dah siap semuanya?”
Dia toleh. Tuk Chik ada tercegat dimuka pintu. Senyum manis padanya. Bangun dengan perlahan, Azreen peluk Tuk Chik erat-erat.
“Terima kasih, tuk. Terima kasih tolong Reen. Tolong kami berdua.”
Tuk Chik kesat pipi. Dia ketakkan beberapa keping not kertas ke dalam genggaman Azreen. “Ni, tuk tahu kamu tak ada duit. Nak ada macam mana kalau dah kena rompak semua. Ambik ni, buat belanja. Dah selesai semua, jangan lupa jenguk Tuk Chik.”
“Tuk…”
Ada sebak meniti pada suaranya. Ya Allah…
“Dah, jangan risau. Duit tuk banyak lagi bawah tilam tu. Tak payah fikir panjang…”
“Nanti Reen ganti balik ye, tuk.” Sungguh dia sebak.
Tuk Chik ketawa lembut. “Tak payah, Reen. Ni, dengar cakap Tuk Chik.”
Dia pandang Tuk Chik, menadah telinga.
“Selagi masih bergelar isteri, jadilah seorang isteri. Taat, setia dan penuhi tanggungjawab yang Allah amanahkan pada kamu. Ada sebab kenapa Dia aturkan ini untuk Reen dan Harris.”
Air matanya tumpah, berjejeran di lantai pipi.
“Kami akan berpisah tak lama, tuk. Doakan yang terbaik untuk Reen, untuk Harris juga. Kami ada kehidupan masing-masing, tuk.”
Erat dia mengenggam tangan Azreen.
“Mungkin Tuk Chik sudah tua, sudah rabun. Namun, kilas dihati kamu Tuk Chik nampak.”
Azreen ketapkan bibir, geleng-gelengkan kepala.
“Reen, kita gerak.”
Mereka menoleh serentak.
Harris gamam. Buat cerekarama ke perempuan berdua ni? Dia senyum, ambil kedua-dua beg yang tersandar pada dinding.
“Har tunggu kat luar.” Dia kembali menutup pintu, membiarkan Azreen dan Tuk Chik berbual.
“Terima kasih, tuk. Reen janji, kami akan datang lagi.” Mereka sama-sama melangkah keluar.
“Harris, Reen…jangan lupakan Tuk Chik ya.”
Pantas dia menyalami tangan tua dan menghadiahkan kucupan di dahi. Tuk Chik ketawa lembut, mencubit lengan Harris yang tersengih riang.
“Jaga isteri kamu baik-baik. Amanah ibubapanya. Amanah Allah.”
Dia angguk.
“Kami gerak dulu ya.”
Honda EX5 yang dipinjamkan Saiful itu menderam bila dihidupkan enjin.
“Awak tahu ke bawak motor?” tanyanya bimbang. Cuak juga dia dengan Harris.
“Tengok kaki lah…”
Betis berbulu tu suruh tengok? Tak payah!
“Saiful! Kau jalan dulu, aku follow.”
Bawah lambaian pokok-pokok getah yang menghijau, kelibat mereka mula menghilang. Tuk Chik senyum lebar. Ya Allah, lindungi perjalanan dua insan itu. Dia ambil Che Tam, gomol kucing itu sambil ketawa.


1 comment:

  1. hai MA

    hehee...1st novel MA yang saya baca n terus jatuh cinta hhahaa...yang pasti Cikk Reen n MR Ngok Ngek ni buat saya gila bayang, da baca dua tiga kali sampai lunyai buku...tapi buku saya beli tu bab 4-6 hilang..malas nye nak return balik so saya baca kt web MA je bab yang hilang tu...suka sangat

    buku ke 2 sudi jadi isteri saya...best jugak
    dreamcatcher tak gila bayang ngat hehe..tapi best gak...kemudian seribu rindu kot tajuk nye...aduhaiiiiii berkali kali gak bacer

    tak sabar nak tunggu novel terbarru...ade ke???

    ReplyDelete