Saturday 30 July 2016

SERIBU RINDU a.k.a Teruterubozu Bab 7 is here!

Pagi-pagi lagi hujan turun dengan lebatnya. Biarlah, sudah berapa lama bumi Terengganu ini dahagakan limpahan air hujan. Sesudah subuh tadi dia bertolak, memecut laju dengan baju hujan kuning. Sampai di kuarters, semuanya masih membuta. Cepat-cepat dia mandi dan menyalin uniform kerja. Setelah selesai berpakaian, Ida sudah ada dihadapan, merenung kopi yang masih panas. Zarra ambil sekeping roti, tuangkan sedikit susu pekat. Kopi o yang masih panas itu pula diteguknya perlahan. Dia labuhkan duduk, pandang Ida yang dari tadi mengadap telefon.
“Kau okay, Da?”
Ida angkat wajah, berikan senyuman hambar. Bunyi mesej whatapps yang bertalu-talu masuk buat dia berhenti mengunyah. Tangannya pantas melihat skrin.
“Halim?”
Ida hilang senyuman, angguk perlahan.
Zarra sandarkan badan pada kerusi. Mungkin dia tidak layak bersuara, namun dia tahu, Ida tak layak diperlakukan begitu. Lebam hari itu memang sudah tiada, tapi bagaimana dengan luka pada hati? Benarkah Ida sanggup menahan kesemuanya demi cintanya pada Halim? Benarkah kuasa cinta sedahsyat itu?
“Kau sayang, betul-betul sayang sayangkan dia ke, Ida?” soalnya ingin tahu. Sayang yang bagaimana sehingga Ida benar-benar sanggup bertahan.
Ida hanya dia. Ada airmata yang menuruni pipi.
“Kalau dia tiada, tiada cinta untuk aku lagi, Zarra.”
Zarra hentikan kunyahan. Biar betul. Sampai begitu sekali dangkalnya fikiran gadis dihadapannya ini. Dia letakkan cawan kopi ke meja.
“Kau gila ke, Ida?! Kau baik, cantik. Kalau si Halim tu tak ada, ramai lagi yang mahukan kau, tahu?”
Ida geleng. Matanya yang berkaca pandang Zarra. Dia senyum dalam hiba. “Kau tak bercinta Zarra, kau tak faham apa maksudnya punyai orang yang kita sayang. Dia yang hanya untuk kita. Kau tak faham selagi kau tak jatuh cinta, bercinta.”
Penat berbalah dengan orang buta cinta ni. Dia bangun, baik dia masuk kerja. Dipegangnya bahu Ida yang masih merenung telefon.
“Cinta bukan macam tu, Ida. Ya, sekalipun aku tak pernah bercinta, aku pasti, definasi cinta kau terlalu sempit. Tolonglah, Ida. Jangan seksa diri kau lama-lama.”
Ida hanya bungkam, mengalirkan hiba dalam diam.

Pagi ini sahaja sudah tujuh bilik dia dan Wanie selesaikan. Mahu kejang bahu dibuatnya. Kata Wanie, bila sudah lama nanti, biasalah. Alah bisa tegal biasa. Masalahnya dia bukan kisah tentang sakit, itu sememangnya lumrah. Kalau kerja bos besar, lain cerita.
“Assalamualaikum.”
Semua mata yang ada terbeliak seketika. Cepat-cepat mereka bangun. Aduh,  kenapa dengan lelaki ini? Datang lagi.
“Waalaikumussalam, Encik Hisham. Spot check kami ke?” tanya Wanie separuh bergurau. Hensem juga AGM baru ni. Gigit karang.
Hisham seluk tangan dalam poket, pamerkan senyuman manis. Zarra ada di kerusi hujung, baca suratkhabar tanpa memandangnya. Wajah gadis itu yang tunduk membaca buat dia tersenyum lagi. Ni kalau dia pergi duduk sebelah Zarra, mahu meletup perang dunia antara dia dengan Kartini.
Pengecut.
Coward.
Chicken.
Dia mengeluh sendiri. Betulkah dia semua itu?
“Macam mana hari ni, semua okay?” soalnya lembut. Dia labuhkan duduk di kerusi hadapan. Matanya tak lepas memandang Zarra yang masih dingin.
“Alhamdulillah, okay. Kami ada jumpa Ipad Mini yang tetamu kita laporkan tu. Ada bawah bed, Encik Hisham. Kami dah hantar ke Lost and Found.”
Hisham anggukkan kepala. “Bagus. Saya harap semua yang ada kat sini buat tindakan yang sama. Pastikan semua barang guests kita yang tertinggal kita tulis dalam buku log, bawa ke Lost and Found.”
Zarra, pandanglah abang. Abang rindukan Zarra. Dia teringat sesuatu lalu mengeluarkan telefon.
Zarra ambil telefon, tolak skrin ke tepi. Nombor siapa ni? Dia buka mesej whatapps itu. Gambar seekor kucing menangis sambil memegang belon ‘I Miss You’ buat dia mahu melompat. Perlahan dia menjeling.
Hisham senyum lebar. Pandang pun. Dia kenyitkan mata, pantas.
Ewahhh...nak kena cungkil mata ke mamat ni? Berani kenyit-kenyit mata dengan dia pula. Aku sembur dengan Febreeze ni baru rabun mata tu. Dia kembali pandang suratkhabar.
“Zarra, mak dengan nenek sihat?” Biarlah, baik dia tanya. Kalau nak harapkan Zarra bercakap dengan dia, kiamat pun belum tentu.
“Sihat.”
Aik, sepatah je. Itu pun nasib baik dia jawab juga. Dia senyum lagi. Beberapa mata yang lain semuanya memandang mereka.
“Baguslah. Ingat nak ziarah mereka. Lama tak jumpa.”
Zarra angkat muka. “Tak payah.”
Hisham mahu ketawa. Lajunya. Tak sempat dia nak sambung soalan yang ada.
“Okaylah, kerja baik-baik. Zarra, ingat nak jumpa mak dengan nenek. Jumaat nanti abang pergi kot.” Simbah minyak gas tu, biar nyala sampai terbakar. Muka Zarra yang merah padam memang buat dia mahu gelak kuat-kuat.
Abang jadah dia depan semua manusia ni! Kalau tahu dengan Kartini, baru padan muka. Ya Allah...geramnya dia! Cepatlah blah. Menyemak sungguh mamat gila sekor nihhhh...
Hisham bangun, sengaja dia berlalu di hadapan Zarra. “Jumpa nanti ya, Zarra.”
Ala Kassim...kang aku cucuk mata tu terus jadi Kassim Selamat!
Wanie dan Mak Jan tergelak. Apahal dengan si Zarra ni? Muka pun dah terbakar tahap unggun api. Bila saja kelibat Hisham hilang dari pandangan, laju saja mereke menyerbu.
“Zarra, kau kenal dengan AGM kita ni? Siap ber’abang’ bagai? Amboiii...ada skandal ke? Kau jangan, tahu dengan Miss Kartini, masak kau.”
Masak apa? Kari, masak merah? Ambiklah, tak ingin dia. Zarra urut dahi. Memang cari pasal jantan tu.
“Dulu dia tinggal sebelah kampung Zarra. Mak pun sekarang ni kerja di bengkel batik famili dia. Memang kenal.”
“Ohhhh...”
Semua bulatkan mulut. Dah macam sotong kurita. Terkejut sangat ke?
“Maksud kau kenal dari kecik lah ni?” soal Wanie lagi. Patut pun boleh abang bagai, dah lama kenal rupanya.
Malas dia nak menjawab. Dia angguk sahaja. Jawab lebih-lebih karang kecoh pula. Itupun dengan Miss Kartini tu pun dah naik angin sebab dia kenal Hisham. Telefonnya berbunyi lagi.
Jumpa nanti jangan lupa sedekahkan abang senyuman.
Weekkk...muntah hijau juga dia. Hampehnyaaaaa...

Dress BCBG yang baru dibelinya itu sedikit meliuk ditiup angin. Dia melangkah yakin dengan senyuman. Kartini tahu, semua mata memandangnya. Biarlah, kecantikan untuk dihargai, bukan? Bukannya luak kalau mata yang memandang itu meratah susuknya. Dia bangga. Rambutnya juga yang dipotong pendek buat dia nampak chic. Elegan dan fresh. Kata Suria di salon tadi, a million dollar look. Kartini senyum sinis, pandang beberapa staf yang memandangnya kagum.
“Selamat tengahari, Miss Tini. Cantiknya hari ni.”
Dia senyum lagi. Absolutely.
“Kenapa? Selama ni I tak cantik ke?” soalnya dalam nada serius. Matanya menyorot staf yang bersuara tadi.
“Tak, bukan itu maksud saya. Miss Tini memang cantik, tapi hari ni memang superb!”
Dia ketawa, kuak rambut ke tepi dengan lemah lembut.
“Pandai you. Ohh well, thank you.”
Staf itu tersenyum, sempat menelan liur. Nasib baik akalnya cepat memberi jawapan yang tepat. Kalau tak makan penyepak kot.
Dia kembali melangkah, kali ini menuju ke Heaven and Earth Coffee House. Mana Hisham? Bukan tadi Hisham maklumkan yang dia sudah di lobi. Kartini membuang pandangan, mencari susuk Hisham.
“Tini.”
Dia menoleh lalu tersenyum. There he is. Ada pun. Pantas dia memaut lengan, mengheret Hisham melangkah bersama.
“Tini, don’t this. Janganlah, orang tengok tu. Tak manis,” tegur Hisham dalam nada suara paling perlahan.
Kartini pekakkan telinga. The hell with everybody. Hisham ditariknya lembut tanpa lepaskan pegangan.
Mengeluh pendek saja dia mampu. Seeloknya dia cepat ke coffee house. Lagi cepat lagi baik. Kakinya pantas melangkah, kali ini Kartini pula yang terpaksa menyainginya. Terkial-kial juga gadis itu. Pakai high heels, tahulah akibatnya.
“Sham, pelanlah sikit...”
Hisham kakukan langkah, pandang Kartini yang mencuka. “Kalau macam tu, you jalan sendiri, jangan jalan macam orang crippled.”
Kartini ketawa kecil. “You marahkan I lagi, kan? I’m really sorry, Sham. I do. I menyesal...”
Aduhhhh...dia gosok tengkuk. “Fine. You’re forgiven. Dah...jom duduk, I ada benda nak bincang.”
Kartini menyorak dalam hati. Akhirnya. Akhirnya Hisham sedar yang dia yang menjadi plilihan. Tak sia-sia dia berhabis cantik hari ini. Akhirnya hari ini tiba jua. Dia pandang Hisham yang tenang dihadapannya. Matanya menjeling Hisham. Mana Hisham sorokkan kotak cincin. Dalam poket seluarkah? Dia tak mampu menahan senyum. Bila Hisham telefon, mahu berjumpa, dia sudah melonjak gembira. Pastinya apa yang dia kejar dan impikan selama ini akan menjadi kenyataan. Oh my...she’s in heaven. Wajahnya masih tak mampu menahan senyum yang terukir. Dia pandang langit, cantik dan membiru.
“Tini dah makan?’ soal Hisham lembut. Wajah Kartini yang berseri-seri buat dia mengeluh kecil.
“Tak. Lapar ni...Sham orderkan untuk Tini. Beef steak, medium rare. Salad dan green tea.”
Hisham angguk. Mungkin dia perlu tinggalkan Kartini seketika. Dia juga perlu tenangkan diri. Bukan mudah untuk dia menyebut segalanya yang telah disusun semalaman.
 “Tini tunggu. Sham minta chef sendiri sediakan untuk Tini.”
Kartini kian lebar senyumannya. Jadi benarlah, Hisham ada sesuatu yang istimewa mahu dinyatakan. Hatinya berbunga, mekar bak taman yang baru disirami hujan. Yes, yes! Dia tarik nafas perlahan-lahan, mengawal diri daripada nampak berlebihan. Bila Hisham kembali, dia lontarkan senyuman paling manis.
“Nanti sampai. Kita minum dulu.”
Kartini angguk, menjuraikan senyum yang tak sudah-sudah. Hatinya masih hebat bergetar. Hisham dikejarnya sepuluh tahun yang lalu, sewaktu mereka sama-sama belajar di luar negara. Hisham sememangnya dingin namum dia tetap tak berputus asa. Dia rapatkan diri, sentiasa mencari ruang dan peluang. Akhirnya Hisham buka pintu hati, menerima dia beberapa tahun lepas. Itupun selepas dia mengekori ke mana saja Hisham pergi, dia ada. Pulang dari luar negara, Hisham menjawat jawatan di syarikat telekomunikasi. Dia juga ada di situ. Jawatan itu pun Hisham dapat kerana dia minta papa menolong Hisham, juga dia. Bila Hisham suarakan mahu pulang dan mencari tempat di Terengganu, dia sedikit kecewa. Terengganu bukan Kuala Lumpur, tapi dia okay sahaja. Dia ucapkan selamat tinggal kepada semua shopping malls dan social events, namun dia mahukan Hisham lebih dari semuanya. Kerana itu dia sekali lagi merayu pada papa. Merayu agar papa mengambil Hisham bekerja di The Bliss. Lagi dekat dengan dia. Dia sudah banyak berkorban. So, kesimpulannya, Hisham sudah sedar. Hisham mahukannya. Steak yang dihidangkan buat dia lapar. Pantas tangannya mengambil pisau steak dan garfu.
“Sham, jom makan. Nanti kenyang kita start our discussion.” Dia mahu senyum lagi. Discussion, kan. More to proposition sebenarnya. Dia menyuap steak sambil cuba sembunyikan senyum. Hisham pandang dia dengan senyuman.
Hanya senyuman yang mampu dia berikan. Air fresh orange sudah hampir separuh dia teguk. Lapar namun tiada selera untuk dia penuhkan keinginan itu. Kartini masih ralit menyuap, merenung manja padanya. Hisham tarik nafas perlahan. Mungkin dia patut mulakan.
“Tini...”
Kartini senyum, angkat tangan buat tanda berhenti.
“Wait...I dah nak siap ni...”ujarnya manja.
Hisham hembus nafas, senyum dalam hambar.
“Kita mula sebagai kawan...apa kita akhirinya juga sebagai kawan,” tuturnya berhati-hati. Matanya tak lepas memandang Kartini yang tiba-tiba kepucatan. Aduhhh...dah cakap kan, terus sajalah.
“You cakap apa?” Kartini letakkan garfu, pandang Hisham bagai orang hilang akal. Orang bengong yang tidak sedar. Hisham bergurau kan, hanya mahu mengusik kan?
“I want us to be friends again.”
Friend? Kawan? Dia telan liur kemudian teguk air dihadapannya perlahan-lahan. “You prank I kan, Sham?” soalnya dalam getaran. Jantungnya mula berkompang laju.
Hisham geleng. Dia lelaki. Lelaki kena berani, kena tekad untuk buat keputusan yang betul. Kalau Kartini mengamuk sekali pun, dia terima. Paling penting untuk dia beritahu, berterus-terang seadanya dengan Kartini. Cinta? Selama ini bukan dia cinta, dia hanya mahu gembirakan Kartini, itu saja. Kasihankan gadis itu yang terkejar-kejar dari dulu lagi.
Menggeletar tangannya. Hisham serius. Dia tahu Hisham serius kerana Hisham pandangnya penuh simpati, kasihan. Kartini gigit bibir, menyumpah dirinya. Cool, Tini...cool. Sabar, rileks. Kau wanita softikated, jangan tunjuk perangai lagi. Dia tarik nafas dalam-dalam, paksa satu senyuman paling manis.
“Well...what a suprise. Kenapa tiba-tiba saja?”
Hisham senyum lagi, hambar. “Sham mahukan ruang, mahu buat pilihan. Tini juga. Tini boleh cari kebebasan untuk Tini, pilihan yang lain mungkin.”
Hahaha...mahu saja dia tampar Hisham. Ruang? Pilihan? Hisham sudah gilakah? Bukan selama ini dia sudah sediakan segalanya? Kartini senyum sinis. “You tak cintakan I lagi, kan?”
Berani, Hisham. Jadi berani. “I sayang you macam seoarang kawan, Tini. You kawan I paling rapat, paling baik.”
Terbeliak matanya. Benarlah, Hisham sudah gila. Hisham sudah hilang akal. Dia ketapkan bibir, ramas tangan kuat-kuat. Matanya meliar pandang sekeliling. Nafas turun naik, dia masih mengawal keadaan. Yes, control the situation, Tini. Jangan melatah, rileks.
“Okay, I bagi you tiga bulan...ermmm, no...two months. Kalau lepas tu kita still single and available, kita get back together again, terus kawin. Settle?” Kan, pandai dia. Dia lepaskan Hisham cuma bukan lepas terus. Hanya longgarkan ikatan. Hisham masih lagi secara eksklusif jadi milknya.
Hisham geleng kepala perlahan-lahan. Dia tahu Kartini faham tapi sengaja buat tidak faham. Mungkin dia perlu katakan dengan lebih jelas dan terang.
“Kita break. Stop. No more.”
Dia gelak, pandang Hisham sambil jungkitkan kening. “Fine. Kita stop untuk dua bulan. I bagi you bebas lepas, puaskan hati you, buat pilihan atau apa saja yang you nak buat. After two months, I’m in. Okay. Thank you for today. I nak balik, penat.”
Kartini bangun, jalan cepat-cepat. Langsung dia tak menoleh. Senyuman dilemparkan kepada mata yang memandang. Ini Kartini. Tiada siapa boleh kalahkan Kartini, faham?
Hisham nganga. Aduh...pening dia. Kejar Kartini? Malas dia. Biarlah dulu, dia tahu Kartini faham apa yang dikatakannya. Dia urut dahi, ketawa kecil. Padan muka kau Hisham. Sekarang ni, buatlah apa yang perlu.
Zarra.
Dia mahukan Zarra. Dia mahu tebus segala kesilapan yang dilakukannya dahulu. Dia mahu Zarra tahu, dia akan kotakan janji. Dia mahu bertanggungjawab.

Zarra buka mata. Kenapa saat dia menadah doa, hatinya bergetar, berdebar-debar? Dia raupkan sepasang tangan ke muka. Dia lipat baik sejadah lalu lunjurkan kaki. Laparnya. Nak masak, rasa macam terlampau malas. Dilla dan Lili ralit menonton di ruang hadapan. Malas dia mahu mengadap televisyen. Kalau tidur sekarang, boleh je kan? Nanti bangun, sambung solat Isyak dengan tahajud. Dia baring, peluk bantal. Rindu Abam. Kalau ada si Abam kan best, boleh peluk sambil tidur. Baru saja matanya terpejam, mesej whatappsnya berbunyi. Siapa pula? Lambat saja tangannya mahu mencapai telefon itu.
Turun kejap. Abang ada kat bawah.
Mencanak dia bangun. Biar betul. Tolonglah...jangan buat gila kat sini. Zarra bangun, perlahan mengintai dari tingkap. Kereta Hisham memang ada diluar pintu pagar kuarters itu. Dia nampak Hisham sedang berkepul asap rokok ke udara. Beberapa kali dia tampar dahi, pastikan semua ini bukan mimpi.
Abang balik. Zarra tak nak turun!
Dia nampak Hisham pegang telefon.
Kalau Zarra tak turun, abang naik.
Eeee...karang dia bertukar jadi pontianak, gigit mamat tu sampai mati. Apalah yang tak faham sangat ni. Kalau Hisham naik betul-betul, macam mana? Mahu kecoh nanti. Alahai...geramnya dia. Telefon itu dicampaknya perlahan ke katil. Pantas dia sarungkan tudung. Lantaklah dengan seluar trek pun. Senang dia nak terajang mamat bodoh tu nanti. Telefonnya dikutip kembali. Telefon baru ni kau, sayang wooo...
“Kau nak gi mana?” soal Dilla sambil sumbat keropok.
“Aku turun jap.” Laju saja langkahnya. Malas dia nak bersoal jawab. Lagipun bila dia bagi penampar satu das nanti, selesailah perjumpaan mereka. Macam kilat dia menuruni tangga.
“Nak apa?!” soalnya sedikit kuat. Geram juga dia.
“Nak Zarra.”
Ehh toyanya muka...aku karate juga dia ni. Zarra ketap bibir.
“Seriously...abang nak apa?”
Hisham senyum. Garangnya kau. Aku cium karang. “Masuk jap. Kejap je. Abang ada hal nak bincang.” Perlahan saja suaranya memujuk. Kalau tak makan pujuk, dia culik saja si Zarra ni.
Terbeliak dia memandang Hisham yang sedikit sugul.
“Apa, cakaplah!”
“Nenek masuk hospital. Kak Ina telefon abang tadi. Mak tak sempat call Zarra.”
What!? Dia ternganga. Menggeletar tangannya. “Purse Zarra...”
“Tak payah. Kita pergi dulu.”
Dia cuma mampu angguk. Menggeletar tangannya membuka pintu kereta. Tanpa berfikir, dia terus duduk apabila enjin dihidupkan. Laju saja kereta itu menyusuri malam. Ya Allah...kenapa dengan nenek? Dia cuba telefon mak. Beberapa kali namun tidak berjaya.
“Zarra buat apa?”
Dia geleng kepala. Tongkat dagu pada dinding kereta. “Call mak. Tak dapat.”
Hisham telan liur. “Tak apa. Kita pergi terus. Bawak bertenang, istighfar banyak-banyak.”
Angguk saja dia mampu. Hatinya? Sudah bergetar beribu-ribu kali. Mahu saja dia menangis, namun dia tahu dia perlu kuat. Mungkin nenek demam atau penat. Nenek tak apa-apa bukan.
Hisham tekan minyak rapat-rapat. Biar cepat mereka sampai.

“Kenapa kita kat sini? Nenek dah balik ke?” soalnya hairan. Boleh pula dia terlelap dalam kereta tadi. Sedarinya bila enjin kereta dimatikan. Paling dia hairan, mereka bukan di hospital tapi dirumahnya.
“Nenek dah balik dari hospital ke?” Dia bangun, masih sedikit mamai. Lampu rumah semua sudah terpasang. Dia pandang Hisham yang sudah membuka pintu. Zarra pantas melompat keluar. Belum sempat dia berikan salam, pintu rumah terlebih dahulu dikuak. Wajah mak yang kehairanan di muka pintu buat dia tersenyum.
“Assalamualaikum.” Dia memberi salam. Pantas dia mendaki anak tangga. Tangan mak diciumnya.
“Waalaikumussalam. Apahal kamu balik? Mak baru nak telefon kamu,” soal Aini kehairanan. Matanya tertancap pada anak muda disebelah Zarra. Siapa? Macam dia kenal.
“Hisham cakap nenek masuk hospital...kenapa mak tak telefon awal-awal,” marahnya sambil jenguk ke dalam. Eh, tu nenek. Siap tidur depan televisyen lagi. Dah sihat kot.
Ohhh...Hisham anak Tuan Haji Yusof. Aini pandang Hisham, menyoal dengan kening yang terjungkit. “Bila pulak? Tu, nenek...kami baru balik dari surau. Bila masanya nenek kamu masuk hospital?”
Aduhhhh...ini mesti dia dah kena kelentong. Zarra genggam penumbuk, berpaling mengadap Hisham yang tersenyum-senyum.
“Kau memang nak ke...”
Cepat-cepat Aini tarik tangan Zarra ke dalam rumah. “Dah, dah...masuk. Kamu dah makan? Kalau belum mari ke dapur. Kejutkan nenek. Sham, kamu ke sini.”
Zarra tarik nafas beberapa kali. Uiii...melampau. Suka hati cakap nenek aku masuk hospital. Kang aku ‘hospiyalkan’ mamat bengong tu baru senang hati. Dahlah lapar, kena kelentong pula. Memang angin satu badan. Siutnya...
“Nek, nek...rumah terbakar, bangunlah.” Sengaja dia kuatkan suara. Mahu tak terkejut orang tua tu.
“Mana? Ya Allah...cepat lari.” Terkocoh-kocoh Tuk Teh bangun. Senget kain batik orang tua itu.
“Tu ha, ikan bakar kat dapur. Bangun makan nasi.”
Pelepuk!
Kan, tak pasal-pasal makan penampar kat belakang. Pedih siut. Mahu dia menggeliat kesakitan, tapi air muka kena jaga, beb.
“Cabul! Perkataan tu doa Zarra. Cili mulut kamu barulah kamu...”
Dia peluk nenek, ketawa sambil gosok belakang. Memang sakit wooo...
“Hisham kan?”soal Aini sambil hidangkan lauk. Sesekali dia jeling anak muda di sebelahnya yang sibuk menolong mengatur pinggan.
“Ya saya, makcik. Maaf susahkan makcik, tapi saya ada hajat nak jumpa makcik.” Dia duduk di meja. Ikan panggang tawar, budu, bayar tumis air dengan telur dadar. Sedap.
Aini letakkan jag kopi ‘o’ di hujung meja. Segannya dia. Kalau dia tahu Zarra mahu balik, dia minta Rahman sebelah rumah sembelihkan seekor ayam kampung.
“Hajat apa?” soalnya sambil tuangkan air ke gelas.
“Saya nak peristerikan Zarra.”
“Aku tak nak, bodoh!!!”
Hah kau, bergegar tiang rumah. Si Abam yang melepak di tangga dapur pun melompat terkejut. Mengiau kucing itu.
Hisham tergelak bila melihat mulut Aini yang ternganga, Zarra yang dilepuk Tuk Teh sekali lagi. Kecoh malam ni nampak.
“Zarra Zainal, kamu jaga mulut kamu tu. Turun makan. Nasib baik tak mati terkejut nenek kamu,” marah Aini geram. Sorang menyinga atas tangga, sorang senyum lebar atas kerusi. Sakit kepala dia.
Tuk Teh piat telinga Zarra kuat-kuat. “Ambik pinggan, makan kat luar dengan kucing kamu. Apa punya perangai dia nih...”
Ini sudah lebih. Apasal nenek dengan mak sibuk marahkan dia. Tu, marahlah jantan senget yang senyum-senyum tu. Eeeiii...gilalah!
“Mak, bak budu,” pintanya keras.
Aini beliakkan mata. “Kamu nak buat apa?”
Zarra sengih, cuba capai mangkuk budu tapi tak berjaya. “Bak sini, mak. Zarra nak basuh muka orang gila biar dia sedar diri. Bak sini ,mak...”rayunya bersungguh-sungguh.
Tuk Teh tarik telinga Zarra. “Duduk. Makan. Kalau tak, aku lempang semua.”
Dia telan liur. Kalau nenek dah cakap ‘aku’, maknanya nenek betul-betul naik angin. Dia denguskan nafas, duduk berhadapan Hisham yang tersenyum manis. Biarlah kau hensem, aku tak ingin!
“Dah, makan. Nanti kita bincang.”
Zarra jeling mak. Bincang apanya. Cincang adalah. Cincang orang gila depan dia. Perutnya berbunyi lagi. Lantaklah, baik dia makan dulu.

Kopi ‘o’ masih berasap. Perlahan Hisham menghirupnya. Semua tiga pasang mata masih memandanganya. Pergghh...rasa macam kena soal siasat. Nak minum kopi pun rasa macam minum batu kerikil, tersekat di anak tekak. Perlahan dia letakkan cawan. Dia tarik nafas, lepaskan satu senyuman.
“Makcik, nenek...saya nak peristerikan Zarra. Sham nak jadikan Zarra isteri Sham, dunia dan akhirat.”
Disepaknya meja rotan yang sememangnya tak berapa nak teguh. Bergegar air kopi dalam cawan. Nasib baik tidak tumpah.
“Aku tak nak! Tak faham ke?!”
Mak aiii...macam singa bengkengnya. Dia telan liur tapi mahu tergelak bila Tuk Teh sekali lagi piat telinga Zarra di balik tudung.
“Amboi! Patah meja ni, nenek patahkan kaki kamu. Duduk situ diam-diam.”
Okay, kalau dia gelak, nanti susah juga dia. Mahu Zarra terajang dia, boleh sampai ke tanah. Dia jeling jam, dah sembilan setengah malam.
“Sham, makcik rasa Zarra ni tak empuk lagi, kurang masak untuk dijadikan isteri. Sham tengok sendiri perangai dia, kan? Makcik rasa baik tak payah. Sham carilah orang lain,” balas Aini berhati-hati. Geram juga dia dengan si Zarra. Kalau tak kerana sabar, dia lepuk-lepuk anak nan seorang itu dengan dulang depan dia ni ha.
“Entahnya...jangan nak berangan. Pergilah kawin dengan Miss Tini pujaan hati, apasal tiba-tiba aku pulak?” Marahnya masih membara. Hujan tidak, payung pun tak ada, tiba-tiba saja mahu kawin. Gila!
Dia toleh, bertentang mata dengan Zarra. “Zarra rasa abang perlu cerita ke sebab kita perlu kahwin?” soalnya serius. Mata mereka bertaut. Umpama meneroka kembali ke masa silam. Wajah Zarra dilihatnya kepucatan.
“Don’t you dare...” Matanya bergenang, cepat-cepat dia lap mata sebelum mak dan nenek sedar.
“Apa maksud kamu?” tanya Aini. Pelik juga dia. Dia toleh, pandang anak gadisnya yang tiba-tiba membisu.
“Maksud Sham, kami pernah kenal dulu. Sham jatuh cinta dengan Zarra, jadi Sham mahu jadikan dia isteri Sham, makcik.”
Aini angguk, pandang Zarra untuk mencari kepastian namun anak itu hanya menggigit bibir. Dia pandang Hisham yang mula serius.
“Boleh nenek cakap?”
Semua mata memandang, menunggu butir-butir perkataan.
“Kalau betul kamu mahu nikah dengan Zarra, datang dengan keluarga kamu. Kita bincang dengan hormat. Kamu anak siapa?”
Hisham angguk. Nenek lebih kurang macam setujulah, kan. Dia jeling Zarra yang masih menahan diri, marah dengan segala penuh perasaan.
“Anak Yusof dengan Kalsom, dulu yang duduk sebelah kampung.”
Terbuka luas mata orang tua itu. Dipeluknya bahu Hisham kuat-kuat. “Ya Allah, kamu anak Yusof ya. Adik Halina, kan?”
Hisham angguk.
“Alhamdulillah...lama nenek tak tengok kamu. Mak ayah kamu sihat?”
Hisham angguk. “Alhamdulillah, sihat. Nanti saya ajak mereka datang berbincang.” Dia jeling Zarra. Amboi, makin marah nampak.
“Kalau macam tu, baguslah...kamu anak orang baik-baik. Nenek setuju.”
What!
What!!
What!!!
Okay, dia marah sambil speaking dalam hati ke ni? Bulat matanya memandang semua yang ada. Yang si Abam ni pun ada tercatuk sebelah dia, pandang dia macam dia yang gila. Kucing ni kucing ke manusia jelmaan?
“Zarra tak setuju!!!” Tangan kanannya kuat menghentak meja. Bergegar cawan kopi itu. Nasib baik tak melambung terus.
Aini urut dahi. Dah kata kenal dulu lagi, jatuh cinta. Ni sekarang dah macam nak perang dunia. Dijelingnya Tuk Teh yang geleng-geleng kepala. “Sham, makcik rasa ada baiknya kamu bincangkan perkara ni dengan Zarra. Untuk makcik, apa yang Zarra mahukan, makcik ikut. Kalau dia tak mahu, makcik tak memaksa.”
Hisham angguk. Dia pandang wajah Zarra yang sedikit lega. Tersenyum dia seketika. Takut sangat ke nak kahwin dengan aku? Dia ketawa kecil.
“Bila Zarra dah setuju nanti, Sham akan bawa keluarga Sham. Cuma yang perlukan sekarang, restu makcik dan nenek.”
Tuk Teh hirup kopi itu perlahan. Diletaknya cawan dengan berhati-hati. “Kami ni orang susah, kalau keluarga kamu sanggup terima orang susah, tak apalah.”
Ehhh...nenek pun macam dah bagi greenlight. Pelik dia. “Nek, kalau nenek berkenan dengan si gila ni, nenek kawin je dengan dia!”
Tuk Teh ketawa kecil. “Masalahnya dia mahukan kamu. Kalau dia mahukan nenek, nenek kawin saja. Apa susahnya.”
Nah, tergelak si Hisham dibuatnya. Amboi nenek, sempat lagi buat lawak tanpa kimia ya. Zarra garu kepala. Baik dia diamkan diri.lagi banyak dia menyampuk, lagi berbakul dia kena. Ohhh...melampau.
“Ni gila, balik! Jangan nak meyemak kat sini, aku tak suka.” Biarlah bunyinya kasar tapi dia mahu halau Hisham dari sini.
“Kalau abang balik, Zarra pun kena balik juga,” tuturnya lembut.
“Kenapa pulak? Ini rumah aku, aku punya sukalah nak buat apa.” Dia bercekak pinggang, jungkit kening berkali-kali.
“Habis tu esok nak pergi kerja dengan apa?” soal Hisham dengan senyuman. Amboi, garangnya. Nanti bila dah jadi isterinya, tahulah dia ‘jinakkan’ dengan kasih sayang.
Allah...lupa pula dia. Macam mana ni?
“Awak yang ambik saya tadi, kan? Sekarang ni hantar saya balik ke kuarters.”
Dia tahan gelak. Wajah Zarra yang selamba bodoh memang mahu buat dia ketawa lagi. Dia tahu Zarra malu namun dia biarkan saja.
Cepat-cepat dia menyalami tangan mak dan nenek. Panas rasanya muka. Itulah, cakap tanpa berfikir, tak pasal-pasal malu dua kilo. Hampeh.

Diam saja dia mampu. Matanya memandang ke luar tingkap. Perlahan saja dia rasakan kereta ini bergerak.
“Zarra marah?”
Dia diam lagi.
“Abang serius mahu tebus semua kesilapan abang, Zarra.” Hisham lirikkan mata.
Dia sapu pipi, entah bila pula airmata ini jatuh. Matanya dipejamkan, namun apa yang terbayang hanyalah peristiwa sepuluh tahun yang lalu. Pedih dan peritnya masih terasa. Sakitnya kian mencucuk jiwa, merobek hati remajanya sekian lama.
“Abang kejam...” Dia tersedu, menangisi zaman remaja yang penuh kepahitan. Kerana Hisham.
“Abang kejam...” Kali ini esaknya kian kuat, membelah kesunyian dalam pekat malam.
Hisham gigit bibir, tahan suara yang mahu bergetar. Maafkan abang, Zarra. Ampunkan, abang. Abang janji, abang akan perbetulkan segalanya.
“Maafkan abang, Zarra...” Serak suaranya melontar keluar. Menggeletar tangannya memegang stereng. Tak mampu dia memandang gadis itu yang esaknya kian ribut. Mahu sahaja ditariknya Zarra ke dalam pelukan namun dia tahu ini bukan masanya.
“Tolong Zarra, tolong jangan menangis...abang mohon ampun. Abang janji, abang akan jadikan Zarra lebih bahagia, gembira. Abang sayangkan Zarra. Abang cintakan Zarra, sejak dulu lagi. Tolong abang...”
Tangannya menutup mulut, menahan esak yang kian perlahan. Beberapa kali jemarinya mengesat pipi.
Hisham hentikan kereta, pangku kepala pada stereng. Dia toleh, pandang gadis itu yang masih menangis dalam hiba. Dia senyum, cuba memujuk hatinya sendiri. Ada baiknya Zarra menangis, lepaskan perasaan yang lama terpendam.
“Zarra nak balik.”
Dia angguk lalu menolak gear.

Bila kereta Hisham berlalu, dia melangkah longlai. Hampir tengah malam, semuanya sudah lelap mungkin.
“Are you okay, sweet pie?”
Allahuakbar. Terkejut dia. Zarra urut dada, mencari pemilik suara. Zachary ada di bangku simen di bawah pokok, dalam gelap.
“Zach buat apa kat sini? Kenapa tak tidur lagi?” soalnya kembali. Zachary nampak ke siapa yang hantar dia tadi? Dia telan liur, tercegat memandang Zachary.
Zachary bangun, berdiri di hadapan gadis itu. “Are you okay?” soalnya lembut.
Dia terpaksa senyum. “Okay, terima kasih kerana bertanya.”
“Zarra dari mana?” Dia ingin tahu kerana kereta yang hantar Zarra tadi kereta Hisham. Dia pasti.
“Dari kampung. Encik Hisham tumpangkan.”
Okay, ingatkan keluar dating dengan Hisham tadi. Jelaous? Mana ada, dia cemburu je kot. Dia melangkah, kian dekat. “Kenapa? Ada kecemasan ke?”
Zarra telan liur. Apahal kakinya kaku? Sepasang mata Zachary menerobos pandangan dalam kelam cahaya lampu jalan.
“Nenek demam. Encik Hisham tolong tumpangkan. Nak balik dengan motor dah jauh malam.” Kenapa dia tipu? Zarra lemparkan senyuman dalam gentar.
“Ohh...dia orang kampung Zarra, kan. I lupa. Dah lewat, better Zarra naik tidur. Nanti...”
Zarra undur satu langkah. “Nanti apa? Hantu keluar?”soalnya berkelakar.
Zachary geleng, ambil satu lagi langkah. “Nanti I kiss you here, you pengsan.”
Okay, dia cabut lari macam ribut. Tak sukalah Zachary bergurau macam tu. Haishhhhh! Belum sempat dia sampai di muka pintu, telefonnya bergegar.
Selamat malam. Harap Zarra lena dalam mimpi.
Hisham.
Dia gigit bibir.
Dia bencikan Hisham. Benci sebenci bencinya.