Sunday 1 January 2017

Cik Reen dan Encik Ngok Ngek...sudah datangggggg!!!!

PROLOG


You and me, always, and forever
You and me, always, and forever
It was always
You and me always

You tell me I'm a real man
And try to look impressed
Not very convincing
But you know I love it

Then we watch TV
Until we fall asleep
Not every exciting
But it's you and me
And we'll always be together

You and me, always, and forever
You and me, always, and forever
It was always
You and me, always, and forever
You and me, always, and forever

Azreen senyum senget. Ada ke gaya bercinta macam dalam lagu tu? Forever sangatlah konon. Jumpa yang lagi cantik, gebu gebas, mulalah mata terlolong pandang lain. Caittt! Dia kuatkan volume radio, tergedik-gedik kaki dia.
Ponnn!!!
Oh mak kau kentut busuk! Siutnya, terkejut dia. Azreen toleh. Amboi…mentang-mentanglah drive Volkswagen, main hon-hon semacam saja kat dia. Tak padan tuan hensem. Hensem pun kalau adab ke laut buat apa. Baik layan kucing, lagi bagus. Perlahan-lahan kereta itu merangkak di sebelah keretanya. Azreen jeling separuh terbalik.
Harris jeling, toleh sekilas. Perempuan, inilah gayanya kalau drive kereta, tak fokus. Main phone, menyanyi sakan macam yang kat sebelah ni pun ada. Nasiblah bukan bakal bini dia. Dia tengok jam, dah lambat sepuluh minit. Berasaplah Zaza di airport nanti. Pedal minyak ditekannya, meluncur kereta itu laju.
Segera dia juihkan bibir. Eleh, sakit perutlah tu. Pergilah, macam dia heran. Jangan sampai jumpa dia lagi tau! Geram dia. Bukan keretanya saja yang tersekat dalam traffic jam di Kuala Lumpur ni, nun…berderet-deret. Eleh, kalau kaya sangat buat jalan sendirilah, tak pun pakai helicopter. Dia acu penumbuk, geram.
Dia silap tengok kah? Amboi, main angkat-angkat penumbuk lagi. Pakai tudung, muka cantik, ayu macam wanita Melayu terakhir, sekali ini rupanya perangai. Sorry naik lorilah, jalan dah. Dia ambil kaca mata hitam. Sangkut pada wajah. Simpang malaikat empat puluh empat dapat perempuan macam gini untuk dibuat bini. Tak ingin dia. Dia tiba-tiba ketawa. Hah, malanglah nasib lelaki yang jadi suami perempuan gila kat sebelah kereta ini. Silap haribulan, terjun lombong.
Bila kenderaan mula bergerak, sekali lagi Azreen menjeling. Muka riak gila, ingat hensem sangat ke wooiii, cehhh…hensem lagi kucing dia di rumah. Cepat-cepat dia tekan minyak, menyampah!









BAB 1

Memang nak kena lastik. Nak pilih baju nikah pun susah ke? Ambil sajalah yang mana berkenan. Tu, bukan banyak ke pilihan, sampai juling biji matanya melihat. Yang si Izyan ni pula terkemut-kemut macam siput, tampor dahi tu karang.
“Ni Yan, ko boleh tak pilih cepat-cepat, kak Reen lapar tau. Pagi tadi makan karipap je sebiji. Kau lainlah, diet hantu jerangkung. Nak nikah sampai rela tak makan. Uweekkk…”
Kahkahkah…bengong dengan kakak nan seorang ni. Izyan angkat buku lima. Dia kembali termenung, pandang deretan baju pengantin di hadapannya. Baru dua jam, rileks ahhh…
“Hai kak Reen…”
Alhamdulillah…sampai pun bakal adik iparnya ini. Kau pergi mana, jahanam…akak lapar tau!
“Ni sandwich telur dengan beef bacon. Yang ini kek cawan Hokaido. Ini limau ais tanpa gula. Betul tak?”
Uitttt…nasib baik dia tak peluk Iqram depan semua orang dalam butik ni. Dia tepuk tangan macam anjing laut dapat ikan fresh dari ladang, eh…dari laut.
“Mekasih, adik. Ni yang kak Reen sayang siut dengan Iqram nihhh…” Disambutnya semua pengeras itu dengan tangan terbuka. Pengeras ke? Hehehe…
“Q. Akak panggil Iqram Q saja…”
Apasal Q? Kenapa tak P ke, R ke? Kesian mak bapak kasi nama cantik-cantik, panggilnya gitu-gitu saja. Buang dakwat printer pejabat pendaftaran, cehhh…
“Q! Nak abang ambil kau jam berapa? Nanti nak balik call.
Semua kepala yang ada di situ menoleh, meratah susuk tampan seorang lelaki di muka pintu. Apahal ni? Hensem sangat ke? Azreen toleh.
Gulp.
Bolehlah. Muka memang melayu tapi yang hidungnya tak kembang. Hidungnya mancung tapi bukan tajam macam cangkul. Tulang pipi pun tinggi. Bedah kosmetik kot, tu pasal hensem kemain. Dia tutup mulut. Gila. Tak pernah tengok jantan hensem ke? Macam tu pun dah kalut. Tapi rasa macam pernah tengok, kat mana ya?
“Kak Reen, kenalkan ni, abang Q. Harris Zakuan Haji Manaf.”
Kena bangun salam ke? Mana boleh. Dia bangun, lemparkan senyuman. “Assalamualaikum. Azreen Che Azhan, kakak Izyan Che Azhan, budak gila berhingus gatal nak kahwin tu,” tuturnya lembut.
Terkedu Harris di situ. Mahu gelak pun ada, keliru pun ada. Kakak si Izyan ni puji ke kutuk? Dia tengok Izyan gelak-gelak sampai duduk-duduk. Pujilah kot.
“Masa tunang hari tu abang Harris tak ada, dia teman mata air dia buat show. Hong Kong, kan?”
Harris angguk. Aku debik juga si Q ni. Cakap dia tak ada sudahlah, tak payah cerita sampai mukasurat terakhir.
“Oh, show apa?” soal Azreen sekadar berbahasa.
Fashion show. Alexander Wang, kan?”
Dia angguk. Cerita lagi. Nanti malam dia bagi Iqram satu pen, satu buku tulis. Buat karangan, boleh dia jual jadi cerita hot satu Malaysia. Harris gosok tengkuk. Dia nampak kakak si Izyan tu terangguk-angguk. Lain pula rupa Izyan dan kakaknya. Izyan kecil molek, mata bulat, cute. Kakaknya nampak tinggi langsing, ada lesung pipit pada pipi. Cantik bertudung, tak macam Izyan. Togel. Sekali pandang kakak si Izyan ni pun rupa macam model tudung.
“Ala Kak Reen mesti kenal. Zaza Azra, supermodel hot Malaysia. Makwe abang la tu…”
Dia geleng. Dia jarang-jarang baca majalah. Kalau baca pun cerita-cerita hantu, takpun majalah kekeluargaan Kak Huda punya. Televisyen memang dia selalu tengok, tapi yang kena dengan seleranya sajalah.
“Mesti cantik, hot macam namanya, kan?”
Iqram angguk laju-laju. Harris tersengih, buat muka bongkak.
Elehhh…suka la tu. Azreen senyum simpul. Meluat aku. Mana tong sampah, mana tong sampah? Rasa macam nak muntah.
Of course. Bukan semua orang boleh jadi supermodel.” Sengaja dia tekankan perkataan supermodel itu, biar nampak penting.
Dia angguk tanda setuju. “Betul. Bukan semua orang sanggup tayang diri, selak sana sini sebab cantik, kan? Kalau tak cantik takkan orang pilih. Alhamdulillah, ciptaan Allah. Sayang ditayang-tayang percuma macam gitu. Membazir.”
Amboi…boleh tahan mulut kakak si Izyan ni. Baru kenal mulut tu berapi-api, macam naga betina.
Iqram cepat-cepat bangun, tarik tangan Harris keluar dari butik itu. Abangnya ada temper juga. Kakak cinta sayang dia juga ada temper yang lagi hot dari lada paling pedas dalam dunia. Kalau dibuatnya dua-dua bertembung, mahu tunggang terbalik dunia ni.
“Harap muka saja cantik, mulut macam puaka!” Geram dia. Sengaja si apa namanya, Yeyen? Aiskrim? Cari pasal. Dengki dengan buah hatinya agaknya.
“Mana ada bang…kalau mulut puaka takkan cantik macam tu…”
Ha! Ni lagi sorang. Pandai belajar, bodohnya berlapis-lapis. Orang cakap bahasa kiasan pun tak faham-faham. Umur baru dua puluh lapan tahun gatal nak menikah. Dia yang tiga puluh dua tahun ni pun cool saja. Buat apa kahwin, nanti kena ‘ikat’ sampai mati. Takut dia weiiii…
“Aku pelik betul. Izyan tu comel je, lemah lembut. Kakak dia, macam andartu gatal nak berlaki.”
Iqram garu kepala. “Bukan tua sangat pun, baru Kak Reen tu baru dua puluh sembilan tahun, tua setahun je dari aku,” balasnya tersengih-sengih. Memang sewaktu dia mula-mula kenal Azreen, dia kecut perut. Mana taknya, kali pertama jumpa dah kena soal siasat macam pesalah. Nasib baik dia tak kena dehidrasi. Yalah, dua jam soal jawab, setitik air pun tak minum, nahas abadi. Cuma, bila sudah biasa jumpa, dia makin kenal Kak Reen. Perangai macam ganas, tengok cerita Korea pun melalak. Kucing basah kena hujan pun nangis. Hati lembut macam kek Hokaiddo. Yang cinta hatinya pula, tengok sifat lemah gemalai macam sutera, hati keras macam peti besi lapis tujuh, hahahaha…
“Dia kerja apa? Polis, askar?”
“Cikgu tadika. Ada kindergarten sendiri tau.”
Kahkahkah…dia bantai gelak. Padan pun. Kerja dengan budak-budak, perangai pun macam budak-budak. Cehh…berlagak punya cikgu tadika.
“Ada aku kisah dia ada tadika ke tandas awam? Mulut macam bullet train, main cakap saja. Harap muka saja cantik.”
Aik, asyik ulang muka cantik je, berkenan ke abang aku ni? Iqram senyum-senyum. “Ni, Q balik dengan Yan, dengan Kak Reen. Abang nak pergi mana? Jumpa Zaza?”
Dia geleng. Zaza ada di Singapura, ada job di sana selama seminggu. Baru semalam berlepas pergi. “Abang nak masuk ofis. Stok baru sampai.”
Bulat mata Iqram. Stok apa kali ini ya, mesti yang gagah perkasa. Dia memang sukakan superbike, tapi tak berani nak tunggang. Baik pandu kereta, keselamatan lebih terjamin kot. Keluarga mereka ada sembilan cawangan serta bilik pameran untuk superbike dan kereta mewah di seluruh Malaysia. Abangnya, Harris Zakuan bin Haji Manaf bertindak sebagai pengarah. Dulu abah, sekarang ni abah cakap dia mahu goyang kaki, mahu pergi masjid, ronda-ronda pasar malam dengan ummi. Biar dia dan abang yang bersusah payah pula.
“Ni, jangan lama-lama. Nanti kau kena makan dengan naga betina kat dalam tu, hangus…”
“Siapa naga?”
Opocot hantu bungkus! Nasib baik dia tak melatah. Bila masa pula si naga betina ni ada kat belakang dia. Dia jungkit bibir.
“Q, Yan panggil. Suruh test baju.”
Alahai, buruknya rupa makan sambil bercakap. Harris senyum sinis.
“Abang jalan dulu, nanti kat rumah kita jumpa. Ingat, ada naga. Naga lahap makan orang.” Dia jeling Azreen yang sibuk menyuap cupcake Hokaido. Tak pelawa aku pun, tak ada manners punya orang.
Ketawa kecil si Iqram. Harap Azreen tak dengar apa yang dikata. Kalau dengar pun, dia tak faham.

Dia dengarlah, mangkuk. Suka hati cakap dia naga. Nanti gigit betul-betul karang, baru viral satu dunia.
“Kak Reen, okay tak?”
Dia angkat muka, angguk. Kalau tak silap ini kali ke dua belas dia angguk. Lantak koranglah, baik dia pergi solat dulu. Azan Zuhur sudah berkumandang dari masjid berdekatan.
“Yan, akak solat dulu. Kau tu pun cepat sikit. Pilih baju macam nak pilih kain kafan. Cepat, sembahyang. Q, kamu pun sama. Adik, mana ruang solat?”
Pekerja di situ senyum malu. “Ada bilik kecil untuk staf saja, kak. Kalau akak jalan hujung sana, jumpa surau kecil. Telekung solat wakaf pun ada kat situ, kak.”
Aik, butik punya besar dan cantik macam ni tak ada tempat solat. Rugi, rugi. Kalau tak, dapat kongsi pahala.
“Oh ya ke? Tak apalah, terima kasih. Ni Yan, akak pergi dulu. Nanti siap pilih, pergi solat. Pakai cantik-cantik pun masuk kubur juga nanti.”
Izyan angkat buku lima. Haishhh…nasib Azreen satu-satunya kakaknya, kalau tak dia baling saja dengan kasut. Iqram disebelahnya siap duduk gelak-gelak.
“Nak kawin dengan saya ke tidak?” tanyanya perlahan tapi garang. Matanya mejeling tajam dengan senyum paling manis.
Mencacang Iqram bangun, macam spring katil rosak. Cepat-cepat dia angguk.
“Kalau nak, pilih cepat. Kalau tak, cancel!”
Gulp.
Boleh ke macam tu? Dia buat muka comel, ala-ala manja macam kucing. “Yan pilih. Q ikut saja. Daun selasih beli di pekan, kerana kasih abang turutkan.”
Izyan senyum manis. “Kalau macam tu, kita pakai persalinan merah, boleh?”
Alaaa…nanti kena kejar dengan lembu…

Seronoknya baring atas katil sendiri yang empuk lagi harum. Keluar sembilan pagi, sembilan malam baru sampai rumah. Ini semua Izyan punya pasal. Baru mata mahu pejam, tilamnya bergoncang. Apa ni, gempa bumi ke?
“Kak Reen…janganlah tidur lagi…jom teman Yan tengok tv. “
Mak kau! Nasib baik dia tak bagi tendangan kasih sayang. Dah lah masuk bilik dia pakai redah je, salam ke mana, ketuk ke mana. Muka pula bertempek apa ke masker yang pelik sangat. Warna kelabu. Bau harum pula.
“Kau apasal, orang minyak ke? Nak tengok tv pergilah, akak nak membuta. Letih temankan kau sana sini.”
Izyan bergolek cantik, peluk Azreen kuat-kuat. “Dah ibu cakap tak boleh keluar berdua dengan Q, akak lah yang kena teman. Cayanggggg kakak…”
Dia tunjal-tunjal dahi si Izyan. Sila jangan mengada-ngada. Jimi kucing dia yang hitam legam tu saja boleh peluk dia tau. Orang jangan, dia geli…eeeeuuuwww…
“Cerita apa yang kau nak tengok sangat? Rekod sajalah.” Dia pejamkan mata. Letih mula mengusai badan, mahu tidur, mahu berlayar ke alam mimpi. Mimpi makan sup gearbox ke, cupcake Hokaido ke…
“Citer hantu Korea…takut…”
Hah, elok. Muka bertempek masker tu pun dah rupa macam hantu. Dia buat-buat tuli, pejamkan mata.
“Yan dah goreng cucur udang. Udang dia besar-besar, fresh gitu…”
Matanya terbuka luas. Cucur udang. “Kau…”
“Dah letak daun bawang dengan lada besar…”
Azreen ketawa.
“Yalah, yalahhh…tapi kalau akak tidur, kau jangan tak kejut. Aku lesing kau, Yan.”
Kihkihkihkih…konon. Nanti dua-dua tidur depan tv, subuh esok dua-dua kena kena lesing dengan ibu.

“Ni apa jadah pesen kamu berdua ni? Datang meja makan tak berbaju. Pergi ambik baju, kalau tak jangan berangan nak sentuh nasi!”
Lalalalala…Hajah Jawaher naik hantu. Harris senyum-senyum, tarik kerusi buka tudung saji. Iqram juga sama, siap hirup kuah. Pari bakar dengan air asam, daging goreng dengan kangkung belacan. Baik punya.
Melampau. Dua-dua pakai pelikat, langsung tak berbaju. Ya Allah…
“Rileks ah, mi…bukan gugur bulu ketiak pun. Kita-kita saja kan…” Dia mahu ambil pinggan tapi senduk umminya lagi laju.
Kelekuk!
Sakit wooo…macam kena karate.
“Amenda yang kecoh-kecoh ni…”
Tiga pasang mata semua terpaku pada Haji Manaf. Harris dan Iqram bantai gelak kuat-kuat.
Hajah Jawaher angkat tangan, surrender.
“Dah, jom kita makan nasi.”
Elok sangat tiga dungu tak berbaju datang dapur makan nasi. Elok sangat!
“Awak makanlah dengan anak-anak awak ni. Hilang selera saya…” Dia letakkan senduk nasi, berlenggang keluar dari ruang makan. Layan kitab lagi bagus.

“Apasal kau goreng keropok pulak malam-malam buta ni?” Dia buka tingkap luas-luas. Nasib baik dah pakai baju, kalau tak mesti sejuk dipeluk angin malam. Mulanya tadi nak terus makan, tapi kasihan pula dengan ummi. Abah pun sengaja nak mengusik. Rupanya baju abah ada, dia sembunyikan dalam kain pelikat. Tua-tua belia pun pandai lagi abah berlawak.  Sebelum mula makan tadi masing-masing kena sedas atas dahi, kecuali abah. Dia sendawa. Kenyang amat.
“Jom, tengok tv.”
Ni mesti cerita seram. Nak tengok sangat penakut macam tikus. “Ajak bakal bini kau lah…ajak aku buat apa…”
Iqram sengih-sengih. “Nanti orang kawin memang ini aktiviti utama la…best gitu.”
Dia tonyoh kepala adik nan seorang. Ada ke kahwin nanti itu jadi aktiviti utama. Tongongnya. Dia ketawa. “Ni Q, kau ni umur je dewasa, otak macam budak-budak. Samalah dengan si Yan dan kakak dia yang cun tapi senget tu. Ada ke itu aktiviti utama. Dah halal, buatlah aktiviti lain…”
Berkerut dahi Iqram. “Buat apa? Jalan-jalan pegang tangan ke?”
Hahahahaha…memang bangang abadi.

Berdecit kereta itu berhenti di parkir. Nasib baik tak langgar tiang letrik depan bangunan tadikanya.
CUTEY BEES KINDERGARTEN
Ini salah satu tadikanya. Dia ada dua taska dan satu lagi tadika di sekitar bandaraya ini. Ijazah sarjana Muda Kanak-Kanak dan Master Pengurusan Kaunseling yang dipelajarinya tidak disia-siakan. Dengan sokongan walid dan ummi, dia mulakan semua ini tiga tahun lalu. Alhamdulillah, dari satu menjadi empat cawangan. Dua tadika dan dua taska. Bukan dia tidak mahu menolong walid dengan perniagaan keluarga mereka, tapi jiwanya lebih tenteram dengan anak-anak kecil.
“Cik Murai datang!!!”
Huh! Tak ada budak lain yang mulut terlebih pandai, Anumlah tu. Si kecil berumur lima tahun itu tercegat di muka pntu, bercekak pingang dengan tangan yang comot dengan cat air. Suka hati panggil cik pengetua cantik macam dia ni Cik Murai. Nanti dia solatepkan mulut terlebih pandai tu.
“Anum buat apa?” Anum panggilan manja si Anum kenit ni. Nama betul dia panjang sangat, berbelit lidah.
“Tak nampak tangan warna-warni ni? Mahu tanya lagi kan, Nadrah?”
Elok sangat. Cukup team duet. Anum ni kaki merapu, si Nadrah pula kaki melalak. Menyanyi karaoke. Agaknya hari minggu mak ayah dia bawa pergi karaoke ke apa?
“Ala, Cik Reen tanya pun marah ke? Kan cancel buat cupcake hari ni. Kita cekodok pisang, mau?” gertaknya sambil cekak pinggang juga.
“Tak kisah…asal boleh makan, main dengan flour, kita okay je, Anum, kan…” Kali ini si Nadrah pula yang menjawab.
Hohoho…nasib baik bukan anak dia. Kalau anak dia, dia kurung dalam bilik air, kasi basuh sampai berkilat. Dua pasang mata itu menjelingnya sinis.
Good. Kalau macam tu, hari ni kita tak payah buat apa-apa. Kak Huda, cupcakes hari ni cancel. Kita buka tv, pasang citer Frozen.”
“Cik Murai jahat. Pergi terbang jauh-jauh!”
Kihkihkih…tau mengamuk ya, ingatkan nak tercegat jadi patung lilin kat situ.
“Hello miss…ini tadika, ana yang punya tau!”
Nadrah dan Anum kerut-kerut dahi. “Ana mana pulak?” Mereka saling berpandangan.
“Bukan tadika ni Cik Murai punya ke? Siapa Ana?” soal Nadrah keliru.
Hahahaha…ambik kau!

Pendingin hawa sengaja dia turunkan suhu. Kak Huda dan Siti Mariam juga sibuk menyelimutkan kanak-kanak yang lelap. Langsir-langsir juga ditarik rapat, menjadikan bilik itu gelap dan nyaman. Dia menepuk-nepuk punggung Nadrah yang sudah lama lena. Memang begitu rutin di tadika mahupun taskanya. Jam sebelas pagi hingga dua belas tengahari adalah waktu tidur tengahari. Bangun nanti, semua mereka akan makan tengahari dan bersiap untuk solat dan sambung mengaji. Jam tiga petang pula untuk aktiviti Bahasa dan minum petang sebelum pulang atau aktiviti di laman luar.
“Kak Huda, tengahari nanti makan apa?” Dia menguap.  Dia pun mengantuk sama. Ada satu bantal lebih di perbaringan. Dengan lemah lembut, dia baring dan tergolek di situ. Aduhai…seronoknya.
Huda gelak. “Reen tidurlah. Siti dengan Anis cakap nak buatkan spaghetti dan sup cendawan. Nanti nak makan kami kejutkan.”
Huda toleh. Huh, dah lelap rupanya. Dia toleh sekali lagi, tarik daun pintu bilik itu perlahan-lahan. Janganlah Cik Murai tu berdengkur kuat sangat. Dia tutup itu pintu sambil gelak kecil.

“Lama mana lagi kau punya majlis ni?” Harris buka mulut luas-luas, suap roti bakar kapit dua itu sekali gus. Laparnya. Kalau ada nasi lemak sambal kerang kan sedap. Masa Zaza tak ada ni bolehlah dia makan sedap-sedap. Kalau tak, makan salad dengan jus sajalah. Kalau makan lebih-lebih Zaza merajuk.
Iqram suap juga roti yang masih tinggal sekeping. Cakap tadi nak beli roti canai, apahal roti ni yang muncul?
“Lagi tiga minggu. Kenapa?”
Harris bersandar. Ala…lambat lagi ke? Cepatlah majlis itu langsung, tak larat dia. Pergi kursus kawin pun dia kena teman, test darah pun dia kena buat sama. Takut konon, jadi contoh. Contoh kepala lutut dia. Bila tanya kenapa tak pergi dengan Izyan, kata Iqram Izyan kakaknya yang temankan. Tak boleh pergi berdua, mengundang fitnah. Huh! Ni mesti idea otak kolot naga betina tu…
“Tak adalah…Zaza tak dapat hadir kot. Nanti dia tengok jadual. Kalau ada masa lapang, dia try masuk line.
Iqram angguk-angguk. Dia bukan suka sangat dengan Zaza, tapi nak buat macam mana, buah hati pengarang jantung abangnya, dia terpaksa angguk sajalah. Masih dia ingat kali pertama makan malam di rumah mereka, pakai dress nampak ketiak, nasib baik abah tak kena heart attack. Lepas tu ummi dah penat masak serba serbi lauk, sekali makannya nasi setengah senduk (macam dua sudu besar je kot…) dengan sekeping daging bakar. Alahai…
“Ni, baju untuk pengapit dah siap. Nanti abang pergi try kat butik hari tu…”
Terjojol juga matanya. “Apahal pulak abang jadi pengapit, kan kau nak suruh Judin, bestfriend kencing atas katil sama-sama dari kecik?”
Kena sebut ke semua tu? Nasib baik tak ada manusia lain. Cilanat punya abang.
“Tak boleh, Judin kena jadi photographer tak rasmi hari tu. Lagipun pengapit perempuan tu kakak Yan, Kak Reen. Judin tu pendek, naik pelamin kena gelaklah dia…”
Harris senyum, tergelak kemudiannya. Betul juga. Kalau kena si Judin berdiri sebelah menyebelah dengan naga betina tu, memang jadi bahan gelak la jawabnya. Judin dekat telinga si naga je kot, memang tak padan.
“Kau tempah apa? Suit, tuxedo?”
“Apanya…baju melayu lah, bang. Warna krim, samping songket Terengganu warna biru muda.”
Dah pulak.
“Kau punya sepersalinan warna apa?”
Iqram bangun, cekak pinggang dengan penuh berlagak gila. “Warna merah.”
Kahkahkahkah…bengong. Dia pandang wajah adiknya yang keruh.
“Dah kenapa korang ni? Dalam banyak-banyak warna, merah korang pilih. Merah apa? Merah jambu? Merah darah ikan?”
Geleng.
“Merah gincu Mak Usu…”
Allah. Dia tepuk dahi. Mak Usunya punya gincu, lagi merah daripada lampu traffic light. Matilah kau, Q.
“Pilihlah warna yang lembut mata memandang sikit, Q. Putih ke, merah jambu pun boleh lagi. Yan tu dah gila ke?”
“Tak, aku je gila kat dia.”
Huh! Sekali lagi tuan-tuan dan puan-puan, Encik Bangang Abadi. Sila tepuk tangan ramai-ramai.

“Kebaya!!! Kau nak suruh akak jalan macam siput ke apa? Buatlah baju kurung biasa mangkukkkk…”
Tergelak-gelak Izyan. Kakaknya kalau marah, mencacang bulu roma. Suara bergegar satu tadika. Terdiam semua kanak-kanak di situ.
“Cik Murai kan murai, kenapa tiba-tiba nak jadi siput pulak?”
Ni sorang lagi nak makan penampor free di pagi yang mulia ini. Dia jegilkan mata pada Anum yang pandang dia dengan muka tak bersalah.
“Buat kerjalah, sibuk menyampuk orang bercakap.”
Nadrah pula pusing kepala. “Dah siap kan, Anum…”
“Ah ah, kita dah siaplah.”
Eeeeee…dia kurung budak berdua dalam tandas karang, penderaan pula. Azreen tarik nafas dalam-dalam. Azreen, be calm, in control. Dia lepaskan nafas.
“Kalau aku ngengkang dalam kebaya tu, aku pakai seluar jeans on the spot, kau faham?!”
Izyan ketawa lagi, cium pipi Azreen lama. “Okay kakak, adik comel jalan dulu. Bye bye.”
Blah, blah, blah!
Pagi-pagi dah menyakitkan hati. Nanti petanglah dia pergi. Ishhhh…tak kira, hari sanding dua tolol tu nanti dia bawa baju spare. Memandai buatkan dia kebaya. Nasiblah kebaya tu, nanti jadi balut nangka rumah nenek, muahaha…
“Anum, Anum…Cik Murai dah gila kot. Dia ketawa sorang-sorang…”
Azreen tutup mulut, angkat penumbuk.
“Buat kerjalah!”
Dua si cilik itu angkat kening, peluk tubuh. “Dah siap lah!!!”
Hisshhhhh…benci dia.

Harris sandarkan kepala pada sofa. Sudah beberapa kali dia mendail, Zaza masih belum dapat dihubunginya. Buat photoshoot dalam hutan ke apa? Semalam Zaza cakap akan ke kembali ke tanahair, namun bila ditanya bila, Zaza sepi. Mungkin masih menjalankan tugasan.
Nanti try baju kat butik hari tu. Dah siap. Pergi fitting segera.
Aduh…malasnya dia. Pakai seluar jeans dengan t-shirt kolar tak boleh ke? Leceh betul nak pakai rasmi sangat. Dia letakkan kembali telefon ke meja. Mata pejam, mahu beradu seketika.
Sorry, baby. Tgah photoshoot lagi. Esok baru balik. Miss u too. Muuuahhhhh!
Hmmm…patutlah. Tidur la dulu, nanti petang dia pergi ke butik pengantin itu.

Berdecit tayar kereta itu dihentikan geraknya. Harapnya dia tidak lewat. Azreen cabut kaca mata hitam, sangkut dengan berhati-hati. Amboi, kereta Volkswagen siapa tu? Dia bergerak keluar dari perut kereta, jalan melenggang ke butik pengantin itu. Bila pintu ditolak, dia hampir rebah. Apahal malaun ni siap tunggu dia depan pintu?
“Selamat datang, tuan puteri.”
Hah! Baik punya sambutan. Dia ukirkan senyuman, letakkan tangan pada dada.
“Terima kasih. Kerja part-time kat sini ke?” soalnya selamba.
Perlukah dia luku dahi perempuan ini? Atau mungkin dia sumbat dalam bonet kereta, campak tepi laut? Hahaha…seronok kalau dapat buat, kan.
“Saya dah tunggu awak setengah jam.”
Ahhh…baru setengah jam. Nanti. Ada ke dia berjanji, ada ke dia buat temujanji dengan mamat ini?
“Apahal tunggu saya? Dah siap try, balik sajalah.” Dia cerlangkan biji mata. Entahnya. Kalau sudah selesai, blah saja. Tak kuasa dia memandang. Kau ingat kau hensem aku hairan? No way, Jusoh! (Tak mainlah Jose, inikan Malaysia…hehehe…)
“Maaf, Cik. Untuk pakaian pengapit bagi majlis Encik Iqram dan Cik Izyan ni special sikit. Jadi kami kena selaraskan agar biar cantik, biar kena dan sempurna.”
Amboi. Macam tu sekali ke? “
“Kenapa? Tak boleh ke kami test asing-asing?”
Gadis pembantu itu senyum. “Bukan tak boleh, Cik. Kami mahu buat yang terbaik. Kalau ada apa-apa yang tak kena, kami akan selesaikan segera.”
Ohhh…yalah, yalah. Dia toleh, pandang Harris yang masih mencuka. Siap terjungkit kening sebelah kanan. Marah? Marah terjun longkang.
“Maaf ya, Encik Harris. Saya tak tahu pun hal ni. Kalau saya tahu, awal lagi saya datang.” Dia ikhlas mohon maaf. Dia faham tentang konsep masa. Masa adalah emas. Dia juga sangat menghargai masa. Sangat-sangat menghargainya. Mata mereka bertentang.
Aik? Kenapa jantung lelakinya berdebar-debar bila mana sepasang mata yang cantik itu memandangnya lembut. Harris tarik nafas panjang-panjang.
It’s okay.” Dia duduk di sofa. Buat pertama kali, dia tenung minah naga di hadapannya. Mulus. Sepasang mata yang redup dan beralis lentik. Pandangannya jatuh ke bibir yang mekar cantik. Paling terkesan, bila gadis itu tersenyum, sepasang lesung pipit terletak sempurna.
“Boleh kita mulakan? Pakaian Cik dah kami sediakan. Encik Harris, pakaian Encik Harris sebelah sana.”
Lamunannya terhenti. Zaza lebih cantik, lebih sensual dari gadis dihadapannya. Baju kurung, macam kampung girl yang tiada fashion sense. Dia bangun, jeling Azreen yang hilang di balik dinding. Hati, cuba jaga-jaga.
Terkedu dia memandang cermin. Ini baju pengapit? Cantik amat. Dia lurutkan tangan pada kain yang melitupi tubuh. Lembut, sejuk dan selesa. Dia tarik nafas, lepaskan perlahan.
“Macam mana, kak? Boleh?”
Terkejut dia. Hahaha…terkebil-kebil dia pandang cermin. “Kain ni labuh sangat. Meleret. Akak bimbang kalau akak jalan, terpijak kain. Mahu akak terguling depan pelamin nanti.” Betul. Baju kebaya ini potongan cukup sempurna, terletak cantik di tubuhnya.
Gadis itu bersila di lantai, mengeluarkan pita ukur dan buku catatan. “Akak selesa pakai macam mana, paras buku lali, boleh?”
Dia angguk. Asal dia boleh melangkah, itu sudah cukup bagus. Dia teliti wajahnya sekali lagi pada cermin. Lain. Nampak pelik bila dicalit sedikit solekan.
“Akak tanggalkan dulu, kami minta tailor kami alter sekarang. Paras ni, boleh?”
Dia jenguk ke bawah. Bolehlah kot. “Okay.”

Sempurna. Dia sebenarnya kurang sikit dengan baju melayu. Lebih baik pakai tuxedo atau suit. Lebih selesa. Kali ini, dia rasa selesa. Selesa juga kain ini. Kain samping songket tenun Terengganu ini juga sempurna dengan baju melayu yang disarungnya.
“Encik Harris, boleh datang sini?”
Dia toleh, bergerak pada suara yang memanggil. Terpana dia. Minah naga ke tu?
“Encik Harris, semua okay? Ini songkoknya. Kalau besar, kita tukar yang lain.”
Matanya masih terpaku pada Azreen yang lengkap sepersalinan kebaya warna sama dengan tudung turquoise yang terletak cantik. Dia tepuk pipi, berjalan dengan langkah selamba.
“Encik Harris.”
“Ya?”
“Songkok.”
“Ohhh…terima kasih.”
Gadis itu sembunyikan senyum.
Dia letakkan songkok, berdiri di sebelah Azreen yang masih ralit meneliti kebaya itu.
“So, okay tak?”
Mak! Bila datang lelaki ini. Hampir dia tersungkur di situ namun sepasang tangan milik Harris lebih pantas. Terdiam satu butik memandang mereka. Jantungnya bergetar. Tak pernah mana-mana lelaki pegang dia. Ni nak pegang sampai bila? Dia berdehem. Beberapa kali.
Cepat-cepat Harris bangun, stabilkan Azreen yang masih diam dalam rangkulannya.
“Macam tu pun terkejut ke?” soalnya serius. Nasib baik dia sempat sambar pinggang ramping itu. Kalau dia buat bodoh tadi, mesti jatuh tergolek macam nangka busuk.
Diam cuma dia mampu. Entah, tiada kata-kata yang sesuai yang mahu dia tuturkan.
Harris berdehem kecil, lepaskan rangkulan. Kasihan pula dia tengok Azreen yang merah padam wajahnya. Cute.
“Maaf.” Itu. Itu sahaja patah perkataan yang mampu keluar dari mulutnya. Aduhhh…malunya. Dia jarakkan kedudukan, pandang lantai. Apa kena dengan dia? Peluk sikit dah jadi bodoh ke? Allah…tampar muka sendiri baru okay kot.
“Cik Azreen.”
“Ya.”
“Cik Azreen okay? Ke nak duduk rehat dulu?” soal gadis pembantu butik itu lagi.
Cepat-cepat dia geleng. lagi cepat selesai, lagi cepat dia boleh cabut.
“Tak, tak apa. Kita teruskan.”
Harris sembunyikan senyum. Kau takut ke, cik naga?

Kenapa matanya tak mahu pejam. Berkelip-kelip pandang siling dari jam sebelas tadi. Ini sudah hampir satu pagi. Pejamlah mata oiii…dia sudah mengantuk. Dia pejam, namun sepantas kilat matanya terbuka kembali. Peristiwa di butik tadi tiba-tiba melintas di layar ingatan, terang dan jelas. Rangkulan kemas Harris petang tadi masih buat dia gementar. Terbayang-bayang. Haiippp…tolonglah Azreen Che Azhan. Jangan nak berfantasi lebih sangat, cuba jatuh ke dunia nyata dulu, baru tahu sakitnya kenyataan. Dia ketawa sendiri, tekup muka dengan bantal lalu cuba kembali berlayar ke alam mimpi.

Bunyi ketawa buat dia angkat kepala. Dia terlelap ke? Harris menguap, sandarkan kepala pada kerusi.
You ni kenapa? Letih sangat ke?”
Dia angkat kepala, menentang mata Zaza yang mencuka. Janganlah merajuk, dia dah kehabisan tenaga untuk memujuk. Balik dari butik pengantin, terus dia ke Melaka. Sampai di Kuala Lumpur, Zaza pula mahu berjumpa. Langsung dia tidak lelapkan mata.
“Asal jumpa Zaza, mengantuk. Asal temankan Zaza, penat. You ni saja je kan?”
Aduhhh…bunga-bunga telingkah sudah mengharum. Dia urut dahi, hulurkan tangan pada Zaza. Gadis itu larikan tangan, tarik muka. Harris gelak kecil. Merajuklah, aku balik rumah tidur lagi best.
Babe…Har penat sangat hari ni. Pagi masuk ofis, petang Har pergi test baju lepas terus ke Melaka. Har tak rehat lagi, ni baru Har betul-betul duduk, ambil nafas.”
Zaza gigit bibir. Jelingan paling tajam diberinya pada Harris. Alasan. Dia pun satu hari buat photoshoot, okay saja. Memanglah dia lelap sekejap di studio petang tadi, tapi dia masih ceria. Letih sikit pun tak tahan ke?
“Penat you saja yang you kira? I lagi penat, Har.”
Inilah yang dia malas. Baik jangan jumpa kalau mahu bercakaran. Dia hulurkan tangan sekali lagi, raih tangan Zaza ke dalam genggaman. Gadis itu masih sama, mencuka.
Babe…Har rasa baik kita balik rehat, tidur. Nanti kita berdua dah tenang, dah okay, kita jumpa.”
“Bila?” soalnya pula.
“Bila you ada masa lapang, bila you ada masa terluang. Har bila-bila masa sahaja boleh jumpa. Jadual you yang asyik penuh. Tak bolehkah kalau you cuti, take a break for a while?”
Are you crazy? Nama I tengah naik, job berderet. You nak I take a break? No way.” Dia geleng, hentak tangan ke meja. Inilah persoalan yang selalu Harris utarakan. Selalu saja Harris mahu dia berehat, lupakan sekejap dunia model. Mana mungkin. Bukan mudah untuk dia mendaki tangga hingga ke pucak sekarang. Pelbagai pengorbanan yang dia lakukan. Dirinya, dia yang punya. Tiada sesiapa yang boleh melarangnya, not even Harris.
Dia senyum hambar. “Har bukan minta you quit, babe. Har nak you rehat, luangkan masa untuk kita. Ni, wedding Q, you tak boleh cuti langsung ke?”
No. I tak ada kat Malaysia minggu tu. Kan I dah cakap, I dapat job untuk rumah fesyen Alexander Wang sekali lagi. You ingat senang ke untuk model Asia, model melayu macam I nak dapat peluang tu?”
Dia malas. Dia malas mahu bertekak. “Okay, fine. I think we should go home. You penat, I pun penat. Kan?”
Zaza ketap bibir, genggam tangan Harris dengan wajah paling manja. “Balik kondo I?”
Hah! Nak cari pasal? Harris geleng. “I’m sorry, babe. You tahu I tak boleh, kan?”
Gadis itu menjeling marah. “Kolot.” Dia bangun, sambar beg dan kunci kereta. Tanpa menoleh, dia berlalu pergi.
Harris senyum, sandarkan kembali kepala pada kerusi. Agak-agaknya nasi di rumah ada lagi ke tak? Makan spaghetti buat taik gigi bolehlah. Ummi, Har lapar nasi!