Saturday 11 March 2017

BAB 4 Cik Reen dan En. Ngok Ngek...mohon terjah dengan lemah lembut nahhh

BAB 4


Sudah lama dia bangun. Selesai solat subuh dan solat hajat, dia berteleku di sejadah, menyandar pada katil. Jimi ada bersamanya, tidur terlentang di atas sejadah. Dia usap kucing itu perlahan-lahan. Jadi kucing kan senang. Makan, main dan tidur. Sampai umur, mati. Tak payah sesak-sesak fikir hal dunia. Akhirat nanti lain pula, tak pula ke syurga, adehhhh…payah. Pintu biliknya diketuk.
“Masuk.”
Wajah nenek yang juga bertelekung menjenguk di balik pintu.
“Nenek masuk ya, Reen.”
Dia angguk. Nenek duduk disebelahnya, tarik tangannya ke ribaan.
“Kamu macam mana? Dah bertenang, dah okay?”
Kepalanya diletakkan ke ribaan nenek. “Entah, Reen tak tahu apa yang Reen rasa sekarang ni, nek. Dunia ni macam dah berputar-putar terlalu lama, Reen pening.”
Hajah Che Ah ketawa kecil. “Tadi masa sujud minta apa dengan Dia?”
“Reen mintak Yan balik hari ni juga.”
Sekali lagi neneknya ketawa. “Bukan nenek nak pandang kecil permintaan Reen, tapi bagi neneklah, mohon ampunkan dosa dan mohon Allah permudahkan segalanya.”
Ha ah, tak terfikir pula dia. Mahu buat macam mana, otaknya berselirat. “Kalau Yan tak balik juga hari ni macam mana, nek?” soalnya resah.
Nafas dilepas perlahan dan lama. “Kalau ditakdirkan Allah, Yan tak balik juga hari ni, itu terserah pada Reen, pada apa namanya yang kacak hensem semalam tu?”
Amboi, sempat lagi. “Harris Zakuan. Hensemlah, mulut macam ngok ngek,” balasnya geram.
Kali ini Hajah Che Ah cubit lengan Azreen. “Kamu jangan benci-benci orang sangat, nanti yang dibenci tu lah kamu jatuh sayang.”
Dia bangun, cebikkan bibir. “Mana ada benci, nek. Reen tak suka je. Dia dah ada mata air, takkan dia nak kahwin dengan Reen. Mengamuk mata air dia nanti. Lagipun kami kenal gitu-gitu jer,” ujarnya mempertahankan diri.
Bangun, betulkan pinggangnya yang sakit dari semalam. Lenguh agaknya. “Kalau macam tu, kita hadapi sajalah. Nak batalkan makan minum, rugi. Macam semalam, buat doa selamat. Kalau orang tanya, kita cakap apa yang patut. Ni, nenek nak jenguk ibu kamu. Entah tidur ke tidak semalam. Jangan datang darah tinggi dia sudahlah…”
Makin bersalah hatinya dijentik kata-kata itu. Perlukah dia buat apa yang dirancang?

Kopi separuh penuh itu ditenungnya dari tadi. Sudah jam sembilan dua puluh pagi, batang hidung Iqram pun belum melintas. Dia dan Judin beberapa kali cuba menelefon tapi gagal. Dia hantukkan tangan pada dahi berkali-kali. Sanak saudara sudah ramai memenuhi rumah. Ada yang sengaja datang awal, mahu beramah mesra sebelum ke dewan.  Majlis di dewan sepatutnya mula jam sepuluh setengah nanti. Pagi ini pula sepatutnya juga majlis akad nikah dijalankan, bila sudah jadi begini, hanya masa dan waktu menentukan. Mana tahu, Iqram balik tak lama nanti. Abah pagi-pagi lagi sudah buat panggilan, bertanyakan khabar sebelah sana, sama juga. Izyan masih belum nampak bayangnya. Dia mengeluh, berat dan perlahan.
“Macam mana Har, kalau Q tak balik, kita memang nak buat doa selamat saja kah?” tanya Judin cemas. Dengan dia sendiri sudah berserabut. Pening betul dibuatnya. Lagi kasihan dia tengok ummi Iqram, termenung tak bermaya.
“Kau rasa, apa perlu aku buat, Din?”
“Pakcik ada cakap pasal cadangan ustaz semalam. Kau sanggup?”
Itulah masalahnya. Bukan kerana sanggup atau tidak, tapi nikah kahwin bukan benda main-main. Begitu juga maruah dan airmuka keluarga. Aduuhhh…apa dia perlu buat?
“Kau rasa?” soalnya kembali pada Judin.
Judin garu pipi. “Kalau main rasa macam air senang pulak. Ini bukan hal main-main rasa, Har. Kalau nekad, carry on. Kalau tak, kau kena bertegas. Tapi kan…kakak Yan tu cantik. Lemah-lembut orangnya.”
Kahkahkah…hadoiii…
Cantik, itu dia tak nafikan. Azreen memang cantik, tapi bila sebut lemah-lembut tu dia macam keliru. Judin agaknya sudah kena pukau, itu yang dikatanya si Azreen itu lemah-lembut. Perangai macam naga betina, lembut apanya.
“Apasal kau gelak? Dah hilang akal? Kau jangan Har, jangan usik aku…”
“Kaulah. Ada ke Reen tu lemah-gemalai. Dia tu perempuan paling kasar perrnah aku jumpa. Sekali dia maki pedih telinga weiii…”
“Har, abah kau tu. Dia panggil,” sampuk Judin.
Cepat-cepat dia bangun, bergerak ke arah abah yang sugul.
“Kenapa, bah?” soalnya sedikit berdebar.
“Ustaz Salam telefon. Macam mana, kamu mahu? Kalau mahu, abah nak maklumkan pada ayah Azreen. Dokumen semua dah siap, tinggal kamu nak bersalam dengan tok kadi saja.”
Ya Allah, betul ke yang dengar? Kalau dia tolak, tak bolehkah? Dia tengok wajah abah yang muram.
“Kalau Reen setuju, Har ikut saja.” Ya Allah, ya Allah, ya Allah…benarkah apa yang dia ucapakan sekarang? Harris menyandar di pintu, tunduk pandang lantai seketika. Terasa bahunya dipegang erat.
“Har, kalau Har tak mahu, abah tak kisah. Jangan rasa terbeban. Masalah ni kecil saja,” tutur Haji Manaf lembut. Sungguh dia tak mahu Harris yang jadi korban. Ini bukan masalah Harris.
Dia pandang sekali lagi wajah abah. Sungguh dia tak sanggup memikirkan apa yang bakal berlaku nanti. Abah sudah berikan segalanya untuk dia dan Iqram, mungkin ini masanya dia buat sesuatu untuk tolong abah, walaupun pertolongan yang tidak seberapa. Tapi, bagaimana dengan Zaza? Dia pening.
“Ni, jangan bimbang. Pergilah siap-siap apa yang patut. Nanti kita minta Judin maklumkan pada tetamu. Kita buat doa selamat,” ujar abah tersenyum.
Diam.
“Abah, Har serius. Kalau Reen nak teruskan, Har juga sama. Abah call ayah dia, tanya.”
Haji Manaf sebak, dia peluk Harris lama-lama.

Dia masih di bilik, termenung sambil merenung persalinan yang tergantung pada dinding.
“Kak Reen, ayah akak panggil.”
Dia bangun, membontoti langkah Nazifah. Gadis itu awal pagi sudah ke rumahnya. Bila dia sampai di ruang tamu, ayah dan ibunya diam di sofa.
“Kenapa, ayah?” Azreen duduk di sebelah Che Embun yang masih longlai. Dia ramas tangan ibu, berdoa dalam hati supaya ibunya kuat.
“Ustaz Salam. Dia tanya apa kamu setuju cadangan semalam. Kalau setuju, dia tunggu di dewan, kita buat majlis nikah di sana. Kalau tak, kita maklumkan pada semua, kita buat doa selamat.”
Telan liur, pandang ibu yang sugul. Ibu peluk dia. “Tak apalah Reen, jangan susah hati. Ni ayahnya, cakap dengan ustaz, kita buat doa selamat.”
Dia sebak, lalu geleng kepala. “Ibu, Reen tak pernah buat sesuatu yang boleh ibu dan ayah banggakan. Ibu dan ayah yang selalu tolong Reen selama ini. Ayah, kalau Harris mahu, Reen setuju.”
Airmata ibu jatuh, peluk dia erat-erat. Ya Allah…betulkah apa yang dia lakukan?

Longlai kakinya sewaktu keluar dari bilik itu. Dewan mulai dipenuhi sanak saudara. Ada yang tertanya-tanya apa yang terjadi. Dalam hatinya, dia berdoa supaya Izyan cepat pulang. Sekarang. Bunyi riuh buat dia toleh ke kanan. Keluarga Harris juga baru tiba. Harris, sepertinya juga dalam persalinan yang sama. Warna krim dan biru turquoise. Dari jauh mata mereka bertaut, pantas dia tundukkan wajah.
“Reen, mari kita duduk. Pengantin lelaki dah sampai,” ajak Siti Mariam di sebelahnya.
Kasihan dia lihat Azreen yang pucat walaupun dalam solekan tipis. Masih terasa sejuk tapak tangan itu dalam genggamannya. Siti Mariam senyum hiba. Dia pimpin Azreen yang masih gementar.
“Kak Reen, akak duduk di bantal sana. Ustaz Salam dah sampai.”
Dia pandang wajah Nazifah yang menguit dia supaya ke ruang khas untuk majlis akad nikah. Apa dia bermimpi, berjalan dalam angan yang panjang?
“Reen, Reen, nak aku pimpin?”
Dia geleng. Kakinya masih kuat. Langkahnya berhati-hati, lalu dia labuhkan duduk di bantal putih yang sudah tersedia. Harris sudah menyimpul duduk di hadapan sana, dikelelingi rakan dan saudara. Ustaz Salam senyum, pandang dia.
“Kita mulakan.”

Dengan sekali lafaz, dia sudah sah bergelar suami. Harris telan liur, termenung seketika. Telinganya masih mendengar khutbah nikah yang disampaikan tapi jiwanya menerawang entah ke mana.
“Harris, doa.”
Dia terkejut lalu tadahkan tangan, mendengar doa di baca dengan penuh hikmah dan hemah. Sempat dia menjeling Azreen yang tunduk di hujung sana. Wajah gadis itu masih muram, umpama dijatuhkan hukuman mati. Dia mahu ketawa, mahu menangis. Selesai doa dibaca, dia meraup muka. Ucapan tahniah mula berselang masuk dengan tepukan pada bahunya. Dia hanya mampu tersenyum, angguk saja.
“Apa kata kita sanding terus, nanti santap pengantin. Nanti taklah penat sangat. Bolehkan korang entertain kawan-kawan korang. Mesti banyak persoalan yang mahu dijawab tu,” cadang Judin. Jam hampir sebelas empat puluh lima pagi, elok sanding sekarang. Sementara tetamu tidak ramai lagi. Selepas Zuhur nanti pasti berpusu-pusu jemputan mula memenuhi undangan.
“Kena ke, Din?”
Judin angguk. “Buatlah sekejap. Ambil gambar kenangan. Photographer pun dah dibayar, rugi. Lagipun kau pakai baju ni pun nampak macam pengantin betul, bukan pengantin ganti.”
Haishhh…dia debik juga muka si Judin nanti.
“Jom, kita bedakkan kau sikit lagi.”
Beranilah bedakkan dia, dia belasah nanti.

“Assalamualaikum.  Mohon pinjamkan saya sedikit masa tuan-puan. Sila nikmati hidangan, terima kasih kerana sudi hadir.”
Azreen menadah telinga. Sementara solekannya dibaiki, dia dengar suara ayah dan juga abah berucap di pentas depan.
“Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa mempelainya bertukar, Alhamdulillah…sudah ditentukan olehNya. Untuk pengetahuan tuan-puan, pengantin hari ini ialah anak sulung saya iaitu Harris Zakuan dan juga anak sulung besan saya ini, Azreen Che Azhan. Pengantin asal ada sedikit musaqah dan masalah yang tak dapat diselesaikan, jadi oleh kerana itu, kami putuskan untuk satukan Harris dan Azreen. Mohon doa tuan-puan sekalian agar semuanya dipermudahkan oleh Allah. Sekarang, mohon jemput menikmati hidangan.”
Azreen gigit bibir. Bukan senang bagi ayah dan juga abah untuk bercakap tentang hal ini, namun sekurang-kurangnya ia lebih baik daripada buat doa selamat sahaja.
“Reen, jom…keluar. Sanding dan ambil gambar. Lepas tu santap pengantin.”
Dia angguk, bangun dan membontoti langkah Siti Mariam dan Nazifah. Kelakar bukan. Sepatutnya dia menjadi pengapit, sekarang dia pula yang jadi pengantinnya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa sebenarnya di sebalik peristiwa ini.
“Eh Anum, tu Cik Murai. Cik Murai yang kahwinlah, Num. Bukan cik mata bulat.”
Tergelak dia sebentar. Terlupa dia dengan anak-anak taska dan tadikanya yang dilatih Kak Huda untuk menjadi flower girls. Siapa lagi kalau bukan budak cilik berdua ni, Nadrah dan Anum. Mahu dia luku kepala si cilik berdua itu. Bila dia duduk di kerusi atas pelamin yang indah itu, Nadrah dan Anum masih ternganga memandangnya sambil memegang bunga. Sungguh dia mahu ketawa namun ditahannya. Harris pula kemudiannya di bawa duduk di sebelahnya. Makin ternganga dua budak itu.
“Ehhh…hensemnya putera Cik Murai, kalah papa kita, Nadrah.”
Nadrah angguk. “Samalah, papa kita pun tak hensem macam dia ni. Papa kita botak.”
Harris tergelak kecil. Mana datang dua gadis bunga ni, mulut tak insurans, main pakai cakap saja.
“Siapa ni?” soalnya pada Azreen yang juga mulai tersenyum-senyum menahan ketawa.
“Anak asuhan taska Reen.” Terkejut dia sebenarnya dengan soalan dari Harris. Dia ingatkan Harris tak kan berbicara dengan dia.
“Tuan putera ni tuan putera ke? Kenapa kahwin dengan Cik Murai kita?” soal Nadrah sambil toleh-toleh ke belakang.
Siti Mariam gigit bibir. “Nadrah, diamlah. Pandang depan.” Geram dia dengan gelagat budak berdua itu. Kenapalah Kak Huda pilih makhluk kecil ini?
“Eh, bukan Cikgu Siti cakap kalau tak tahu tanya ke? Kan, Anum kan?”
Harris sudah terhingguk bahu. Anak siapalah ni? Bijak sungguh.
“Bukan sekarang. Lusa dekat sekolah cikgu cerita,” balas Siti Mariam geram. Janganlah sampai tetamu di bawah dengar perbualan mereka.
“Kalau lusa lambatlah. Basilah cerita,” tukas Anum dengan kening berkerut.
Azreen pula yang tak menahan mahu tergelak. Dia pandang ummi dan ibu yang berkerut-kerut memandang mereka. Mesti mereka pelik lihat dia dan Harris macam orang hilang akal, tersenyum-senyum macam gembira separuh mati.
“Jaga Cik Murai kita tau. Cik Murai garang…kalau dia marah, dia lempang sampai lebam. Sakit…”
Ya Allah, memandai saja budak-budak ini sedapkan cerita.
“Tapi, Cik Murai kita cantik. Kaki dengan paha dia kan, putih sangat. Betulkan Num, alah…masa dia napping dengan kita kat taska, kain dia terselak kan. Kita yang betulkan kain dia kan, Num.”
“Ha ah, tidur macam batang kayu,” balas si Anum pula.
Aduiiii! Apa ni? Perlukah dia jadi kura-kura, tenggelamkan kepala dalam badan. Dia jeling Harris yang tergelak-gelak kecil dek berdua itu. Merah padam serasa mukanya.
“Diamlah,” marah Siti Mariam buntu. Tak kan dia mahu cubit budak berdua ni atas pentas. Haru biru jadinya. Dia sendiri pun mahu tergelak, Judin juga di sebelah Harris entah berapa kali buat-buat batuk, cover gelak.
“Kita lapar.”
“Anum pun.”
Azreen pusing ke tepi, buat-buat batuk. Ikut hatinya, mahu dia tergolek-golek ketawa. Nasib baik juga Nadrah dan Anum ada, bolehlah dia tersenyum di singgahsana.
“Okay, kita makan beradab dulu. Nanti kita makan bergambar.”
Dia lepaskan nafas, lega. Bila dia jeling Harris, lelaki itu turut menjelingnya. Errkkk, malunya dia.

Alhamdulillah, kenyang dia. Puding buih berkuah kastard tadi memang sedap. Ayam percik dan kerapu masak tiga rasa juga tak kurang hebatnya. Harris yang disebelah langsung dia tak hiraukan, dia makan saja. Yalah, pagi tadi makan sebiji pulut panggang dan segelas air suam, mana tak mencerut laparnya. Ibu beberapa kali berbisik minta dia perlahan dia turutkan juga. Dia pandang ibu, sengih.
“Reen lapar, sorrylah, bu.”
“Kalau ya pun, jangan laju sangat. Terlekat tulang ikan tu baru kamu terbeliak kat sini,” bisik Che Embun perlahan. Dia hairan tengok Azreen, atas pelamin tadi tersenyum-senyum. Gembira ke main-main? Masa makan tak pula dia hiraukan si suami di sebelah, sibuk menyuap saja.
“Yalah, yalah.” Dia ambil air sirap sejuk itu lalu diteguknya beberapa kali. Sejuknya, lega anak tekak.
“Sayang dah kenyang?”
Nasib baik dia tak terbelahak di situ, sempat dia tutup mulut. Dijelingnya Harris yang tersenyum menyindir. Elehhh…kau pun lapar, kan? Siap tambah nasi dua pinggan, menyibuk hal orang.
“Belum, darling. Sayang nak makan lagi ni…” balasnya dengan senyuman manis. Sayang? Berbulu telinga dia.
“Iya, baguslah. Jom kita meranggah.”
“Silakan, darling. Jangan malu-malu. Kedarah sajalah.”
Hajah Jawaher cubit paha Harris kuat-kuat. Dah nak mula perang ke budak berdua ni? Kalau ya pun tunggulah habis majlis.
“Sakitnya mi…”
“Tahu pun kamu. Cakap baik sikit tak boleh ke, ummi tonyoh mulut dengan sambal belacan ni, kamu nak?” soalnya perlahan sambil tersenyum-senyum.
Azreen juga menggeliat, pedih dicekik lengan dengan sepit ibunya. Pedih wooo…macam nak melalak. Berkerut dahi Che Embun menahan geram.
“Apa ni, bu? Pedih siut…”
“Siut mana, mulut tu biar cantik sikit perkataan yang keluar. Jangan sampai ibu cilikan mulut kamu, Reen.”
Siti Mariam dan Che Azhan terbatuk-batuk menahan tawa. Ketawalah, ketawa. Sakit hatinya siapa yang tahu.

Terkial-kial dia. Yalah, encik photographer ni macam-macam pose disuruhnya. Dia jeling Harris yang sudah merah padam wajahnya.
“Nak pegang tangan pun takut ke?”
Azreen toleh. Datang lagi budak kecil berdua ini. Ada dia ikat pada tiang pelamin nanti, menyibuk saja.
“Kan, Anum, kan? Dah kahwin, pegang sajalah. Lagipun ambik gambar je pun. Itupun malu ke?”
Kali ini Harris pula yang tersenyum-senyum. Mana dapat dua budak cilik ni? Waktu bersanding tadi pun hampir dia mahu tergelak di atas pelamin. Mulut macam itik, pot pet, pot pet.
“Cik Murai, peganglah tangan tu…senyum-senyum,” marah Nadrah dengun kerutan. Yang si encik jurugambar pula tersengih-sengih mendengar arahan itu.
“Entahnya. Buatlah macam papa ngan mama kita. Peluk sana sini.”
“Oitt budak-budak, tu…papa mama korang dah nak balik, pergi main jauh-jauh, belasah korang karang,” marah Siti Mariam dengan tangan di pinggang. Mulut tu memang tak ada fullstop, menceceh saja kerjanya.
Nadrah dan Anum cebikkan bibir lalu berlari bak lipas kudung. Ketawa Siti Mariam dan Huda dibuatnya.
“Reen, aku dan Kak Huda balik dulu ya.”
Cepat-cepat dia turun ke bawah, peluk mereka berdua erat-erat. “Terima kasih tolong Reen. Terima kasih sangat-sangat.” Sebaknya mula datang. Terasa mahu menangis namun dia tahu dia perlu kuat.
“Ishhh…apa muka macam gitu? Jangan nangislah, buat malu saja.”
Dia senyum, genggam erat tangan dua sahabat itu.
“Ni, kami doakan kau dan encik suami berbahagia. Cubalah kenal dia, dia hensem apa,” usik Huda.
Dia geleng. “Doakan Reen selamat dunia dan akhirat sudah cukup, Kak Huda. Jangan berharap untuk arus bahagia, dia sudah ada yang punya, kak…”
Huda senyum hiba. “Allah lebih mengetahui, Reen. Berikan kepercayaan kepada Dia, Inshaa Allah, ada hikmahnya.”
Dia angguk, lepaskan pergi dua sahabatnya pulang, tinggalkan dia di sini. Bila dia kembali ke sisi Harris, dia rendahkan wajah.
“Boleh tak awak senyum untuk bergambar?”
Azreen angkat wajah, senyum. Senyum yang dibuat-buat. Kau mahu aku senyum, boleh saja.
“Har! Phone kau ni dari tadi berbunyi,” maklum Judin. Dia hulurkan telefon tangan untuk kepada Harris.
Dia sapu skrin telefon.
Zaza.
Dia toleh, pandang Azreen yang tegak berdiri menunggu pose yang seterusnya. Biarlah gadis itu menunggu, Zaza perlu dia tenangkan. Sekalil lagi telefon itu bergegar. Dia cepat-cepat berlari, jauh dari pendengaran yang lain.
“Hai babe, you okay?”
Zaza tergelak di hujung corong. “I’m okay. Macam mana majlis you, dah siap? Seronok jadi pengantin segera?”
“Kenapa, you cemburu?” soalnya mahu tahu.
Pleaselah…setakat cikgu tadika, tak masuk list I sayang. Lainlah kalau you kahwin dengan artis ke, model ke, I memang tak izinkan. Ini cikgu tadika, hahahaha…buang masa saja. And Harris, I harap you kotakan janji. Selesai semua, ceraikan dia.”
Kalaulah Zaza dapat lihat bagaimana rupa Azreen, dia fikir pasti gadis itu sedikit tergugat. Harris senyum sendiri. Kenapa? Dia sendiri sudah tergugatkah?
“Har, are you listening?”
Yes, I am.”
“Habis tu you boleh tak buat apa yang I cakap tadi?”
“Apa?”
Terdengar keluhan pendek dari Zaza. “Divorce her.”
Ohhh…pasal itu. “Okay.”
“Kalau okay, bagus. Okaylah, nanti I balik Malaysa, kita jumpa tau. Give me a kiss.”
Dia ketawa. “Nantilah. Take care of yourself, babe. Jangan kerja lebih sangat, jangan lupa makan.”
Zaza tergelak kecil, selepas itu matikan talian. Bahunya ditepuk dari belakang, terkejut seketika dia. Bila dia toleh, ayah mertuanya ada dibelakang.
“Harris, ayah nak ucapkan terima kasih atas jasa baik Harris untuk semuanya. Kalau tak kerana kesanggupan Harris, mungkin kami semua menanggung malu. Azreen tu anak yang baik, Harris jagalah dia baik-baik selama mana Harris mampu.”
Terdiam seketika, tenung wajah Che Azhan yang tersenyum dalam hiba. “Kami pun sama. Har buat semua ni untuk kedua keluarga kita. Tak apalah, nanti Har bincang dengan Reen. Har tak sempurna, pakcik.”
“Ayah. Har boleh panggil ayah.”
Dia telan liur. Aduh mak…dia belum bersedia. Harris senyum, gosok tengkuk perlahan-lahan.
“Dan…seandainya jodoh Har dengan Azreen tak panjang, ayah redha.”
Terpempan dia dengan kata-kata itu, serasa panas membahang wajahnya disimbah segan. “Maafkan Har.”
Che Azhan senyum, tepuk bahu menantunya itu. Dia tahu, Azreen sudah ceritakan padanya. Harris sudah ada teman hati yang didambakan. Kalau benar sudah tersurat oleh takdir, dia sebagai ayah pasrah dengan ketentuan. Namun, rasa bersalah tetap ada kerana baginya Azreen telah berkorban demi maruah keluarga mereka. Entah apa yang difikirkan Izyan sehingga sanggup buat keputusan melulu. Harris juga sama. Harris rela walaupun sudah punya pilihan hati. Kesanggupan itu buat hatinya disentuh sayu, juga kesal.
“Salah tu. Maafkan kami kerana susahkan Har, juga Reen. Maafkan kami.”

Diam. Hatinya mula bergendang sayu apabila menoleh ke belakang. Lambaian ayah dan ibu sewaktu kereta bergerak buat dia kian sebak. Benarkah apa ayang sedang berlaku ini? Dia sudah bergelar isteri, isteri kepa seorang lelaki. Harris Zakuan. Azreen pejamkan mata, biarkan hati menyanyi lagi sedih.