Sunday 5 March 2017

Cik Reen dan En. Ngok Ngek Bab 3 sudahhh adaa...

BAB TIGA (Happy reading yoo...)


Mentari yang terik memancar di awal pagi buat tekaknya dahaga. Dewan itu sudah lengkap dengan hiasan. Tunggu bunga-bungaan segar untuk dihantar awal pagi lusa nanti. Izyan dilihatnya sibuk ke sana-sini, entah apa lagi yang belum selesai. Hari ini mungkin dia langsung tidak ke pejabat. Tidak mengapalah, setiap taska dan tadikanya sudah ada pengurus sendiri, cuma selaku pengetua dia perlu ambil tahu apa yang perlu. Sunquick sejuk dengan sandwich telur masih banyak tersusun. Begitu juga dengan pulut manis air tangan ibu.
“Kak Reen, Yan dengan Ifah perlu pergi spa dulu. Boleh Kak Reen tengokkan apa yang patut. Yan rasa semua dah clear.
“Baju pakai ada kat rumah ke kau dah masuk bilik persalinan kat sini?”
“Kat rumah. Pagi esok kita pakai kat sini. Luq Andam pun nak siapkan Yan kat sini. Akak pun kena touch up juga tau,” usiknya.
Azreen cebikkan bibir. “Kau jangan nak memandai. Kau tahu kan Yan, muka akak ni bedak bayi saja yang boleh sentuh.”
“Alaaa…esok saja, please…”
Mata kebil-kebil, bulat pandang dia. Apa, si Yan ingat mata dia tu macam mata si Puss in Boots ke? Cucuk baru jadi Kassim Selamat. Cehhh…
“Yalah, yalah. Pergilah cepat, nanti petang akak pun nak try mandi lulur. Berdaki kulit akak kau punya pasal Yan,” bebelnya separuh marah.
Izyan ketawa, peluk Azreen kuat-kuat. “Okay, Yan pergi dulu tau. Muah!”
Muah apa muah, mual ada la…bueekkk!

Sayup ditelinganya bunyi nada dering telefon. Telefon diakah?
“Kak, akak punya phone tu,” maklum gadis itu sambil masukkan beberapa titik minyak sari limau ke dalam air.
“Boleh tolong ambilkan tak?” pintanya. Iyalah, dia sedang enak berendam, ada pula panggilan masuk. Sempat dia lihat jam pada dinding, hampir pukul empat petang. Bila telefon bimbit itu dihulur, dia sapukan skrin.
“Ya, Ifah…waalaikumusslam.”
“Yan hilang, Kak Reen.” Terketar-ketar suara Nazifah di hujung sana.
Hilang? Bukan mereka berdua balik rumah ke tadi? “Ifah, cuba bawa bertenang. Yan hilang? Bukan dia dengan Ifah balik rumah kami tengahari tadi?”
“Betul. Memang lepas balik dari spa tengahari tadi, kami lunch kat rumah akak. Lepas solat Zuhur, Yan lelap sekejap, Ifah pun sama. Cuma Ifah perasan, masa tu ada call masuk. Yan keluar, sampai sekarang tak balik-balik, kak.”
Ohhh…bukan hilang tu. Pergi dating dengan Iqram kot. Mengada-ngada sungguh. Esok dah nak nikah pun sibuk nak jumpa. Nanti hari-hari jumpa lepas ni barulah muntah hijau. Rasakan.
“Ada tu. Hilang apanya. Kau ni cemas sangat.”
“Bukan kak, hati saya rasa lain macam. Sebab Iqram pun call saya tanya mana Yan. Dia tanya Yan pergi mana, jumpa siapa.”
Aik? Biar betul. Habis tu adiknya keluar jumpa siapa kalau bukan jumpa tunangnya, Iqram? Termenung dia seketika. “Macam ni, kau call Yan. Cuba sampai dapat. Biar Kak Reen call Q. Ada tu, sengaja nak prank kita ni kot.”
Bunyi Nazifah hela nafas buat dia tersenyum. Bagus juga si Ifah, ambil berat pasal Izyan. Dari kecil bersahabat, sampai sekarang mereka berdua memang rapat.
“Okay, kak. Nanti kalau ada apa-apa, Ifah beritahu. Sorry kak, kalut je. Akak dekat spa lagi ke?”
“Tak apa. Iya, habis semua ni, jumpa akak kejap. Dalam sejam lagi boleh. Kalau Yan dah balik, ajak dia sekali. Jumpa kat The Cucur ya.”
“Okay, kak. Asslamualaikum.” Talian itu dimatikan. Dia letakkan telefon di meja sebelah tab mandi lalu pejamkan mata. Lelap sekejap pun jadi ni.

Teh halia dengan tepung bungkus itu memang enak. Penuh juga tempat ini dengan pengunjung untuk minum petang. Pulut panggang Terengganu juga telah habis bila dia sampai tadi, melepas.
“Kak Reen.”
Dia dongak. Wajah keruh Nazifah buat dia tersenyum. “Tak payah kerut-kerut sangat-sangat. Dia tak angkat phone?”
Nazifah duduk, geleng kecil.
“Tak apalah, lapar nanti dia baliklah. Biar akak ceramahkan dia malam ni. Nak makan apa, order. Kak Reen belanja hari ni.”
Barulah bercahaya mata gadis itu.
Telefon bimbitnya tiba-tiba menjerit, Izyan, panjang umur.
“Kau kat mana, Yan? Kesian Ifah cari kau merata-riti.”
Tiada jawapan, hanya bunyi suara esak tangis di hujung talian. Azreen dekatkan telingan sehampir mungkin. Dah kenapa pula?
“Kau menangis ke ni, Yan? Kau kat mana, apahal ni?”
“Ad…ada kat parking kereta kat luar…huk…huk…”
“Depan The Cucur ni?”
“Huk…huk…ya.”
Aduhhh…apa yang tak kena? Si Izyan ni telefon hang pun dia menangis. Hati kecil. Langsung tak boleh silap, melalaklah. Sudah termaktub sejak azali kot sifatnya itu.
“Kau nangis dulu. Nanti dah siap, datang sini, makan lepas tu cerita semuanya.”
Talian itu dimatikan Izyan. Azreen letakkan telefon di meja.
“Yan?”
Dia angguk. “Makan. Dia ada dalam kereta kat luar. Tengah menangis tu. Nanti dia siap melalak, aku suruh dia masuk. Ada la yang tak kena tu,” bebelnya geram. Susah kalau mahu melayan sangat emosi membuak Izyan. Dia kenal adiknya siapa. Memang begitulah perangainya adiknya dari kecil. Silap minum susu lembu banyak sangat ke apa.
Nazifah urut dada. “Baguslah kalau macam tu. Ifah bimbang dia gaduh dengan Q aje, kak. Mati kita. Dibuatnya merajuk aras tinggi, mahu bengkak hati mahu memujuk.”
“Dah, dah jangan risau. Tak ada apa-apa tu.”

Memang dia risau. Sekarang sudah jam sembilan malam, batang hidung Izyan pun belum melintas. Bila dia telefon tadi, Izyan cakap nanti dia balik, dia ada berdekatan, mahu tenangkan fikiran katanya. Ibu sudah berapa kali keluar masuk ke biliknya, cemas.
“Reen, cuba kamu call lagi sekali. Mana dia pergi ni, Reen. Kita report polislah.”
Dia tarik ibunya ke birai katil, dudukkan ibu dengan lembut. “Bu, dia dah cakap tadi, nanti dia balik. Inshaa Allah dia balik. Ibu tolong bertenang ya,” pujuknya berhati-hati. Ayah sudah keluar, pusing-pusing di luar, mana tahu bertembung dengan Izyan. Bunyi dua buah kereta masuk ke perkarangan rumah buat kedua mereka berkejar ke pintu utama. Wajah lega ayah dan wajah muram Izyan melangkah masuk. Cepat-cepat Che Embun peluk Izyan.
“Kamu ke mana, Yan? Apa hal dengan kamu ni? Ibu risau, Yan…”
Izyan membisu, cium pipi Che Embun lama-lama. “Yan masuk tidur dulu. Maafkan Yan.” Habis bertutur, dia melangkah longlai. Che Embun mahu menahan namun Azreen tarik tangan ibunya.
“Bagi dia masa bersendirian, bu. Biar dia rehat dulu. Pagi nanti eloklah dia.”
Che Embun duduk di kerusi, istighfar lama-lama. “Nasib baik nenek dengan aki kamu sampai esok, kalau tak mahu kena bambu adik kamu.” Menitis juga airmatanya. Yalah, dia bimbang. Izyan anak gadis bongsunya, kalau terjadi apa-apa, mati dia.
“Dahlah, awak rehat, Embun. Esok sibuk, mak dengan ayah pun sampai esok. Inshaa Allah, semuanya akan baik-baik saja.”

Alhamdulillah, pagi mula mendatang. Perlahan-lahan sang suria menjamah bumi. Selesai bersarapan, dia ke stesen bas. Pintu bilik Izyan masih terkunci rapat. Sampai di rumah kereta Myvi Izyan sudah tiada. Ke dewan, takpun jumpa Ifah agaknya.
“Nek, orang suruh naik kapal terbang, dia nak naik bas. Kesian atuk, sakit pinggang,” usiknya nakal.
Hajah Che Ah pulas telinga cucunya itu. Dijelingnya Haji Saad yang lelap di sofa. “Tak kuasa aku nak panjat benda alah tu. Dibuatnya jatuh terhempas, mana kau nak cari aku. Atuk kamu tu mengada-ngada. Pergi Mekah dua tiga kali setahun tak puas lagi ke?”
Azreen ketawa. Inilah satu-satunya atuk dan nenek. Atuk dan nenek sebelah ayah sudah lama tiada, waktu dia kecil lagi. Haji Saad, atuknya rakan kongsi sebuah syarikat umrah dan haji di Terengganu. Sesekali kali dia rajin, dia ikut rombongan umrah atau haji, jadi mutawif. Kalau dia malas, dia goyang kaki dalam pejabatnya.
“Naik baslah seronok, boleh tengok pemandangan.”
“Pemandangan apanya Che Ah oiii…malam-malam buta. Hantu adalah…”
Kahkahkah…dia gelak. Atuk, atuk. Nasib baik nenek cebik, kalau nenek debik, haru.
“Ni, jom masuk bilik. Reen dah kemas sebulan lepas tau, nak kasi nenek tidur sampai tak mahu balik.”
Hajah Che Ah senyum. Bagus betul cucunya ini, kembang hatinya. “Patutnya kamu yang nikah dulu, Reen. Ini Yan yang macam budak sekolah tu. Perangai pun tak berapa masak lagi, runsing nenek. Mana dia?”
“Pergi dewan rasanya. Nanti dia baliklah tu. Nenek masuk rehat. Kat dapur ada mak tanakkan nasi dagang, tapi gulai udanglah.”
“Nenek nak solat dhuha sekejap. Nanti nenek keluar makan. Ni Reen, bancuhkan kopi ‘o’ pekat untuk atuk kamu. Mata dia saja pejam, perut dia berkeroncong. Bila bau kopi nanti, tahulah dia bangun.”

Banglo itu mula riuh dengan sanak-saudara. Ada yang datang bertanya khabar, ada juga yang datang membawa buah tangan, hadiah unyuk pengantin. Malas mahu bawa ke dewan esok, senang hantar sekarang. Ibu dan mak ngahnya sibuk di dapur. Begitu juga mak usu dan yang lain. Tengahari tadi mereka buat solat hajat selepas Zuhur. Panggil saudara mara dan jiran sekeliling saja. Menunya singgang daging, bayam tumis air, ikan panggang dan gulai kambing. Ulam dan budu juga tak ketinggalan. Selesai semuanya, ramai yang beransur pulang dahulu. Bukan ada kerja mahu dibuatpun, semuanya tempah katering di dewan esok hari. Bunga telur dan cenderahati untuk tetamu juga sudah siap dihantar ke dewan tengahari tadi.
“Yan mana, Reen? Lepas solat hajat tadi dia keluar lagi. Pergi dewan pula ke?” tanya ibunya separuh runsing. Izyan berbeza hari ini. Tidak banyak cakap. Sekadar senyum dan angguk dengan saudara mara. Makan pun sejemput dua. Itupun memaksa diri.
“Eh, bukan dia ada dalam bilik ke tadi, bu? Jap, Reen jenguk dia.” Selesai bersihkan rumah, dia baring sekejap di bilik. Tidak pula dia dengar Izyan keluar. Pintu bilik Izyan diketuk beberapa kali.
Sunyi.
Perlahan dia pulaskan tombol, tak berkunci. “Yan?”
Sepi. Bilik Izyan yang berhias cantik dengan tema warna krim itu nampak tersusun. Semua teratur. Pakaian bersanding juga masih tersangkut di dinding. Azreen melangkah masuk. Entah kenapa hatinya berdentum-dentam. Dia tarik pintu gelangsar almari milik Izyan perlahan-lahan. Beg pakaian warna emas milik Izyan sudah tiada. Juga beberapa pakaian yang biasa tergantung, juga tampak sedikit kosong. Azreen gigit bibir. Izyan hantar dobi mungkin. Dia Tarik laci, dompet Izyan juga tiada, begitu juga dengan pengecas telefon bimbit. Azreen pegang dahi.
‘Bertenang, Reen. Yan simpan dalam kereta. Yan ada. Dia ada di dewan.’ Dia usap dada, pujuk dirinya sendiri. Dia kena bertenang, kalau tidak kecoh saja, benda kecil, bila kecoh lain jadinya. Dia duduk di katil, pandang sekeliling.
“Ada adik kamu, Reen?” soal ibu tibu-tiba dari muka pintu. Terjenguk-jenguk Che Embun. Risaunya kian membuak.
“Dia ke dewan, bu. Nanti dia balik. Dia tengok pelamin kot. Ibu tahu-tahu sajalah perangai dia, mesti nak perfect. Kejap lagi Reen pergi sana. Lagipun Reen nak pergi taska kejap,” tuturnya yakin. Dia tidak mahu ibu runsing. Ibu sudah penat.
“Kalau macam tu, tak apalah. Nanti suruh dia balik, rehat. Esok hari besar dia, biar ada tenaga, ada seri. Kalau asyik keluar sana sini, boleh pengsan dia esok. Kamu pun Reen, selesai urusan kamu, balik terus. Malam ni semua makan kat rumah. Nenek yang masak.”
Dia angkat ibu, sengih tanda bagus. Biarpun tatkala itu, hatinya dicengkam risau.

Sampai di hadapan dewan, dia terus lompat keluar. Ya Allah, mintalah Yan ada di sini. Hatinya sudah bergegar-gegar dari tadi. Kelibat Siti Mariam dan Nazifah yang datang menolong di dalam dewan buat hatinya sedikit lega. Izyan pasti ada di sini.
“Mana Yan? Kat bilik belakang ke?” soalnya dengan langkah yang laju.
Dua sahabatnya itu saling berpandangan, geleng kepala. “Mana ada. Dari tadi kami berdua saja. Bukan dia ada kat rumah lepas makan-makan tadi?” soal Nazifah kehairanan.
Azreen garu kepala. “Dia keluar. Kereta dia pun tak ada. Betul dia tak datang sini, Ti?”
“Ya Allah, betul. Takkan kami nak main-main pula, Reen. Dia tak datang sini. Kalau ada pun pagi tadi saja.” Serius kali ini jawapan Siti Mariam.
Terduduk dia di kerusi. Dia keluarkan telefon bimbit, buat panggilan entah yang ke berapa. Masih tidak diangkat. Izyan memang melampau. Hampir saja dia hempaskan telefon itu ke lantai, namun dia sempat beristighfar.
“Korang tunggu sini kejap. Kalau dia datang, suruh dia balik. Segera. Faham?”
Dua-duanya angguk, macam askar terima arahan. Belum sempat dia bangun, mesej whatappsnya berdenting beberapa kali. Azreen sapu skrin.
Kak, Yan dah tekad. Yan tak nak nikah dengan jantan sial tu. Maafkan Yan. Izinkan Yan tenangkan diri. Jangan cari Yan. Bagitau ibu, ayah…Yan mintak ampun. Bila Yan sedia nak balik. Yan balik.
Terduduk dia kembali di kerusi. Mesej whatappsnya masuk bertalu-talu.
Kenapa Yan buat begini, akak tanya Q. Dia memang tak guna. Pergi mampus dengan dia!
Azreen urut kepala, Tarik nafas yang mulai tersekat-sekat. Oksigen, dia perlukan oksigen.
Yan jumpa Irma hari tu. Irma dah pregnant, kak. Dia sumpah yang anak dalam kandungannya tu anak Q. Sampai hati Q buat Yan macam ni, kak…Yan takkan maafkan dia sampai mati, kak!
Kali ini Azreen terjelupuk di lantai, mengongoi dan mengongoi lagi.

Sugul. Muram. Itu sahaja riak wajah insan-insan dihadapannya. Dia masih kehilangan kata-kata. Silapnya. Patutnya dia lebih peka dengan apa yang berlaku. Dia yang cuai, lalai memberi perhatian kepada satu-satunya adik yang disayangi. Andainya dia bersungguh-sungguh atau luangkan sedikit masa bertanya atau duduk bersama Izyan, perkara ini pasti tidak akan berlaku. Dia kesal.
“Keluarga Iqram dah sampai,” maklum ayah lemah.
Azreen ketap bibir. Tidak sanggup rasanya dia memandang wajah ibu yang masih bersisa tangisan. Nenek dan atuk juga banyak beristighfar. Pesan ayah, jangan diberitahu sanak-saudara yang lain dahulu, mungkin malam nanti atau pagi esok, Izyan pulang.
Che Azhan sambut salam Haji Manaf sekeluarga. Hajah Jawaher serta Harris juga turut sama hadir. Mana Iqram?
“Iqram mana, makcik?” soalnya pantas. Mahu saja dia debik-debik lelaki itu. Betulkah apa yang diberitahu Izyan, Iqram buntingkan anak dara orang?
“Q hilang. Macam Yan juga. Baju pakainya ada yang kurang. Dia tinggalkan nota untuk kami,” balas Harris mendatar. Dia sendiri pun bingung, geram. Apa sudah jadi? Apa kena dengan Si Iqram dan Izyan, sudah hilang waras? Dia hulurkan nota itu pada Che Azhan.
Q mohon maaf. Q kena cari Yan. Inshaa Allah Q akan selesaikan masalah kami sebaik mungkin. Ampunkan Q. Doakan yang terbaik untuk kami.
“Ya Allah…apa masalahnya? Apa besar sangat masalah ini sampai tak boleh dibawa berbincang?” keluh Che Azhan kesal. Dia benar-benar buntu.
“Sebenarnya, Yan ada cakap kenapa dia buat semua ni dalam whatapps dia. Tapi Reen tak pasti, mana benar mana yang tidak.”
Semua mata pandang dia. Dia telan liur.
“Yan cakap apa, Reen?” soal Hajah Jawaher dalam debar.
“Maafkan Reen, makcik. Reen tak tahu apa yang Reen nak sebut ni benda betul atau tak…”
Wanita itu angguk. “Tak mengapa. Benar atau tidak, kita akan pastikan nanti. Apa yang Yan cakap, Reen?”
Telan liur lagi. “Yan beritahu yang Q dah buntingkan anak dara orang…perempuan tu sendiri yang jumpa Yan dan mengaku, makcik…”
“Astarghfirullahalazim…” Hajah Jawaher longlai, tersandar pada sofa.
“Waher, Waher…mengucap. Ingat Allah…mengucap Waher,” arah Haji Manaf lembut. Pucat putih wajah isterinya.
Azreen pantas bangun ke dapur, ambil segelas air masak lalu dihulurkan pada Haji Manaf. Haji Manaf suakan pada bibir isterinya perlahan-lahan.
“Waher, bawa bertenang. Embun rasa Q tak buat semua tu. Ini salah faham. Embun percaya Q bukan budak macam tu…” pujuk Che Embun. Dia juga pada mulanya terkejut besar bila dimaklumkan Azreen sebelum ini, namun sekarang dia lebih tenang. Dia kenal keluarga bakal besannya, Iqram terutamanya. Iqram anak yang baik, bukan lelaki jongos macam yang dituduh.
“Har rasa Har tahu siapa yang Reen maksudkan. Irma, kan?” soal Harris serius. Hatinya membara. Memang cari nahas betul betina itu.
Bulat mata Azreen, dia angguk. “Q ada cakap apa-apa pada Harris ke?”
Angguk. “Bukan hari tu mereka bergaduh pasal gambar yang Irma hantar dulu?”
Sekali lagi Azreen angguk. Beberapa pasang mata yang lain semua pandang mereka. Hajah Jawaher kembali buka mata. “Siapa budak Irma ni, Har? Cakap.”
“Betina sundal satu kolej dengan Q dulu. Q pernah cakap yang Irma suka dengan dia, selalu cari peluang untuk pikat dia, tapi Q tolak, ummi. Kata Q, Irma perempuan ‘mudah’. Boleh diangkut sesiapa ke sana sini asalkan berduit, ada rupa.”
Mengucap panjang kesemua mereka.
“Habis tu, betul ke adik kamu buntingkan budak perempuan tu, Har?” soal umminya dalam sebak.
“Reen rasa tak, makcik. Q bukan macam tu.”
“Kalau bukan, kenapa Yan boleh lari, merajuk sampai begitu sekali. Kalau bukan kenapa boleh jadi macam ni?” Sebaknya tidak tertahan. Airmatanya mula meleleh-leleh. Che Embun peluk dia kuat-kuat, minta dia bertenang.
“Beberapa hari lepas Yan ada keluar jumpa seseorang. Reen rasa Irma yang mahu jumpa dia. Mesti ada sesuatu yang Irma buat sampaikan Yan percaya apa yang dia cakap.”
Beberapa kepala mengangguk.
“Macam ni, biar Har dengan Reen pergi rumah Irma. Kalau tak silap, kawan-kawan Q yang satu kolej tahu kat mana rumah betina tu. Biar Har campak dia dalam lokap.”
Haji Manaf senyum tawar. Harris jangan dibuat main, darah cepat panas kalau ada perkara tak betul berlaku.
“Kamu nak pergi berdua?” tanya nenek serius. Bukan apa, nanti yang berdua ni pula hilang, lagi cari nahas.
“Reen minta Ifah temankan kot.”
“Har ajak Judin, kawan baik Q.”
Semua angguk.
“Kalau macam tu, kamu pergi dulu. Ayah nak telefon Ustaz Salam, minta pendapat dia. Nanti cepat balik ke sini.”

Berdesup kereta itu membelah jalan. Nazifah pegang tangannya erat. Azreen buang pandangan ke luar tingkap, mencari kepastian dalam selirat persoalan.
“Ifah rasa Yan ada dekat-dekat sini, kak. Kita sama-sama berdoa, kak.”
Dia angguk beberapa kali namun tidak mampu bercakap.” Sewaktu sampai di rumah pangsa keluarga Irma di Taman Melati, wajah tua ibu Irma juga kelihatan sugul. Kata ibunya, Irma sudah lama pindah ke taman perumahan di Ampang. Dia sendiri tidak berjumpa Irma hampir berbulan lamanya. Nasib baik alamat tempat tinggal Irma masih dalam simpanannya juga.
“Inilah perumahan tu. Nombor dua puluh tiga, Lorong Bakawali,” kata Judin sambil terjenguk-jenguk keluar. Kereta itu perlahan meluncur sambil mereka jenguk keluar.
“Berhenti, Harris. Ni, ni rumahnya.”
Nasib baik brek itu tidak ditekan kuat, kalau tidak mahu semua tergolek. Rumah teres kuning air dengan sebuah kereta Kancil itu terpasang lampunya. Azreen kepal penumbuk, istighfar dalam hati.
“Macam ni, kita datang cara baik. Kita cakap pun baik-baik, Inshaa Allah hal ni boleh selesai kalau betul caranya,” ucap Judin yakin. Dia tepuk bahu Harris. Dia sudah lama kenal abang Iqram, dia faham perangainya.
“Ifah, kau bagi salam.”
Nazifah ketuk pintu, laungkan salam sedikit kuat. Pintu itu terbuka luas. Seorang gadis manis dengan rambut kerinting panjang tercegat dimuka pintu. Hanya berseluar pendek dan berbaju t-shirt. Perutnya nampak sedikit buncit.
“Irma?” soal Nazifah dengan suara tertahan-tahan.
“Ya. Aku Irma. Kau siapa? Apahal ramai-ramai datang rumah aku ni?” soalnya kembali dengan nada garang. Bila dia pandang Harris, dia tutup pintu namun tangan Harris lebih pantas.
“Kalau kau tak nak aku campak kau dalam lokap malam ni jugak, baik kau buka mulut, talk!”
Seorang lelaki muda tidak berbaju dan berseluar pendek keluar dari bilik depan, masih terpisat-pisat dalam kantuk.
“Kau siapa?!” jerkah Harris geram.
Pemuda itu telan liur, cepat-cepat sarung baju yang tersangkut pada kerusi. “Azlan, tunang Irma.”
Dia lihat wajah Irma masam kelat.
“Habis tu, yang kau mengaku kau mengandungkan anak adik aku tu macam mana pulak? Kau cakap baik-baik, betina. Kalau tak malam ni aku bawak kau pergi balai, lepas tu pergi hospital, korek rahim kau, ambik DNA bayi dalam perut kau tau, kau nak!?”
Ugutan Harris mula membawa kesan. Wajah kelat gadis itu mula bertukar pucat. “Mana boleh, kau ingat kau siapa nak buat aku macam tu?”
“Judin, telefon polis sekarang. Kita angkut semua masuk balai, lepas tu kita angkut betina ni pergi hospital, buat DNA testing.”
Judin sapu skrin telefon.
“Jangan!”
Semua mata toleh Irma yang mula kalut mahu menangis. “Tolong jangan campak aku dalam lokap, aku minta maaf…tolong…”
Terjelepuk gadis itu dimuka pintu. Azlan yang masih berada di sisinya juga kelihatan muram.
“Habis tu, kenapa kau buat semua tu? Kau tahu tak kau dah munsahkan hidup adik aku?” soal Azreen geram. Kalau tidak kerana dia sabar, dia tempeleng saja perempuan dihadapannya ini.
“Aku…aku perlu duit. Aku tipu Q untuk minta duit, tapi dia tak percaya…”
“Q pernah sentuh kau ke, betina?” soal Harris geram.
Irma geleng. “Pernah aku perangkap dia di hotel tapi ubat tidur tu kuat kesannya. Aku cuma ambil gambar dan duit dia saja,” akuinya perlahan. Azlan diam, termenung tanpa kata.
“Anak yang dia kandung sekarang ni anak aku.”
Semua mata pandang Azlan.
“Aku sendiri tak tahu apa yang Irma buat. Ma, apa ni? Kenapa Ma buat macam ni? Bukankah abang dah janji, minggu depan kita nikah, kita mula hidup baru…” lirih suara lelaki itu bertanya.
Irma ketap bibir, tunduk pandang lantai.
“Aku rasa semua persoalan dah terjawab. Kau, sekali lagi kau buat apa yang kau buat, aku takkan agak-agak campak kau masuk lokap. Bersyukurlah ada lelaki baik macam yang mahu buat kau isteri, faham?!”
Gadis itu sudah tersedu-sedu menitiskan airmata. Azlan sudah hilang di dalam bilik.
“Jom balik, kita kena maklumkan pada semua.”
Sewaktu kereta mereka bergerak, Azreen lihat Azlan juga mengundurkan kereta meninggalkan Irma yang mengejar kereta itu sambil meraung. Dia pejam mata, tak sanggup melihat. Yan, kalaulah kau tahu kebenarannya.

Sudah hampir sepuluh malam. Selesai makan malam, dia minta Judin hantarkan Nazifah pulang. Keluarga Iqram dan Ustaz Salam masih diruang tamu menghirup kopi panas. Mereka kembali duduk, cuba mencari jalan penyelesaian. Seorang lelaki bersongkok juga ada bersama di ruang itu.
“Begitukah ceritanya…Allah…macam-macam. Pening saya dibuatnya.” Hajah Jawaher termenung di kerusi. Che Embun ada setia disebelahnya, turut geleng-geleng kepala.
“Macam mana tuan haji, kalau mereka tak balik-balik sampai esok, apa kita nak buat. Nak batalkan ke?” soal Che Azhan serba salah. Orang lain yang petik bunga, orang lain yang kena duri yang ditinggalkam.
“Kalau batalkan jadi macam mana, boleh dapat balik ke semua bayaran, terutamanya catering dan dewan?” soal Ustaz Salam ingin tahu.
Haji Manaf dan Che Azhan sama-sama geleng kepala. Memang sudah termaktub dalam perjanjian, kalau seminggu sebelum hari langsung boleh dapat kembali, itupun tigapuluh peratus deposit tetap burn.
“Boleh saya bagi satu cadangan?”
Semua mata menoleh ke arah lelaki bersongkok di sebelah Ustaz Salam.
“Andainya, pagi esok kedua-dua bakal pengantin tidak pulang, kita gantikan dengan yang lain. Daripada membazir dan habiskan duit macam tu saja, apa kata kita langsungkan juga. Haji Manaf dan Che Azhan teruskan berbesan, sampai akhirnya.”
“Maksud Ustaz Ayub?” soal Che Embun keliru. Hajah Jawaher disebelah ternganga-nganga.
“Masing-masing masih ada seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, kan? Yang kat depan saya ni, anak-anak tuan puan, kan?” soal Ustaz Ayub tersenyum.
Buntang mata Azreen. Dia pandang kiri kanan, telan liur.
“Saya?” soalnya gementar. Dia pandang wajah nenek yang tiba-tiba tersenyum. Ohhh jangan…nenek pun nampak semacam saja. Janganlah ustaz itu cakap apa yang dia sedang fikirkan. Tolong jangan.
“Ya, saudarilah. Kakak pengantin, kan?”
Dia angguk. Ya, memang dia kakak pengantin, itu kenyataannya.
“Saudara Harris, bukan? Awak abang pengantin lelaki, ya?”
Dia dapat lihat Harris juga telan liur, muka resah macam ayam berak kapur. Harris angguk tapi lambat-lambat.
“Maksud ustaz, kalau Izyan dan Iqram tak balik juga esok, kita nikahkan si Reen dengan Harris, macam tu?” tanya Haji Saad bersemangat. Boleh pakai juga idea itu, dia setuju.
“Kami bantah!”
Serentak Azreen dan Harris bangun, menyebut ayat yang sama. Hajah Che Ah ketawa kecil.
“Apasal nenek ketawa?” soal Azreen jengkel. Sempat lagi nenek gelakkan dia ke? Melampau ni.
“Tak adalah, kamu berdua macam dah berjanji-janji, sama-sama bangun, sama-sama bantah. Sehati-sejiwa kot.”
Harris garu kepala. Nenek si Azreen ni mengusik ke menyindir? Dia pandang Azreen yang kepucatan, asyik geleng-geleng kepala.
“Duduk, duduk kamu berdua. Nanti abah ikat pada kerusi,” ugut Haji Manaf. Amboi, dua-dua bangun macam spring buruk, nasib baik dia tak kena serangan jantung. Dia jeling tajam, anak jantannya itu duduk, begitu juga Azreen yang tersipu-sipu.
“Boleh ke, ustaz? Boleh ke buat macam tu?”
Ustaz Ayub senyum. “Islam ni mudah tapi tetap bersyariat. Kalau diikutkan hukum, kita hanya perlukan pengantin, wali, saksi. Azreen dan Harris dah pergi kursus nikah?”
Dua-dua angguk, memanglah mereka pergi untuk temankan adik masing-masing.
Ustaz itu tepuk paha. “Haa…baguslah tu. Kalau betul-betul nak teruskan, serahkan pada saya. esok saya uruskan di pejabat. Lepas Zuhur boleh akad nikah terus sanding. Itupun kalau kedua belah keluarga setuju?”
Che Azhan pandang Azreen dengan wajah penuh belas. “Kalau kami setuju, apa yang perlu kami buat, ustaz?”
“Minta saya salinan kad pengenalan keduanya. Yang lain saya uruskan.”
Apa betul ke apa yang dia dengar? Azreen geleng-geleng kepala. “Saya tak nak, ustaz. Saya tak berapa kenal si Harris ni, ustaz. Lagipun kalau tak silap saya, dia dah ada girlfriend.”
Harris cepat-cepat angguk. Kenapa dia jadi bisu kelu? Nasib baik Azreen tolong sampaikan isi hatinya, kalau tak masak dia.
“Kalau macam tu, apa kata Harris tanya teman Harris, mahu tak dia nikah dengan Harris, esok?”
Dia pandang ummi yang mengharap, abah yang angguk beberapa kali. Bingung dia. Zaza ada di luar negara, mahukah Zaza? Kalau mahu, sempatkah Zaza sampai sebelum tengahari esok? Aduhhhh…dia pening.
“Saya call dia kejap.” Dia bangun lalu melangkah ke luar laman. Tangannya pantas mendail.

You jangan buat gila, Har! I tengah ada show ni. Nikah dengan you esok? Nonsense, mana mungkin. Bukan ke I dah cakap lagi dua minggu I balik, you ni kenapa?!
Dahinya disandar pada tiang, pening.
“Habis tu, you tak boleh atau you tak nak nikah dengan I, Za?”
Terdengar dengusan nafas Zaza di hujung corong. “I nak kahwin dengan you, tapi bukan sekarang. Karier I baru nak berkembang Har. Bagi I masa tiga empat tahun lagi. Oh my gosh, kan kita dah bincang hal ni.”
Harris sebu. Dia tahu, itulah jawapan yang pasti Zaza berikan. “Kalau macam tu, you tak kisahkan kalau I terpaksa kahwin dulu, selamatkan majlis ni, maruah keluarga I? You okay dengan semua tu?”
Diam seketika. “You terpaksa, kan? Dan apa kerja budak perempuan tu?”
Apa kena kerja Azreen dengan semua ni? Dia lepaskan nafas. “Cikgu tadika.”
Bunyi ketawa Azreen bergegar di corong telinga. “Cikgu tadika? Langsung tak menawan hati. Macam ni lah, I tahu sekarang ni you terdesak nak selamatkan air muka family you, kan? So, fine. Teruskan. I tak fikir seorang cikgu tadika boleh gugat I dalam hati you. But do promise me, selesai saja semua ni, you ceraikan dia talak tiga. Can you do that?”
Dia diam. “Okay, okay.”
“Kalau macam tu, see you again. Raptai dah nak mula. Good luck, sayang.” Talian dimatikan dari sana. Dia masih kelu, bingung dan keliru.

“Macam mana, dia mahu?”
Geleng.
Hajah Jawaher gigit bibir, pandang Azreen. “Reen, tolong…”
Azreen hilang punca. Baru tadi dia menarik nafas lega bila dengar cadangan Harris. Yalah, perempuan mana menolak andai pakwe ajak kahwin. Mesti mahu punya. Namun, dia silap perhitungan. Girlfriend Harris tak setuju.
“Reen, ibu tak nak paksa Reen, juga Harris. Nikah kahwin ni bukan main-main. Kalau Reen tak mahu, kami tak memaksa. Tak apalah, bila tetamu datang esok, kita ramai-ramai tunggu dan maklumkan pada mereka. Makan minum yang ada, kita teruskan saja. Kita buat doa selamat. Malu sekejap, duit pun boleh cari.”
Terpukul dia dengan kata-kata ibu. Dia tunduk pandang lantai.
“Macam ni, minta buat dulu tiga salinan kad pengenalan mereka berdua sekarang. Kalau Izyan dan Iqram balik, kita anggap perbincangan ni tak pernah wujud. Kalau mereka tak balik juga, terserah pada Azreen dan Harris untuk buat keputusan. Saya akan siapkan dokumen yang mana perlu sebagai back up plan. Setuju?” cadang Ustaz Ayub tegas.
Haji Saad angkat tangan. “Saya setuju, ustaz. Ni, mintak kad pengenalan kamu. Azhan, kamu tolong photostatkan sekejap.”
Harris pandang Azreen yang mendung wajahnya. Dia kemudiannya toleh, lihat ummi yang terangguk-angguk. Nafas dihela.
“Sekarang Harris. Reen pun sama, sekarang.”

Tangannya masih pada dahi, renung siling dalam gelap. Dia jeling jam pada dinding, sudah hampir dua pagi. Kantuknya belum datang, matanya masih terbuka luas. Telefonnya tiba-tiba bergetar.
Harris.
“Awak dah tidur?”
Bengongnya jantan itu. Kalau dia sudah lelap, tak kan dia mahu jawab panggilan ini. “Ya, saya dah tidur. Sekarang ni saya sleeptalking.”
Harris mengeluh berat. “Azreen, can be serious for a second? Ini penting.”
Dia diam, bangun lalu bersandar pada kepala katil. “Awak nak apa?”
“Kita kena bincang, Reen. Awak sanggup ke nak teruskan rancangan ni? Saya tak mahu,” tegasnya lembut.
“Saya pun tak mahu, tapi saya tak sampai hati. Maruah keluarga saya…” Dia sebak. Apa yang kau dah buat ni, Yan? Kau susahkan semua, susahkan akak. Tolonglah balik, Yan.
“Saya dah call Q beribu-ribu kali, memang langsung tiada respon. Yan macam mana?”
Azreen sapu airmata. “Samalah. Saya dah buntu.”
Harris tekan liur. Dia dapat mendengar esak Azreen walaupun perlahan. “Saya minta maaf. Sama-samalah kita berdoa Yan dan Q cukup sedar apa yang dorang dah buat dan balik esok. Kalau tak…”
Kalau tak, apa? Dia sapu pipi sekali lagi.
“Kalau tak, kita tengok esok macam mana,” sambung Harris lemah.
Dia hanya mampu diam. Berat terasa beban yang dibawanya sekarang, dia mahu rebah.
“Awak tidurlah, Reen. Nanti pucat muka nak bersanding dengan saya esok,” gurau Harris dalam kepedihan.
Dia ketawa dalam tangisan lalu matikan talian.
Yan, baliklah Yan…