Saturday 25 March 2017

BAB 6 :Cik Reen dan Encik Ngok Ngek (hehehehe...)

BAB 6

Sedar tak sedar, sudah dua malam dia disini. Mulanya kekok juga di rumah ini. Yalah, besar sangat, orangnya tak ramai. Pagi-pagi lagi dia bangun, ikut ummi pergi pasar. Balik saja, dia suruh ummi rehat, biar dia masak. Bukan pandai sangat pun, tapi sudah namanya jadi menantu, pandailah juga jaga diri di rumah orang. Tak kan nak suruh mak mertua layan macam permaisuri. Cari nahas namanya tu. Barang-barang yang dibeli disusunnya di meja pulau. Ummi siap tanya apa yang boleh ditolong, dia sekadar geleng. Azreen senyum, mulakan dengan bismillah. Memasak satu terapi untuk dia, jadi dia seronok. Tiada orang menolong pun tak apa. Harris masih lagi lena. Siap solat subuh, lelaki itu kembali lelap.

Bau apa ni? Sesudah subuh tadi, dia kembali tergolek di katil, peluk Joe yang datang menumpang tidur. Kucing itu pun satu, kalau dengan dia, menggeliat tak mahu dipeluk. Dengan Azreen, bukan main gatal merenyam. Siap tidur peluk-peluk lagi. Dia jentik dengan lembut, kucing itu buka mata, mengiau.
“Kau jangan nak berpaling tadah dengan papa, Joe. Dia tu bukan mama tau. Mama yang lain. Ni mama tumpang, faham?”
Mungkin kerana kucing itu memahami, dia bangun lalu mengiau panjang, berlari keluar. Terkedu Harris memandangnya. Kasih sayang kucing aku pun perempuan naga tu nak rebut juga ke? Melampau.
Derianya kembali terusik. Harum, sedap. Apa yang ummi masak sampai macam tu sekali? Cepat-cepat dia basuh muka, sarungkan seluar pendek. Sampai di dapur, bau kopi pekat mula menyengat, membuka pintu selera.
“Ummi masak apa? Sedapnya bau,” tegurnya gembira. Memang ummi ibu yang terbaik. Hajah Jawaher senyum, tuangkan kopi. “Yang kamu tak berbaju ni apahal? Tak boleh berjenis sikit nak turun makan?”
Kopi itu dihirupnya berhati-hati. Sedapnya, terbuka matanya sekejap. “Ala mi, bukan makan kat hotel pun. Ketiak pun tak ada bulu, jangan risau lah…”
Huh, eloklah tu. Baik kucing si Harris. Datang dapur duduk hujung tunggu makan. Ada juga adab sopan. Tuan kucing? Yang ni memang nak kena buang dekat Pasar Selayang. Dia angkat tudung saji, bagi Harris tengok apa yang terhidang.
“Eh, nasi apa ni, mi?” Harris suakan muka, hidu bau harum rempah yang mencucuk hidung. Perghhhh…menggoda. Nasi warna ala-ala kuning, gulai ayam, sambul belacan dan sedikit daging masak merah. Acar timun dan sambal belacan pun siap terhidang.
“Ni kalau kat Terengganu orang panggil nasi buli atau nasi kebuli. Makanlah, bukan air tangan ummi pun. Ummi tak mahir sangat.”
Dia sudah selesai sendukkan nasi. Aik, kalau bukan air tangan ummi, takkan abah kot. Masak air abah tahulah. “Habis tu siapa masak? Beli kedai?”
“La…bini kamulah yang masak. Apa dah lupa kamu ada isteri?” sindir Hajah Jawaher. Mahu tergelak dia melihat Harris yang terkejut memandang dia.
“Reen?”
“Yalah, takkan Zaza kot.”
Aduhhh…pedihnya jawapan.
“Mana dia, mi?” Tiga kali suap. Ya Allah, sedap. Dia suap sekali lagi.
“Ada kat luar dengan abah. Baca suratkhabar kot dua-dua tu.”
Amboi, dah jadi geng membaca abah ke? Pandai minah naga tu ambil hati abah. Dia senyum lalu sambung suap. Pandai ya minah tu masak. Menjilat jari hingga ke kuku. Dia jeling hujung sana, kucingnya makan dengan lahap. Elehhh…patut kau sayang sangat dengan mama tumpang tu ya.
“Ummi, tambah nasi.”
Hajah Jawaher sembunyikan senyum lalu sendukkan nasi.

“Reen ingat nak pergi jenguk taska Reen kejap, bah. Boleh?”
Haji Manaf letakkan suratkhabar. “Haish, tanya abah. Tanyalah Harris. Ajak dia sekali. Pergi shopping yang mana patut. Esok jadi pergi honeymoon, kan?”
Hehehehe…apa punya soalan bapa mertua dia tanya ni…malu dia sekejap. “Kena pergi ke, bah?”
Gatai pula mulutnya mahu bertanya.  Tersangatlah siutnya. Azreen garu-garu pipi yang tak gatal.
Tersenyum orang tua itu. “Pergilah. Tidur hotel lima bintang, makan sedap-sedap, terjun kolam. Pergi rehatkan diri. Kawan abah sponsor tu, ambil hati dia.”
Baiknya kawan abah ya. Siapalah gamaknya? Geram dia mahu tinju-tinju muka. Tak bolehkah kalau nak sponsor benda lain, sponsor batik sutera pun lagi bagus. Angin pagi yang datang bertiup buat dia terasa dingin. Seronok juga melepak di bawah gazebo ini. Ada kolam ikan, tenang saja.
“Abah masuk dalam dulu. Solat dhuha sekejap.” Laju saja langkah abah, dia pun hairan. Apahal?
“Abah nak gi mana? Duduklah dulu.”
Ahhhhh…patut pun. Datang sudah encik ngok ngek. Kalau dia bangun ikut abah masuk dalam nampak macam kurang adab la kan. Dia terus di situ, sambung baca suratkhabar.
“Baca apa?” soal Harris buat-buat bodoh. Bukan dia tak nampak, saja mahu si minah naga bercakap. Mana tahu sekali keluar api, rentung dia.
“Buat kuih bakar. Nak?”
Hahahaha…memang itulah jangkaan jawapan yang ditunggu-tunggunya. “Nampak sedap, boleh suap?”
Apa perlu dia gumpalkan suratkhabar itu dan suapkan suaminya itu? Kalau dia buat lepas tu ambil gambar, viralkan. Mesti sejuta umat manusia tolong gelakkan. Glamour tak pasal-pasal.
“Nasi kebuli awak sedap.”
Azreen angkat muka, terbelalak sekejap. Ni apa fesyen ni? Selamba badak tak berbaju. Tak sejuk ke? Dia kembali tunduk, merah padam serasa wajah. Tak berjenis. Tahulah kat rumah, kalau ya pun sopanlah sikit. Makan pagi memang selalu tak berbaju ke macam mana? Nanti kejap, bukan ke dia dengar yang Harris puji nasi dia masak pagi ini sedap. Betul punya puji ke ni?
“Reen, saya cakap nasi awak masak sedap.”
Dia mahu tersenyum tapi terbantut. Nanti encik ngok ngek ni ingat dia lapar sangat dengan pujian. “Terima kasih. See the legs lah…”
Harris menyeringai lalu tunduk. Diselaknya kain batik yang dipakai Azreen.
Mak kau! Terkejut dia. Mamat ni dah kenapa nak meyetan di pagi yang hening ini? Nak makan terajang ke?  Ditariknya kaki naik ke bangku. “Apahal awak ni?” soalnya geram.
“Dah suruh saya tengok kaki awak, saya tengok je lah. Mana tahu kot-kot ada resepi kat situ,” jawabnya bersahaja. Menggelupar urat perut menahan tawa.
Gila!
“Pandainya…mesti sel-sel otak bersambung kan…” Ya malaun…geramnya dia!
“Memanglah. Saya kan minum susu ibu masa kecik-kecik dulu. Memang pandai pun.”
Mencacang Azreen bangun. Lagi lama dia di sini, lagi keruh jiwa dia, tanggal iman agaknya dengan manusia di hadapannya ini.
“Nak pergi mana?”
“Membuang. Nak ikut ke?”
Harris angguk. “Awak membuang, saya mandi, set.”
Set kepala lutut dia!
“Awak, nanti saya nak keluar sekejap, boleh tak?” Kali ini dia rendahkan suara. Kena pandai berlakon, kan?
“Nak pergi mana? Buat apa?” Dia tenung riak Azreen yang tercegat menunggu jawapan. Pandai juga minah naga ni minta izin dari dia. Ingatkan dah lupa dia siapa.
“Saya nak pergi jenguk taska kejap. Mana tahu ada apa-apa yang perlu tandatangan, siapkan.”
Diam dulu, baru angguk. “Awak pergilah bersiap. Saya ikut. Lagipun saya pun nak jenguk ofis saya juga.”
Alahai…dia boleh saja pergi sorang-sorang. “Kalau saya pergi sendiri tak boleh?”
Harris seringaikan senyum. “Naik teksi? Tak payah. Awak ada suami, Puan Reen. Pergi dengan saya nanti. Pergilah naik bersiap. Kang kalau saya ikut awak masuk bilik nanti awak salin baju dalam bilik air.”
Eh, suka hati dialah mana nak salin pakaian. Sibuk. Dia senyum lalu berlalu. Hisshhh…payah melayan suami macam gitu!

“Cik murai datang, cik murai datang!”
Wehhh…sedap saja mulut budak kecil itu. Dia seligi juga si Nadrah yang dengan sukarelanya jadi tukang jerit tak rasmi taskanya ini. Selesai urusan di taska yang terdahulu, dia datang ke sini. Taska ini boleh dikira ibu pejabatnya. Semua urusan lain dia kendalikan di sini juga. Dalam perjalanan tadi, dia cuba buat panggilan. Seperti biasa, tiada jawapan. Entah hidup atau mati si Izyan. Bengang juga dia.
“Eh, tuan putera pun datanglah, Nad.”  Itu pastinya suara si Anum, siapa lagi.
“Mana, mana?”
Azreen tegak berdiri di muka pintu, bercekak pinggang sambil jegilkan mata. Melampau amat reaksi dua budak berdua itu. Agaknya sudah siap tubuhkan kelab peminat untuk si Harris. Baguslah, lagi bertambah sakit kepala dia.
“Pergi sambung mengaji! Mengada-ngadalah korang berdua ni.”
Harris jenguk ke dalam, melambai-lambai pada kanak-kanak itu. Paling kelakar bila Nadrah dan Anum mula berlari, tercegat di hadapannya.
“Hai puteri-puteri, uncle bawakan kek tau. Kek coklat strawberi. Suka tak?”
“Suka!!!”
Dia gigit bibir. Memang mudah sangat nak gula-gulakan budak-budak, dia tak heran pun. Berbulu matanya melihat Anum yang terkebil-kebil dan Nadrah yang bersorak riang. Makan jampi minyak pengasihlah tu.
“Kalau tak siap mengaji, jangan mimpi nak makan. Sini, saya nak potong.” Dia ambil kotak kek itu cepat-cepat. Malas mahu tercegat di sini.
“Cik murai dengkilah tu. Mana pernah dia belanja kita makan kek sedap-sedap kan, Anum. Asyik cupcake aje. Kedekut.”
Eeeee…dia hempuk juga kotak kek atas kepala budak berdua ni. Si Harris pula bantai gelak. Pandai juga gelak macam orang gila, ingatkan jaga macho kentut tak berbunyi. Dia cepat-cepat ke dapur. Kak Huda masak mee soto agaknya, baunya datang dari dapur cukup harum.
“Kenapa panggil dia cik murai?” soal Harris. Dia duduk di sofa, lunjurkan kaki. Anum dan Nadrah ada berdiri tegak di hadapannya.
“Sebab dia banyak cakap kan, Anum.”
“Ha ah, banyak berleter. Pot pet, pot pet, pot pet.”
“Macam mulut murai.”
“Kan, kan…”
Dia ketawa lagi. Pandai betul budak berdua ni.
“Dah habis mengaji, baca muqadam?”
Nadrah kerutkan kening, Anum buat muka masam. “Kami dah baca Al-Quranlah.”
Oooohhh…bagusnya.
“Cik murai pandai mengaji kan, Nad.”
Nadrah angguk. “Iya. Bila dia mengaji macam mugholazah.”
Anum geleng. “Musabaqah lah. Mugholazah tu najis. Apalah awak ni…”
Nadrah tutup mulut, gelak kecil. “Eh, silap…”
Kali ini Harris ketawa lagi. Adoi…boleh pecah perut dia kali ni.
“Macam qariah, musabaqah tu acara,” sampuk Harris. Comel betul berdua ni.
“Qariah mana pulak? Nama cik murai Azreen lah.”
Kahkahkahkah…dia bantai gelak lagi. Aduhhh…bergegar jantung dia. Seronok juga di sini. Patutlah Azreen suka kerja begini, tak sakit kepala.
“Ni kamu berdua, datang sini. Tak payah nak mengada-ngada dengan suami Cik Reen. Mari sini makan.”
Tiga kepala menoleh.
“Eleh…tak ingin pun. Takkan lah kita nak dengan suami cik murai kan, Anum. Bila kita besar nanti suami dia dah tua kan, kan.”
Lantaklah korang. Apa budak berdua tu ingat dia cemburu ke? Silaplah. “Jangan banyak cakap, makan dulu.”
“Saya?”
Dia pandang Harris yang buat muka seposen sambil angkat tangan. Haishhh…nak kena jolok lubang hidung kot mamat ni. Azreen lebarkan senyuman.
“Ya, awak sekali lah.”
Harris tepuk tangan. Anum dan Nadrah pula sibuk melompat-lompat. Eloklah tu, sudah macam anak-beranak. Azreen, tolong ingatkan diri sendiri supaya jangan sekali-kali pelawa si Harris ini ke sini lagi. Faham?

Ohhh…ini ke tempatnya. Dia tarik nafas beberapa kali. Besar juga pejabat dan ruang pameran ini. Deretan kereta dan superbike mewah terbaru disusun dengan elegan. Ruang pamerannya cukup luas dan cantik terhias. Minamalis tapi memikat. Beberapa pasang mata mula memandang dia dengan senyuman.
“Hai, Puan Azreen, kan? Maaf tak dapat datang majlis hari tu. Saya demam.”
Seorang gadis berambut pendek cute amat datang menghulur salam. “Eh tak apa. Niat nak datang tu pun dah cukup baik. Terima kasih.”
Cemerlang mata gadis itu memandangnya. “Maaf, lupa. Saya Nina, setiausaha Tuan Harris. Gembira dapat jumpa puan.”
Azreen peluk Nina, lukiskan senyuman ikhlas. “Azreen. Tak payahlah berpuan-puan, saya segan. Kak Reen lagi afdal.”
Memang bulat mata si Nina memandangnya lalu pandang Harris dengan memberi isyarat tanda bagus. Harris juihkan bibir, berlalu ke biliknya.
“Nina boleh tolong saya?”
Cepat-cepat gadis itu angguk.
“Panggil seorang dua lagi, boleh? Saya ada belikan cupcakes dan sandwich juga air untuk semua orang. Ada tujuh belas orang semuanya, kan?”
Nina angguk, kagum.
“Kalau macam tu, Kak Reen tunggu di kereta ya.”
Sekali lagi Nina angguk. Walawei! Memang terbaiklah. Alhamdulillah, bertuah Tuan Harris beristerikan Azreen. Zaza? Macam langit dengan bumi. Dia kena buat kopi dan pergi beli itu ini adalah. Memang, memang ajaib isteri bossnya ini. Dia suka. Suka sangat!

Matanya dari tadi tak betah memandang. Bukan baru sepuluh minit ke Azreen datang sini? Dalam masa yang pendek itu, semua staffnya sudah macam dipukau. Layan dia macam puteri. Siap bergelak ketawa, bertukar cerita. Boleh tahan minyak pengasih si Azreen. Bob, mekanik dia yang paling diam pun boleh senyum-senyum. Magik.
“Har, hebatlah dia. Zaza datang pun tak ada dorang sambut macam ni.”
Betul kata Kamal. Dengan Zaza kalau boleh masing-masing mahu mengelak. Dia senyum. Nak buat macam mana, Zaza ada kelas tersendiri. Anak orang kenamaan, bukan orang kebanyakan macam Azreen.
Kamal usap dagu. “Aku rasa, kalau aku jumpa dia dulu, aku tackle dia sampai dapat.”
Toleh dia melihat Kamal. Memang nampak serius. Kamal pun seperti dia, kacak. Tapi pastinya dia lebih lagi. Teman wanita Kamal? Huh, bersusun-susun macam kereta.
“Mana taste kau, Mal. Dia bukan jenis yang boleh kau angkut sana-sini. Kalau pesen dia ni, nak terus nikah. Tak mainlah dating-mating ni…”
Kamal angguk-angguk. “Yang macam tu lah yang patut kita buat bini, Har. Kalau yang dah diangkut sana sini, pegang atas bawah, pergi ke sana ke mari, buat apa. Ini suci. Original, Har.”
Ketawa Harris dibuatnya. Cakap tak serupa bikin. Mana taknya, si Kamal ni memang kaki perempuan, pandai pula mahu cari yang suci murni. Pigidahhh…
“Kau perangai macam buaya tembaga ada hati nak yang suci murni rupanya…adui…tak sangka aku.”
“Yalah. Kalau cantik saja buat apa. Biar ada maruah, pandai jaga diri. Mak aku pun sayang kalau yang macam tu, macam bini kau. Kau dah ke belum?” soalnya nakal. Ditunjalnya bahu Harris berkali-kali.
Dia dah agak soalan itu. Memang Kamal, kalau tak tanya soalan warna biru, memang tak sah. Lahanat sungguh.
“Belum la. Lagipun kau tahu kan, aku kahwin dengan dia kenapa dan pasal apa. Zaza is the one for me. Only her.”
“Bodoh juga engkau ya. Aku tahulah…tapi dah nama isteri, halal, apa lagi, carry on sajalah. Rugi kalau kucing tengok ikan baring-baring depan mata tanpa buat apa-apa. Kucing bengap namanya.”
Sesedap mulut saja Kamal. Ada ke samakan dia dengan kucing.
“Aku manusia, bodoh. Apa pulak samakan aku dengan kucing. Lagipun aku tak nak dia terluka. Aku ambil cara baik, aku nak lepaskan kalau boleh dengan cara baik.”
Berdekah-dekah lelaki itu ketawa.
“Kau tahu Har…kalau dengan rupa, sifat dan sikap macam Azreen, aku rasa kau yang merayu nanti. Percayalah cakap aku.”
Dia pula menyambung tawa. Tak mungkin. Sememangnya tak mungkin.
Kamal tiba-tiba bangun. “Har, Har…aduh…kau tengok siapa yang datang tu.”
Dia juga bangun.
Zaza.
Aduh…Zaza.
Dia pandang Kamal, Kamal angkat bahu.

Nina cepat-cepat bangun. “Miss Zaza.”
Jantung Azreen seakan terhenti. Dia bangun, bertentang mata dengan Zaza. Matanya meratah rupa dan susuk Zaza dihadapannya. Dengan wajah eksotik yang menawan dalam persalinan jenama terkenal, Zaza memang hebat. Jauh lebih hebat daripada sesiapa di sini, termasuk dia sendiri. Azreen helakan nafas, hulurkan salam.
Dia ketawa kecil, beri satu jelingan tajam. Oh my, inilah orangnya, kan. Azreen. Dia tenung Azreen yang masih tersenyum padanya. Bertudung juga cantik. Nampak lemah lembut. Please, dia tahu itu semua lakonan. Memang Azreen cantik tapi jangan harap dapat menyaingi dia. Cantik sahaja tidak mencukupi. Dia? Dia pakej lengkap seorang wanita.
Salam itu dipandang sepi. Dia berikan senyuman. “Sorry, busy. Nina, mana bos you? Rindu dia.”
Nina telan liur, pandang kiri, pandang kanan. Wajah Azreen yang sedikit muram buat hatinya tersentuh, riak Zaza yang mulai garang buat dia takut.
“Err…ada kat dalam ofis dia, dengan Kamal.”
Zaza buka langkah, jalan terus ke tempat yang dimaksudkan. Tempat biasa dia datang bersua muka dengan Harris. Dia mahu ketawa namun dia tahu Harris pasti tak suka. Padan muka. Kau ingat kau bergelar isteri kepada Harris Zakuan kau akan bahagia? Maaf, dia terlebih dahulu mengisi ruang hati. Daun pintu ditolaknya.
“Kamal, get out. I need to see my darling sayang here.”
Kamal bangun, serba salah namun tetap buka langkah. Dia tak mahu cari pasal dengan Zaza. Kasihan pula dia tengok Harris yang pegang dahi. Yalah, di luar sana isteri, yang ada depan mata ini pula buah hati. Mahu tak pening dibuatnya. Bila dia keluar, cepat-cepat dia tutup pintu.
“Apahal you datang sini ni, babe?” soal Harris lembut. Wajah Zaza yang tersenyum manis pada makin buat dia runsing. Zaza kalau senyum maksudnya ada sesuatu dalam ruang fikir.
Gadis itu labuhkan duduk, pegang erat lengan Harris. “I miss you. Kebetulan drive tadi nampak kereta you, I singgah lah. Mana tahu you datang sini dengan cikgu tadika kat luar tu.”
Perlahan dia tolak pautan itu. “Babe, can you please…Ini ofis I, isteri I ada kat luar, kalau boleh at least jagalah airmuka I ni. You pun. Nanti orang cakap you macam-macam you naik angin.
Mencelang sepasang mata itu. “Jadi you tak sukalah ni. Tak suka I datang, tak suka dengan I? Ke you dah seronok ‘merasa’ wife you tu, make love to her? Macam tu, kan?!”
Ha. Inilah yang paling dia malas. Bertekak dengan Zaza. Zaza bukan hairan dengan orang sekeliling, kalau dia mahu cakap apa, dia cakap sahaja.
Dia sandar pada sofa. “Babe, kalau you nak fikir macam tu, fine. Sekarang ni, you nak lambak apa tuduhan pun, bagilah. I tak nak gaduh, malas bertekak. Apa lagi nak cakap, cakaplah.”
Gigit bibir. Dia tahu Harris sudah marah. Cepat-cepat dimendungkan wajah, tarik jemari Harris ke ribanya. “I’m sorry, Har. I bimbang you lupa siapa I. You still love me, right?”
Dia angguk, senyum.
You’re my girl, babe. Boleh tak you faham keadaan I sekarang?”
Lemah saja anggukan gadis itu. Mengalah mungkin.
“Kalau macam tu, don’t worry so much. Percayakan I, boleh? Bagi I masa untuk selesaikan semua benda ni pelan-pelan.”
Angguk lagi.
“Kalau macam tu, apa kata you pergi shopping, tenangkan fikiran. Jangan fikir yang bukan-bukan, boleh?”
Fine. Dinner tonight? Please…”
Harris geleng. “You dah lupa ke…kan I cakap I kena pergi honeymoon malam ni. Lusa kita jumpa.”
Cebikkan bibir. “Ingat Har, don’t touch her. You I punya. I pergi dulu.” Terasa mahu bergenang airmatanya. Harris dia punya, fahamkan dan hadam semua itu baik-baik!
Harris bangun, iringi Zaza ke pintu. Dia sedar mata yang memandang namun terpaksa dia tebalkan muka. Azreen duduk di kerusi membelakangi dia, masih rancak berbual dengan beberapa stafnya.
Drive baik-baik.”
Zaza layangkan flying kiss dan berlalu pergi. Sempat dia menjeling si cikgu tadika di sofa yang nampak pucat. Zaza senyum sinis. Ingat, Harris dia punya!

Sunyi saja perjalanan itu. Yang kedengaran hanya lagu-lagu yang berkumandang di radio. Azreen buang pandangan di luar tingkap. Bodohnya dia. Dia sedang bersedihkah? Kenapa? Kenapa dia perlu terasa? Apa dia sudah lupa, perkahwinan ini hanya satu gurauan, bukan pilihan.
“Awak dah packing barang?”
Terus dia toleh, geleng.
Harris tekan pedal minyak. “Kalau macam tu, balik nanti kemas apa yang patut. Lepas Asar nanti kita check-in.”
Diam.
Entah, entah apa yang perlu dia katakan. Huh, pergi sajalah. Makan dan tidur. Sampai tempohnya, balik segera. Senang. Yang penting biar lega hati ibubapa mereka.
“Awak dengar tak?”
Dia angguk.
“Ya, saya dengar.”
Don’t expect anything. Kita hanya pergi bermalam saja.”
Dia mahu ketawa. Serius? Apa yang lelaki itu fikir? Yang dia akan merayu, menggoda di bilik hotel? Ohhh silap. Takkan dia. Takkan sekali-kali!

Merah padam wajahnya sekejap. Katil king size di sudut bilik dihiasi dengan taburan mawar dalam bentuk hati. Di ruang hadapan atas meja, sudah tersedia beberapa hidangan makanan. Dua gelas tropika jus, sepinggan buah-buahan dan juga sepinggan sandwich yang pelbagai. Cepat-cepat dia beralih dari ruang itu. Perut dia mula mencerut. Lapar. Makan tengahari tadi dia hanya mampu menghabiskan sesenduk nasi dan dua keping daging asam. Mulalah sekarang ini perut bergendang. Harris ada duduk di sofa, lunjurkan kaki. Lantaklah, dia mahu makan.
“Lapar ke?”
Dia baru mahu nganga, terus suap sandwich ke dalam mulut. Sedapnya. Tengah kebulur macam dia, kertas sapu mentega pun sedap. Mata Harris memandang dia. Ada senyuman dalam mata itu.
“Lapar sangat ke?”
Dia geleng. “Alas perut. Tadi makan tak kenyang.”
Harris mahu tergelak. Memang pun. Dia sendiri hairan melihat Azreen yang sedikit saja suapnya tengahari tadi. Kecil hati dengan dia, ataupun hilang selera kerana Zaza.
“Kalau awak lapar sangat, kita turun dinner lepas maghrib. Bukan ada candlelight dinner ke dalam pakej ni?”
Dia tolak bahu ke atas. Nanti memang nak kena ada lilin bagai ke waktu makan? Lampu banyak-banyak buat apa, buat hiasan? Tak kuasa dia mahu berlilin-lilin. Dibuatnya terbakar bulu hidung, hangit. Makan sajalah dengan lampu pun, asal jangan makan dalam gelap.
Tiba-tiba saja telefon bimbitnya bergegar. Aduhhh…Zaza. Dia bangun, bergerak ke hujung ruang.
You kat bilik 1111 kan?”
Dia kerutkan kening. Mana Zaza tahu?
“Ya. Mana dapat info ni?” soalnya perlahan. Bunyi Zaza ketawa kecil buat dia tertanya-tanya.
“Ala…owner hotel ni kawan daddy I juga. You tau tak sayang?”
“Tahu apa?”
Zaza ketawa lagi. “I pun ada kat sini. Bilik 1112. Bilik sebelah you.”
Terkedu Harris seketika. Biar sungguh. “You ni betul ke main-main?” soalnya perlahan.
You pergi front door, sekarang. Cepatlah.”
Dia toleh, pandang Azreen yang ralit menyuap. Harris buka langkah selamba, tarik daun pintu dan jenguk keluar. Nasib baik dia tidak tergolek di laluan koridor.
Zaza!
Pantas gadis itu menarik dia ke bilik sebelah. Ternganga seketika dia, gamam. “Babe!”
Zaza ketawa, tarik Harris ke sofa. “Welcome to our honeymoon, Encik Harris.”
Dia telan liur. Apa yang dibuat Zaza memang diluar jangkauannya. Zaza dengan jeans mini dan blouse putih itu masih tersenyum riang di sofa. Harris gosok dahi, duduk mengadap gadis itu.
Babe, you buat apa kat sini?”
Ketawa galak, lalu juihkan bibir dengan manja. “I datang untuk you, Har.” Matanya merenung tajam pada Harris. Harris dia punya. Takkan dia biarkan wanita lain sentuh Harris.
Geleng kepala. “Bukan macam ni. I ajak you kahwin, you tak nak. You ni betul-betul cemburu ke, babe?”
I tak cemburu, I bimbang. I nak you tahu, walau apa you nak buat atau akan buat dengan wife you tu, I ada kat sini. Listening, imagining all the things you do.”
Ketawa juga Harris dibuatnya. “I nak buat apa? Aduhhh…up to you, babe. Har dah cakap, tolong beri kepercayaan kepada Har. Kalau you tetap tak percaya, Har dah tak boleh buat apa-apa lagi.”
Redup wajah Zaza memandangnya, umpama meminta simpati. Sungguh dia tidak menyangka sehingga tahap ini tindakan Zaza. Dia andaikan Zaza seorang yang berfikiran terbuka, bukan begini. Harris bangun.
You nak pergi mana, Har?”
Dia toleh, senyum.
“Balik bilik. Apa kata you mandi, rehat. I pun nak mandi ni.”
I dah bawa bikini.”
Tergelak dia. Aduh Zaza…
“Kalau macam tu, you pergi pool. Biar semua yang pandang you, meleleh…”
Geram. Sungguh dia geram.
“Tapi you tak nak pandang I, kan?” Perlahan saja gadis itu mengajukan soalan.
“Za, bila you jadi isteri I nanti, I pandang you sampai mati.” Dia tarik daun pintu, lalu berjalan pergi.
Punat loceng biliknya ditekan beberapa kali. Mana pergi si Azreen? Daun pintu itu ditarik perlahan. Wajah Azreen ada di balik pintu. “Buka, saya nak masuk.”
Kenapa Azreen cemas sahaja? Dia tolak daun pintu itu perlahan-lahan dan toleh.
Ohhhh…patutlah.
Dia cepat-cepat ketatkan jubah mandi. Serius, dia ingatkan Harris sudah keluar merayau ke mana-mana. Dia bayangkan Harris ke coffee house ataupun bersantai di lobi. Itu yang buat dia yakin untuk segera mandi. Bathtub yang serba indah itu umpama memanggil-manggil dia untuk rehatkan diri.
“Awak tak ada keycard ke?” soalnya gugup. Pandang apa pandang, nak kena cucuk biji mata? Dia peluk tubuh. Yang dia pun sama bodoh, tercegat depan si Harris ini kenapa? Pergilah main jauh-jauh.
“Tertinggal. Awak nak mandi ke? Kenapa tak mandi kat pool, bakai bikini?’ soalnya nakal.
Bikini nenek dia!
Sengaja dia senyum manis. “Saya tak suka pakai bikini, saya mandi pakai baju kelawar je.” Cepat-cepat Azreen buka langkah. Tak kuasa dia mahu bertekak. Buang air liur.
“Saya pun nak mandi juga ni,” sampuk Harris. Dia perlahan-lahan buka butang kemeja, bergerak ke arah Azreen yang ternganga.
“Awak datang sini, saya seligi awak!!!” Dia sudah angkat tangan, angkat kaki buka langkah silat. Apa, ingat dia tak tahu martial art ke?
“Awak…”
“Apa?!”
Bathrobe awak terselak…”
Mak!!!
Terus dia cabut lari.

Dia pandang pinggan. Tak kuasa mahu tengok jantan ngok ngek ni asyik tersenyum-senyum depan dia. Yang dalam pinggan ni pun satu, apa bendanya ni? Tadi sewaktu mula-mula makan, apa yang dihidangkan memang sedap tapi sikit sangat. Dua kali suap terus habis.
“Makanlah, tengok saja buat apa.”
Memanglah dia mahu makan tapi apa bendanya ni. Nak cakap steak bukan macam steak. Dia makan nasi ikan asam pedas lagi bagus.
“Tu namanya Canard a l’ Orange. Itik panggang dalam sos oren.”
Ohhh…daging itik. Kenapa tak buat masak merah saja, gulai pun sedap. Azreen telan liur. Ada lima keping daging itik. Ala…mana cukup. Mahu tak mahu dia mula menyuap. Sedap juga, bolehlah.
“Sedap?” aju Harris ingin tahu. Mahu tergelak pun ada. Dia tahu Azreen masih malu tentang insiden tadi. Dia pun masih terbayang-bayang susuk Azreen yang putih dan terseksi petang tadi. Nak buat macam mana, lelaki tetap lelaki.
“Sedap. Kalau ada nasi lagi sedap…”
Tertahan-tahan senyuman. Memang pun. Dia pun lapar nasi. Nak buat macam mana, yang ini ada dalam pakej, makan dululah. Telefonnya bergegar dalam kocek seluar. Harris biarkan saja. Untuk suapan kali ketiga, telefonnya bergetar lagi.
Zaza.
Dia pandang sekeliling. Di sudut sana, Zaza sedang tersenyum. Harris geleng kepala. Jangan Zaza datang ke sini sudahlah. Kasihan juga dia pada Azreen. Dia taip beberapa perkataan.
Enjoy your dinner, babe. Nanti I call.
Dia nampak Zaza angguk dan tersenyum.
“Lepas ni ada lagi ke hidangannya?”
Harris angkat muka. “Ada. Salad lepas tu dessert.
Dia cuba kawal kecewa yang mula mahu timbul pada wajah. Terliur pula dia dengan hidangan buffet yang teratur kemas. Aduhhh…laparlah dia malam nanti.
“Makan. Kalau lapar, order dari bilik nanti. Pizza ada, nasi goreng pun ada.” Harris sambung suap.
Ha…cemerlang matanya mendengar. Barulah bersemangat sikit. Entah berapa lama mereka makan dalam diam, sedar-sedar semuanya sudah selesai. Azreen lepaskan nafas lega. Dia mahu cepat-cepat naik ke bilik, solat isyak lepas itu order makanan lagi.
“Kalau saya naik dulu, boleh?”
Harris angguk. “Awak naiklah dulu. Saya nak stay kat sini sekejap. Kalau lapar order sajalah, saya bayar.”
Cepat-cepat dia bangun. Buatlah apa Harris mahu buat, dia tak ambil pusing.

Stay with me for a while, boleh?”
Dia garu pipi. Wajah manja Zaza disebelahnya buat dia serba salah. Selepas Azreen naik ke bilik, dia temankan Zaza menjamu selera. Sekejap saja. Zaza bukan kaki makan macam Azreen. Sekeping steak medium well dan salad sudah cukup untuk Zaza. Selepas itu mereka sambung berbual seketika. Bimbang ada yang memerhati, mereka mula bergerak pergi.
“Dah lewat ni, Za.” Dia pandang jam, baru pukul sebelas lima minit. Lewat jugalah.
Zaza tarik tangan Harris, pandang kiri kanan. “Sekejap saja.”
Aduhhh…kalau menolak, ada yang merajuk. “Okay, sepuluh minit saja.”
Tersenyum gadis itu lalu membuka daun pintu. Biarlah, sepuluh minit pun sudah cukup. Dia tak mahu Harris balik ke bilik sebelah. Harris sepatutnya bersama dia, bukan cikgu tadika itu.
Harris duduk di sofa, pejamkan mata sebentar.
“Nanti masuk tidur, tolong behave,” pesan Zaza sinis.
Dia senyum tanpa buka mata. Jadi betul lah Zaza cemburu. Dia tergelak. Telefon tangannya bergetar lagi. Azreen kah?
“Bro, tolong aku.”
Kamal. Apahal pula? Dia terus bangun.
“Kenapa, apahal?”
Suara Kamal sedikit cemas. “Tolong bro, kau ada tayar spare? Tayar kereta aku pecah. Tayar spare dah ni…”
Dia mengeluh. “Kau langgar apa? Apahal dengan tayar spare kau?”
“Hari tu makan paku, aku pakai tayar spare. Ni aku terbabas, elak mat motor punya pasal, aku langgar besi apa entah kat tepi jalan. Memang siut lahhh…”
“Kau kat mana?”
Kamal nyatakan tempat, Harris mula terangguk-angguk.
“Tunggu situ. Nanti aku sampai.” Dia matikan panggilan.
Babe, I pergi dulu. Kereta Kamal terbabas, tayar pecah. You tidurlah. Sweet dream, babe.” Dia tarik daun pintu, gesa-gesa pergi. Zaza helakan nafas, hempaskan diri pada sofa. Sekurang-kurangnya Harris tak balik ke bilik sebelah.  Satu senyuman mula terukir pada bibir.

Sudah jam berapa? Dia tertidurkah? Azreen menggeliat. Sampai di bilik tadi, dia buat pesanan. Nasi goreng kampung ala The Bliss dan juga tomyam campur. Sedap, sekejap saja licin. Solat Isyak belum lagi, mandilah dulu kot. Loceng bilik hotelnya berbunyi lagi. Harris lupa bawa keycard lagikah? Jengkel dia, lalu buka pintu. Baru saja dia mahu acukan penumbuk, tangannya kaku di udara.
Just for your info, Harris terlelap kat bilik I, bilik sebelah. Kalau dia bangun, I suruhlah dia balik tidur sini. Kalau tak, biar sajalah kan, dia penat. You faham, kan? Good night.” Zaza senyum dan kembali katupkan daun pintu.
Masih dia tercegat di situ, terkedu. Daun pintu ditutupnya rapat. Entah apa yang dia fikirkan, airmatanya tiba-tiba mengalir. Wow! Hebatnya. Hinggakan bulanmadu mereka Zaza masih mengekori. Memang hebat. Azreen sapu pipi, tarik nafas beberapa kali. Biarlah, kalau itu yang mereka mahu, biarlah.

Berlengas juga dia. Kamal punya pasal dia yang keluar peluh. Bila dia melangkah, bilik itu suram. Hanya cahaya dari lampu meja solek yang bercahaya. Itupun samar-samar sahaja. Nah, hampir jam tiga setengah pagi. Patutlah matanya sudah layu. Dia pandang sekeliling. Mana Azreen?
Suis lampu dipetik. Mahu tak mahu, dia senyum. Azreen ada. Lena tidurnya di sofa. Harris garu pipi. Dia mandi dulu. Nanti dia selesaikan masalah ini. Perlahan-lahan dia leraikan pakaian dan menuju ke bilik mandi. Selesai saja mandi, dia jenguk ke ruang depan. Azreen masih lena di situ. Katil punyalah besar, sofa juga jadi pujaan. Dia geleng. Berhati-hati, dia angkat tubuh itu ke katil lalu selimutkan dengan rapi. Sehabis hujung, dia juga baring di katil. Tidurlah cik naga, takkan aku apa-apakan dikau. Sandar sahaja pada bantal, terus dia lena.
Hela nafasnya masih perlahan dengan mata terbuka. Menggigil dia apabila sedar Harris mencempungnya ke katil. Bila lelaki itu tidur dengan nyenyaknya, dia bernafas. Kenapa Harris kembali ke bilik? Kenapa tidak terus saja lena di bilik sebelah? Ikutkan amarah, dia mahu ambil bantal, tekup wajah itu. Geram. Namun, satu perkara buat dia sedar. Harris dan dia tiada cinta. Mata kembali dipejam. Tanpa sedar, dia menangis.

Selepas bersarapan, dia terus berlunjur di kerusi. Beberapa pengunjung mulai berenang di kolam mandi yang luas itu. Kalau balik kampung, boleh saja dia terjun sungai, mandi puas-puas. Kalau di tempat begini, dia segan. Maklumlah, banyak mata yang memandang. Beberapa mata yang menoleh ke satu arah buat dia juga tertarik.
Zaza.
Dengan rambut lepas bebas, sepasang kaki yang panjang, gadis itu memang berbeza. Penuh gaya dan elegan, jauh berbeza dari dia. Azreen pandang sekeliling. Tiada. Harris tiada di kawasan ini. Sesudah bersarapan, Harris terus naik ke bilik. Katanya mahu memerut. Dia tersenyum sendiri. Pantas. Lepas bersarapan terus saja mahu proses.
“Lena tidur semalam?”
Dia toleh. Untuk apa Zaza datang ke sini.
Zaza lurutkan kaca mata hitam, tersenyum sinis memandang gadis dihadapannya.
“Alhamdulillah, lena.” Dia pamerkan senyuman dengan hati yang hilang ikhlasnya.
“Harris balik bilik tak?” soal Zaza sambil cebikkan bibir.
“Balik.” Malas dia mahu berpanjang lebar. Bukankah Zaza sudah tahu, kenapa mahu bertanya lagi.
“Oh…I slept like a log. Tak sedar masa mana dia bangun. Ni, sayang…boleh I bagi nasihat. Janganlah paksa dia buat apa-apa sangat, dia penat.” Dia untaikan senyuman, menjeling wajah Azreen yang mulai merah padam.
You know what I mean, kan?”
“Maaf. Saya tak faham.” Dia bangun, mahu melangkah segera.
Pantas dia memaut lengan Azreen. “He’s mine. Tolong ingat.”
Senyum, lalu leraikan pegangan. “No. Dia milik Allah.” Dia berjalan tinggalkan Zaza yang tegak berdiri dengan wajah mencuka. Apa perempuan itu ingat dia lapar sangat dengan si ngok ngek itu. Please, tolonglah!

Sampai dibilik, Harris sedang lena di sofa. Amboi, penat sangat ke semalam? Kerja keras kot. Mendidih juga hatinya. Bukan dia marah kerana Harris lewat kembali, tetapi dia benci dengan manusia yang berbuat mungkar. Okay, memang bukan tempatnya untuk menuduh, tapi hatinya membuak dengan rasa benci. Lagipun seperti kata Zaza, Harris bersamanya semalam. Betul kah?
“Kata nak mandi pool.”
Terkedu dia. Ingatkan tidur lena, telinga terbuka rupanya.
“Tak bawa kain batik, nak mandi macam mana.” Menonong dia berjalan, duduk di anjung luar.
“Reen, saya minta maaf. Semalam lupa nak cakap, saya keluar sekejap. Ada kecemasan.” Dia bangun, menggeliat. Seronoknya dapat lelap walaupun sekejap. Kamal punya pasal, dia yang hilang waktu tidur.
Hah! Kecemasan atuk dia. Ingat dia tak tahu ke. Dia jelirkan lidah. Benci. Benci dia!
“Awak nak keluar jalan-jalan, nak makan apa-apa lagi, orderlah. Saya nak sambung tidur kejap. Nanti nak turun lunch, kejutkan saya ya.”
Dia diam. Kenapa tak tidur bilik sebelah saja? Pergilah. Buat menyemak di sini. Dia sandarkan kepala. Kalau dia balik rumah, tidur kat rumah dia lagi bagus. Boleh tolong ibu masak. Bulan madu konon. Bulan naik darah adalah.
“Awak dengar tak apa yang saya cakap ni Cik Reen oiii…”
Opocot! Bila masa mamat ni ada di belakang dia. Baju mana baju? Yang togel macam model boxer saja ni dah kenapa? Dia tutup mata.
“Saya dengarlah.” Pergilah, pergi jauh-jauh.
Mengekek-ngekek Harris ketawa. Memang suci murni betul ke perempuan ni? Tak pernah tengok lelaki tak berbaju ke? Dia buka dua tangan, perangkap Azreen di tengah-tengahnya. Mata gadis itu masih tertutup rapat. Kejap. Dia dekatkan wajah, tiup bibir dan pipi Azreen perlahan-lahan. Serius dia mahu tergelak. Mana tidak, dia lihat bulu roma gadis itu mencacang berdiri. Adui…itu baru dia tiup, tak betul-betul peluk cium lagi. Mahu tergeliat urat perutnya.
Ni apahal main tiup-tiup dia? Ingat dia lilin ke? Perlahan dia buka mata.
Gulp.
Kenapa ada lagi? Dia kembali pejamkan mata. Kali ini perlahan menyandar pada dinding dan melurut turun ke lantai.
Siutnya! Boleh pula minah naga ni menggelongsor ke bawah. Hahahaha…dia tahan tawa yang mahu pecah. Perlahan juga dia duduk, bersimpuh di hadapan Azreen yang masih diam di hadapannya. Dia bisukan segala bunyi.
Dah tak ada kan? Harris dah tak ada kan? Dia buka mata. Aduiii…ada lagi. Siap bersimpuh tersengih-sengih depan dia. Ada juga makan tapak kaki dia ni karang…
“Kita nak buat apa ni, Cik Reen? Mengaji?” soalnya nakal. Wajah Azreen yang terkulat-kulat buat dia mahu tergelak.
“Tak. Hafal sifir tujuh. Dah ingat?” Menyampah dia. Wajah boyish Harris menjentik deria. Kacak pula jantan ini. Hoi mata, nak makan garfu ke? Memandai tengok si ngok ngek ni. Hati pun sama, puji sana-sini ni apahal? Jangan nak berpaling tadah, faham!
Telefonnya menjerit-jerit di meja. Harris senyum. Nasib kau baik, sayang. Kalau tak, agaknya dia betul-betul baca sifir tujuh. Cepat-cepat dia bangun, sapu skrin telefon. Zaza.
“Bila nak datang jumpa I? I dah kat bilik ni?”
Aduhhh…ingatkan sudah habis berbincang pasal ni. Dia jeling Azreen yang kini duduk di sofa, terpacak matanya pada televisyen.
You baliklah dulu, babe. Bagi I masa dan ruang, boleh?” pujuknya lembut.
Diam tanpa kata seketika.
Fine. Hari ni I bagi you layan wife you tu. Malam ni, you have a date. With me.”
Dia garu pipi. “I try. Nanti I call, okay.”
Zaza tidak menjawab, talian diputuskan terlebih dahulu. Pening, pening dia.
“Reen, kita keluar kejap.”
“Pergi mana?”
Dia sengih. “Ikut sajalah.”
Azreen jeling. Yalah, dia ikut. Nanti sampai tengah jalan, dia campak lelaki itu dalam longkang!

Ohh…datang sini. Dia bukan suka sangat pergi shopping mall, penat berjalan. Belinya kadang-kadang satu saja pun. Kalau datang dengan Izyan lagilah, diheret ke sana sini, mahu bergegar kepala lutut. Harris buat apa datang sini erk? Nak shopping underwear ke? Dia tergelak sendiri. Tongong.
“Bak tangan.”
Haaa…silap pendengaran ke dia? Dia kebil-kebil pandang Harris yang tercegat pandang dia. Apa kau nak menyanyi lagu Janam-janam tu ke?
“Bak tangan tu…”
Yang dia pun macam kayu, pergi hulur saja kenapa? Otak dah beku, tak boleh berfikir? Oh mak kau elektrik shock! Azreen telan liur. Bila masa pula mereka sampai di lot kedai intan berlian ni?
“Awak. Buat apa kat sini?” Silau biji mata rasanya. Aduhhh…cantik juga. Wajah Harris yang serius dikerusi buat dia kembali diam. Nanti banyak tanya banyak pula jawapan. Tunggu sajalah.
“Saya nak beli wedding bands.”
Cincin kahwin? Untuk Zaza mungkin. Azreen angguk, duduk diam-diam lalu tarik tangannya perlahan-lahan.
“Nak pergi mana, tangan tu bak sini. Saya nak ukur jari manis awak tu. Kalau yang macam mana ni boleh?”
Lelaki itu bertanya pada dia kah? Nak belikan untuk siapa sebenarnya ni? “Dia suka yang macam mana?” soalnya laju.
Terjungkit kening Harris. “Dia siapa?”
“Zaza.”
“Buat apa saya nak belikan untuk Zaza? Kan saya dah cakap cincin kahwin. Zaza bukan isteri saya, awaklah.”
Okay, dia terkesima. Bergetar juga naluri wanitanya dengan ucapan itu. “Tak apalah, tak payah membazir. Lagipun kita tak lama macam ni. Simpan sajalah duit awak.”
Kali ini dia yang pandang Azreen. Dia nampak riak sedih yang bertamu di mata. Harris angguk-angguk kecil.
“Hari tu masa kita nikah, kita guna cincin Yan dan Q. Saya tak mahu. Kalau pun benar kata awak kita tak lama bersama, saya tetap berhutang satu cincin nikah dengan awak. Sekurang-kurangnya itu satu tanda yang kita pernah sama-sama berkorban demi keluarga kita.”
Berkorban? Apa, ingat ni hari raya korban ke? Azreen tunduk, matanya tilik cincin-cincin yang tersusun cantik. Mahal tapi menawan. Terima sajalah. Bila mereka berpisah nanti, dia jual, takpun pergi pajak gadai, hahahaha…gila.
“Reen, selagi awak bergelar isteri, saya buat yang terbaik. Bila kita dah ikut haluan masing-msaing nanti, itu cerita lain.”
“Okay, kalau macam tu, saya ikut apa yang awak nak.” Itu sahaja yang mampu dia katakan. Jangan ditanya hatinya, kerana satu perasaan mula mengusik jiwa perempuannya. Azreen, jangan tergoda dengan hati yang lemah!
Jemarinya ditarik Harris, lalu sebentuk cincin permata satu disarung pada jari manisnya. Dia gamam. Hatinya kembang. Matanya mula berkolam keharuan. Azreen, be strong!
“Padan pun. Cantik. Yang ini boleh?”
Dia jadi bodoh. Dia angguk.
Harris bangun, mendekati gadis jurujual itu dan berbicara entah apa butirnya. Dia cepat-cepat toleh, pandang ke arah lain. ‘Huh! Jangan termakan, Reen.Kau lupa di mana dia semalam?’
“Reen.”
Toleh, senyum.
“Jari manis.”
Dia bodoh lagi. Dia hulur jemari. Cincin itu mula masuk ke jarinya.
“Ini untuk awak. Saya tak mampu berikan hati dan perasaan saya, hanya ini yang saya mampu berikan,” tuturnya serba salah. Entah, dia sendiri tidak faham apa kena dengan dia. Kenapa dia perlu berikan Azreen cincin ini. Senyumnya dilakar lebar. Cantik dan terletak. Sesuai untuk Azreen.
Sweetnya, bertuah akak.”
Komen dua gadis jurujual itu buat dia hampir menghambur tangis. Kamu tak tahu apa-apa, dik. Dia hanya mampu senyum.
Hati lelakinya juga sedikit goyah. Wajah sayu Azreen buat dia rasa bersalah. Selesai mengambil resit, dia tarik tangan Azreen dalam genggaman lalu berjalan seiringan.
“Nak pergi mana lagi?” soalnya dalam seribu rasa. Jalur-jalur perasaan mula mengalir dalam urat dan darah, menggoncang kolam jiwa.
Harris senyum pandang dia. “Tengok wayang. The Conjuring 2. Lepas tu kita makan. Awak takut ke?”
Mahu tergelak juga dia. Dia, takut? Sorry naik lori!

I rasa you dah hilang akal la, Za.”
Zaza cebikkan bibir, hirup fresh orange perlahan-lahan. “Why? Sebab I ikut Harris sampai sini? Macam tu?”
Imelda angguk. Serius, dia terkejut. Bila Zaza hubungi dia, minta dia ke sini, dia tertanya-tanya. Tahu sahaja kenapa, dia double nganga.
Of course. Nampak sangat you yang terkejar-kejar. Masa dia ajak you kahwin hari tu, you tak nak. Bila dia dah kahwin, you naik minyak,” tukas Imelda serius. Dia memang tak faham dengan Zaza. Lelaki sehebat Harris, ada rupa dan kedudukan pun boleh dia lepaskan. Bukan dia tak tahu, Harris dambakan Zaza. Selalu saja ajak Zaza nikah, namun ditolak mentah-mentah.
“Kau tak faham ke? Dorang kahwin sebab nak jaga maruah family. Sebab si Q bodoh tu, tunang dia yang bangang tu buat hal. Settle nanti, Harris akan ceraikan isteri dia.”
Imelda lepaskan nafas. “Kalau aku cakap, kau jangan kecil hati. Masa aku tengok dalam blog, isteri Harris tu cantik, lemah-lembut. Muaz pun cakap macam tu.”
Zaza ketawa besar. “Tolonglah. Muaz tu semua perempuan cantik. Itupun kau heran ke?”
Imelda diam. Dia tahu, bertekak dengan Zaza takkan ke mana. Buang masa adalah. “Habis tu kau nak buat apa, stay sini sampai dorang check-out?”
Angguk. “Aku nak pastikan Harris tak sentuh perempuan tu. Dan aku nak perempuan tu tahu dan faham, Harris milik aku. Titik.”
Geleng sahaja dia mampu. Sudah habis usaha gamaknya si Zaza. “Habis sekarang Harris mana? Ada kat bilik?”
Soalan itu buat dia sedikit geram. “Tak. Dorang dah keluar. Harris nak entertain wife dia. I dah malas nak fikir, nak larang. I bagi dia layan wife dia. Malam nanti, dia ada date. With me.”
Mengeluh lembut dia mendengarnya. Harris dan Zaza sama-sama gila. Paling kasihan, isteri Harris. Kalau dia jadi isteri Harris, kahwin betul atau kahwin kerana keluarga ke, dia tetap isteri dan berjuang habis-habisan.
“Baik pula hati you, Za. Ingatkan you mengamuk sakan,” perlinya dengan senyuman.
Ketawa besar kali ini. “Oh Mel…kalau perempuan tu cari pasal, masa tu I keluarkan kuku. For now, just keep calm and chill.”
Imelda senyum. Biarlah, dia mahu tunggu dan lihat, siapa akhirnya yang akan ketawa.

Serius dia takut. Tak sangka seram pula cerita itu. Berapa kali dia sembunyikan wajah dibelakang bahu Harris. Yang lagi spoil, bila dia genggam tangan Harrris lama-lama. Bodohnya dia. Keluar tadi terus dia jalan laju-laju. Dalam panggung wayang tadi gelap, tak apalah. Ini di luar terang benderang, merah padam muka dia mesti bersinar terang.
“Awak nak pergi mana laju sangat tu?” Hairan dia melihat Azreen yang jalan menonong. Tadi bukan main takut, siap pegang tangan sana sini. Muka macam berani, sekali kecut hati juga rupanya.
Aduhhh…nak kena jawab ke. Azreen pakukan langkah, toleh sekejap. “Pergi toilet.” Dia terus pandang depan.
“Aik, awak takut sampai nak terkencing ke?”
Ya Rabbi…boleh tak kalau tak tanya soalan macam tu di tengah-tengah manusia yang bersimpang siur ini? Tak pasal-pasal ada beberapa mata yang pandang dia sambil tersenyum-senyum. Makan luku mamat ni nanti.
“Cepat sikit, saya lapar. Saya tunggu sini.”
Ya, tunggulah kat sini. Takkan nak tunggu depan pintu tandas, mangkuk! Dia cepat-cepat jalan. Lagi lama dia di situ, boleh berasap kepalanya.
Dia tergelak. Malu tu kot, tu yang laju semacam langkah Azreen. Telefonnya bergegar lagi. Dari dalam panggung wayang telefon itu beberapa kali bergegar.
“Ya, babe. You dah bangun tidur ke?”
Suara Zaza mendengus buat dia mahu ketawa. Dia pasti, gadis itu sedang marah.
You buat apa dari tadi I call tak angkat? You dah ada kat bilik ke?”
I dalam cinema. Ni baru je keluar. Kenapa call, you rindu ke?” tanya Harris lembut. Zaza perlu dia tenangkan.
“Sememangnya. Har…you jangan lupa malam ni. Kalau tak…”
Dia ketawa. “Babe, malam ni kita pergi dinner, okay. Tapi I tak nak melepak kat bilik you, boleh?”
Candlelight dinner?”
Dia mengeluh dalam hati. “Iya. Restoran favorite you, okay.”
Barulah terdengar suara Zaza ketawa.
“Okay, see you tonight. I miss you, Har.”
Ketawa lembut. “Me too. Take care, babe.”

Harris keluar lagi malam ini. Dia rasa dia tahu ke mana Harris pergi. Peluk lutut di sofa, dia renung cincin yang dibeli Harris hari ini. Ditenungnya lama cincin yang bakal jadi kenangan, tanda satu ingatan yang maha pahit. Tegar juga hati dia menerima aturan ini. Telefon di meja mula menjerit. Nombor siapa ni?
“Kak Reen…”
Mencacang dia berdiri.
“Yan!”
Suara Izyan menangis buat dia tak keruan.
“Yan, kau kat mana ni? Apasal kau nangis ni, Yan? Kau tak apa-apa?”
Suara itu masih beralun esak. Azreen pegang dada, cuba bertenang.
“Kak…Yan mintak maaf. Yan dah susahkan akak…”
Esak masih menyanyi dalam hiba.
“Yan tahu apa yang Yan buat susahkan semua orang, kak. Yan salah, kak…maafkan Yan…”
“Yan, akak faham. Akak cuma nak Yan balik sahaja, balik dengan selamat.” Baliklah Yan, supaya dapat akak tamatkan ikatan ini. Dia mula sebak.
“Yan takut, Yan tak mampu untuk balik lagi, kak. Bagilah Yan masa…”
Dia tak mampu memberi kata-kata.
“Yan tak kuat lagi untuk berhadapan dengan semua, kak. Dengan Q. Yan benci dia, kak…”
“Yan, Q tak salah. Yan dah salah faham,” pujuknya lembut. Dia tahu Izyan belum tahu apa yang dia tahu.
“Kak Reen…akak pun nak sebelahi dia juga? Yan kecewa.”
Talian dimatikan.
Aduhhh…macam mana ni? Dia hantuk telefon tangan itu ke dahi beberapa kali. Dia mendail kembali nombor telefon tadi.
“Yan?”
“Maaf kak, salah orang, kak.” Suara lelaki. Masih remaja mungkin.
“Boleh saya tahu ini siapa?”
“Saya Hakimi. Tadi ada sorang akak bagi saya sepuluh ringgit nak pinjam phone saya, kak.”
Izyan.
“Mana dia pergi?”
“Dia naik bas ekspres yang berhenti di RNR kat sini tadi, kak.”
“Kat mana ni?” soalnya gementar. Kau nak ke mana lagi Izyan?
“RNR Kuantan. Bas dia kalau tak silap saya menuju ke Kuala Terengganu.”
Yan? Kau mahu ke rumah atuk kah? Mana pergi kereta kau Yan? Azreen garu kepala, runsing.
“Terima kasih ya, Kimi. Maaf susahkan Kimi. Asslamualaikum.”
Dia matikan talian. Esok. Esok sesudah dia dan Harris check out, dia ke Terengganu. Dia mahu bawa Izyan pulang.

Penat. Lenguh kakinya mengikut jejak Zaza. Hari ini kerjanya hanya temankan Zaza membeli-belah dan makan-makan. Dia seronok Zaza ketawa, gembira. Sesekali dia tengok skrin telefon, bimbang ada panggilan yang tidak disedari.
“Thanks, Har. I’m so happy today. You memang kekasih yang baik.” Dia ambil tangan Harris lalu dikucupnya.
Harris pandang sekeliling. Nasib baik juga tiada mata yang memandang. Bukan dia tak suka, tapi sekarang ini dia sudah bergelar suami. Ada rasa bersalah terselit di lubuk hati. Bukan Azreen yang dia bimbangkan, dia risau tentang abah dan ummi, juga keluarga mertuanya.
Behave. Nanti ada yang nampak, susah I.”
Ketawa Zaza mendengarnya. Dia pandang jam tangan. “Jom balik hotel. Kaki I ni pun dah berdenyut-denyut. Mandi air suam dalam bathtub kan seronok. Barulah hilang lenguh. You join sama, nak?” soalnya menggoda. Sengaja dia kuntumkan senyum paling menawan.
Harris geleng, cubit pipi Zaza kuat-kuat. “Bila you dah jadi isteri I nanti, I join sekali. For now, no.”
Gadis itu juihkan bibir dan ketawa. “You yang rugi…”
Sekali lagi dia geleng. “Benda baik biar halal.”
Mengekek-ngekek Zaza ketawa. “You ni Har, luaran saja moden. Kat dalam? Macam pak haji. Kolot.”
Dia bangun, sendawa perlahan. “Tak apalah, at least I jaga you betul-betul. Jom, I memang nak mandi sangat ni. Maghrib pun tak lama lagi. Apa kata you mengadap Tuhan minta dipermudahkan segalanya. Urusan you, urusan I.”
Zaza buat muka batu. “Tengoklah.”
Harris mahu gelak. Boleh ke solat dibuat tengoklah, nantilah? Dia memang moden tapi solat masih dia jaga. Kata abah, kalau mahu masuk neraka direct tanpa halangan, janganlah solat. Biar dibakar api neraka terus, baru ada kelas. Dia ketawa sendiri. Itu kata abah. Dengar macam suruh tapi sebenarnya sinis. Zaman remaja kalau dia tak solat, merasa berbirat rotan di betis. Meleleh air mata jantan. Sampai di parkir kereta, dia jeling Zaza yang lena di kerusi sebelah. Ingatkan tak tahu tidur. Dia tolak gear dan berlalu.

Selesai makan malam bersama Zaza, dia kembali ke bilik. Azreen agaknya di bilik mandi. Di atas meja, dia lihat ada beberapa bekas makanan. Azreen pesan makanan agaknya. Dia duduk di sofa, rasa bersalah mula menyelubungi. Butang baju dibukanya satu persatu. Bunyi pintu dibuka buat dia toleh.
“Kenapa tak turun makan kat bawah?”
Mak! Bila jantan ni balik? Nasib baik dia pakai bath robe. Kalau dia keluar pakai tuala tadi mahu dia sembunyi bawah katil.
“Makan kat bilik lagi senang. Makan kat bawah sorang-sorang tak ada feel. Dah siap dating?” tanyanya selamba.
Harris sengih. “Awak cemburu?”
Uweekkk…mahu dia muntah hijau. Cemburu? Sorry naik lori lah wei…
Senyum simpul. “Tak. Lagipun awak dan Zaza sama cantik, sama padan. Macam betik dibelah dua.”
Harris tergelak. Suka hati perempuan ni mahu buat peribahasa ya. Tahulah cikgu tadika.
“Malam ni tidur kat bilik sebelah lah, kan?”
Terkejut dia. Pandang wajah Azreen yang tajam memandangnya.
“Kenapa pulak… bilik kita kat sini, saya tidur kat sinilah.” Takkan Azreen sudah tahu Zaza yang menginap di sebelah.
“Kelmarin buah hati awak jumpa saya. Saya tahu dia kat bilik sebelah…” Perlahan saja dia menutur kata. Kenapa pula hatinya terusik? Bukankah dia tidak kisah. Azreen capai baju, masuk kembali ke bilik air. Sambil menyarung pakaian, dia tarik nafas laju-laju. Kenapa dengan dia ni?
Harris peluk tubuh, tunggu Azreen di muka pintu.
Opocot! Ni apahal siap tunggu dia depan pintu, nak skodeng ke apa?
Dia buka tangan, halang laluan Azreen untuk keluar. Matanya jatuh pada sepasang mata Azreen yang masih merenungnya dalam terkejut.
“Awak marah?”
Marah? Mana ada. Nak marah buat apa, dia tahu Harris Zaza yang punya. Dia yang jadi orang ketiga. “Tak. Saya tahu siapa saya. Tepilah.”
Kejap tangannya di situ. “Siapa awak?” soal Harris lembut.
Telan liur lalu dia undur selangkah ke belakang. “Saya sekadar isteri di atas kertas. Dia selayaknya jadi suri hidup awak, bukan saya.”
“Masalahnya sekarang awak isteri saya. Atas kertas, atas sijil atau atas nama Tuhan, awak isteri saya. Awak betul tak kisah?”
Mahu menguji atau sengaja mahu buat dia marahkah? Azreen balas pandangan itu. “Kalau begitu, atas kertas, atas sijil mahupun atas nama Tuhan, awak juga suami saya. Sekurang-kurangnya, saya berhak dilayan seperti seorang isteri.” Eh, apa dia cakap ni? Sudah kerasukan kah dia?
Terjungkit kening Harris mendengarnya. Dia masuk ke dalam, kunci pintu bilik air itu. “Layanan yang macam mana yang awak harapkan?” Dalam suaranya menyoal.
Nah Azreen! Memandai sangat cakap yang bukan-bukan. “Awak jangan salah faham. Maksud saya sekurang-kurangnya jagalah hati saya. Saya tahu Zaza permaisuri hati awak, tapi sampai ikut ke sini, siap menginap di bilik sebelah, memang saya tak sangka. Jangan salah faham, saya tak cemburu, saya cuma kecil hati.”
Dia senyum, sandar pada pintu. Ribut resah pada wajah Azreen buat dia rasa tersentuh. Kenapa dengan dia?
“Saya juga.”
Azreen jeling, ramas tangan dalam gentar. “Apa maksud awak?”
“Saya juga mahu dilayan dihormati sebagai suami. Tak bolehkah?”
Dia kelu. Mahu apa Harris dengan dia sebenarnya? “Baik. Selagi kita terikat dengan gelaran ini, saya akan cuba jalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin. Dan awak…kalau boleh pergilah tempat untuk memadu asrama, jangan depan mata saya.”
Harris berdekah-dekah ketawa. Memadu asrama? Memang lawak betul si Azreen ni. Bila dia tenang, dia senyum. “Maksud awak memadu asmara?”
Merah pipinya. Macam udang kena bakar, takpun terlebih pakai blusher. “Salah cakaplah.” Macam mana pula boleh dia tersalah cakap, nampak sangat dia gabra. Wajah mengejek Harris bikin dia geram.
“Saya nak keluar.”
Harris masih tercegat, bersandar tenang pada muka pintu. Kemejanya dilurut, sangkut pada besi penyangkut yang sedia ada.
“Awak nak buat apa ni?!” Gamam dia melihat Harris mulai meleraikan tali pinggang. Ya Allah, selamatkanlah dia!
“Saya nak mandilah, takkan nak tidur sini kot,” balasnya dengan wajah paling selamba.
Terbakar rasa hati. Selam kepala dalam sinki ada yang tak pasal-pasal mati. Haishhh! “Kalau ya pun, bagilah saya keluar dulu.”
Dia capai tuala yang terlipat kemas dihujung ruang. Perlahan dia lurutkan seluar dengan tuala yang menutup separuh badan. “Bukan awak cakap nak layan saya macam suami ke?”
Hooo…kau memang cari nahas. Nak merasa tempelengan dia agaknya. Azreen pusing belakang. “Bagi saya keluar!”
“Mandikan saya dulu.”
Aduh tongongnya!
Bila dia toleh, Harris tercegat dihadapannya. Hanya bertuala, tersenyum-senyum macam orang hilang akal.
“Mandikan saya.”
Ini tak boleh jadi. Tanpa fikir, dia pijak kaki Harris kuat-kuat. Mengaduh lelaki itu. Dalam kesempatan itu, pantas dia membuka kunci dan berlari keluar. Fuh, lega. Bunyi Harris mengaduh kesakitan masih kedengaran. Padan muka!
“Reen…”
Dia toleh, angkat penumbuk.
“Jangan ingat saya lepaskan awak. Ada cockroach ada lipas, ada peluang saya balas.”
Entah, dia pun sudah sama naik gila agaknya kerana dia bantai gelak mendengar lelaki itu berpantun. Harris juga. Dalam ketawa, mata bertaut.
Diam.
Kelu.
“Awak tidurlah dulu kalau mengantuk.”
Cepat-cepat dia angguk, pusingkan badan. Ni jantungnya, dah kenapa? Kenapa berdegup pantas dan menjerit-jerit? Azreen pegang dada, tarik nafas panjang-panjang. Bertenang Azreen, sila bertenang.

Dinginnya. Comforter itu ditariknya ke muka. Kenapa sejuk sangat? Perlahan-lahan dia buka mata. Semua lampu dipadamkan kecuali lampu di hujung bilik. Itupun balam-balam cahaya. Harris tiada agaknya. Mungkin sedang memadu kasih di bilik sebelah. Dia ketap bibir, tarik comforter sekali lagi.
“Kalau ya pun janganlah guna sorang-sorang. Saya nak selimut dengan apa, dengan tuala?”
Mak kau Bumblebee! Nasib baik dia tidak melompat dari katil. Ala siutnya…bagi salam dulu boleh tak!?
“Kenapa awak ada kat sini?” desisnya perlahan. Macam mana dia boleh tak terperasan dengan mamat ngok ngek ni?
Tersenyum-senyum dia dalam cahaya yang sedikit. “Kan saya dah cakap, ini bilik kita. Memanglah saya tidur sini. Yang awak pun, tidur peluk saya bagai kenapa? Sejuk sangat ke?”
Peluk? Bila dia peluk? “Mana ada saya peluk awak…eee…tolonglah…”
“Kalau bukan peluk, ni apa?” Harris pegang tangan Azreen yang erat memegang lengan kirinya. Sewaktu tidur tadi, dadanya yang jadi sasaran Azreen.
Oh mambang tepung bunga! Patut pun rasa suam-suam panas saja tadi. Adoiii Azreen…apa kau buat ni?
Cepat-cepat dia tarik tangannya. Kalaulah Harris boleh nampak, memang merah padam wajahnya.
“Saya tak sengajalah. Tindakan refleks,” tukasnya dalam gagap. Eee…mencacang bulu roma dibuatnya.
Tergelak kecil si Harris. Dia sandarkan tubuh pada kepala katil, peluk bantal. “Saya suka.”
Suka? “Suka apa?” soalnya pula, pandang Harris kebil-kebil.
Menyeringai. “Kena peluk.”
Ehhhh…dia ni. Makan tapak kaki karang malam-malam buta ni. “Kalau suka sangat, pergilah peluk Miss Zaza, buah hati awak kat sebelah.”
Harris baring di katil, peluk bantal kuat-kuat sambil buat muka kecewa. “Dia bukan isteri saya lagi. Kalau dah jadi isteri saya, tahulah saya nak buat apa. Setakat peluk buat apa, tak ada feel. Saya boleh buat lebih dari tu. Nak saya tunjukkan?” soalnya nakal. Matanya sudah macam Puss in Boots, miang amat.
Bueekkk! “Tak payah. Saya nak tidur.” Azreen tarik selimut, tutup habis sampai ke kepala. Satu lagi bantal dia letakkan di tengah-tengah. Memang ada yang nak makan tapak kaki.
Menggelegak dia ketawa. Matanya hanya perhatikan Azreen yang berselimut dari hujung kepala hingga ke hujung rambut. Tidak lama kemudian, Azreen sudah lena. Harris capai telefon, baca mesej Whatapps yang dihantar Zaza bertalu-talu. Dia tahu gadis itu sedang marah. Biarlah. Dia bukan tidak mahu menemani Zaza, dia bimbang. Dia masih lagi lelaki, punya tarikan dan nafsu. Nantilah, sah sahaja Zaza jadi miliknya nanti, dia pasti melayan Zaza umpama permaisuri. Untuk masa sekarang, dia dan Zaza perlu bertenang. Tika berjalan. Sedari dia jam hampir menginjak jam dua pagi. Bila saja dia mahu pejamkan mata, serasa ada tangan melingkari dada. Harris tergelak. Hilang bantal di tengah, Azreen kini erat memeluk dia. Harris letakkan kepala di bantal, lalu pejamkan mata. Biarlah, biarlah Azreen menumpang haba untuk malam ini. Harris lelap dengan senyuman yang tidak disedari.

Mujur. Mujur masa berlalu begitu pantas. Selesai sarapan bersama di bilik, cepat-cepat Azreen kemaskan pakaian. Tidak betah dia berlama-lama di hotel ini. Dia segan. Bangun dari tidur pagi tadi, barulah dia sedar Harris yang menjadi bantal peluknya. Nasib baik lelaki itu lena tidurnya, lega dia. Perlahan saja dia leraikan pelukan dan ke bilik mandi. Kalau Harris tahu, empat puluh hari empat puluh malam diungkit lelaki itu agaknya.
“Reen.”
Panggil diakah?
“Ya, saya.”
Harris gosok tengkuk. Riak serba salah terpamer pada wajah. “Kalau saya panggilkan teksi untuk awak balik boleh?”
Ohhh…
“Boleh. Awak ada urusan lainkah?” tanyanya bersahaja. Dia bukan kisah. Naik teksi pun boleh, takkan nak minta naik limousine.
“Errr…” Aduhai, perlu berterus-terang atau dia pusing kenyataan jadi jawapan yang menyenangkan?
“Zaza perlu ke KLIA. Saya nak hantar dia ke sana.”
Ohhh… (berapa kali ohhh daa…)
“Tak apalah. Saya faham. Boleh izinkan saya balik rumah keluarga saya dulu. Saya nak jumpa ibu. Nak tanya khabar Izyan.” Dia pandang beg yang sudah rapat tertutup. Benar, dia mahu jumpa ibu, dia rindu.
Harris labuhkan duduk di sebelah Azreen. Diam pandang tangan. “Saya minta maaf. Sepatutnya saya hantar awak.”
Kelu juga seketika. Langsung dia tidak menatap wajah Harris. “It’s okay.”
“Awak balik dulu. Selesai urusan saya nanti, saya balik ke sana juga.”
Dia angguk, diam tanpa kata.
Perlahan dia bangun, bawa begnya bersama. “Saya gerak dulu. Nanti di lobi saya akan panggilkan awak teksi.”
Angguk lagi. Sebak menyerbu. Ingat Reen, cerita ini bukan benar, hanya sementara. Tidak perlu berlebihan emosi. Bila Harris tutup pintu, dia berteleku sendirian di sofa.

Sang suria bersinar indah. Sesekali sentuhannya mengusap wajah. Azreen betulkan tudung, tercegat di sebelah pintu utama di lobi. Bunyi kereta masuk ke perkarangan hadapan lobi buat dia toleh.
Harris.
Bunyi tumit kasut menghentak lantai di hadapan pintu utam juga buat dia pandang seketika.
Zaza yang jelita. Blouse putih dan jeans biru, Zaza dilihatnya keluar dari lobi dengan langkah yang sempurna. Bagasinya ditarik ke arah sebuah kereta yang sedia menunggu. Kereta Harris.
Cepat-cepat dia toleh ke belakang, sembunyikan diri di balik beberapa tubuh di hadapannya. Bunyi Zaza ketawa umpama satu tembakan yang bertalu-talu ke jantung. Biarlah. Biarlah dengan mereka. Untuk apa dia mahu terasa, bukan?
Harris sarungkan kacamata hitam dan tolak gear. Dia tahu, dia nampak Azreen yang bersembunyi di sana. Sedikit keluh kesal dia lepaskan.
“Okay darling, let’s go.” Zaza paut lengan Harris, lentokkan kepala pada bahu lalu ketawa riang.

Gear ditolak. Dia jeling sekali lagi sewaktu kereta itu mula bergerak. Azreen masih di situ. Harris lepaskan nafas, tekan miyak dan berlalu.