Wednesday, 5 April 2017

BAB 8 Cik Reen dan En.Ngok Ngek mai dahhhh....

BAB 8 : Cik Reen dan En. Ngok Ngek.

Malam tiada berbintang. Hawanya juga terasa sedikit panas mengcengkam kulit. Azreen buang pandangan ke langit. Kelam. Mahu hujankah? Dia memeluk tubuh, memaku diri di seat kereta. Hampir sembilan empat puluh lima malam baru mereka bergerak. Dari saat itu juga dia tidak bersuara. Malas mahu bicara dengan lelaki itu. Lebih baik begini, bukan? Telefon tangannya bergegar. Ibu.
“Assalamualaikum. Reen dah sampai mana?”
“Waalaikumussalam. Reen baru nak masuk highway Gombak, bu. Baru sekejap bertolak dari rumah ummi.” Dia jeling Harris yang tiba-tiba berdehem.
“Ohh…kamu drive?”
“Tak. Har.”
Harris jeling sedetik dua.
“Nanti kalau ada apa-apa, maklumkan pada kami. Baik-baik memandu. Semoga Allah permudahkan urusan kamu berdua.”
“Inshaa Allah. Terima kasih, bu. Sampaikan salam kami pada ayah.” Dia matikan panggilan, mengeluh kecil. Alhamdulillah, datang sedikit kekuatan dari kata-kata ibu. Mahu mengharap lelaki di sebelah ini, kiamat pun belum tentu.
“Ibu cakap apa?” tanyanya sekadar mahu mengambil tahu.
“Cepat balik, cepat siap.”
Harris jeling. Biar betul. Itu sahajakah?
“Serius, Reen…ibu cakap apa?”
Dia mendengus, melirik pada lelaki itu dengan tajam. “Cepat balik, cepat siap.”
Aduhhh…cari gaduh ke ni?
“Reen, kita ni berdua sampai ke Terengganu. Jauh lagi perjalanan kita. Kalau awak nak buat perangai, nak ikut kepala angin awak, fine. Buatlah.”
Hai, dia pula yang disalahkan? Melampau.
“Encik Harris. Saya memang tak nak cari pasal, tak nak bertekak dan kalau boleh tak nak bercakap pun dengan awak. Macam saya cakap tadi, cepat kita siap, cepat kita berpisah. Bukan itu ke matlamat awak?”
Dia mahu buka mulut namun panggilan masuk dari telefonnya buat ia tergendala.
“Hello sayang…”
Azreen palingkan wajah, mahu saja dia muntah hijau di situ. Bueeekkk!
“Ya, dah bertolak.”
Harris ketawa kecil.
“Ya, Saya jaga diri, jaga tangan, jaga mata.”
Ketawa lagi. Eeee…berbulu lubang telinganya. Bimbang sangat. Harris suami dia, suka hatilah mahu buat apa pun. Dia mahu raba ke, peluk ke, cium ke, boleh saja kan? Cuma dia masih ada otak, boleh berfikir. Kalau orang tak hendak, manakan mahu dia terhegeh-hegeh. Boleh blah naik bas!
“Okay, take care. Love you too, baby.”
Azreen buat-buat tak dengar. Dia pejamkan mata. Entah, kenapa jauh disudut hatinya, ada ribut perasaan yang datang bertimpa-timpa. Tak masuk akal, takpun kepalanya yang tak betul.
Melirik matanya pada Azreen yang diam di seat sebelah. Mungkin tidak sepatutnya dia begitu, di hadapan Azreen, isterinya. Harris mengeluh dalam hati. Sampai saja di tol Gombak, hujan turun mencurah-curah. Lebat.
Dia buka sedikit kelopak mata yang sengaja ditutupnya tadi. Hujankah? Luaskan lagi bukaan. Hujan, sememangnya hujan mulai menghempaskan diri. Azreen kembali pejamkan mata. Sampai di Terengganu nanti, baru dia mahu kembali ke dunia nyata.

Ehhh…kenapa dia terasa lain macam? Bergegar-gegar tubuhnya di kerusi. Luas biji matanya mencari kepastian. Harris yang sedang memandu juga dilihatnya sedikit cemas. Azreen tegakkan badan, lihat kiri kanan. Hanya kereta mereka saja yang sedang meredah hujan. Sudah di mana mereka?
“Kenapa ni?” Cemas juga dia. Sudahlah dalam hujan lebat, kawasan pun gelap semacam. Aduhai…
Harris perlahankan kereta, bawa kereta itu ke lorong kecemasan. Dia garu kepala. Mahu keluar, hujan masih melantun laju.
“Tayar bocor. Macam langgar sesuatu. Nanti saya keluar tengok.” Betul. Dalam satu kilometer tadi dia terasa tayar mula beralun dan bergegar-gegar.
“Hujan ni, tunggulah dulu.”
Mahu dia tersenyum. Ingatkan dah tak kisahkan dia. “Ada payung?”
Azreen diam seketika. “Kejap, rasanya ada satu kat bawah seat belakang.” Dia menggagau, menarik payung kecil itu lalu dihulurnya pada Harris.
“Awak tunggu sini.”
Azreen gulingkan biji mata. Hujan-hujan begini mana dia mahu pergi, tolol. Tidak sampai seminit, Harris kembali ke perut kereta. Muram.
“Tayar kena besi. Besi apa entah. Bocor. Kena tukar tayar ni.”
Aduhhh…tayar bocor pula. Dia garu kepala. Mahu minta Harris tukarkan pun hujan masih mencurah-curah.
“Macam ni, saya nak letakkan kon kecemasan kat belakang sana kejap. Awak ada kan?”
Dia angguk. Ada kot dalam bonet kereta.
“Nanti, bila hujan berhenti saya tukar tayar. Kereta ni pun kena ke tepi lagi, bimbang dalam hujan ada yang tak nampak. Sebelum tu, kita duduk dulu dalam kereta. Kalau nasib kita baik, peronda LPT datang, kita minta tolong.”
Angguk lagi. Buatlah apa yang patut, dia ikut sahaja. Kalau mahu dia pegangkan payung pun boleh. Harris kembali ke kereta, bawa kereta itu jauh ke tepi.
“Tayar spare ada kat bonet?”
Azreen angguk.
Ehh! Dia geleng. Allahuakbar!
“Ada ke tidak?” Kali ini Harris menyoal lagi. Yalah, tadi angguk, sekarang geleng. Wajah Azreen pula dilihatnya kepucatan.
“Tayar spare memang ada. Tapi alat-alatnya yang tak ada. Hari tu kawan Reen pinjam masa tukar tayar kereta dia, lupa letak balik dalam kereta.”
Harris tepuk dahi. Yalah, tayar ada, alatnya tak ada nak buat macam macam. Takkanlah dia mahu minta Azreen angkat kereta, mahu patah riuk anak orang nanti. Dia garu kepala.
“Kalau macam tu, kita tunggu sajalah dalam kereta. Harap ada peronda LPT datang nanti.”
Gulp. Dalam kereta, berdua dalam hujan dengan lelaki ini? Hohoho…seram sejuk dia. Dia jeling Harris yang kembali menyandar pada seat kereta. Nampak riak kecewa menjalar pada wajah itu.
“Saya minta maaf.”
Harris toleh, tertanya-tanya dengan ungkapan itu.
“Kalau saya tak lupa ambil balik jack tayar dengan alat lain tu mesti tak ada masalah.”
Lelaki itu garu pipi. Serba salah pula dia. “Tak apalah. Nak buat macam mana, awak lupa.”
Dia debik juga muka mamat ni. Tadi kan dia dah minta maaf. Memang dia lupa.
“Sebab tu saya minta maaf.”
“Maaf awak tak perlu.”
Kalaulah bukan kerana hujan yang bertimpa-timpa, mahu saja dia tendang lelaki itu keluar. Membara hatinya dalam dingin penghawa dingin.
Nah, tersimpul hujung mulut si Azreen. Mahu dia gelak namun hatinya melarang.
“Awak ni memang cepat emosi, kan?”
Apakah?
Apakah lelaki ini mahu menguji, cari gaduh atau memang bodoh?
Dia diamkan diri.
Harris tahan gelak lagi.
“Kenapa awak setuju nak nikah dengan saya, Reen? Serius. Kalau semata-mata kerana mahu selamatkan air muka famili, saya rasa tak.”
Ya Allah…tak habis-habis lagi dengan soalan inikah? Sudah kenapa dengan si Harris? Apa, dia nikahi Harris kerana dia jatuh cinta dengan lelaki ngok ngek ni? Hohoho…tolonglah. Dia rela jilat tapak kaki sendiri.
“Awak tanya saya? Kalau saya tanya awak, apa pula jawapan awak?” Dia jeling Harris yang tersenyum-senyum.
“Saya anak lelaki, sememangnya saya kena taat dan kena penuhi hasrat ibu bapa saya,” jawabnya selamba.
Kepala otak berjambul dia! Anak lelaki saja ke yang kena taat? Yang perempuan boleh derhaka cari bala? Jangan nak lembukan dia lah!
“Awak ni memang ego panjat langit, kan? Saya nikahi awak kerana keluarga saya. Kerana ibu saya yang dah tak mampu menanggung airmata, menanggung beban memikirkan cakap-cakap orang yang pasti keluar jika majlis tu tak jadi, tak langsung. Saya tak pernah fikir benda lain, Encik Harris.”
Senyum dia. “Bukan kerana awak jatuh cinta pandang pertama?”
Uweekkk! Perlukah dia muntah hijau di sini? Muka kau saja hensem, perangai macam buntut ayam. Boleh blah!
“Saya tak kan jatuh cinta dengan kekasih orang, Encik Harris. Pantang tuk nenek saya.”
Harris ketawa. “Kekasih orang je pun, bukan suami orang.”
“Yalah. Masalahnya sekarang ni suami saya ada kekasih.”
Nah, padan muka dia. Bertempek kena batang hidung sendiri. Harris peluk tubuh. Hujan kian menggila. Siap ada drama kilat sabung-menyabung di luar sana. Bila panahan kilat memancar dan diiringi petir yang mengaum berhampiran kereta mereka, dia ternganga. Mahu tidak, Azreen menjerit sekuat hati. Berdengung telinga dibuatnya.
Astarghfirullahalazim…
Jantungnya masih berdentum-dentam di dalam kotak dada. Azreen beristighfar beberapa kali. Ya Allah, masih terbayang panahan kilat dan petir yang meragut nyawa teman sepasukan hoki di universitinya dahulu. Dia ngeri.
“Awak ni kenapa?” Bimbang dia melihat Azreen yang kepucatan. Lagi kalut bila Azreen mula memanjat seat depan lalu humban diri ke belakang. Dia lihat Azreen peluk lutut, kecilkan diri umpama kucing bergulung melindungi diri.
“Reen, kenapa dengan awak ni?” Risau juga dia. Takut sangat ke dengan kilat tadi? Kilat saja pun, biasalah kalau hujan-hujan begini.
Dia masih membisu. Tiada kekuatan untuk menutur bicara. Menggigil badannya menahan ngeri dan juga dingin yang kian mengcengkam.
Nafasnya ditarik panjang. Mahu tak mahu, dia juga memanjat ke kerusi belakang. Apa dia nak buat ni? Harris garu kepala. Perlahan-lahan dia raih tubuh Azreen, peluk gadis itu erat-erat. Matanya kian laju buka dan tutup, mengantuk. Entah minit ke berapa, Harris berlayar ke alam mimpi.
Azreen kakukan diri. Pelukan hangat Harris buat dia lupa sebentar segala ketakutan. Masalahnya sekarang, macam mana dia mahu lepaskan diri. Apa si Harris ingat dia bantal peluk, teddy bear? Azreen cuba leraikan rangkulan namun tangan kejap Harris masih kuat membelenggu. Aduhhh…macam mana ni…tidur sajalah.

Bunyi cermin kereta diketuk kuat beberapa kali buat matanya pejam celik. Harris menggeliat. Lenanya dia tidur. Maklumlah berselang hujan dan dingin. Ada pula teman.
Teman?
Matanya terbuka luas, tengok tangan sendiri yang enak merangkul Azreen yang juga masih lena di kerusi itu. Tidur mati macam batang kayu.
Cermin kereta itu diketuk lagi. Harris pandang jam pada dashboard. Sudah jam satu dua puluh pagi rupanya.
“Hoi, mung wat gape tu ha?! Buka pintu ning…”
Terkejut dia. Siapa tu? Harris cepat-cepat bangun dan panjat ke seat depan. Melalui cermin yang masih bersisa basahnya hujan, dia nampak dua susuk tubuh. Salah seorang darinya memegang lampu suluh.
“Aku tanya nim, mung wat gape sakning. Ada orang puang ke belakang tu? Mung wat maksiat ke hah?!”
Apa benda yang mamat ni cakap? Harris garu kepala. Dia toleh belakang, tengok Azreen yang juga sudah bangun dalam keadaan terpinga-pinga.
Dia turunkan cermin kereta sedikit. Dalam balam cahaya, nampak wajah yang bertanya. Terbeliak juga Harris melihatnya.
Ni Zizan Razak ke?
Dia tampar pipinya beberapa kali.
“Heh! Bakpe mung tapor pipi mung? Mari sining aku nok tapor ke mung. Tu tu, sape belakang tu? Awek mung ke? Mung wat nape tengah malam buta tengah-tengah matlok ginim nim hah!? Mung tahu dop aku sape? Aku polis tahu. Inspektor Hasani!”
Serius dia tak berapa nak faham. Laju sangat si Zizan Razak ni bercakap.
“Dia tok laki ambe, tuan. Kete kami bocor tayar. Tayar spare ada, jack tayar pulok takdop. Nok tukor dok buleh, tuan.”
Okay. Dia silap dengarkah?
Mula-mula lelaki yang muka sebiji macam Zizan Razak ni cakap dia Inspektor Hasani.
Kedua, Azreen yang tiba-tiba speaking bahasa yang dia tak sempat nak hadam.
“Ohhh…orang Ganu ke? Bakpe dok kabor awal-awal. Nasib baik aku dop tang pale budak jatan nim…”
“Tu lah engkau, orang belum sempat cakap kau dah kalut-kalut nak belasah. Havoc sangat,” sampuk lelaki yang seorang lagi.
Okay, Harris gosok biji mata beberapa kali. Yang tadi muka macam Zizan Razak. Okay, fine. Masalahnya sekarang, yang seorang lagi ni muka dia sebijik macam photostat muka Shahiziey Sam. Dia mimpi ke dia kena rasuk?
“Inspektor Khai. Khairul,” hulur lelaki itu sambil senyum.
Mahu tak mahu, Harris sambut salam itu. Panas. Oranglah kan, takkan hantu kot.
“Harris.”
Inspektor Khairul senyum sekali lagi. “Dari mana?”
Dia buka pintu, keluar dan bersandar pada kereta. Azreen juga sama. Mereka saling berpandangan.
“Mung paham dop ye tanya menda, boh?”
Harris angguk. Mamainya sudah mulai hilang. Ni dialek Terengganu kan. Dia tahu sebab dia sudah empat kali menonton filem Polis Evo. Sekarang ini rasanya mamainya mahu datang balik. Si Inspektor Hasani dan Inspektor Khairul ni memang manusia ke?
“Faham…tapi sebelum tu, boleh saya tanya sikit?” soalnya cepat-cepat.
“Mung nok tanya nape, tanya lalu.”
“Tuan berdua ni bukan Zizan Razak dan Shahiziey Sam yang berlakon filem Polis Evo tu ke?”
Tiba-tiba sahaja Inspektor Hasani itu tergelak sambil tepuk-tepuk kereta. Amboi, kelakar sangat ke soalannya?
“Aku cerite deh, Khai. Ginim boh, cerita tu memang cerita tentang kami. Acu mung tengok muka aku. Aku smart lagi dari Zizan Razak tu, mung paham dop. Hidung aku mancung lagi dari dia. Tu, tu…Khai adik ipar aku. Smart dia lagi dari Shahiziey Sam. Memang cerita tu cerita kami, tapi hok berlakon tu mitop maaf kabor, jauh kambing dari manggang. Smart kami lagi boh…”
Dia dengar Azreen mengekek-ngekek ketawa. Azreen memang faham kot.
“Betul tak, Khai?”
Lelaki itu mengangguk sambil tersenyum-senyum.
“Okay. Sekarang ning, cuba story bakpe kereta mung duduk cokoh tengah matlok ni. Apahal?”
Dia jeling Azreen, mohon pertolongan dan belas kasihan.
“Macam ni ceritanya…”

Selesai saja dia berterus-terang, semuanya sepi seketika.
“Habis tu, korang nak buat report polis ke macam mana?” tanya Inspektor Khairul.
Azreen geleng. “Saya rasa tak perlu tuan. Lagipun mereka berdua bukan hilang kena culik ke apa, masing-masing cuba cari ketenangan.”
“Bodoh jugop adik mung dua orang nim. Wat menyusohkan orang. Mujur bukan adik aku. Kalu adik aku, merasalah makang tapok kaki.”
Gelak juga Azreen. Hooo…memang lepas ni Izyan dapat tapak kakinya. Tunggu masa sahaja.
“Ginilah, kita tukor tayar dulu. Jack dengan alat ada hok kereta aku. Kami pun nok derah jugop, ni adik ipor aku gelepor rindu ke bini dia. Ni mamat hensem, mari tolong aku.”
Harris tunjuk diri sendiri. “Saya?”
“Holah…mung hensem, aku kacok. Mari tukor tayar, kang aku ngorat bini mung dop pasal.”
Azreen ketawa lagi. Alhamdulillah. Nasib baiklah ada pertolongan. Selepas beberapa lama, selesai semuanya. Dia melepaskan nafas lega. Sudah hampir dua setengah pagi. Bolehlah mereka teruskan perjalanan.
“Inspektor Hasani, Inspektor Khai…terima kasih atas bantuan tuan berdua. Terima kasih sangat-sangat.”
Keduanya tersenyum lebar.
“Memang sudah jadi tanggungjawab kami untuk menolong. Lagipun kebetulan kami ada apa yang diperlukan. Kami harap korang selamat sampai ke Terengganu nanti.”
Harris angguk, hulurkan tangan. “Inshaa Allah, terima kasih tuan.”
“Ni, molek sikit drive malam-malam ni. Jupe hantu baru mung tahu. Kami gerok dulu deh. Reen, abang Hasani jalan dulu. Comel Reen. I like,” usik lelaki itu nakal.
Ketawa besar Azreen. Ada-ada saja. Berdecit kereta Subaru hitam itu membelah lebuhraya nan sunyi. Azreen senyum lebar. Alhamdulillah. Nasib baik. Kalau tidak, mahu pagi esok mereka tersadai di sini.
“Senyum bukan main. Seronok sangat ke kena mengorat tadi. Lupa dah ada suami?”
Hai, sindir diakah? Mengaku pula mamat ngok ngek ni yang dia suaminya. Bahahaha…gelak dalam hati.
“Senyum tu sedekah, Encik Harris. Orang dah menolong, apa salahnya kita senyum. Tak luak pun.”
Menjawab. Malas dia kalau dengan perangai Azreen. “Dah, kita teruskan perjalanan. Nanti apa lagi yang menunggu malam-malam buta macam ni. Apa dorang cakap tadi, highway ni banyak hantu? Hantu konon? Mana, mana hantu?”
Terbeliak mata Azreen mendengarnya. Nanti kalau dia lempang muka si tongong depan dia kecoh pula satu Malaysia. Dia labuhkan duduk sewaktu Harris hidupkan enjin kereta.
“Boleh tak awak jangan celupar sangat. Kita ni entah kat mana, tengah malam pulak tu. Cuba mengucap sikit,” tegurnya separuh berang. Kalau mulut tu mahu ngok ngek sangat, tengok keadaanlah. Jangan main pakai cakap lepas. Kena sekali melalak habis tanah.
Pedal minyak ditekannya. Meluncur kereta itu dalam pekat malam. Beberapa buah bas ekspres juga terlihat sekilas di lebuhraya. Laju macam roket.
“Lain kali tolong prihatin sikit dengan kereta. Perempuan macam tu lah, pandai drive saja. Isi angin tayar kereta pun tak tahu.”
Eee…geram pula dia. “Saya tahulah. Awak tu, pandai cakap orang. Tu, kereta awak, kenapa tiba-tiba masuk bengkel? Awak tak pandai jaga ke?”
Harris senyum sinis. “Kereta saya masuk bengkel sebab saya nak servis. Servis major. Saya servis ikut jadual, Cik Reen. Faham?”
Eleh, menipu la tu kot. Kalau diri sendiri cepat saja tangkis serangan. Dia peluk tubuh, sandar pada kerusi. Azreen tekan punat on, mahu dengar radio. Layan lagu lagi baik dari dengar mamat ngok ngek ni membebel. Matanya pun sudah pejam celik. Eh, bukan tadi dia dah membuta ke, apahal mengantuk lagi ni?
“Kalau nak tidur, tidur je lah. Bukan saya nak apa-apakan awak pun.”
Cepat-cepat dia luaskan mata, jegil pada Harris yang tersenyum senget. Elehhh…beranilah buat apa-apa pada dia, tending keluar nanti. Meraunglah kau di lebuhraya. Eh, macam tajuk lagu pula ya.
 “Awak tak apa ke drive kalau saya tidur?” soalnya ingin tahu. Bukan apa, ayah pantang kalau masa dia drive jauh-jauh, semua membuta. Sebab itu ibu dengan dia bergilir-gilir berjaga. Kalau Izyan, kereta gerak sahaja terus nganga, tadah rahmat dalam lelap. Hampeh.
“Saya drive saja Cik Reen oiii…bukan bawak jet. Pilot pun cool je bawak plane. Tu atas langit tu. Atas highway cam gini apalah sangat.”
Amboi…riak abadi sungguh. Kalau ada nenek mahu kena tonyoh mulut tu, celupar.
Fine. Kalau macam tu, saya tidur.” Cepat-cepat dia peluk tubuh, pejamkan mata. Dia buka sekejap, intai Harris. Terkejut dia.
“Apa pandang-pandang?”
“Tu, taik mata tadi pun ada lagi. Nanti jangan sampai keluar air liur basi pulak.”
Ohhh…melampau. Hisshhhh! Sabar, Azreen. Sabar itu separuh daripada iman. Sabar, bertenang. Jangan cakap apa-apa.
“Biasalah, orang cantik memang macam tu,” balasnya automatik. Wei! Kau dah kenapa mulut?!!
Tergelak juga Harris. Confident level minah ni memang tinggi amat. Dia gelak lagi. Dia pandang depan, fokus. Bila dia jeling sekali lagi, Azreen sudah pejam mata. Tidur betul-betul ke tu? Pedal minyak ditekannya sedikit kuat. Malam, laju sikit pun tak apa. Nasib baik tadi dapat juga dia lelap, sekurang-kurangnya hilang sudah mengantuk. Dia jeling jam pada dashboard. Baru dua lima puluh dua pagi. Sempatlah sampai dalam jam enam pagi mungkin.
Allahuakbar!
Nasib baik dia sempat menekan brek. Berdecit juga tayar dibuatnya. Nasib baik tak terhumban sekali lagi kereta itu ke tepi jalan.
“Ya Allah!!! Kenapa Har?!” jerit Azreen dengan wajah maha pucat. Nasiblah dia pakai tali pinggang keledar, kalau tidak mahu juga dia terhantuk pada dashboard. Lagi kejam, tercampak keluar dari kereta ini. Tangannya urut dada, mencari nafas yang hilang. Dia jeling Harris yang kelihatan sedikit bingung dan juga terkejut.
“Har. Harris!”
Harris toleh, telan liur.
“Kenapa, tayar bocor lagi ke?”
Dia cepat-cepat geleng. Perlahan-lahan dia undurkan kereta, nyalakan lampu kecemasan dan istighfar dalam hati.
Apahal ni? Jangan cari pasal, jantung dia yang tercabut tadi pun baru nak bertenang. Azreen tunjal bahu Harris kuat-kuat.
“Awak dah kenapa?” soalnya perlahan.
Telan liur, macam pasir. Kering tekak agaknya dia. “Reen, ada air mineral?”
Azreen angguk, pantas gagau botol mineral yang ada bawah seatnya lalu dihulurkan pada Harris. Bulat matanya bila Harris teguk air mineral itu sampai habis dalam beberapa saat.
“Awak tak apa-apa ke? Kenapa dengan kereta saya?” tanyanya gusar. Enjin kereta masih hidup, elok lagi kot. Takkan tayar yang baru tukar tadi meletup pula.
“Tadi…”
Ya tadi.
“Masa saya drive…”
Okay, masa dia drive
“Ada sesuatu melintas.”
Ada lembu melintas. Sesuatulah…bukan lembu. Pembetulan. Ada sesuatu melintas. Sesuatu? Azreen telan liur. Kenapa di telinganya ada muzik latar cerita The Conjuring 2 dan semua bulu romanya mencanak naik. Dia telan liur sekali lagi. Dia pandang Harris. Hanya pandang Harris. Tak pandang kiri kanan dah. Nanti pandang lain nampak benda lain, mahu mati terkejut dia di sini.
“Maksud awak?”
“Mungkin kerana keceluparan saya, dia datang tunjukkan diri.”
Okay, dia rasa macam nak melalak kat sini juga. Dia? Siapa ‘dia’ tu…hadoiiii…
“Awak jangan main-main.”
Harris geleng. Telan liur sambil pandang kiri kanan. “Saya tak pasti, Reen. Serius. Yang saya sedar, dia melintas betul-betul depan cermin depan, dengan panjang mengurai, kain pu…”
Stop! Huiii…tolong jangan cerita…saya tak nak dengar, saya tak nak tahu…awaklah, celupar sangat tadi!”
Lelaki itu hanya mampu. Sesekali terdengar helaan nafas.
Bunyi sesuatu di bumbung kereta buat Azreen menjerit. Lantaklah, dia tak mahu berfikir. Fikir boleh datang kemudian, sekarang ni kena bertindak dahulu. Dalam erti kata lain, dia panjat kerusi, peluk Harris kuat-kuat.
Oh my…nak tergelak pun takut. Bila masa pula si Azreen ni tiba-tiba satu seat dengan dia. Harris biarkan saja tangan itu memeluknya. Matanya pandang keluar. Pekat malam nampak menyeramkan. Suluhan lampu kereta hanya sekadar hiasan. Tiada kenderaan lain ke nak lalu-lalang? Bunyi umpama sesuatu melompat di atas bumbung kereta kian kuat. Harris telan liur. Kali ini tanpa segan dia peluk Azreen kuat-kuat. Dia bukan takut, dia mahu lindungi Azreen. Itu saja.
Dia pejamkan mata rapat-rapat. Tak sanggup dia. Bunyi hilaian yang gemersik macam Fazura dalam filem Kami Histeria itu pula menujah pendengaran.
“Har…ya Allah…apa tu Har…?” soalnya dalam menggigil. Ya Allah, ya Allah.
Harris kaku sebentar. Subhanallah. Matanya memang tak silap, kan? Aduhai, mulutnya yang celupar, padan muka.
“Baca Al Fatihah.”
Dalam takut dia mahu tergelak. Al Fatihah saja ke?
“Bacalah sama-sama. Ayat Qursi pun boleh. Awak baca Al Fatihah, saya baca ayat Qursi.”
Terkilas sengihan Harris. Bukan dia tak pandai, dia panik.
Sepi.
Gelap.
“Harrr!!! Kenapa enjin kereta tiba-tiba mati ni…awak ke yang matikan enjin?” Hampir saja dia melaung dengan soalan itu. Yalah, sudahlah gelap, enjin kereta pula tiba-tiba mati. Lampu pun sama. Mujur dia duduk satu seat dengan Harris, kalau tidak mahu dia pengsan. Terasa rangkulan Harris kian kuat. Kereta itu terasa dindin. Bulu romanya mencacang tiba-tiba.
“Reen…”
Dia telan liur. “Ya.”
“Baca sekarang.”
Telan liur lagi. “Kenapa?”
“Jangan tanya, jangan toleh. Baca sekarang.”
Azreen patuh. Matanya dipejam rapat-rapat sambil mulutnya terkumat-kamit membaca surah Ayatul Qursi sehabis baik. Dia dengar Harris juga buat perkara yang sama. Sungguh, saat itu dirasakan seluruh badannya menggigil.
BAM!
Ya Allah! Dia menjerit, jeritan yang boleh buat telinga Harris berdengung beberapa hari. Matanya yang terbuka luas memandang tingkap sebelah seat Harris. Ada satu wajah yang bertempek di situ.
“Kak, akak okay? Kami peronda lebuhraya.”
Ya Allah, ya Allah…alhamdulillah.
Suluhan lampu torchlight itu buat dia lega.
“Reen…”
“Ya.”
“Awak atas riba saya ni,” tutur Harris lembut.
Okay, dia malu berlapis-lapis. Cepat-cepat dia buka pintu, turun sambil buat muka toya. Mahu buat macam mana, kecemasan. Kalau tak, tak adanya dia mahu sengaja duduk bersama.
“Nasib baik kami nampak kereta akak yang tersadai kat sini. Ada apa-apa masalah ke?” soal salah seorang daripada tiga peronda tersebut. Cahaya lampu dari kenderaan peronda menerangi kawasan. Azreen lega.
“Kami terbabas. Tiba-tiba saja juga enjin kereta tak hidup. Boleh tolong tengokkan?”
“Boleh, bang. Ni, akak duduk dalam kenderaan kami pun tak apa.”
Azreen geleng. Rela dia di sini. Tak mahu dia duduk seorang diri, jauh dari manusia lain.
“Jalan kat sini memang macam ni, bang. Bahaya.”
Harris angguk. Sekilas dia melihat senyum tiga peronda tersebut.
“Bahaya macam mana?”
Salah seorang daripada mereka tersengih. “Kami dah biasa, jadi kami dah kalis. Abang terbabas sebab nampak apa-apa ke tadi?”
Dia angguk walaupun mahu menidakkan. “Rusa kot.”
Peronda itu ketawa. Ketawa itu berselang batuk. “Rusa terbang yang mengilai?”
Harris juga tersenyum, gosok lengan sambil pandang kiri kanan. Rusa terbang Santa Claus kot, hehehe…
Bunyi enjin kereta itu mengaum-ngaum buat dia lepaskan nafas. Azreen raup muka beberapa kali.
“Okay dah. Kereta ni pun bukan apa, terkejut. Din, semua okay?”
Pemuda yang dipanggil Din itu angguk, angkat ibu jari.
“Bateri okay, air cukup, minyak pun penuh lagi ni ha…biasalah, nak usik akak dan abang kita ni ha, Wan.”
Harris senyum, hulurkan salam tanda terima kasih. Sekeping not lima puluh ringgit dia hulurkan pada pemuda yang dipanggil Wan itu. Pantas saja Wan menolak.
“Dah kerja kami, bang. Lagipun kami bukan tolong banyak pun.”
Angguk kembali.
Drive baik-baik, bang. Kami jalan dulu. Nak tengok kat depan sana. Ada lagi tempat ‘keras’ sepanjang lebuhraya ni. Hati-hati.”
“Keras macam mana, dik?” sampuk Azreen tiba-tiba. Meremang juga bulu romanya.
“Banyak batu, kak.”
Azreen juihkan bibir. Sempat lagi mengusik dia ya.

Kali ini tingkap kereta dibukanya sekejap. Sejuk sangat aircond tadi. Sudah hampir satu jam agaknya mereka di lebuhraya. Sepanjang perjalanan, Harris diam membisu.
“Nak berhenti minum kat Temerloh? Depan sikit je lagi, sampailah.”
Ahh…ingatkan tak nak tanya. Dia okay saja. Harrislah, dari tadi memandu. Bimbang juga kalau Harris mengantuk. Berhenti minum kopi ‘o’ ke, makan Maggi ke sedap juga.
“Boleh juga.”
Harris angguk. Tangannya masih pada stereng. Debar peristiwa tadi sudah lama pergi, namun masih dia berhati-hati. Dia melirik pada Azreen yang asyik merenung pekat malam.
“Awak okay?”
Azreen hulurkan tangan keluar tingkap. Sejuknya. “Okay.”
“Hulurlah tangan tu, nanti sekali dia datang lagi, gigit tangan awak baru biru batang hidung…”
Hoi! Terkedu dia, beb. Cepat-cepat dia tarik tangan kembali ke ribaan. Dia jeling Harris yang tergelak kecil. Pandai pula mengusik. Tadi bukan main takut.
Dihadapan mereka ada beberapa buah motorsikal yang sedang berkonvoi. Harris perlahankan kereta.
“Tak sejuk agaknya budak-budak ni berkonvoi malam-malam macam ni,” keluh Azreen sambil matanya memandang gelagat kumpulan mat motor di hadapan mereka.
“Aduh, boleh main-main pula kat atas highway ni.” Harris tekan hon beberapa kali sambil memberikan lampu tinggi. Tepilah sikit.
“Awak jangan hon-hon macam tu…”
Dia senyum senget. “Biarlah, bukan sakit pun. Habis tu nak tunggu dorang bagi laluan, lambatlah Reen. Tengok tu, siap wheelie lagi, mat rempitlah tu.”
Menyampah pula dia melihatnya. Sengaja buat stunts tengah malam buta. Kalau kena tumpang dengan Cik Lang yang mengilai tadi baru biru muka budak-budak ni. Azreen denguskan nafas.
“Awak nak ke mana? Baik-baik Har, kita tunggulah dulu.”
Pedal minyak ditekan. “Malaslah. Kita redah. Kalau dorang sayang nyawa, dorang elaklah.”
“Jangan Har. Jangan cari pasal…” Dia tutup mata. Bunyi deruman ekzos motor dipulas-pulas dan membingit buat dia kian gentar. Hon pula bertalu-talu datang dari kereta yang dipandu Harris. Tiba-tiba dia terasa kereta itu berhenti. Matanya dibuka perlahan-lahan.
Allahuakbar. Apa lagi ni…
Beberapa pemuda menghalang kereta mereka. Kecut perut Azreen melihat wajah sinis dan serius kumpulan bermotorsikal itu.
Cincin.
Cincin pemberian Harris dipandangnya tanpa kelip. Pantas tanpa fikir dia cabut dan sumbat cincin itu ke ruang poket kecil seluar jeansnya. Bila dia angkat wajah, salah seorang daripadanya pantas berlari dan menghulurkan tangan melalui tingkap Harris yang separuh terbuka. Kunci kereta itu ada di tangan pemuda itu yang ketawa besar.
“Har…”
Belum sempat dia habiskan ayat, Harris juga ditarik keluar.
Telefon tangannya dikeluarkan. Baru saja dia mahu mendail, telefon itu dirampas seorang remaja yang ada disebelah tingkapnya.
“Fuyyo, IPhone 7 lah…orang kaya ni…”
Ya Allah. Tadi dengan Cik Lang, ini dengan mat-mat motor yang entah dari mana. Ya Allah, lindungilah mereka.
“Samalah, abang hensem ni pun IPhone juga. Siap ada dua kau. Satu tu aku rasa untuk famili, satu lagi untuk aweks dia…hahahahaha!”
“Burn, kau geledah kereta, ambik beg duit, mana yang boleh. Ni, tanya cik kak kita yang cantik manis ni…barang kemas ada ni. Tu, tengok rantai tangan…mahal tu bro…”
Allah, gelang pemberian ibu di hari pernikahannya. Lupa pula dia, istighfar dia dalam hati. Azreen mahu menangis namun dia ketapkan bibir, lawan perasaan yang macam-macam.
“Dik, jangan buat macam ni, dik…berdosa…”
Pemuda yang memakai t-shirt hitam itu ketawa besar. “Tak apa, kak…kubur masing-masing. Dah kaya nanti, saya taubat, kak. Oleh kerana akak ni cantik cun-melecun, saya mintak baik-baik. Kalau tak, nampak parang yang terselit tu, dah lama tak makan darah orang cantik macam akak ni…biasanya darah makcik-makcik je…”
Subhanallah, menggeletar dia. Pantas saja Azreen cabut gelang emas yang ada padanya. Beg tangannya juga dihulur. Ambil. Ambil semua.
“Ambik sekali wallet cik abang hensem akak tu. Kat tepi tu rasanya kot. Ahhh…bak sini,” arah pemuda itu lagi sambil tersengih-sengih.
“Zul, kau suruh akak tu keluar. Aku rasa macam nak naik keretalah malam ni.”
Azreen beliakkan mata. Takkan kereta ini pun nak diambil juga? Bila dia pandang wajah pemuda yang dipanggil Zul itu sedang jongket kening, dia tahu mereka semua serius.
Harris yang diasak dari tadi mengerang kesakitan di lantai rumput. Dia berlari ke sisi Harris, tahan airmata yang mula mahu menerpa dinding sabar.
“Ni, akak dengan abang, kami tinggalkan beg-beg pakaian ni saja. Yang lain, kira kawtim baik punya. Lain kali kalau jumpa kami lagi, jangan lupa hon. Kami bagi first class punya layanan. Baik punya.”
Berdegar-degar ketawa semuanya. Azreen peluk bagpacknya, juga pangku kepala Harris yang masih mengerang kesakitan. Bunyi kereta dan motor kembali bingit. Sekejap sahaja, mereka semua hilang dari pandangan. Meninggalkan mereka dalam sepi dan Harris yang kesakitan.
“Harris, Harris…”
 Lelaki itu hanya mengaduh kecil lalu buka mata memandang dia.
“Apa yang dorang buat pada awak?”
Harris tekan perut sambil mengucap panjang. “Sepak terajang jer.”
Main-main. Nanti dia tambah satu lagi deathkick kat muka hensem tu baru jadi lempeng. Sebut lempeng lapar pula dia. Harris dia lihat mula bangun perlahan-lahan. Comot sana sini.
Call polis.”
Azreen geleng.
Phone semua budak-budak jahanam tu ambik. Wallet awak, purse saya, kereta saya juga.” Ada getar dalam suaranya. Sungguh, dia sebak. Kenapa dengan mereka? Kenapa berat benar ujian yang Allah titipkan untuk mereka berdua. Airmatanya jatuh jua ke pipi.
Dia ketap bibir. Tarik Azreen dalam pelukan. Nasib baik Azreen tak diapa-apakan. Apa yang hilang, dia anggap sudah bukan rezeki mereka.
Menangis dia di dada lelaki itu. Banyak benarkah dosanya sehingga bertimpa-timpa musibah yang datang?
“Satu kenderaan pun tak ada lalu masa kita macam ni,” keluh Harris. Dia eratkan pelukan, kasihan melihat Azreen yang tersedu-sedu. Dia bawa Azreen ke bawah pokok yang rendang, jauh dari jalan. Bukan apa, mana tahu dibuatnya ada kereta tak nampak, mati kena langgar tak pasal-pasal.
“Saya rasa, kita duduk sini. Kalau malam-malam jarang orang nak berhenti, cuak. Pagi esok, kita cuba minta tolong. Ada apa-apa yang berguna dalam beg awak?”
Azreen geleng. Entah, dia tak boleh berfikir sekarang.
Garu pipinya sambil sebelah tangan lagi mencapai beg galas milik mereka berdua. Azreen sudah terjelepuk di lantai tanah, masih tersedu-sedu.
“Kita tidur, rehat dulu. Awak tidurlah, saya berjaga.”
Geleng. Dia pegang lengan Harris agar lelaki itu duduk disebelahnya.
“Jangan. Awak duduk, rehat. Saya tahu awak pun sakit, penat. Duduklah, Har…”
Harris akur. Memang dia sudah habis daya. Sehelai kain pelikat diambil keluar. Dia sarungkan kain itu pada Azreen dan juga dia.
“Kita sama-sama tidur.”
Azreen angguk, pejamkan mata sambil berdoa dalam hati. Bunyi cengkerik, burung hantu dan macam-macam lagi bersahut-sahutan. Kain pelikat yang dikongsinya dengan Harris terasa hangat. Dalam takut, dia rapatkan diri, peluk lengan Harris.
“Awak takut ke?”
Eleh…mana ada. Dia cuma mahu duduk dekat, senang kalau jadi apa-apa. “Saya sejuk je.”
Nasib baik gelap, kalau tak, nampak Harris senyum lebar. Terasa kejap pegangan Azreen pada lengannya. Tak takut konon. Perlahan-lahan dia sandarkan tubuh pada pokok.
Eh eh eh…kenapa Harris baring? Tak pasal-pasal dia pun ‘dibaringkan’ atas dada lelaki ini. Telan liur lagi. Cuba untuk bangun, Azreen leraikan pegangan namun tangan Harris berlingkar di pinggang.
“Tidur. Kalau ular sawa datang, at least dia makan awak awak dulu. Kalau Cik Lang datang, dia hisap darah saya dulu.”
Ya Allah, mulut tu lagi mahu celupar. Siut. Yalah, yalah…mata pun dah pejam celik, pejam celik. Tidur dululah. Dalam pejam, dia baca Ayat Qursi, kuat.
Harris gelak dalam hati. Takut lagi rupanya. Selingkar tangan Azreen memeluknya erat. Dia tunduk, cuba melihat wajah itu namun apa yang dilihatnya buat hatinya tiba-tiba terusik. Wajah tenang Azreen yang terus lena dakapannya. Isterinya. Isterinya buat masa ini. Tak salah rasanya dia lindungi Azreen. Sudah jadi tanggungjawabnya, bukan? Dia tarik kain pelikat itu agar menutupi tubuh mereka. Entah, dia sendiri terkejut bila tiba-tiba dia kucup kepala Azreen yang mula belayar ke alam lena. Hai Harris, apa dia sudah hilang waras?
“Apahal dengan kamu ni?”
Opocot hantu saka pakai kain batik!
Tercegat dalam gelap dengan lampu suluh, seorang nenek berbaju kurung, berkain batik bersama selendang putih.
“Siapa kamu, apa kena tidur kat sini?” soal nenek itu lagi.
Terpisat-pisat dia bangun, goncang bahu Harris kuat-kuat. Sudah jam berapa ni? Langit masih gelap. Lena betul mereka lelap tadi. Embun sudah turun ke bumi pun tak sedar. Dia leraikan pelukan Harris, bangun seperlahan mungkin.
“Kami kena rompak, nek. Kereta kami pun mereka ambik.”
Nenek itu mara ke hadapan, hulurkan tangan. Pantas saja dia sambut salam itu. Harris masih lena di pangkal pokok.
“Tak lama lagi subuh. Tu siapa?”
Azreen tunjal bahu Harris. Tidur macam batang kayu. “Suami saya, nek.”
Senyum akhirnya nenek itu.
“Ni, kejutkan laki kamu. Ikut Tuk Chik balik rumah, mandi, makan. Nanti hari siang boleh kami usahakan cari pertolongan.”
“Nenek dari mana? Rumah nenek kat mana?”
Tuk Chik seringai. Seram pula dia melihatnya. Orang ni kan, takkan mambang kot. Nenek kebayan pun mungkin.
“Nenek memang suka jalan-jalan sambil kumpul air embun. Mandi embun bagus, awet muda, kuatkan badan. Lagi-lagi lepas sembahnyang tahajud, witir.”
Okay, sah orang. Mana ada mambang solat malam macam Tuk Chik ni kan?
“Har, bangun. Kita pergi rumah Tuk Chik.”
Kali ini Harris sudah tercegat bangun, masih mamai dan keliru. “Apahal ni, kita nak ke mana?”
Azreen tarik tangan Harris. “Jom, ikut dulu.”

Rasa macam berjalan di awang-awangan. Mata pun nak buka payah semacam. Asyik pejam celik, pejam celik. Harris betulkan beg galas miliknya, juga milik Azreen. Berat juga. Kaki yang melangkah pun kerana terpaksa.
“Ahhh…naiklah dulu. Kat belakang ada telaga, nak ambil wudhu dulu pun boleh, lepas tu solat. Nanti sambunglah balik tidur kamu.”
Dia angguk. Letak beg-beg itu atas anjung rumah. Rumah kayu itu nampak besar juga. “Reen, mana telaganya?”
Azreen jenguk ke belakang. “Ada kat belakang tu kata Tuk Chik. Jomlah, saya ikut. Saya pun nak ambik wudhu.”
“Okay, tapi saya nak kencing dulu.”
Oit! Tak payah cakaplah yang tu. Pergi sajalah. Dia tengok Harris melangkah ke arah telaga yang dimaksudkan. Tak adalah jauh sangat dari rumah itu, cuma terlindung dengan dinding kayu yang di bina mengelilingi telaga. Harris pula laju semacam. Nak tergelak pun ada. Lelaki itu hilang sekejap di balik dinding kawasan telaga. Bila muncul kembali, ada riak lega diwajahnya. Mahu termuntah ketawa Azreen melihatnya. Dia buat-buat bodoh. Macam tak tahu apa-apa.
“Gelapnya. Pukul berapalah agaknya ni…”
“Dah nak subuh. Cepatlah. Dalam tong biru tu ada air yang dah ditadah. Guna yang itu dulu pun tak apa. nanti ganti balik.”
Hishhh…nak senang saja kerjanya.

Kembang kempis lubang hidungnya. Bau apa ni? Selesai solat tadi, terus dia tergolek di tikar. Nenek yang tumpangkan mereka tadi siap hulurkan dua biji bantal untuk dia. Apa lagi, tidurlah dia. Harris lunjurkan kaki, menggeliat beberapa kali. Bau wangi itu kembali mencucuk hidung. Kali ini matanya terbuka luas.
“Har, bangun. Dah pukul sembilan lebih dah ni.” Lembut suara Azreen menyapa telinga.
“Malam?” soalnya kembali. Kantuk masih menjalar dalam tubuh. Dia menggeliat.
“Pagilah.”
Huhhh…kalau pagi awal lagilah. Masalahnya perutnya sudah bergelora, minta di isi.
“Bau apa tu, Reen?”
“Jemput-jemput ikan bilis. Kopi ‘o’ pun ada.”
“Nenek tu mana?”
“Tak ada. Keluar cari pucuk kayu katanya. Che Tam adalah.”
Harris menggeliat. Che Tam mana pula ni?
“Siapa Che Tam, suami dia ke?”
Azreen ketawa. “Kucing dialah. Tu, yang tidur dengan awak pagi tadi.”
Laaa…patutlah rasa hangat saja tepi lengannya tadi. Kucing itu masih berlingkar di tepi bantal.
“Awak dah mandi?”
Ishhh…tak ada soalan lain ke nak tanya? “Belum. Nak pergi mandilah ni. Awak nak breakfast dulu pergilah.”
Sengaja dia meyeringai. “Saya ikut.”
Keningnya berkerut. “Ikut apa?”
Kali ini senyum Harris kian lebar. “Ikut awak mandilah.”
Ehhh dia ni. Macam sengaja mengundang tempeleng percuma saja. “Mandi sendirilah.”
Harris geleng. “Saya tak pandai guna telaga. Lagipun banyak rumput, pokok-pokok kecil, nanti ada benda tu.”
Benda apa pula yang dimaksudkan jantan ngok ngek ni? “Benda apa?”
Senyum macam senyum malu. Hensem pula. “Pacat.”
Huk alahhh…pacat je pun.
“Yalah, yalah. Cepatlah.”
“Awak jiruskan saya ya.”
Banyak hensem muka kau (ya, aku tau kau hensem, malaun…). “Nak lagi senang, awak terjun terus dalam telaga tu, habis cerita.”
Harris ambil tuala yang tersedia dari beg galasnya. “Habis cerita kita buat cerita baru.”
Menjawab tu sedap saja ya. Azreen pantas buka langkah. Malas dia melayan si otak sebu. Sampai di kawasan telaga, dia jeling Harris yang jalan berlenggang. Sudahlah hanya berkain pelikat, tuala siap sangkut pada bahu, macam gangster kampung mana.
“Awak nak mandi pakai apa? Mana kain basahan?”
Harris sandar pada tiang dinding telaga itu. Senyum-senyum. “Pakai underwear, boleh?”
Dia angkat penumbuk. Jangan buat gila, ni bukan swimming pool. “Awak nak mata saya buta?”
“Kalau macam tu, I’m going to strip naked. Commando.”
Ya Rabbi! Perlukah dia azan ke telinga mamat ini? Atau perlu dia bagi satu tendangan kasih sayang di celah kelangkang lelaki itu?
“Kalau macam tu, awak mandi sorang-sorang!”
Terbahak-bahak dia gelak. Merah padam muka Azreen. Kalau simbah air, nescaya berasap kepala. Mentari mulai garang, menyapa kulitnya. Mentari yang sama selama ini dirasakan penuh kasih-sayang, menyapa kulitnya dalam samar-samar. Hari ini dia fikir matahari marah padanya. Marah mengusik minah naga dihadapannya.
“Awak tu, mandi pakai seluar trek dengan t-shirt macam gitu ke?”
“Yalah, tak kan nak pakai kain batik depan awak.”
Ketawa lagi dia. Mula-mula tayar pecah. Kemudian, Cik Lang pula datang beramah-mesra, itupun sebab mulut dia juga yang celupar. Tak sampai sejam, kena rompak dengan geng mat motor jahanam. Sekarang ni? Sekarang ini entah tempat jin bertendang mana mereka menumpang tidur. Harris jenguk ke dalam telaga. Taklah dalam sangat. Kan?
“Kalau saya terjun, boleh ke?”
Azreen nganga. Ingat ni swimming pool kat hotel ke? Nak cari nahas ke mamat ni?
“Encik Harris. Ini telaga. Nampak macam air dalam baldi, kan? Tapi, kalau awak terjun, macam mana awak nak naik? Terbang? Panjat?”
“Tu tali. Awak tariklah saya.”
Adoi…ada lagi bodoh yang bersisa dalam otak si ngok ngek rupanya. Bila dia jeling, dia perasan Harris senyum sambil gelak-gelak. Sengaja mainkan dialah tu.
“Ni, saya nak mandi dulu. Awak? Awak kenal benda ni? Ni namanya timba. Awak angkut air, penuhkan tong biru ni. Tong biru yang satu lagi, saya nak mandi.”
Dia senyum. Dia tahu, Azreen malu.
“Mandilah. Bukan saya nak apa-apakan awak pun.”
Elehhh…dia pun tak terfikir ke situ pun. Sila jangan perasan.
“Harris.”
“Apa?”
“Ada pacat kat hujung rumput tu.” Jari telunjuknya menunding binatang kecil itu yang hitam, gemuk lagi berkilat sedang menjangkau dari rumput ke rumput.
“Mana? Mana? Awak jangan main-main, Reen…”
Melompat dia. Pandang kiri kanan.
Terduduk Azreen ketawa. Dia bangun, pegang pacat tadi sambil diacahkan ke muka Harris yang berkerut.
“Ni, awak takut dengan benda ni. Nah.”
Sekali lagi melompat. Nasib baik dia tak karate pacat itu, nanti kena muka Azreen tak pasal-pasal.
“Reen…kalau awak usik saya lagi dengan benda alah tu, saya cium awak sampai mati!”
Okay, dia cepat-cepat campak encik pacat jauh-jauh. Wajah serius Harris buat dia percaya. Percaya yang lelaki itu mampu buat apa yang dijanjikannya.
“Dah, mandilah.”
Harris urut dada, senyum kemenangan. Kenapa Azreen, takut sangat ke kena cium?

Dia bukan takut, dia memang tak nak. Sewaktu selesai mandi, dia salin pakaian sambil melirik pada Harris yang galak saja mandinya. Entah. Matanya, sekali lagi diulang…matanya suka tengok lelaki itu. Bukan dia. Matanya. Ya, Harris ada rupa tapi celupar, bongkak kot. Dia bukan suka pun pada Harris, tapi bagi dia sebagai wanita, dia akui Harris menarik perhatiannya. Ya Allah, Azreen…apa yang kau bebelkan dalam otak ni?
“Suka apa yang awak tengok?”
Opocot pacat miang!
Alahai…macam mana matanya boleh tertancap pada susuk Harris tanpa sedar. Itulah Azreen, mengelamun tak habis-habis. Panas terasa pipinya.
“Saya tengok semak belakang awak tu. Manalah tahu datang balik pacat tadi, haa…tahulah awak…”
Dia sangkut tuala ke bahu sambil tenung sepasang mata Azreen yang malu-malu memandangnya.
“Saya lagi takut mata awak dari pacat tadi.” Dengar tu. Statement of the day.
Gulp! Mengata dia ke?
“Apasal pulak? Mata saya bukannya mata X-ray, bukan ada laser pun,” tukasnya pantas.
“Pernah dengar kata-kata ni, dari mata jatuh ke hati? Saya bimbang awak jatuh hati dengan saya, Cik Azreen.”
What!?
What!!?
What!!!?
Eeee…perlukah dia debik mata si Harris? Pui!
“Jangan nak perasan ya. Tepi sikit, saya nak lalu.”
Harris senyum sambil peluk tubuh.
“Jalan sajalah, bukan saya halang pun.”
Hooo…umpama taufan timur laut geramnya datang sekarang. Istighfar, Reen, istighfar.


No comments:

Post a Comment