Monday 23 February 2015

Jeng jeng, jeng... Dreamcatcher bab 8...

BAB 8


Sebaik saja di keluar dari perut kereta, Husna sudah tercegat dibelakangnya. Tersengih macam menang cabutan bertuah. Ni yang dia malas nak datang sekolah, mahu mengadap si Husna ni bukannya senang. Agaknya semalam siap bertapis soalan yang mahu diberi padanya. Amni menyangkut tas tangan pada bahu.
“Assalamualaikum pengantin baru.”
“Waalaikumussalam bukan pengantin. Kau kenapa pagi-pagi dah terpacak kat sini, nak jadi cikgu disiplin ke?”
Husna tersenyum-senyum, mencuitnya beberapa kali. Ditepisnya cuitan itu beberapa kali. Penampar baru tahu.
“Apa?”
“Kau okay?”
“Kalau aku tak okay, aku mc, tak adalah aku datang mengajar hari ni,mangkuk.” Dia terus berjalan sambil menjawab salam yang dilontar pelajar yang lalu lalang.
“Am, jomlah pergi kantin, awal lagi ni...”
“Aku dah breakfastlah.”
Husna mencebik bibir. “Kau tipu, kau breakfast kat mana, kat kedai kak Ton tepi jalan tadi?”
Amni tergelak, langkahnya terhenti. “Aku breakfast kat rumah, dengan hubby aku. Faham tak, Cik Husna?”
Menjerit si Husna mendengar jawapannya. Macam kena sengat dengan tebuan. Amni tergelak lagi.
“Awww...so sweet...aduh, boleh pengsan aku dibuatnya.”
 Gaya Husna yang meliuk lentuk itu buat dia geli geleman. Pelajar yang lalu lalang juga tergelak-gelak melihat si Husna. Bengong.
“Am, kau masak apa pagi ni untuk abang  hensem kau?” dia berjalan laju, menyaingi langkah Amni yang kian pantas.
“Nasi goreng cili padi. Aku taruk cili banyak-banyak, biar dia sakit perut.” Terbayang wajah Khalid yang menyuap nasi pagi tadi. Enam setengah dia sudah siapkan. Khalid masuk ofis jam sembilan, namun dia buat semuanya terlebih dahulu. Siap dengan dua biji telur separuh masak. Meleleh airmata Khalid selepas tiga suapan. Namun, dia tabik spring, sepinggan nasi goreng itu dihabiskan suaminya tanpa gentar. Well, usik-mengusik, tak kan tak boleh kot?
“Gila kau...kalau dia cirit-birit, masuk hospital, mati sebab dehidrasi, macam mana?”
“Kau lagi gila. Mana ada cirit-birit terus mati...”
Husna berhenti, bercekak pinggang. “Hoi makcik, yang kita baca suratkhabar, orang mati keracunan, depa muntah dulu, lepas muntah cirit-birit berterusan, masuk hospital. Ada yang mati kau tak?”
Erkk! Langkahnya juga terhenti. Tapi, kalau kes keracunan makanan ya, mungkin. Tak kan kes makanan pedas pun boleh mati, nonsense!
“Ha, ha...kan , tau takut...”usik Husna sambil ketawa.
Malas dia, baik masuk bilik guru, relaks dulu sebelum kelas bermula.
Syafiqa menjeling dalam diam. Khalid masih lagi ditelefon, tersenyum seorang diri. Seketika kemudian, Khalid kembali duduk.
“Siapa tu, mama you ke?”soalnya ingin tahu.
Khalid menjingkit senyum. “My wife. Dia susah hati takut-takut I sakit perut.”
“Why?”soal Syafiqa ingin tahu.
“Pagi tadi dia buat nasi goreng, taruk cili padi penuh satu kuali. Nasib baik I tak pengsan, tapi seriously, sangat sedap. Terutamanya kalau letak ikan kukus macam tu.”
Huh, boleh tahan. Pandai isteri Khalid mengambil hati.
“Kalau sedap, kau suruhlah dia buat lagi, tapau untuk aku esok. Isteri tengah pantang, memang tak ada daya,  tak boleh masak. Kesian kat aku.”
Khalid tergelak kecil. “Yelah, nanti aku bagitau Am.” Dia kembali membelek fail-fail proposal. Sepatutnya lagi dua minggu hotel ini dibuka, namun masalah ini pula yang datang. Dia kena fikirkan cepat.
“Iqa, Yus...kumpulkan team kita. Make sure, esok masing-masing dah ada jalan penyelesaian, kalau tidak kita terpaksa kerja duapuluh empat jam.”
“Tu lah, tak sangka syarikat tu sanggup tarik diri saat-saat akhir. Blacklist the company now. Kita nak tolong dia, dia yang bagi ta...” Ha, tak sanggup dia mahu menyebutnya.
“Silap aku,Lid. Aku minta maaf.”
Khalid bangun, menyisir rambut dan menepuk tengkuk. “Jangan risau Yus, kita buat yang terbaik. Untuk hari ni, baik kita move forward to another important task. Pastikan semuanya lengkap. Kita  check yang ada dulu.”
“Iqa, get your interior team to work their butts one more time. Make sure everything, I mean everything is perfect.”
Syafiqa menyandar, memberi tanda bagus. “Don’t worry, I’m a perfectionist. Macamlah you tak tahu macam mana cara I kerja,”balasnya separuh merajuk. Matanya masih lagi pada Khalid. Kenapalah Khalid bukan miliknya? Sabar,Iqa. One day, the time will come. Khalid will look at her, a look a man gives to a woman.His woman.
“Iqa?”
“Yes...”
“Thank you, I tahu I boleh harapkan you. And Yus, don’t worry to much, kita akan seleaikan perkara ni as soon as possible. Don’t think too much.”
Yusri mengurut dahi. Dia tahu, sedikit sebanyak perkara ini ada silapnya juga. “Aku kerja siang malam pun tak apa, aku rela.”
Khalid menepuk bhu sahabatnya itu. “Dah, mari kita buat tour dulu. Pastikan yang ada depan mata ready. Petang ni kita cari solution. Esok masih ada.”

“Hey, you Khalid,kan?” Suara itu menyapanya sewaktu mahu keluar dari bank.
Langkahnya terhenti. Segera dia menoleh ke arah suara lunak yang bertanya. Seorang wanita bertudung kelabu tersenyum manis padanya.
“Yes, saya Khalid. Maaf, but I cannot remember who you are.” Ditenungnya wajah pemilik suara tadi. Wanita itu tergelak sambil menutup mulut.
“Of course, masa kat UK dulu, I lain. Well, I’m Intan, Intan minah grunge. Rakan sebilik Nurul Ain. Tak ingat?”soal Intan dengan senyuman.
Khalid menepuk dahi. Lain sungguh rupa dan gaya Intan yang dulu dengan Intan yang berada didepan matanya. Kalau dulu, dengan jeans dan ipod walau ke mana-mana. Well, ini cantik berbaju kurung, siap bertudung lagi.
“My god,you have changed. You kerja sini ke, kat bank ni?”
Intan ketawa. “Tak, I kerja dengan goverment. Ada urusan sikit. Mana Nurul Ain?”
Liur ditelan. Tenang, tenangkan diri. “She’s not here.”
“Ohh..okay. Can I get her number? Nanti boleh calling-calling. Lama betul tak jumpa dia.”
Dia tunduk, menyeluk tangan ke poket seluar. “I’m sorry,Intan. Nurul Ain dah meninggal dunia. Years ago.”
Tangan ke mulut, menutup bunyi ‘oh’ yang sedikit pilu. “Ya Allah, I’m so sorry ,Khalid. I thought...Allah, takziah. Maafkan Intan, Khalid. You’re wearing that ring, so...”
Dia ketawa, pedihnya hingga ke hujung hati yang paling dalam. Luka yang berparut seakan kembali berdarah. “This ring? I’ve remarried, for my mom’s sake.”
“Khalid, I’m really sorry. Dia sakitkah?”
“No, accident. A really fatal and terrible accident. Tahun kedua perkahwinan kami, after kita semua balik Malaysia.”
Intan mengangguk perlahan. Dia ingat lagi. Khalid dan Nurul Ain bagaikan belangkas sewaktu dikampus. Dengan pertolongan bapa saudara Nurul Ain yang bermastautin di UK, mereka berdua disatukan di semester akhir. Kasihan Khalid. Cepatnya Nurul Ain pergi. Patutlah dia langsung tidak mendengar khabar berita Nurul Ain.
“Tak apalah,Lid. Sudah ketentuan Allah. I bet your current wife must be as sweet as Nurul Ain,kan. Moga berbahagia,Lid. Jumpa lagi. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Thank you, Intan.”

Ke mana dia memandu, langsung dia tidak ingat. Sedarinya, keretanya sudah berada di sini. Di tepi pantai yang sunyi, jauh dari manusia. Dia mematikan enjin, membuka tingkap seluasnya.
Kenapa?
Kenapa saat dia mahu memulakan hidup, bayangan Nurul Ain kembali menjejaknya. Kenapa aku,Nurul Ain? Dia menongkat dahi pada stereng kereta. Matanya terpejam, namun wajah Nurul Ain yang bermain dilayar fikiran, silih berganti. Dihantuknya dahi ke stereng berkali-kali. Biar hilang semua kenangan, hapus semua memori.  Mungkin, mungkin dia tidak patut dicintai, disayangi. Dia tidak layak, dia tidak mampu selagi mimpi itu belum hilang.

Penatnya hingga mahu menekan butang nombor keselamatan pun dia rasa tak larat. Kalau dia terguling saja depan pintu ni, agak-agaknya ada orang kisah ke? Huh, sudahlah tiada jiran. Maksudnya jiran sebelah menyebelah macam kat kampung. Ini jiran atas dan bawah. Kenal pun tidak. Amni menolak pintu. Terkejut dia. Wajah Khalid nan keruh berada dimuka pintu.
“Abang nak gi mana?”soalnya spontan.
“Do you need to care?”balas Khalid separa perlahan. Mata mereka bertentangan.
Okay, dia penat, sangat penat. Amni mengundur, memberi laluan kepada Khalid. Harumnya. Mahu jumpa nombor satukah? Dia menundukkan wajah, memandang sepatu merah jambunya.
“Abang rasa kita kena tetapkan some rules between us. We have and live our life by our own way. Abang tak kacau Am, Am tak kacau abang. No hardfeeling, it’s just the way I think we should do. No feeling towards each other, and no touching. Simple bukan.”
Begitukah mahumu,bang? Mahu saja dia ghaib disitu, hilang saja dari pandangan. Kenapa dengan Khalid? Apa kena dengannya? Selama bergelar isteri, mungkin ini kata-kata yang paling kejam pernah dia dengar. Terasa kerdil dia dihadapan Khalid yang menyandar pada dinding. Jangan Am, don’t give up. Masa, ambil masa. Kau cintakan dia,bukan? Belajar, belajar kenali dia. Belajar membina sabar. Huhhh...
“Yes, simple and easy.” Suaranya perlahan saja, namun sudah cukup untuk didengari Khalid. “Izinkan Am masuk.” Kali ini pintanya sedikit kuat. Dia melangkah, namun lengan baju kurungnya ditarik. Apa lagi?
“Stop.”
“Stop what?”soalnya kembali. Hati sudah menangis, Cuma air mata saja yang belum keluar.
“Stop falling for me. Stop looking at me with those lovely eyes of yours. Just stop being emotionally attached. Can you please?”
Wow, wow...hebatnya tutur. Dia mahu menangis, mahu menghambur pilu, namun dia mengangkat dagu. “Perasaan Am, bukan hak abang. Perasaan dan hati Am, milik Am. Tiada siapa boleh arahkahnya, kecuali Dia. Kecuali Allah.” Jangan Amni, jangan keluarkan airmata disini. Dia sudah mahu pergi.
Khalid menarik nafas. Apa kena dengan dia? Dirasuk rasa seribu rasa, atau akalnya sudah terbang ke Laut China Selatan? Perlahan dia melepaskan lengan sang isteri yang sedikit menggeletar. Dia menyandar, lalu melangkah menuju ke pintu lif. Jangan toleh,Khalid. Jangan toleh.

Cepat dia masuk, rebah dilantai dengan tangan yang menggeletar. Airmata yang berlari kian rancak. Bibirnya dikatup rapat, bimbang suara esaknya menjengah ke luar pintu. Disapunya pipi berkali-kali. Bangun, dia bangun langsung pantas ke bilik.

Menari-nari asap itu diudara. Dia memandang keliling. Hampir sempurna. Sedikit masa lagi, hotel ini akan dibuka. Segala usaha dan tenaganya dicurahkan pada The Bliss. Dia tahu, Mr. Lehmann dan Tengku Adnan menghrapkan yng terbaik darinya. Lengannya kembali ke dahi. Masalah pula timbul disaat akhir, sungguh dia mahu rebah. Namun dia perlu bangun, perlu cari jalan penyelesaian. Telefon, telefonnya menjerit beberapa kali.
Mama.
“Ya,ma.”
“Kamu ke mana,Lid?”
“Ada di hotel, tengok-tengok. Mama kat mana?”
“Kat mana lagi, kondo kamulah.”
Ah sudah...kondo dia? Pantas dia bangun dari gazebo itu.
“Buat apa, spot-check?”soalnya dalam nada bergurau. Hatinya bergegar ke sana-sini.
“Iyalah, nak harapkan kamu balik,lambat. Jangan lewat, balik makan malam. Am dah masak sedap-sedap. Papa kamu pun dah tak sabar nak makan. Mama nak call Kay, ajak dia makan sekali.”
“Yelah, nanti Lid balik. Nak kirim apa-apa?”
“Kirim salam.”
Talian dimatikan. Aduhhh...mati dia. Terbayang lagi wajah rusuh Amni. Mati dia kali ini.

Asam pedas ikan pari, sayur campur dan daging black pepper. Ulam raja dan sambal belacan serta petai bakar kesukaan papa juga ada. Dia menjeling Amni yang galak ketawa riang bersama Khalida. Bagaikan tiada apa-apa yang terjadi, Amni menyambutnya dengan senyuman sewaktu dia tiba. Khalida juga siap mengusik-ngusik, mengejek mereka. Dia kagum. Dia kagum kerana Amni masih mampu tersenyum walaupun jauh disudut matanya, cahaya kesedihan masih ada. Rasa bersalah kian mengcengkam diri, perit dan kelemasan.
“Dah, dah...mari makan. Papa dari tadi tahan lapar.”
Safiah tersenyum lebar sambil sibuk menyusun pinggan. “Kay, letakkan nasi. Dah kebulur gamaknya, sampai pucat putih dibuatnya. Lid, mari duduk. Am, tinggalkan dulu air tu, mari kita makan sama-sama. Khalida, off the phone. No phones, no technologies on the table, faham!”
Khalida tersengih-sengih. Sebelum kena maki, baik dia ikut saja. Memang pantang mama, sambil makan pegang telefon atau apa saja. Makan adalah for family to sit together, to talk each to other and aware the people around. Bukan masa untuk letak phone atas meja. Kalau buat juga, arwahlah benda alah itu seperti Sony Experianya dahulu. Terus dicelup mama masuk ke baldi berisi air. Perghhh. Sayu gila dia, nasib baik tak melalak kat situ juga.
“Khalid, baca doa.”
Khalid hanya menurut. Mama bagai diktator, kalau dilawan, diktator itu akan menggunakan senjata paling hebatnya. Airmata. Woman. Memang nature wanita. Mahu apa-apa, menangis. Ketawa pun menangis, sedih pun menangis, merajuk juga menangis. Pening dia. Macam Nurul Ain, kalau dia marah, terus saja airmata mengalir keluar. Rebah dia dikaki Nurul Ain. Hanya mama saja dia akan mengalah. Dia buat apa saja kerana mama.
“Mana dapat ikan pari ni?”soalnya sambil menceduk lauk.
“Mama yang bawakan. Saja nak rasa air tangan menantu. Kalau suruh Kay, ikan pari pun dia masak singgang.”
Khalida terbelahak. Kejam sungguh kata-kata itu, namun dia hanya mampu tersengih. Dah memang betul, itu saja yang dia mampu buat. Bukan dia tak pandai, dia malas. Dia tersenyum-senyum, mengenyitkan mata Amni yang tergelak kecil.
“Seronok kan ma, tengok abang dan Am. Sweet couple yang malu-malu.” Komentar itu dilontarnya kuat.
Amni menyuap nasi, bagai kerikil menggelungsur ke dalam anak tekak. Senyuman dilebarkan.
“Makan, jangan bercakap masa mulut tu penuh,Khalida.” Safiah menjeling menantunya yang kini tersipu malu. Merah pipi Amni menahan usikan Khalida yang tak putus-putus. Khalid pula dilihatnya sekadar menggeleng kepala, tersenyum sesekali sambil menyuap nasi. Hmmm...dia tahu Amni masih kekok. Tak mengapa, Inshaa Allah akan baik-baik saja. Pastinya begitu.
“Ma, hulur petai tu.”
Kali ini dia menjeling Khalida. Aduh, bilalah si gadis ini mahu berubah?

“Ngantuklah. Kay tidur sinilah,ma. Lagipun baju spare ada dalam kereta. Boleh ya,Am? Tak ganggu,kan?”tanyanya dengan tersenyum-senyum.
Safiah menghirup kopi. Selesai solat Isyak, Amni pantas ke ruang dapur, menyediakan kopi panas. Bertuahnya Khalid, mendapat isteri sebaik Amni. Berbunga jiwa keibuan melihat Amni yang tak menang tangan. Kembang hatinya kerana dia tahu, dia tidak tersalah pilih.
“Mamanya, jomlah kita balik. Dah lewat ni. Kay, balik...jangan nak mengada-ngada.” Maarof menjegilkan mata. Khalida membelek majalah, buat-buat bodoh.
“Tak apa,pa. Biar saja dia tidur kat sini. Esok Lid halau dia balik.”
Gulp! Kay tidur sini? Habis tu, Khalid macam mana...
Khalid menoleh, memandang Amni yang kaku di sofa. Yalah, tak kan dia mahu beria-ia melarang Khalida. Biarlah, untuk malam ini saja.
Khalida bertepuk tangan. Pantas dia melunjur kaki. Badannya yang langsing lampai itu bak model. Model tomboy.
Safiah menggeleng kepala. Susah bercakap dengan si keras kepala. Dia bangun, memiat telinga Khalida. Kuat dan lama.
“Mama...apa ni, cacatlah telinga Kay...aduhhh, sakit la...”
Tersenyum Amni melihatnya. Perangai macam abang Im. Selagi tak kena bambu, selagi itu dia buat perangai. “ Am kemaskan bilik dulu ya,Kay.”
Safiah menarik lengan Amni. “Mama balik dulu. Bersabarlah dengan Khalid, dia baik, namun adakala dia banyak hidup dalam kenangan. Mama tahu Am yang terbaik untuk dia,”bisiknya pada Amni yang membulat mata memandangnya. Dia memegang pipi menantunya itu dengan lembut. Ya Allah, tolonglah satukan dua hati ini sebaik mungkin.
Mahu saja dia menangis, memeluk mama agar jangan terus berharap, tapi tetap dia mengangguk. Menyalami tangan Safiah. Ummi, dia rindukan ummi. Esok dia mahu pulang sekejap. Mahu berjumpa ummi.

Khalida sudah lama masuk ke bilik. Sudah lena agaknya iparnya itu. Dia segera ke bilik air, mahu membersihkan wajah, bersugi. Khalid keluar sebentar, mungkin mencari rokok yang sudah kehabisan. Dia mengeluh, memandang cermin. Mungkin, mungkin dia perlu berusaha untuk menjadi lebih baik, lebih hebat di mata dimata Khalid, tapi bagaimana? Dia tidak mahu mengubah siapa dirinya. Bodoh. Amni tergelak sendiri. Memang bodohnya dia. Khalid sudah yang dicintai, kenapa mesti dia mahu bersungguh-sungguh. Airmata mengalir lagi. Jangan, dia sudah berjanji dengan diri sendiri, jangan menangisi apa yang terjadi. Dia perlu terus berjalan, merentasi denai kepahitan ini, mana tahu, mungkin dihujung perjalanan, dia temui satu ketenangan. Jika tidak, dia redha dengan segala ketentuan. Dia memulas tombol, hanya menjadi kaku seketika.
“Kenapa lama sangat?” Tercegat Khalid. Dia merenung wajah mulus itu. Putih bersih. Bibir munggil itu selalu merah tanpa gincu, buat dia asyik. Mata bening Amni, rupanya coklat cair dibawah cahaya. Rambut yang hitam lembut terikat rapi. Dia menahan nafas, memaling wajah.
“Maaf.” Pantas dia ketepi, mengelak dari dilanggar Khalid.
“Kenapa minta maaf?”
“Maaf buat abang menunggu.”
Khalid ketawa sinis. “Am memang hebat. Terima kasih.” Dia bertepuk tangan, kuat dan berkala.
Kali ini dia pula yang terpempan. Hebat? Hebat apanya?
“Apa maksud abang?”soalnya dalam gentar. Dia mahu tahu.
“Lakonan Am, memang mantap. Mama dan papa takkan tahu, siapa sebenar kita dalam rumahtangga ini. Abang kagum.”
Gigit bibirnya kuat, jangan lepaskan. Istighfar Amni, istighfar. Ingat pesan mama, bersabar. Khalid memang insan ang baik, dia pernah melihatnya. Dia mengangkat, muka, menentang mata suami yang dingin, menjauh. Abang, apa mahumu? Kalau benar kau tidak mahukan Am, lepas sahajalah. Lepas biar kita tidak menderita. Nafas dilepas. “ Am mahu taat, Am tak mahu mama risau. Kalau abang perlukan Am untuk babak-babak lakonan yang seterusnya, beritahu saja. Am akan siapkan skrip dan pentasnya sekali.”
Nah, Khalid ternganga. Dia membiarkan saja Amni berlalu keluar. Tahu ada hati yang terluka, tapi perlulah dia kisah. Dia diam, menutup pintu bilik air itu perlahan-lahan.
Allah...dia tahu. Dia sedar siapa dirinya. Jangan, jangan keluar. Diam-diam sudah. Jangan berlari keluar, dia sudah penat mengalirkan airmata. Amni baring, menutup lampu meja dan menarik selimut.

Berteleku dia sebentar dibirai katil. Perlahan dia meraup muka. Tangan kanan diletaknya pada dada, diatas jantung yang berdegup. Nurul Ain, kenapa kau bawa semuanya pergi? Dia berteleku lagi, menahan airmata yang kian sarat ditubir mata.

“Sedapnya french toast ni...mana Am belajar buat. Mmmm...sangat terrer, Kay kagum gila ni. Ajarkan Kay boleh?” Dia menggigit lagi. Serius sedap. Memang dia selalau berkursus atau ke seminar di mana-mana hotel, tapi inilah kali pertama dia merasa french toast yang amat hebat.
“Kau semua sedap,Kay. Masak malas, tu semua benda sedap.”
“You shut up. Cuba makan dulu.” Dia menghulurkan sekeping roti itu yang masih panas.
Khalid mengjungkit kening. Dia menggigitnya. Okay, Khalida memang serius. French Toast air tangan Amni memang sedap. Dia mengunyahnya lagi. Terasa butter dan serbuk kayu manis itu lembut dilidahnya.
“Apasal? Terkagum ke? Ni, tolonglah jaga Am ni baik-baik tau. Jangan sampai dia terlepas dari genggaman kita. Aduh, kena lari sepuluh kilo la petang ni. Kalori nihhhh...”
Amni tergelak kecil. Dia kembali memotong roti. Tiga biji telur dikepuknya laju. Setengah cawan susu segar dan secubit serbuk kayu manis dicampurkan bersama. Dia mengambil kulit oren yang diparut tadi, lalu ditabur ke dalam mangkuk. Roti itu dicelupnya, lalu diletakkan kedalam kuali bersama sedikit butter. Baunya harum dan mengusai ruang.
“Ahhh...heaven. Kay pindah sini boleh?”
“Dah,dah...jngan nak mengada-ngada, pergi mandi. Am, dah nak pukul tujuh. Better move now, nanti lambat.”
“Wow wee...suami prihatin rupanya abangku ini. Ahhhh, sayang kamu berdua. Hurry up and gives me a beautiful baby. Nanti boleh Kay boleh belikan baju bay yang cantik-cantik. Huihhhh...tak sabar.”
Amni terkaku sebentar. Dia melirik pada Khalid yang selamba menyua kopi ke mulut. Huh, baik dia jalan dulu. Beberapa keping roti yang siap digorengnya tadi diletak kedalam piring. Dipotongnya mentega lalu dicurahkan sedikit sirap maple.  “Kay, help yourself ya. Makan sampai habis pun tak apa. Am pergi dulu.” Dia mengelap tangan, lalu menghulurnya pada Khalid. Diciumnya tangan itu lama. Sewaktu mengangkat wajah, mata mereka bertaut.
“Drive baik-baik.”
Amni mengangguk, menoleh ke arah Khalida yang tersengih-sengih.

“Macam mana, ada syarikat yang sanggup buat?”soalnya serius. Wajah Yusri yang keruh dan tunduk kepala Azfar itu buat dia mengerti. Tiada. Huh...problem. Big problem.
“Lid, nanti kami pergi lagi. Mana tahu ada luck yang masih belum dijumpai. Kami gerak sekarang pun tak apa.”
“No, kita ada perjumpaan. Lagipun Mr. Johan akan sampai minggu depan. Buat briefing pada semua staf, lepas tu, korang boleh gerak.”
Yusri mengangguk. Mr. Johan Alain, general manager The Bliss akan tiba minggu depan. Mereka mesti pastikan semuanya tersusun rapi. Masalahnya, perkara sekecil ini yang bakal merosakkan semuanya. Yusri mengeluh, berat dan lama. “I’m really sorry,Lid.”
Khalid hanya diam. Masih ternayang dia sepasang mata Amni yang berkilau duka. Sepatutnya ereka tidak teruskan perkahwinan ini. It is a disaster. Apa perlu dia buat? Apa yang perlu dia buat agar Amni pergi jauh dari hidupnya. Dia menongkat dahi, mencari jalan penyelesian yang kian lama kian berselirat.

“Eh, Yusri kan?”soalnya sedikit ragu.
Lelaki itu menoleh, melempar senyum dalam resah. “Amni, isteri Khalid,kan?”
“Ya, saya. Encik Yusri buat apa kat sini?” Hairan juga dia, mengapa Yusri dengan suit pejabat yang hebat berkeliaran di atas Pasar Payang? Tak kan temankan isteri beli kain pasang. Husna disebelahnya mengangkat kening.
“Aduh, Amni...I’m really in big trouble right now. Kalaulah Amni dapat tolong saya...” Dia menyandar pada dinding. Penat. Azfar pun sudah penat. Tadi mereka ke Hentian Bas MBKT, sudah habis lelah disitu, mereka sambung pula disini.
“Kenapa kalut sangat, nak cari sutera ke? Ha, tu...kedai bapak saya. Boronglah banyak-banyak,”gurau Husna. Masalah apa yang besar sangat sampai separuh mati. Mengarut. Semua masalah ada jalan penyelesaian, yang penting kena sabar dan bertawakal.
Yusri mencanak bangun. Azfar juga memandangnya. “Apa cik cakap tadi, ayah cik ada kedai jual batik sutera ke? Kat sini? Ada kilang sendiri?”soalnya bertalu-talu.
Ketawa Amni dibuatnya. Kelakar melihat rupa Yusri yang sudah bagai menang cabutan bertuah. “Iya, kawan sayA ni ustazah, tak kan dia nak tipu. Kenapa Encik Yusri nak tahu sangat ni? Kau ada kilang ke,Na?”
“Kilang besar tak adalah, tapi adalah bengkel batik sendiri.” Kenapa mamat ni, macam kena sampuk je?
“Amni boleh tolong saya, tolong bawa saya jumpa tauke dia, maksud saya ayah cik ni. Tolonglah...”
Amni dan Husna saling berpandangan. Sah, kena rasuk.
“Okay, dah kalau Encik Yusri nak jumpa sangat, Am tunjukkan. Na, jom pergi balik.”
Husna menurut saja, mendahului langkah yang lain.

Berdenyut kepalanya.  Dia kena selesaikan masalah ini segera. Kenapalah di saat-saat akhir terjadi perkara ini. Betul-betul menyesakkan kepala. Dia melunjurkan kaki. Mahu saja dia terbang, hilang seketika dari dunia ini.
“Assalamualaikum...abang, abang okay?”
Khalid membuka mata, melihat sang dewi tersenyum manis padanya. Sekilas wajah Nurul Ain menjelma dihadapan mata. Bukan, bukan Nurul Ain. Nurul Ain sudah lama pergi. Amni. Dihadapannya kini ada Amni.
“Maaf kalau ganggu. Am masuk bilik dulu. Nanti Am masak untuk abang.”
Dia mengganguk. Tidak mampu bersuara. Melihat susun langkah sang isteri yang tertib. “Am, buatkan abang air boleh. Jus epal macam hari tu.”
Tas tangan dan beg galasnya diletakkan di sofa. Lirik matanya mencari wajah Khalid yang kian rusuh. Nanti dia tanyakan. Tidak mahu dia mengganggu Khalid dengan asakan soalan. Diambilnya tiga biji epal hijau, pantas dikupas kulit. Empat cawan air dan satu perempat gula. Punat pengisar ditekannya lama. Segelas air batu dimasukkan. Pengisar itu kembali meronta-ronta. Dituangnya jus epal lalu ditabur sedikit garam kedalamnya. Amni membuka fridge, mencapai sebotol madu. Madu itu diletaknya disekeliling mulut gelas tadi. Dia menjeling lagi. Khalid masih merenung langit. Dijilatnya jemari. Manis. Cepat dia mencapai tisu, mengelap gelas dan tangan.
“Abang, jemput minum.”
Khalid bangun, menggeliat bak kucing. No, bak jaguar. Ya, bagai jaguar nan perkasa. Dia menyimpan senyum. Amboi, jaguarlah pulak. Imaginasi selalu melampau-lampau,kihkihkih...mengarut sungguh. Semalam menangis, dah lupa ke hati oii...
“Mmm..sedap...Am letak madu kat sini?”
Tersipu-sipu dia. Ya encik suami, kuletak madu disitu. Kan aku juga madu, madu pada isteri pertamamu. Ewahhhh...apa yang dia melalut hari ni. Dah, dah...baik dia mandi. Nasib baik sudah siap solat Asar dirumah Husna tadi.
“Abang okay?”
Geleng. Tangan itu memicit dahi. “Nope. In the middle of disaster kot.”
Gulp. Apa maksud Khalid. Adakah tentang perkahwinan mereka? Sekali lagi liur ditelan. “About what?” About us,maybe?
“Am tahukan, The Bliss lagi beberapa minggu nak buat grand opening, tapi ada satu company tiba-tiba tarik diri. Dahlah company tu handle bahagian cenderahati. Stupid.” Kenapa pula dia boleh bercerita pada Amni. Kelakr, bukannya Amni tahu apa-apa. Dia mendengus kasar.
Ohhh...lega. bukan tentang dia. Amni kembali, duduk disebelah Khalid yang mengeluh berat. “Company apa?”
“Batik sutera. My boss mahukan skarf batik for every room. Untuk our first 300 customers. Pening abang.”
Batik sutera? Ohhh...ohhh...patut pun. Patutlah meloncat-loncat si Yusri bila Haji Ripin bersetuju. Itupun dia turut sama memujuk. Langsung dia tidak tahu, rupanya berkait juga dengan Khalid. Alhamdulillah, biarlah dia diamkan saja.

Husna dipeluknya erat-erat. Alhamdulillah, memang sudah rezeki Khalid, juga rezeki Husna sekeluarga. Wajah Haji Ripin yang tersenyum lebar petang semalam juga buat dia gembira. Benar, syarikat batik dan sutera milik keluarga Husna hanya untuk pasaran dalam Terengganu. Namun bak kata emak si Husna, rezeki takkan mahu ditolak. Mereka akan cuba buat yang terbaik. Itu sudah cukup buat Amni. Lega hatinya melihat Khalid yang mampu tersenyum sewaktu menerima panggilan dari Yusri petang semalam.. Ya, senyuman itulah yang sentiasa dia dambakan. Senyuman itulah ang buat hatinya kian ditarik agar kian dekat. Ya, mungkin Khalid membina benteng, namun dia tidak mahu terus hidup tanpa perasaan. Binalah setinggi mana pun, dia tetap akan berada di sisi Khalid. Andai benar dia tidak diperlukan lagi, dia akan pergi dengan rela.
“Kau nape senyum sorang-sorang?”usik Husna sambil galak tangannya mencuit pipi.
“Kau ni macam lucky star akulah,Na. Terima kasih.” Dia kembali memeluk Husna. Biarlah Husna tidak tahu, yang penting dia mahu Husna sedar, betapa berharganya pertolongan dan kesanggupan yng diberikan itu memberinya satu ketenangan. Senyuman Khalid. Dia bisa tersenyum pagi tadi, walaupun matanya masih dingin.
“Apa lucky star...kau ingat aku ni bintang ke apa...jangan nak mengarut. Daripada kau mengarut, baik kau belanja aku kat kantin hari ni,”pinta Husna bersungguh-sungguh.
Amni ketawa besar. “Jangan kat kantin, kalau kau nak borong satu kedai pun aku bayar. Sayang kau!”
Menjerit kecil Husna. “Apa ni, gelilah aku wei...balik rumah nanti, cium laki kau. Jangan nak menggatal dengan aku pulak.” Ditolaknya kepala Amni sejauh mungkin. Pengantin baru kemaruk ke apa!

Pen merah itu diletaknya kembali ke dalam kotak pensilnya. Selesai satu kelas speed test yang dibuatnya tadi. Boleh tahan juga penguasaan bahasa Inggeris budak-budak disini.Betul kata Cikgu Salina, pelajar disini ada basic yang baik, cuma sedikit malu berbicara dalam bahasa Inggeris. Untuk speed test yang dibuatnya tadi, lebih separuh daripada pelajarnya dapat menjawab soalan vocabulary dengan betul. Hebat. Empat daripada mereka betul kesemua tiga puluh soalan. Dia tersenyum.
“Sejak jadi pengantin baru ni, kerja Am asyik senyum je,kan.”
Terkejut dia. Serius dia terkejut. Mengurut dada sebentar dia dibuatnya. “Mr. Aqil, kalau ya pun, bagilah salam. Terkujat saya. Kalau mati kat sini, duda suami saya tu...”
Aqil tergelak kecil. Itulah, itulah perkara yang sentiasa mengikat dia agar terus memandang Amni. Bersahaja, tapi tidak melebih-lebih. Dia tahu, tidak patut dia berbuat begitu, namun dia tidak mampu melawan. Melihat Amni bagaikan satu ketenangan untuk dirinya. Berdosakah dia?
“Kalau dia duda, Husna kan ada. Wasiatkan dia untuk Husna.”
Terkekek-kekek Amni ketawa. Hah, mahu menangis si Husna kena dengan Mr. Jaguar. Sekali kena jeling, silap-silap melalak on the spot. Dia menoleh, memandang Aqil yang menyandar pada meja sebelah. “Eh bila ada kumis ni, dah rupa macam Zain Saidin Am tengok...”usiknya pada Aqil yang tersenyum-senyum.
“Zain Saidin ke? Ingat macam Orlando Bloom,”balasnya bagai mahu merajuk.
Amni menutup mulut. Tangannya lincah mengemas barang-barang. Jam hampir tiga setengah petang. Zuhur belum lagi. Baik dia ke surau dulu. “Okay Mr. Aqil, I nak solat dulu. Ni pun dah lewat. See you tomorrow ya. Assalamualaikum.” Dia bergegas bangun. Kena cepat, nanti mahu singgah dirumah. Ummi sudah janji mahu masakkan ketupat sotong.
“Am...baik-baik jalan.” Pesanannya ikhlas. Dia mahu Amni selamat. Kenapa, bodohkan dia?
“Am drive, kalau jalan kaki malam baru sampai tau.”
Aqil ketawa. Hai hati, jangan, dia isteri orang. Jangan, dia bunga larangan.

Ya Allah...seronoknya terbaring dikatil sendiri. Selesanya hanya dia saja yang tahu. Dia membuka tingkap, membiarkan angin melangkah masuk. Nyaman sekali. Telefonnya pula berbunyi. Aduhhh...baru nak bermelankolia. Penampar telefon ni baru tahu. Errkkk...Mr. Jaguar.
“Waalaikumussalam.”
“Am kat mana?”
“Am singgah jenguk ummi. Kenapa,bang?”
“Dah lama sampai?”
“Tak, baru je.”
“Tunggu, abang datang. Dah lama tak jenguk ummi dengan abi. Baju pakai Am yang sedia ada macam mana? Ada ke untuk pakai esok?”
Ehhh...pelik. “Ada, kenapa?”
“Kita tidur sana. Lama tak berborak dengan Im. Cakap dengan ummi, nanti abang sampai.”
Talian dihujung sana diam. Amni menggaru kepala. Aduh, nak kena berlakon lagi ke ni? Hmmm...tak apalah, at least dia boleh balik dan tidur dirumah. Jebat yang galak berguling dihujung katil digomolnya kuat. Mengiau kucing itu. Padan muka. Asal aku balik je, terus melepak kat bilik. Apa, ingat bilik ni hotel ke? Cehhh...dia baring, dan terus lena.

“Apa tidur petang ni? Bangun, mereng otak kamu baru tahu. Dah pukul enam, tidur kemain, sama naik dia dengan kucing. Tu, suami kamu ada kat luar. Tidur dahlah ternganga...buruk benor,”marah Hajah Amina. Huh, kalau besannya tengok, mahu menyesal.
“Abang ada kat luar?” Bangun mencacang dia di atas katil.
Mahu saja Hajah Amina ketawa. Dah macam patung orang-orangan dilihatnya si Amni. Tudung senget, baju kurung berkedut sana sini, mashaa Allah, sakit jantung dia. “Iya, tadi dia siap jenguk kamu sekali. Dah kamu tidur macam batang kayu, dia keluar borak-borak dengan abi, dengan Im. Dah bangun, sembahyang. Tolong ummi masuk. Ummi dah kutip pucuk ubi, nak masak lemak cili api pucuk ubi.”
“Yalah,yalah...ummi keluarlah dulu. Am mandi, solat. Nanti Am keluar.”
“Eleh, malu sangat. Masa kamu kecik-kecik dulu, selamba saje mandi bogel depan ummi.”
Dia tergelak. Aduh ummi, itu pun nak ungkit ke? “Yalah, ha, tengoklah kalau nak tengok sangat.” Dia membuka tudung, lalu membuka cangkuk kain.
Hajah Amina menjuih bibir. “Tak ingin ummi, nanti mengigau.”
Umminya akhirnya menutup pintu. Amni kembali baring. Aduh, mereng dia.
Sedapnya. Daging masin goreng kunyit, pucuk ubi masak lemak cili api, ikan pari bakar dengan air asam. Memang sedap. Dia menambah nasi. Masuk gym, tak pun jogging sepuluh kilometer, baru hilang segala kalori yang ditelannya. Biarlah, janji kenyang. Tadi dia dan Yusri ke bengkel batik Haji Ripin, nasib baik sudah separuh dapat disiapkan.
“Lid, tambah lagi. Lapar nampaknya kamu, tak makan tengahari ke tadi?”soal Haji Muaz dengan kening berkerut.
“Tak sempat,abi. Banyak kerja.”
“Jangan diikutkan kerja,Lid. Kesihatan, tubuh badan kena jaga. Kalau sakit, macam mana nak kerja,”marah Hajah Amina. Dia menjeling Amni yang ralit mencubit ikan pari. Disepaknya kaki Amni.
Tersembur dia. Apa ummi ni...nasib baik tak lekat ikan pari? Dia memandang ummi, dengan wajah menyoal. Ummi menjegilkan mata. Aduhhh...aku ada buat salah ke? Amni tersenyum-senyum.
“Dah ada isteri, buat isteri tengok-tengokkan, jaga makan pakai. Tak gitu, Am?”keras sedikit soalan Hajah Amina.
Imran yang meneguk air tersenyum di balik gelas. Dia membuat muka, mengejek Amni yang hilang kata.
“Jangan risau,mi. Salah Lid juga yang lemas dengan kerja. Nanti Lid ingat nasihat ummi. Am jaga Lid dengan baik.” Aku saja yang tak jaga dia. Maafkan Lid, ummi.
“Kalau macam tu baguslah. Am tu budak lagi, Lid tegurlah yang mana patut, ajarlah yang mana perlu. Kalau perlu marah, marah,” pesan Hajah Amina perlahan. Ya, Amni masih muda. Baginya, Amni masih lagi si kecil kesayangannya.
“Kecik apa,mi...kentut pun bau busuk, bulu ketiak pun bergulung, kecik apanya,”sampuk Imran tiba-tiba.
Khalid menyembunyikan senyum. Bodoh betul si Imran. Kalau dia, kena pelempang dengan mama.
“Adeh deh deh deh...adoiiii...tercabutlah telinga orang,mi. Main kasar betul. Orang nak tambah nasi ni...”
“Padan muka. Menyampuk tu mengarut-ngarut. Cili mulut kamu baru tahu.”
“Kalau ummi letak cili, im tambah belacan, apa susah.’
Hajah Amina mengalah. Dah, malas dia. Makan nasi lagi sedap.

No comments:

Post a Comment