Monday 16 February 2015

DREAMCATHER BAB 1 ....


"It Must Have Been Love"
It must have been love but it's over now.
It must have been good but I lost it somehow.
Roxette : 1987


Epilog

Dia berteleku, menongkat dagu berjam-jam lamanya. Hatinya mula hilang debar, yang ada hanya bisikan-bisikan halus. Riuh rendah disekeliling mula kabur, jauh dari pendengaran. Matanya mahu lelap, tubuhnya kian terasing dari dunia nyata.
“Encik Khalid?”
Halus sahaja suara itu menyapa telinganya. Dia mengangkat muka, mencari pemilik suara.
“Encik Khalid?” soal doktor wanita yang mungkin hampir separuh abad umurnya. Mata wanita itu bening, mulutnya kaku, wajahnya lesu.
Khalid mengangguk,perlahan. Dia cuba bangun, namun kakinya membantah.
“Tak apa, duduklah.”
“Bagaimana dengan isteri saya?”
Doktor wanita itu menelan liur, satu dan dua. Kedua tangannya diramas perlahan, sedikit menggeletar.
Khalid merenung marmar putih yang menghampari lantai.
“Maafkan saya, maafkan kami. Kami dah cuba sedaya upaya, namun Allah lebih sayangkan dia…maafkan saya, Encik Khalid.” Getar suara itu menyampai kata.
Khalid bangun, kehilangan kata. Direnungnya sekeliling.
Sunyi.
“Bayi dalam kandungannya juga tak dapat kami selamatkan. Kecederaan Puan Nurul Ain terlalu parah. Kami betul-betul minta maaf.”
Dia berpusing, menatap lesu wajah doktor dihadapannya. Sebuah senyum tawar dilemparkan. “Tak apalah, saya faham. Terima kasih kerana berusaha menyelamatkan mereka.”
Khalida yang tertidur dari jam empat pagi tadi terpisat-pisat bangun. Wajah rusuh Khalid dan kelam air muka doctor di hadapan mereka membuat dia dapat mengagak apa akhiran yang disampaikan. Lengan Khalid dipeluknya kuat. Airmata mahu mengalir tatkala melihat mata abangnya yang kosong, menjauh dari kenyataan.
“It’s okay, Kay. I’m gonna get through all this.”
Khalida sebak. Kerongkongnya seakan tersumbat. Tiada perkataan yang mampu keluar. Doktor wanita perlahan meninggalkan mereka berdua.
“Abang balik. Biar Kay uruskan semua. Abang dah dua malam tak makan, tak tidur. Maklumkan pada abah untuk urusan pengebumian. Abang pergi balik ya, tolong…”
Khalid membisu.
“Tolong Kay abang…”
Kali ini dia mengangguk. Dia melangkah, meninggalkan ruang malang itu. Kakinya bergerak, tanpa tujuan. Dia perlu pulang.

Hujan yang turun akhirnya terhenti. Dia masih di situ, di bawah pondok bersama-sama yang lain. Talkin sudah selesai dibacakan. Air mawar sudah habis disiram.
“Kita balik,Lid” Lembut sahaja suara mamanya mengajaknya pulang. Lengannya dipaut, ditarik perlahan. Dia membetulkan songkok.
“Abang Lid, jom balik.” Kali ini suara Khalida pula menerpa telinga. Dia akhirnya mengangguk. Saat kakinya melangkah, dia berjanji. Dia berjanji untuk tidak bercinta lagi. Dipandangnya sejenak perkuburan yang masih basah dengan hujan. Didongaknya langit yang masih kelam. Khalid tersenyum sinis. Hebatnya dugaan. Hebatnya dugaan si Dia untuk hamba sepertinya.











BAB 1

Tersengih-sengih Amni sewaktu melihat umminya dari jauh. Dijelirkan lidah pada abangnya yang tersenyum sinis.
“Cikgu apa terjelir-jelir tengah orang ramai ni?”
Amni membuat muka. Malas dia mahu melayan Imran. Dia tahu, Imran galak mengusiknya kerana sengaja mahu mencari balah. Manja, tak padan anak jantan.
“Amni, simpan lidah kamu. Ummi cubit baru kamu tahu.” Tegas teguran Hajah Amina. Geram betul karenah dua beradik ini. Dari kecil hinggalah besar, asyik mahu bercakaran saja.
Terkekek-kekek Imran ketawa. Padan muka.
“Kamu pun sama. Umur dah tiga puluh tahun, perangai macam budak darjah satu. Itu yang tak ada perempuan nak. Ummi juga yang kempunan nak bercucu.”
Kali ini giliran Amni mengurai tawa. Nah, ambik kau.
“Aisey ummi…tolong lah jangan buat malu Im kat sini. Habis peluang Im nak mengorat dengan stewardess yang cun-cun tu.” Dia menggaru-garu pangkal tengkuk.
“Amina?”
Ketiga-tiga beranak itu menoleh.
“Amina Yahya kan?” soal wanita bertudung ungu lembut itu sekali lagi.
Hajah Amina terpana. Mahu saja dia menjerit namun dia sempat menutup mulut. Pantas dia memeluk batang tubuh wanita dihadapannya. Riuh rendah seketika.
Imran dan Amni saling berpandangan dan berbalas senyuman. Sudah, drama minggu ini di lapangan terbang sudah mahu mula. Amni ketawa dalam hati.
“Safiah kan? Ya Allah…lamanya tak jumpa.”
 Safiah mengesat pipinya yang berair. Erat pelukan pada sahabat lama belum mahu diungkai.  “Iya, ini Yah la,Mi. Siapa lagi?”
Mereka berdua tertawa. Pantas Safiah menarik tangan Hajah Amina ke bangku kosong. Mereka melabuh duduk.
“Mi dari mana?”
“Ambil anak bongsu ni ha. Amni, Imran sini.” Hajah Amina bangun, mengheret Amni yang tersenyum-senyum.
Amni menyalami tangan wanita dihadapannya. Lembut. Mesti pakai losyen hari-hari. “Amni, makcik.”
Safiah tersenyum lebar. Matanya merayap pada wajah lembut si dara dihadapannya. Cantik. Berlesung pipit, mata coklat cair yang bening dengan bertudung ala hijab terkini.
“Ini Imran. Yang sulung. Dah umur tiga puluh tahun, tak nya kahwin-kahwin lagi,Yah. Gamaknya mahu menunggu kita mati baru nak menikah.”
Imran menghulur salam, tersengih-sengih tanpa kata. Adoi ummi, janganlah cerita pada semua orang. Leceh betul ummi ni.
Safiah ketawa kecil. “Tak apa,Mi. Kalau dah kahwin…jadi milik orang,susah pula kita nak tumpang bermanja. Tak gitu,Imran?” soalnya lembut.
Perghhhh…makcik ni memang bagus. Imran mengangguk pantas.
“Kami datang jemput Amni. Alhamdulillah, tiga tahun mengajar di Sarawak, dapat juga dia bertukar balik ke Terengganu ni,Yah. Lega hati saya.”
Amni tersengih-sengih. Itulah umminya. Kalau boleh, semua perkara mahu diberitakan. Imran yang menyandar pada tiang mula membuat isyarat.
“Apa?” soal Amni tanpa suara.
B.A.L.I.K.
Imran mengeja tanpa suara juga,.
Amni mengangkat bahu, menjeling umminya yang kian rancak berbual. Mahu menyampuk, dia tak sampai hati. Seronok melihat umminya berseri-seri dapat berjumpa rakan lama. Dia memandang Imran yang mula membuat muka kesian. Mahu saja dia gelakkan abang nan seorang, namun tak sampai hati dia.
“Yah baru pindah balik ke Terengganu. Rumah kami di Johor Bharu dah kami sewakan, buat homestay. Dah lama Maarof nak balik tinggal di kampung. Alhamdulillah, bulan lepas siap pindah. Mi datanglah dengan keluarga. Banyaknya cerita Yah nak beritahu. Kejap Yah tuliskan alamat dan nombor telefon.”
Imran tersenyum lebar. Lega. Perutnya dari tadi berkompang mahu diisi. Terbayang-bayang siput sedut lemak cili api dengan asam pedas pari di bawah tudung saji tadi. Nasib baik dah nak balik.
“Amni ni berapa tahun,Mi. Cantik. Mudah pula dapat bertukar ke Terengganu ya.”
Amni buat-buat malu. Makcik tu cakap aku cantik, rasa macam nak belanja makan keropok lekor aje. .
“Huhhh…umur dah masuk 26 tahun, perangai macam budak darjah enam. Dia mengajar subjek Bahasa Inggeris. Dah rezeki dia gamaknya,Yah.”
Safiah mengangguk kecil. Dihulurnya sekeping kertas pada Hajah Amina. “Jangan lupa datang ya,Mi.”
Mereka berpelukan.
“Mi balik dulu ya,Yah. Inshaa Allah, kalau Mi pergi, Mi panggil Yah dulu.”
Tatkala kaki melangkah, Amni berdehem. “Ummi nak panggil macam mana?”
“Panggil apanya?”
“Tadi ummi cakap, kalau ummi nak pergi rumah auntie Safiah tu, ummi panggil dia dulu. Panggil macam jerit-jerit tu ke?”
Imran memburai tawa. Nama cikgu, bodohnya ada lagi.
“Panggil tu telefon la,ngok. Itu bahasa orang-orang otai macam ummi. Kau apa tahu. Tahu main Pou kat iPad tu aje.”
“Dah-dah, jangan bercakar kat sini. Cepat, ummi dah lapar ni.”
Berderai lagi tawa kedua beradik itu.

Buruk lantak betul. Patutlah tak ada perempuan yang nak, makan macam sebulan puasa. Harapkan muka saja yang hensem, huh...nasib baik abang dia.
“Apa pandang-pandang? Memandang-mandang hati kama, memandang dalam renungan...”
Amni tergelak. Habis tersembur air yogurt mangganya. Bodoh betul abang Im. Suka buat gila. Dia terkekek-kekek ketawa bil jejari ummi memulas telinga abangnya yang ralit mengunyah. Menggeliat Imran menahan kesakitan.
“Apa ni mi, orang tengah makan ni...adoi...” Digosoknya telinga berkali-kali.Aduh, cepat tangan betul umminya ini. Serupa macam ummi Irfad. Lama-lama, hilang juga telinganya.
“Sebab tengah makan la ummi piat telinga kamu tu.Cuba makan diam-diam boleh tak? Makan menyanyi,masuk tandas menyanyi, nasib baik sembahyang kamu tak menyanyi.”
Amni tergelak lagi. Ya, tuan-tuan dan puan-puan, drama swasta sudah mahu mula.
“Kau apa gelak? Wei, tiga tahun kau tak ada, ni...ni...telinga ni la yang selalu kena. Dah lah mi, pergilah piat telinga adik pula. Adoi...”
Kali ini makin kuat dia meletus tawa. Tersedak dia dengan nasi yang masih bersisa di dalam mulut.
Hajah Amina mendikit senyum. Lega, lapang dadanya. Dua anak ini sudah ada di depan mata. Sungguh, tatkala Amni mengajar di sana,hampir setiap malam dia tidak dapat melelapkan mata. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja dia terbang ke sana. Namun tegahan Imran dan suaminya buat dia menahan diri. Kepala Amni diusapnya perlahan. Alhamdulillah, terima kasih ya Allah.
Imran berdehem. Atu dia. Mari mari orang kampung. Mari tengok ummi saya yang mula berairmata. Dia bangun, membawa pinggan ke sink. Cepat-cepat tangan dibasuh. Senduk gulai yang sudah berbasuh dihulurkan pada umminya.
“Apa perasaan puan hajah di atas kepulangan anak kesayangan puan?”soalnya sambil menghulurkan senduk bak mikrofon.
Pelupuk pelepak senduk itu diketuk. Mencirit Imran melarikan diri.
Kali ini mengilai Amni melihatnya.

Dinginnya. Dia menjeling jam yang tergantung diruang tamu. Mata mahu pejam, otak masih berputar. Lusa dia akan melaporkan diri ke sekolah baru. Peritnya berjauhan selama ini akhirnya tiba ke penghujung.
“Kenapa tak tidur lagi? Ni mesti sedih sebab tinggalkan mata air kat sana, kan, kan?”
Dia menoleh. Sudah datang naga berapi. Asap berkepul-kepul asap keluar. Hmmm...takutlah tu nak merokok kat dalam rumah. “Tak ada maknanya kalau orang ada mata air pun. Bukan boleh langkah bendul.”
“Bendul apa bendul. Aik, adik nak kawin, ehhhh...dipersilakan. I’m no hal.” Asap rokok itu dihembusnya ke ruang langit.
Pelik dia. Abangnya bukan tiada rupa, malah rupawan sekali (boleh eh guna rupawan?). Hati baik, kerja pun ada. Memilih ke? “Kalau tanya jangan marah.”
“Apa?”
“Abang serius tak ada mata air? Orang nak anak sedare lah.”
Berdekah-dekah Imran ketawa. “Apa adik ingat kawin lepas tu terus dapat anak ke? Kita ni manusia, bukan kucing.”
“Iya, itu orang tau. Ni, adik tanya pasal mata air. Ada ke tidak?”
“Tak ada. Kalau ada, dah lama abang bawa balik tunjukkan pada ummi ngan abi. Ni, nanti nak pergi lapor diri, nak abang temankan?”
Dia menjelirkan lidah. Apa, ingat dia budak kecil ke? “Sorry naik lori, tak payah. Orang dah besar panjang la.”
Imran tersenyum, melirikkan mata. Betul. Sudah besar panjang adiknya nan seorang. Sewaktu mula-mula dapat tahu Amni ditempatkan di Sarawak, mahu saja dia isi borang tukar, biar dia ikut sama.Tapi adik nan seorang ini bukan saja marah, siap gelak lagi. Katanya pergi asrama penuh dulu pun tak heran, inikan benda kecil macam ni.
“Fine. Dah pergi masuk tidur,anak dara tak elok berjaga malam-malam, nanti susah orang masuk meminang.’
Tergelak Amni mendengarnya. Diciumnya pipi Imran, umpama mereka kecil dahulu. Dia berlalu pergi.
Imran mengeluh, tersenyum sendiri. Siapalah yang bakal menjadi suami si Korea celup ni nanti? Itulah satu-satunya adik yang dia ada. Huh, mesti terseksa lelaki itu. Dia ketawa dalam hati.

“Amni? Amni Muaz?”
Dia menoleh. Mulutnya ternganga. Eh ,ni kan...
“Aqil. Aqil Zaidi. Handsome boy MRSM dulu. Tak ingat?”
Ohhh...yang itu ke? Mashaa Allah, dah makin hensem.
“Buat apa kat sini?”
Amni menelan liur. “Lapor diri. Dapat tukar dari Sarawak. Kau cikgu juga ke? Bukan hari tu nak jadi pilot?”
Lelaki itu ketawa besar. “Ohhh...ingat lagi rupanya. Tak boleh, mak saya tak kasi. So, follow me, I’ll show you where is the office.”
Amni bersyukur dalam hati. At least she got a friend.
“Nanti  ajar subjek apa?”
“English. Aqil?”
“Macam biasa, matematik.”
Amni mengangguk. Betul, waktu itu, mamat dihadapannya inilah manusia paling top di MRSM Kuala Terengganu. Punyalah ramai peminat,sampai dia pakai baju apa pun jadi topik hangat. Nasib baik bukan dia. Dia ingat pesan ummi, zaman sekolah bukan zaman bercinta. Amni tersenyum sendiri.
“Nanti dah lapor diri, masuk bilik guru. Bilik hujung sana. Saya ada kelas. See you beautiful.”
Amboi, manisnya mulut. Amni hanya mampu menggelengkan kepala. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia ada kawan.

“Pergi mana?”
Safiah menjeling. Betul tak dengar, ke buat-buat tak dengar.
“Temankan mama pergi rumah kawan lama mama. Papa balik lambat hari ni. Boleh ya,Lid.”
“Kay mana,ma?”
“Kay kan ada di KL. Lusa baru balik. Kalau tak nak pegi, mama drive sendiri pun boleh.”
Ha,ha...saja buat suara sayu mendayu macam tu. “Yelah,yelah...pergilah siap. Lid mandi kejap.”
Meleret saja senyum mama. Huh, perempuan. Senang saja nak takluk dunia. Khalid masuk ke bilik. Ingatkan balik kerja bolehlah dia lelap sebentar. Huh, kalau di pejabat,dialah bos. Balik rumah? Sorrylah, itu gelaran mutlak mama. Papa pun tak berani nak rampas kuasa. Penat. Memanglah penat. Namun dia tahu, pembukaan hotel itu lebih penting dari segalanya. Mr. Lehmann percaya padanya,pada pasukannya. Dia perlu buktikan yang dia mampu menyiapkan segalanya. Yusri banyak membantunya. Begitu juga Syafiqa dan Azfar sudah menguruskan tentang hiasan dalaman. Lanskap sudah hampir siap. Sedikit lagi. Sedikit lagi untuk sempurna. Pintu biliknya diketuk.
“Lid, mama tunggu kat luar ya.”
Dia tersenyum lagi. Mama, mama...hanya mama sahaja yang boleh arahkan dia ke sana sini. Khalid bangun. “Lid mandi,solat jap.”

Cantik. Memang cantik. Ditepi pagar banglo putih itu tersusun pelbagai pepohon buah-buahan. Dihujungnya, ada kolam kecil dengan beberapa ekor itik dan angsa. Disitu juga gah terbina sebuah gazebo yang teguh berseni.Khalid mengangkat kening. Hmmm...menarik.
“Khalid kan, jemputlah masuk. Baik-baik dengan angsa tu. Kalau orang asing, dia kejar.”
Hah! Baik jangan cari penyakit. Sebelum kena, baik dia melangkah. Sewaktu dia mahu melabuh duduk, seekor kucing bewarna oren berbelang menggeselkan kaki. Huh, sampai dalam rumah pun ada haiwan belaan. Si oren memanjat, melangut diribaannya. Hampir dia ketawa. Senang hati betul kucing ni. Perlahan dia mengusap kepala sang kucing.
“Oi Jebat, turunlah. Kau dengan semua orang kau bermanja.”
Khalid menoleh. Dia mengangkat si Jebat yang menggeliat ke tepi sofa. Tangan dihulur. “Khalid.”
Lelaki berseluar pendek tanpa baju itu tersengih. “Imran. Sorry bro, baru balik latihan bola baling kat sekolah tadi. Duduklah, aku masuk mandi kejap. Kau Jebat, jangan nak mengada-ngada, tidur dalam bakul sana. Sama saja tuan dengan kucing, kurang kasih sayang.”
Sekali lagi Khalid tergelak. “Tak apa. Carry on with your bussines.”
Imran mengangkat ibu jari tanda bagus.
“Lid, minum air ni dulu. Nanti makcik bawakan kuih. Yah, marilah duduk. Apa yang kau jengukkan kat luar tu?”
Yah.
Khalid tersenyum tatkala bibirnya hampir menyentuh bibir gelas. Sewaktu di Johor dulu, nama panggilan mamanya jauh berbeza. Kalau di sana, Safi. Huh, balik kampung baru pecah tembelang. Yah rupanya. Ni kalau cerita pada papa, mesti tergolek-golek orang tua tu nanti.
“Makanlah, bingka ubi kayu. Amni yang buatkan, dia memang suka makan kuih. Kalau si Imran, tolak kayu dengan batu. Semua dia makan.”
Sudu diambil. Dia memotong bingka yang terhidang itu ke dalam mulut. Sedap. Lemak dan manisnya cukup. Ahhh...heaven. Segala apa kek pun kalah.
“Mana Amni?”soal Safiah memandang keliling. Hajat dihatinya mahu menemukan Khalid dengan Amni. Manalah tahu.
“Ala Yah, sudah saja dia bakar kuih tu, terus dia pergi ke bandar. Nak cari kain pasang katanya.”
Khalid menjeling mamanya yang beriak kecewa. Hooo...patutlah ajak aku. Nak perkenalkan aku dengan anak dara mana pula ni. Mama oh mama.
“Tu lah, niat tak baik,”sindirnya sambil mencebikkan bibir.
Safiah buat-buat bodoh.
Hajah Amina kembali. Sepasang batik sutera Terengganu berwarna pink belacan dihulurkan kepada Safiah.
“Nah...ambik ni, selamat pulang ke Terengganu. Rindunya nak berborak, bergosip macam dulu.”
Dua wanita itu ketawa sambil berpelukan.
Haaa...ni yang aku malas ni.
“Bro, jom lepak kat luar. Kasi je dua ibunda raya tu mengumpat sampai pengsan.”
Fuh...tepat pada masanya. Mahu saja dipeluknya Imran yang kini hanya berkain pelikat dan memakai kemeja coklat. Dia pantas bangun, membontoti langkah Imran yang membawa sepiring lagi kuih bingka. Angin yang bertiup bagai mahu mengulitnya tidur. Jebat mengekori mereka, kucing itu melunjur cantik bak beryoga. Lalu mata ditutup rapat. Khalid ketawa lagi. Senangnya hidup bagai kucing. Sudah makan, main. Penat main, tidur.
“Tidurlah. Aku tengok muka kau dah macam tempeyek basi.”
Kali ini dia betul-betul dia ketawa. Dia melayangkan badan ke atas lantai gazebo yang bersih. Dua biji bantal kecil itu diambilnya untuk menahan kepala. Bunyi angsa, itik dan ayam silih berganti. It’s okay. Dia sukakan kebisingan itu. Semulajadi. Bukannya jadi-jadian. Dia memejamkan mata, terbuai dengan nyanyian alam.
“Kau kerja kat mana,bro?”
Jebat yang tadi tidur di hujung kaki bangun menumpang di dadanya. Khalid membuka sebelah mata. Memang mengada-ngada betul. “Hotel.”
“Chef?”
Khalid ketawa. Chef? Masak air tahulah. “Nope.”
Terdengar bunyi getar tawa Imran disebelahnya.
“Tak kan bellboy kot? Hotel mana?”
Khalid tersenyum lagi. Serius, Imran boleh dibuat kawan.
“Tak buka lagi, dalam perancangan nak buka lagi sebulan dua.”
“Maksud kau, hotel baru di hujung pantai Penarek sana? Apa nama, The Bliss?” soal Imran sambil menoleh ke arah Khalid yang masih terbaring dengan selesa.
“Yep.”
“Kau manager kat situ ke?”
Ketawa itu akhirnya meletus. “Yep. Kat situ. No, aku bukan manager. Just asisstant general manager only.”
Imran pantas bangkit. Wow! Wow and Wow! “Kau tak tipu? Berapa umur kau?’
“Tiga puluh empat. Kau?”
“Tiga puluh satu tahun depan, bujang, cikgu.”
Mereka sama-sama ketawa.
“Aku harap adik aku dapat jumpa kau. Then, kau jatuh cinta, kahwin. After that, aku dapat lepak kat hotel tu sampai bila-bila.”
Ketawa mereka kali ini bersaing dengan kuatnya. Terkejut si Jebat yang nyenyak tidur. Mencicit kucing itu lari ke garaj.
“Mana dia?” soal Khalid sekadar berbahasa. Biarlah, bukan dia serius, sekadar menjaga hati rakan baru.
“Keluar. Semenjak dapat tukar balik Terengganu ni, tak habis lagi dia menjelajah. Jumpa kawan-kawan lama agaknya.”
“Kau?”
“Aku apa?”
“Dah kahwin?”
Kali ini Imran pula yang ketawa. “Tak. Sapalah nak cikgu cabuk macam aku.” Rendah saja nada suaranya.
Khalid juga terdiam. “Aku pernah kawin. Dulu. Masa belajar kat oversea.” Entah kenapa dia membuka cerita. Selama ini, dia malas mahu bercerita tentangnya.
“Really? Kau kahwin dengan minah saleh mana? Perghh...mesti cun macam model, kan? Kan. Kan?”
Atap gazebo itu direnungnya lama. Perlahan nafas ditarik, dilepaskan. “Tak, orang Malaysia kita.”
“Habis tu, mana dia?”
Dadanya seakan dihempap batu. Sesak dan menyesakkan. Nur Ain. Senyumannya masih terbayang. Huh, senyuman yang waktu itu tiada dosa, suci dan murni. Lirik mata yang menggoda dengan rambut yang dibuai angin musih luruh. Dia memejamkan mata. Tiada lagi cinta, mungkin.
“Weh, mana wife kau?”
Khalid bangun, merenung langit. “Dah tak ada. Meninggal dunia masuk tahun kedua perkahwinan kami.”
Liur ditelan bagai pepasir nan kering.
“Allah...maaf,bro. Aku tak sangka. Maaf,”pohon Imran ikhlas. Dia menepuk bahu Khalid beberapa kali.
Khalid ketawa kecil. “It’s okay. Cerita lama. Aku dah lupakan pun.” Benarkah? Benar dia sudah lupa segalanya. Ya Allah, peritnya dugaanMu.

Amni menoleh sepintas lalu. Honda CRV mana pula ni yang keluar dari laman rumah? Dia hanya menjeling. Kawan abi, tak pun kawan abang Imran. Dia membiarkan saja. Maghrib lagi setengah jam, sebelum kena bambu, baik dia cepat. Keluar dari keretanya, Imran sudah menunggu di depan pintu.
“Amboi, ingatkan dah tak nak balik. Nasib baik tak telefon polis.”
Amni menjelirkan lidah. Melampaulah tu. Mengada-ngada pun ada. Dia mengambil plastik-plastik lalu disangkut pada jari jemari Imran.
“Tu, kat dalam ada putu piring. Tolong angkat semua ni baru kasi.”
Imran menggelengkan kepala. Inilah perempuan. Asal keluar, shopping. Asal stress shopping. Happy pun shopping. Kayalah semua tokey dalam dunia ni.
“Bang Im, nak ke tak?”
Dia mengeluh. Nasib baik si perempuan depan mata ni adik dia. Kalau isteri, huihhh...tahulah dia bedal. Bedalan kasih sayang.
“Gila eh senyum sorang-sorang. Siapa tadi tu,bang?”
“Hmmm...kawan ummi yang kita jumpa kat airport hari tu. Datang nak merisik engkaulah.”
Hampir terlanggar dia dengan Jebat yang tiba-tiba meloncat. “Ehhh, tolong sikit ya. Jangan nak mengarut. Dah, dah...orang nak mandi.”
Imran ketawa. Huh, cakap pasal kahwin je terus alergik. Lantak kaulah,adik. Yang penting putu bambu yang masih panas akan jadi mangsanya nanti.

No comments:

Post a Comment