Monday 16 February 2015

'DREAMCATCHER' BAB 2...

BAB 2

Ruang legar hobi itu cukup cantik. Dia meneliti sekali lagi. Warna coklat muda dan warna gold menyimbah ruang. Ukiran kerawang kayu cengal berhias cantik di sudut-sudut tertentu. Umpama hiasan istana lama. Sepasang chandelier turut menyumbang cahaya. Sekarang ini, hanya susun atur pokok-pokok hiasan sahaja yang perlu dipilih dengan teliti. Dia menarik nafas. Dalam dan lama. Tengku Adnan dan Mr. Lehmaan, rakan kongsi dan pemilik hotel ini memberi sepenuhnya kepercayaan untuk menguruskan segalanya. Dia mahu membuktikan bahawa apa yang diusahakan selama ini pasti berbaloi.
“So, apa lagi Mr. Khalid?”
Dia menoleh, Syafiqa yang tiba-tiba berdiri disebelahnya melempar kata. Gadis itu yang berseluar jeans dan blouse merah jambu mengenyitkan mata. Rambutnya dibiarkan lepas bebas bersinar dipanah mentari pagi.
Dia tersenyum lebar. “Banyak lagi,Iqa. You dah settle fabrik langsir untuk bilik vvip?”
Gadis itu mengangguk. “Jom, makan. I lapar. Semalam tak sempat makan, pagi ni pun terlepas breakfast. Jomlah, kita makan ya,”pujuk Syafiqa lembut. Pagi tadi dia hanya menjamah sekeping roti planta. Lagipun sudah lama mereka tidak makan bersama. Kesibukan untuk majlis pembukaan hotel ini memang sangat memenatkan.
“Yusri mana?”
“Klinik. Anak dia sakit mata. Janganlah berjangkit. Mati kita dengan kerja bertimbun ni.”
Khalid ketawa, perlahan dan dalam.
Kali ini Syafiqa melirik lagi. Dia sentiasa mencuri pandang. Sungguh, Khalid sangat hebat dimatanya. Tinggi, kacak dan misteri. Ya, misteri. Khalid jarang bercerita, tentang dia ataupun tentang sesiapa. Khalid yang dihadapannya ini lebih senang tersenyum dan memerhati. Bercakap bila perlu, marah pun sekadar berdehem dan lirik mata. Bila ditanya soal isteri atau kekasih, dia hanya mengangkat kening. Katanya, itu privasinya. Syafiqa tersenyum lagi. Dia pasti Khalid masih bujang. Tiada cincin di mana-mana jari.
“Macam ni, I nak tunggu designer yang uruskan lanskap dan gazebo dulu. He will be here any minutes now. Apa kata you take a break dulu? Dah siap nanti, kita pergi makan. My treat.”
Hampir dia bertepuk tangan, namun dia menahannya. Dia menjeling manja. “Okay, I tunggu. I naik atas, double check on the fabric again.” Demi Khalid, dia rela menunggu.

“Macam mana? Best mengajar kelas tu?”
Amni tersenyum lesu. Penat. Hari ini masuk minggu kedua dia mengajar di sekolah baru. Ramai yang keluar berkursus, terpaksalah dia masuk menggantikan beberapa kelas.
Husna yang bertudung bawal itu mencubit pipinya kuat-kuat. Husna, ustazah lulusan Universiti Islam Antarabangsa itu sibuk tersengih. Amni tergelak. Tuan cantik, perangai kalah budak-budak.
“Am...”
“Kau cantiklah. Serius...kulit macam telur dikupas, mata bak bintang timur, pipir merah jambu. Bibir pulak bak bunga ros yang sedang mekar. Kalaulah aku lelaki, dah lama aku masuk meminang.”
“Tongonglah kau. Ada ke cakap macam gitu. Kau lagi cute apa, muka macam Najwa Latif celup. Suara je macam katak.”
Meletus tawa Husna. Baru dua minggu di sini, Husna orang yang paling rapat dengannya. Ke kantin bersama, balik pun bersama. Nasib ke tandas je tidak.
“Nasib baik Hajah Habibah bagi kita mengajar tingkatan satu dan dua. Kalau bagi kelas exam, meraunglah.”
Buku-buku rujukan dikemasnya dengan rapi. “Adatlah,Na. Nanti kita dah banyak pengalaman macam Kak Zaleha atau Kak Siti Nor tu, tahulah kau. Semua kelas yang ambik exam dia kasi. Masa tu barulah kau tahu. Ala, kau tak apalah Na, ajar pendidikan Islam. Aku ni, ajar English. Kelas depan okaylah. Kalau kelas belakang, adoiii...”
“Wah, sedap mulut ya. English manglish. Agama lagi susah. Kalau kau masuk kelas aku, ada lagi budak tak boleh beza rukun Islam dengan rukun Iman. Yang tak kenal muqaddam pun ada lagi tau. Lagi penat, Am.”
Amni mengangguk. Betul juga. Kalau ilmu agama tiada di dada, macam mana mahu hidup dengan berkat.”Okay, sorry sayang. Jangan marah. Apa kata, balik sekolah kita singgah Secret Recipes. Aku dah lama tak makan spaghetti Thai Seafood tu. Aku belanja.”
Tergelak Husna. “Kau memang pandai memujuk kan? Aku rasa nanti kau kahwin, suami kau mesti cair punya.”
Ceh, ke situ pula. “Huh, tunggu lagi sepuluh tahun, aku kahwinlah.”

“Apa tadi kamu tak makan ke,Lid? Lapar semacam aje mama tengok kamu ni.”
Khalid hanya mengangguk. Makan. Tapi makan di kedai, mana nak sama dengan air tangan mama. Kena molek makanan dikedai termasin, tawar ataupun ada juga yang tiada rasa langsung. Bukan semua, tapi bagi dia hidangan air tangan mama memang hebat. Dia menambah nasi lagi. Asam pedas pari itu dilahapnya lagi. Kena pula dengan bendi goreng belacan. Huh...memang terbaik punya. Marvelous.
“Kalau mama cadangkan, kamu jangan marah.”
Haaa...dah sudah. Apa lagi yang ada dalam kotak fikiran mamanya. Dia tersenyum, mengenyitkan mata.
“Apa kata kamu kahwin?”
Tersedak dia sebentar. Aku silap dengarkah? Dia mencapai air. Meneguknya laju.
“Bukan mama nak paksa, mama berikan cadangan. Lupakan yang dah lepas. Mama teringin nak tengok kamu bahagia. Kawan-kawan mama dah lama dapat cucu,Lid.”
Haa...subjek itulah. Kalau setakat subjek Matematik ke, Sejarah ke, dia okay. Ni subjek kecucuan ni memang sakit kepala. Khalid bangun, mengngkat pinggan ke dalam sink. Sewaktu membasuh tangan, dia menjeling sang ibu yang merenungnya. Tu dia...muka macam kucing minta ikan. Muka kesian gred AAA.
“Ma, siapalah yang mahukan anak mama ni. Nantilah, kalau ada orang nak, Lid fikirkan. Lainlah kalau mama dah ada calon.”
Safiah bertepuk tangan. Itulah ayat yang ditunggu-tunggu. “Kalau kenalkan Lid dengan anak kawan mama, boleh?”
“Yang mana pula ni?” Adoi...sentap jantung ini.
“Kalau tak mahu, tak apalah. Mama tak paksa.”
Mamanya bangun. Perlahan keluar dari ruang dapur. Jalan pun macam orang kalah perang. Ni...derhakakah dia? Apa berdosakah dia sekarang? Khalid menggaru kepala. Kalau aku nangis, agak-agak mama paksa tak? Bukan paksa konon. Aduhai, penat perang psikologi dengan mama.
“Anak siapa,ma? Takkan anak Che Long depan tu, dia baru tingkatan dua kan?”
Hishhh, aku pelangkung budak ni. Safiah kembali duduk dimeja. Ada harapan. Biarlah, kita berusaha. Kalau Allah izinkan, adalah rezekinya. Dia melembutkan suara. “Ala, anak kawan mama yang kita pergi rumahnya minggu lepas tu. Yang Lid makan bingka ubi tu.”
Khalid tergelak. Aku dah agak dah. Mama, mama. “Imran? Mama nak suruh Lid kahwin dengan Imran? Biar betul mama ni.”
Mengusik, mengusik tak habis-habis. Aku pelangkung juga anak ini. Safiah bangun. Malas dia nak bertekak. “Kalau tak nak, sudahlah. Malas mama bercakap dengan kamu ni.” Pantas dia bangun. Pergi siram orkidnya lagi baik.
Khalid ketawa besar. Alahai, merajuk sudah. Mama, mama.

Diciumnya bayi itu, lama. Wangi, lembut. Seronoknya. Kali ini dia benamkan wajah ke perut sang bayi yang menggelek ketawa. Bau bedak dan losyen bayi buat fikirannya melayang. Tiba-tiba shawlnya disentap.
“Afiya! Apa ni tarik-tarik tudung auntie. Ganaslah Afiya ni, macam papa dia betul.” Amni membetulkan shawlnya. Afiya yang berdiri dibelakangnya ketawa mengekek-ngekek. Bertuah punya budak. Comel betul budak Afiya. Cubit baru tau.
“Nak liba.”
Amni tergelak. Dengkilah tu. Pelat tu lagi lawak kedengaran dihalwa telinga. Dia menarik Afiya ke ribaan. Diciumnya Afiya sehingga kanak-kanak itu menjerit kegelian.
“Tu lah, ummi suruh cari calon, jual mahal. Mulalah raba anak orang tak tentu pasal.”
Amni menjelirkan lidah. Mulut memang tak insurans. Harap muka saja hensem, perangai lanun tu tak habis lagi. Apalah yang kak Aflah puja-puja sangat.
Irfad ketawa kecil. Dari kecil, sampailah dah jadi anak dara, itulah perangai Amni. Dia mengangkat Irfan yang siap dipakaikan baju. Diciumnya bayi itu sampai menggeselkan goatienya. Terkekek-kekek bayi itu ketawa.
“Abang Ir main kasarlah. Calarlah perut Irfan tu...bak sini Irfan tu. Nanti menangis , sian kak Af. Tak tenang dia nak mandi.”
Ketawanya meletus. “Kak Af kamu mandi rupanya. Ha, jaga budak-budak ni, abang nak tolong mandikan dia.” Irfad ketawa gatal. Irfan diletaknya kembali ke tilam bayi. Cepat-cepat dia menuju ke bilik utama.
Hisshhh...penderaan mental betul. Irfad memang suka mengarut. “Nasib koranglah dapat papa macam tu.” Amni tersenyum. Bahagia hatinya melihat keletah dua beradik ini. Afiya sudah lena diribaan. Mungkin penat bermain seharian. Dia mengangkat Afiya, membaringkannya disebelah Irfan yang galak mengekek. Patutlah ummi selalu merungut pasal cucu. Ini rupanya rasa tatkala perasaan bahagia itu datang. Seronok melayan walau bukan anak saudara sendiri. Irfad dan adiknya Aisha sepupu mereka. Dari kecil membesar bersama. Dia seronok melihat Irfad kini melayar bahagia. Abang Im? Huh...entah memilih atau sengaja mahu bersendirian.  Irfan yang baru berusia lima bulan itu digomolnya lagi. Terkekek bayi itu ketawa.
“Nak nenen.”
Ahh sudah...
“Piya nak apa?”soalnya lagi. Tertekan hidup dengan dua makhluk kecil ini. Ummi, tolong!
“Nak nenen...”rengek Afiya lagi. Wajah comel itu mulai keruh. Muncung mula kelihatan. Amni mula menggelabah. Macam mana ni? Sorang nak susu, sorang baru nak tidur.
“Abang Ir, Piya nak susu ni...cepatlah!” Mengada-ngada betul abang Irfad. Balik kerja terus nak menggatal. Tampar baru tahu.
Aflah tiba-tiba keluar. Siap dengan dress kelabu. Rambutnya masih basah namun sempat dibalut dengan tuala kecil. Wajahnya masih polos tanpa calitan solekan. Amni tersenyum sendiri. Bertuah abang Irfad. Dapat isteri cantik, anak orang kaya tapi berhatikan emas. Bahagia hidup. Dia melihat Aflah memangku Irfan yang tidur ayam. Pantas sahaja si kecil itu mencari sasaran, mahu menyusu dari sang ibu. Amni tergelak lagi. Hebat betul ciptaan Allah.
“Nanti sampailah giliran Am,”ujar Aflah lembut. Ditepuknya lembut punggung Irfan yang kian ralit menyusu. Hatinya berbunga. Afiya juga sudah tergolek dihadapan televisyen sambil memegang botol susu.
Dia memeluk bantal kecil. “Penat tak ada baby?”
Aflah tersenyum, membetulkan kedudukan. “Penat. Tapi bahagia. Bila dah membesar depan mata, seronok.”
Dia menjeling pada Afiya yang sudah ternganga tidur, mahupun pada Irfan yang berdesir halus. Bagaikan rama-rama kecil datang membawa harumnya bunga, hatinya kembang dengan pelbagai perasaan.
“Kahwin, beranak sendiri,”sampuk Irfad tiba-tiba. Dia keluar tanpa baju, hanya berkain pelikat warna hitam. Dia baring disebelah Afiya, mencium anak itu lalu membetulkan sedikit kepala Afiya yang terdongak. Ditepuk-tepuknya Afiya lembut agar anak itu tidur kembali.
“Suka hati oranglah nak kahwin ke tidak. Sibuk, mengalahkan ummi.” Dia menjelirkan lidah.
“Engkau dengan Imran sama saja. Nama pun adik beradik,kan. Kepala batu. Tak kesian tengok ummi kamu datang sini semata-mata nak main dengan budak berdua ni. Kahwinlah,Am. Nanti abang Ir tolong carikan calon. Nak yang macam mana, kau cakap je. Abang helo, terus dorang datang beratur.”
Mengarut. Pilih suami macam pilih tudung ke? Pilih tudung pun bukannya senang. Kena tahu teksturnya, warna pula atas mood waktu itu. Kalau terletak cantik,lagilah dia berkenan. Inikan nak memilih calon suami, bukan perkara main-main.
“Am, pergi dapur. Tadi abang Ir balik dari IDUM, dia bawakan sekali pengat pisang. Sedap tu, panas lagi.”
Bingkas dia bangun. Rumah ini betul cantik. Rekaan Irfad sendiri. Baru setengah tahun mereka tinggal di sini, namun segalanya sudah terhias cantik. Dia terus ke dapur. Lagi cantik. Seronoknya kalau kahwin nanti dapat tinggal dirumah sendiri. Kecil atau besar tidak penting, yang paling utama, jiwa sebuah rumah. Tanpa jiwa, rumah besar tetap jadi kosong. Tupperware oren di atas meja pulau hitam itu dibukanya perlahan. Berkepul wap dari tupperware itu keluar. Bau harum menusuk hidung. Amni memejamkan mata. Hmmmm...sudah terbayang air tangan Mak Yam, tukang masak IDUM. Dicapainya beberapa biji mangkuk, namun suasana sunyi membuatkan dia terhenti. Kembali dia ke ruang keluarga. Irfad dilihatnya sudah lena disamping Afiya, manakala Irfan juga nyenyak dalam dakapan mamanya yang turut terlena. Dia dihenyak rasa simpati. Penat. Mesti keduanya sudah kepenatan. Perlahan dia berundur ke dapur. Pintu dapur dipastikan berkunci. Diambilnya susu, lalu diceduknya sekeping pengat pisang. Cukuplah sekadar untuk merasa. Dia kembali ke ruang hadapan. Empat insan kesayangannya masih lena, menerawang ke alam istirehat. Berbunga hatinya. Bilakah dia akan temui kebahagiaan sehebat ini?

Pecah tawa Khalida dari dapur. Khalid menggumam. Mengumpat akulah tu. Eloklah tu. Mak dengan anak sama saja.
“Apa yang berkerut muka tu,Lid?’soal papanya. Papanya dijeling, umur kian meningkat namun tak nampak macam tua. Uban sudah ada, namun rambut masih cukup. Papanya. Khalid tersengih.
“Seronok pencen,pa?”
Maarof pula yang tergelak. Dilunjurkan kaki ke bawah, bagai kucing membetulkan urat. Pencen? Tidak sedar pula akhirnya tiba saat itu. Berpuluh tahun mencurah keringat, akhirnya dia berpeluang untuk menyimpan semua uniformnya. Terlalu dia mencintai bidang kepolisian. Seronok dia berkhidmat untuk masyarakat. Cuma kesalnya, kalaulah Khalid mengambil jalan yang sama, pasti anak itu menjadi seorang inspektor yang hebat, ataupun superintenden yang hebat, macam dia
“Seronoklah. Boleh papa pergi masjid lama-lama, makan pun lama-lama.”
Kali ini Khalid pula yang tergelak. “Papa tak nak ikut Lid ke, pergi hotel. Mana tahu boleh berikan buah fikiran yang bernas tu.”
“Apa sangat yang dapat dapat bantu kamu, Lid. Kalau nak buat operasi tangkap mat pit, bolehlah.” Maarof mengeluh. Seronoknya kalau dia masih dibalai. Hebatnya andai dapat menyarung seragam blueblack itu. Superitenden Maarof, kan gah bunyinya.
“Papa tolong tengokkan cctv hotel. Mana tahu, ada perkara yang boleh dibaiki, ditambahbaik,”cadangnya bersungguh-sungguh.
“Lid, mana-mana cctv tetap ada blindspot. Cuma,kalau di hotel,pastikan ada cctv dibahagian tangga kecemasan serta pintu keluar masuk setiap tingkat. Itu tempat yang selalu terabai, tapi spot macam tu penjenayah paling suka untuk cari jalan keluar. Bilik dobi, kitchen, semua tempat yang ada akses. Kamu kena ambil kira semua benda tu.”
Nah. Kan tak rugi bertanya papanya. Dia tahu, naluri polis itu masih lagi bugar disanubari papa.
“Nanti papa lapang, papa ikut.”
Khalid tersenyum lagi. Kan dah kata. Biarlah, dia tahu papanya kebosanan. Hari-hari berkejar sana sini, bila sampai masa tamatnya khidmat, melangut dirumah. Mesti kebosanan.
“Seronok pencen. Papa lega sebenarnya. Ada hari tatkala papa keluar, papa tertanya-tanya, balik atau tidak dengan bernyawa? Papa bimbangkan mama, bimbangkan kamu dan adik. Tapi alhamdulillah, Allah sentiasa lindungi papa. Itu buat papa seronok pergi kerja.”
Terpempan dia mendengarnya. Manusia sehebat papa juga bimbang. Dari kecil dia mengkagumi papa. Dia berbangga dengan papa. Papalah heronya. Biarlah datang Superman, Batman mahupun apa ‘man’ pun tatkala itu, papa tetap hero nombor satu. Dia menghargai ketegasan papa, dan menyanjungi kasih sayang papa. Dia mengeluh. Mampukah dia menjadi manusia sehebat papa.
“Moh makan. Mama dan Kay dah panggil. Lama betul papa tak makan ikan singgang dengan budu. Papa beli ikan pari tadi, mama kamu bakar tawar. Sedapnya kalau ada air asam juga.”
Khalid bangun, mengekori langkah Maarof yang masih gagah. Papa, kalau pasal makan, jangan ditahan-tahan. Sewaktu duduk dimeja, dia sudah mendapat bau. Memang, memang tiga pinggan nasi dia akan habiskan.
“Abang, dah basuh tangan belum. Adoi...sebab tu lambat dapat jo...’
Khalid menjeling. Sebutlah kalau berani, kau makan ulam ni nak?
“Jodoh?”
Aduhai...mama pula yang menyampuk. Kalau cuah budu atas mama, agak-agak dia marah tak?
“Bang, mari temankan Yah pergi rumah Amina. Nak tunjukkan abang calon.”
Khalid buat bodoh. Bukan dia tak dengar Khalida mengekek macam musang. Elok. Elok sangatlah. Heret papa sekali.
“Calon apa? Awak nak saya nikah sorang lagi ke,Yah? Alhamdulillah.”
Nah, mengilai Khalida mendengar jawapan papanya. Khalid terbatuk-batuk mencari segelas air. Kalau perang, dia cabut, kalau tenang, dia duduk.
“Amboi...baru pencen terus nak tambah bini. Dah kalau berkenan,buatlah. Kalau saya mati, tak payah nak fikirkan awak.”
Semua diam. Kan, semua terdiam. Ala...janggal gila nih...
“Mama, jangan merajuk. Meh kita makan ya. Papa, pujuklah. Senyum-senyum.”
Maarof mahu tergelak. Cantik sungguh Safiah tatkala merajuk. Kalau tak kerana adanya anak-anak,dicubitnya pipi sang isteri. “Mana ada,Yah. Awaklah hidup mati saya. Mari makan, marilah. Kesian nasi menangis tengok awak merajuk. Awak tak kesian ke?”
Khalid tersenyum dalam hati. Ditenungnya dua insan itu. Sebak tiba-tiba datang menyerbu. Lengannya dipeluk, erat dan kemas. Dijelingnya Khalida yang membuat muka.
“How sweet...bestnya kalau dapat macam dorang kan ,bang.”
Dilukunya kepala sang adik. Dah besar panjang masih nak bermanja-manjaan bagai. Namun dibiarkan Khalida disitu. Indah. Indahnya bila ada seorang manusia lain yang mampu menjadi pelengkap kehidupannya. Khalid menarik nafas. “Tepilah, nak makan nasi ni...”
Khalida mencebikkan bibir. Nak melankolik sekejap pun tak boleh. Dia mencubit Khalid kuat-kuat. “Sayang abang.”
Aduhhh...Khalid menggosok pipi. Pelangkung dengan gelas bincut juga dahi tu nanti.

Syafiqa berpuas hati. Semua langsir dan tirai sudah siap dipasang. Dia memeriksanya dari tingkat ke tingkat. Tugasnya dan Kamila hampir selesai.Cuma bila tiba hari pembukaan nanti, dia mahu pastikan semuanya perfect. The Bliss Hotel and Resort mesti menjadi hotel terulung di pantai timur. Dia mahu semua berbangga. Dia mahu Khalid berbangga.
Khalid.
Lelaki itu dipujanya dalam hati. Penuh misteri dan punya aura tersendiri. Mata Khalid yang suram buat dia tertarik. Pasti ada cerita disebalik mata itu. Tatkala Khalid tersenyum, semua mata memandang. Kacak, boyish. Buat hati berdentum-dentam. Tidak pernah bercerita seperti lelaki lain yang dikenalinya. Tidap pernah dia mendengar Khalid berkompang riuh, gah menunjuk diri. Jauh sekali menunjuk angkuh. Khalid seorang perahsia. Kalau lelaki lain, pasti ada cerita yang mahu dibanggakan, bagai angkut bakul sendiri. Dia benci lelaki begitu. Cakap saja besar, isinya kosong.
“Iqa, macam mana,puas hati?’ soal Kamila sedikit termengah. Dia tahu Syafiqa pentingkan ketepatan masa. Cepat-cepat dia berlari menuju ke ruang lobi.
“Almost perfect,La. Good job. Jom, aku belanja kau makan.”
Bunyi sepasang kaki berjalan membuat keduanya menoleh. Panjang umur. Syafiqa tersenyum manis. Berbunga hatinya melihat Khalid melangkah. Hanya dengan berseluar jeans dan sehelat t-shirt putih, Khalid bagaikan rockstar yang serba seksi. Kamila juga dilihatnya menjamu mata. Dia menyigung Kamila yang seakan ternganga.
“Hello ladies. How’s your day?” Kacamatanya disangkut. Dia melemparkan senyum.
“Fine, okay-okay saja. You buat apa kat sini? Bukan tadi dah jenguk, is there anything I can help?” Syafiqa berbahasa. I can help you to fall in love. With me.
“No need. Brought my dad. Nak suruh dia bagi idea for safety and the cctv. Manalah tahu, kita boleh upgrade sistem keselamatan yang ada.” Dia menoleh. Papanya yang baru tiba sibuk menoleh ke sana sini. Cari blindspot ke? Khalid tersenyum.
“Syafiqa, Mila...my dad, polis pencen, Maarof.”
Maarof menoleh, mengangkat tangan, melambai ke arah dua dara jelita. Patut pun selalu saja Khalid balik lewat, seronok hati dapat bekerjasama dengan dua dara didepan mata.
“Assalamualaikum, maaf kalau pakcik mengganggu.”
Syafiqa tergelak. Patutlah anak hensem, tengoklah bapaknya pula. Memang warisan genetik nan hebat. “Tak apa, kami berbesar hati. Pakcik tengok-tengoklah dulu ya. Kami nak keluar makan sekejap. Lid, do you need anything?” Do you need me? Dia mengetap bibir.
Kepalanya digeleng. “No thanks. Baru sudah makan.”
Syafiqa mengangguk. Diheretnya Kamila yang masih tersenyum-senyum.

Maarof menyigung anak itu. “Cakaplah, yang mana satu? Dua-dua cantik.”
Khalid terhenti langkahnya. “What?”
“Papa tanya yang mana satu buah hati kamu?”
Okay, kali ini dia betul-betul tergelak. “Tak adanya yang mana satu. Lid datang buat kerja la,pa. Bukannya cari bini. Mengarut.”
“Well, I’m just asking. Rugi. Dua-dua cantik. Buat isteri dua-dua pun bukan salah, lelaki kan boleh kahwin empat.’
Perghhh...nasib baik mereka berdua. Kalau ada mama dengan Khalida macam mana? Makan penamparlah jawabnya. “Papa nak? Meh Lid tanya dorang.”
“Papa buat apa? Nak papa kena campak dalam laut dengan mama? Huihhh...tak mahu papa.”
Tahu takut. “Dah, jom ikut Lid. Nanti lambat, bising mama kalau kita balik lambat.” Mereka sama-sama melangkah.

Guruh itu datang lagi. Menampar-nampar bumi bagaikan sang kekasih sedang bertengkar, atau memadu asmara mungkin. Sekali. Dua kali. Berkali-kali. Dia cuba memejamkan mata. Memusing badan ke kiri dan kanan. Hari itu datang kembali. Hari berdarah itu. Hujan yang bertimpa-timpa bagaikan mahu mengingatkan dia tentang hari itu. Khalid memejamkan mata. Wajah yang kian hilang itu muncul kembali. Kali ini petir mula menyambar bumi. Khalid terjaga, memeluk lutut lantas menangisi satu  kelukaan.

Sejuknya. Dia menarik comforter hingga ke dada. Jebat yang begulung sudah lama nyenyak tidur. Dikuisnya kucing itu, tetap kaku melelapkan mata. Tidur macam batang kayu. Sebelum tidur tadi, dipanaskan sedikit susu. Kenyang, tidurlah sang kucing. Dia menarik Jebat ke dalam pelukan. Mahu tergelak dia mendengar kucing itu mengiau halus. Mengigau ke mamat ni? Dia memandang tingkap yang dihempas hujan. Entah kenapa dia seronok dengan hujan. Seronok mengingatkan zaman kecil dahulu dia berkubang mandi bersama-sama yang lain. Mencari ikan di parit depan rumah tuk aki. Mengejar itik yang sedang mandi ataupun dikejar angsa yang berkeliaran. Amni ketawa sendiri. Sesudah mandi, mak tuk akan buat lempeng. Tak kiralah lempeng pisang atau lempeng kelapa muda. Makan panas-panas. Bahagianya. Dia ketawa sendiri. Jebat melunjurkan kaki, kemudian mencari posisi terbaik untuk menyambung tidur. Lenalah sayang. Kaulah penemanku di kala ini. Oh awan, menangis dan menangislah lagi!

Riuh rendah villa itu dengan suara. Khalid tersenyum. Ini mesti kerja mama. Dia tahu, mama sudah lama rancangkan hal ini. Dia keluar dari kereta. Lagi lebarnya senyumnya melihat Imran yang sudah melangut di buaian kayu dengan sebatang rokok terkepit dibibir.
“Kena dera atau kena paksa?”
Imran membahak tawa. Dia menyalami Khalid.
“Bak sebatang.”
“Kau betul ke hisap rokok ni,Lid? Muka macam budak pengakap.”
Khalid ketawa. Budak pengakap kepala lutut dia. Kereta Satria kelabu milik Khalida masuk ke garaj. Berdecit kereta itu berhenti.
“Siapa tu?’soal Imran tertanya-tanya. Boleh tahan gayanya.
Khalid mengangkat kening. “Adik aku.”
Khalida keluar dari kereta. Dia tersenyum, melambai manja ke arah Khalid. Matanya menangkap si kacak yang tersengih memandangnya. Siapa pula ni? Kawan abangkah? Dia melangkah, memberi salam.
Aduhai...lunaknya suara. Jatuh cintakah aku? Cantiknya ciptaan Tuhan. Rambut yang hitam berkilat itu bagai mahu membuainya. Mata galak itu buat dia hampir pengsan. Imran bangun, merenung dalam khayalan.
“Weh, kau ni kenapa?” Mahu tergelak dia melihat Imran yang gayanya bagai disampuk mambang.
Khalida menjeling tatkala berjalan masuk. Hensem, tapi macam bodoh je. Dia menahan tawa.
“Lid, kalau aku masuk meminang adik kau, agak-agak kau dia nak tak?”
“What?!” Terjatuh rokok itu ke bawah, hampir terkena kakinya. Dia memandang Imran yang bagai dipukau. Dilempangnya bahu lelaki itu kuat-kuat. Hampir tersembam Imran.
“Kay... kau berkenan dengan si tomboy tu?” Tersedak dia mengeluarkan kata. Biar betul. Khalida yang jalannya gasar bagai gergasi. Ya, dia akui, Khalida memang cantik. Namun, bila Khalida tunjuk belang, gergasi pun takut. Adiknya garang, sudahlah garang, perangai macam lelaki.
“Tomboy apanya, jalan macam puteri.”
Meletus tawa Khalid. Aduhai...apa namanya ni. Penangan cinta pertama? Pandang pertama? Imran oh Imran. Kau jangan cari penyakit. Adik aku memang rupa macam puteri, tapi kalau kau silap, dapat seligi.
“Dah, mari masuk. Mama aku dari tengahari tadi dah kecoh sibuk memasak sedap-sedap. Nanti kau makan, duduk depan Kay. Kau pandanglah dia puas-puas. Tapi baik-baik. Kalau dia marah, dia cucuk mata kau dengan garfu, kau tanggunglah sendiri,Im.”
“Baik,abang iparku.”
Khalid tergelak. Matilah kau,Imran. Andai benar Imran jatuh cinta dengan Khalida, dia yang mahu gelak sakan.

Segala suapan itu dilihatnya gemalai. Bibir nan merekah itu buatnya terbuai. Ke syurgakah aku?
“Imran, makan tengok pinggan.” Keras suara umminya menegur. Dia menoleh, mengenyitkan  mata. Khalid disebelahnya hampir dijerut tawa. Dia mengunyah perlahan. Bimbang tersembur keluar andai tawa meletus. Adiknya dilihat selamba menyuap sambal kerang dengan petai bagai tiada apa yang berlaku. Rambutnya yang dipotong pendek ala bob disisir ke tepi telinga beberapa kali. Tak sedar atau sengaja buat tak tahu.
“Tak sangka Amni kena kursus ya,Mi. Ingatkan dapat jumpa dia.” Kenalkan pada Khalid. Alahai, punah lagi rancangan.
Hajah Amina menambah nasi ke mangkuk nasi tambah. “Itulah Yah. Dia pun beria-ria nak jumpa semua. Ada dia buatkan bingka ubi untuk Yah sekeluarga. Dia minta maaf banyak-banyak.”
Maarof dan Haji Muaz bertukar jeling, ketawa dalam diam. Padan muka dua pengkomplot dunia itu. Buat sesuatu ikut suka hati. Mereka sama-sama bangun. “Yah, nanti bawakan kami kopi. Potong sekali bingka ubi tu, saya pun nak merasa.”
“Lid pun,ma.” Sedap betul bingka ubi hari itu. Menjilat jari dibuatnya. “Adik kau kursus kat mana,Im?”
“Kuantan. Lusa baru balik.” Dia menambah nasi. Khalida sudah lama selesai. Baru dia berselera mahu makan. Kalau tadi dia kenyang hanya dengan memandang Khalida. Kay. Nama panggilannya Kay. Sedap, mudah disebut.
“Pandai adik kau masak. Bingka ubi dia memang marvelous. Jauhlah dengan adik aku. Masak air dengan maggi tahulah dia.”
Tak pandai masak? Tak apa, dia boleh ajar. Nak masak apa? Semua dalam tangan. “Amni memang suka masak. Ada saja dia buat kuih itu ini. Mengalahkan makcik kedai.”
Amni. Ringkas sahaja nama itu. Bagaimana rupa? Macam Imran, atau macam aunty Amina. Entah-entah macam Haji Muaz. Khalid mengukir senyum. Biarlah. Tak penting.
‘”Jom, main dart.”
Imran bertepuk tangan. “Kalau aku menang, aku boleh pinang adik kau ya,Lid.”
“Kalau kau menang, aku bagi Kay free-free kat kau. Kau boleh ambil, bawa balik, buat amah sampai mati.”
Belum sempat mereka berdua ketawa, satu lukuan kejam singgah di belakang kepala. Khalida memeluk tubuh.
Mengaduh Khalid dibuatnya. Imran dilihatnya ternganga dalam khayal. Khalid mahu ketawa. Sudah, dapat penangan si tomboy. “Nak main dart? Jom. Siapa kalah, kena flying kick.”
Imran tersenyum lebar. Flying kick pun flying kicklah. Keranamu, aku rela.
Khalid ketawa lagi. Sah, angau. Imran diserang angau. Minta jauh dia dari penyakit itu.

Hujan lagi. Kali ini kilat dan petir bertali arus. Dia mengambil bantal, menutup telinga. Getar hati yang ditahan kini meremang ke jiwa. Dia cuba bertahan, memeluk diri sekuat mungkin. Bergegar bumi ditumbuk petir. Bergegar jua jantungnya bagai dihentak ke lantai silam. Dia bangun, tercungap-cungap bernafas. Bagai ikan kelemasan, dia mencari udara. Khalid memejamkan mata. Ya Allah, dia terseksa. Lepaskanlah dia dari derita ini. Dia menangis, dan menangis lagi.
Khalida berdiri dimuka pintu. Ingin saja dia masuk,menenangkan Khalid yang sedang bergelut dengan seribu rasa. Setiap kali hujan yang diselangi guruh dan petir,dimuka pintu inilah dia menunggu. Sungguh, dia tahu, Khalid sedang berperang. Namun dia masih ingat pesan mama. Biarkan Khalid berperang sendiri. Ini perjuangan Khalid, bukan perjuangannya. Abangnya perlu kuat, perlu mencari jalan kemenangan. Guruh berbunyi lagi. Khalida menarik nafas. Walau hujan, dia msih mendengar esak Khalid. Hatinya sebu. Matanya pedih, akhirnya tumpah. Dia menangis, menekup mulut dengan selimut yang dibawa bersama. Bertahanlah,abang. Bertahanlah.

Akhirnya sunyi. Khalid menggigil dikatil. Kering tekaknya bertarung emosi. Dia meraup muka beberapa kali. Nafasnya mula mendatar. Dia bangun. Perlahan pintu dibuka. Hampir tersadung dia dengan batang tubuh Khalida yang lena dimuka pintu. Khalid mengeluh pendek. Diusapnya wajah Khalida yang lena dibuai mimpi. Huh, siapa sangka. Siapa sangka sekeras sifat Khalida, jiwa itu masih lembut bagai mereka kecil dahulu. Dia mengangkat Khalida. Aduh mak, makan batu ke budak ni. Dia mengangkat Khalida ke bilik. Termengah dia menahan nafas. Perlahan dia meletakkan Khalida diatas katil. Khalid tersenyum. Perangai konon bagai tomboy, bilik warna merah jambu. Kay, Kay. Dia menekan punat pendingin hawa. Diselimutnya si puteri tomboy yang kian jauh dibuai mimpi. Huh, macam Sleeping Beauty. Tatkala dia bangun, lengannya ditarik. Tersengih Khalida dalam cahaya lampu tidur.
Cehhhh...buat penat dia angkat. Kalau tahu dia suruh Khalida masuk tidur sendiri.
“Apa ni Kay, penat abang dukung, ingat tak sakit badan ke?”rungutnya separuh hati.
“Elehhh...hari-hari angkat dumb bell ok je. Angkat Kay pun nak merungut ke...”
Gila ke apa? Ada ke dibandingkan dumb bell dengan dia. Mengarut,mengarut. Dia bangun. Dahaga kian merayap ke anak tekak. Dia bangun, namun pegangan Kay masih lagi kejap.
“Apa lagi?” mengada-ngada betul tengah malam buta.
Khalida tersengih. Ditariknya Khalid dekat padanya, lalu diberikan satu ciuman di pipi. “Kalau takut, panggil Kay.”
Dipulasnya telinga Khalida kuat-kuat. Malas mahu dia melayan. Dia bangun kembali. Sewaktu pintu mahu ditutup, dia menoleh.
“Kay?”
“Apa?”
“Terima kasih.”
Suara itu tergelak.
“Abang.”
“Apa?”
“Kalau tak nak rahsia bocor, make sure iPhone 6 hari pertama jual, Kay dapat satu.”
Nah, mati aku. Khalid menutup pintu, tersenyum sendiri. Bodoh punya adik.

No comments:

Post a Comment