Thursday 19 February 2015

Bab 6 pun ada dah ^0^

"Fix You"


Lights will guide you home
And ignite your bones
And I will try to fix you

Coldplay : X&Y :2005

BAB 6

Wajah itu dipandangnya ke dalam cermin. Wajahnya sendiri. Shawl halfmoon warna turquoise serta manik-manik mutiara warna putih menghiasi kepala. Solekan natural sentuhan Kak Aflah dan Aisha buat dia bertukar bagai puteri di alam khayalan. Semalam waktu berinai, dia boleh lagi ketawa, bergelak riuh dengan Husna, Najwa serta Aisha. Namun kenapa tiba waktu ini, hatinya dipalu bertalu-talu. Dia bangun, membetulkan jubah hijau turquoise potongan maxi dress dengan sulaman merah jambu itu agar tidak berlipat. Tangannya menggeletar, kakinya serasa tidak mampu menampung beban yang tiba-tiba datang.
“Am, are you okay?”soal Aisha, sepupunya paling rapat. Mujur Aisha sempat pulang dari Amerika Syarikat dua minggu yang lalu.
“Rasa macam nak pengsan, boleh?”
Aisha memegang tangan Amni. “Ya Allah, sejuknya. Am, are you really okay? Ada rasa nak pitam betul kah?”
“No, cold feet kot.”
Dia duduk disebelah Amni. “He’s so handsome,you know.”
“Lagi hensem dari Brendan mata hijau?”usik Amni pula.
“Manalah Sha tahu, dia bukan ada pun. Kan family dia pergi umrah. Nasib baik tak mati kebuluran Sha kat sana.”
“Padan muka. Konon nak buat suprise visit, sekali dia yang kena suprise. Nasib baik ada aunty Mala kat sana, kalau tidak pergi makan angin keluar asaplah.”
Aisha tertawa, namun pantas bertukar serius. “Gelakkan orang. Ni betul ke nak nikah ni? Yes, dia hensem bangat gitu, tapi baik ke dia,Am? Macam mana boleh tiba-tiba nak terus kahwin. Sha ingatkan ummi dengan mak cik buat lawak.”
“Ni pakai macam ratu pun main-main ke, cik kak?”
“Manalah tahu, Am kan suka main pondok-pondok dulu.”
Itu dulu. Main pondok-pondok, petang dah boleh putus ikatan. Ini, takkan nak buat macam tu. Mati dia kena bambu.
“Tapi Am tahu tak, you look so beautiful today. Glowing. Macam kena sapu sparkle cream kat muka. You look happy.”
Amni menggigit bibir. Aku happy Sha kerana aku akan nikahi orang yang aku suka, tapi dia belum tentu.
Pintu diketuk. Aflah menjenguk ke dalam. “Jom ke masjid. Pengantin lelaki dah sampai untuk akad nikah.”
Mereka berpandangan sesama sendiri.

Kali kedua ini benar-benar berbeza. Dulu, hanya beberapa rakan dari Malaysia serta pakcik Nurul Ain yang menghadiri akad nikahnya dengan Nurul Ain. Itupun diuruskan sesama sendiri. Kali ini dia dapat melihat wajah lega papa, riak gembira mama dan Khalida. Mungkin betul kata Yusri, buat sesuatu dengan restu jauh berbeza dengan tanpanya. Cuma beza yang paling ketara, waktu itu dia dilamun cinta. Dia jatuh cinta,diselimuti cinta hingga lemas dengan perasaan. Kali ini, cintanya telah lama hilang, berkubur bersama satu kelukaan. Adilkah dia pada Amni nanti? Khalid menarik nafas.
“Lid, yang itu ke? Cantiknya...patut pun kau tak tolak. “
Khalid mengangkat muka. Tertacap matanya pada Amni yang melangkah sopan diiringi saudara dan rakan. Hatinya. Kenapa hatinya bagaikan ada rama-rama? Kenapa matanya seakan terikat, tidak mahu lepas memandang sang dara yang terapung bak puteri kayangan. Dimain ilusi atau tembok hatinya runtuh sebentar. Jangan Khalid. Jangan lemah. Tiada cinta yang benar di dunia ini. Jangan terpedaya.
“Jom, tok kadi dah panggil.  Kau mesti sekali lepas saja. Jangan buat malu aku,”usik Yusri perlahan.
Tersengih cuma dia mampu. Dia bangun, menempatkan diri diatas bantal putih yang tersedia indah. Nafasnya ditarik dan dihembus dalam dan panjang.

“Allah SWT berfirman, wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim, dan takutlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dari satu nyawa, kemudian Dia telah menjadikan daripadanya itu isterinya. Dia jugalah yang telah mengembang-biakkan daripada kedua pasangan itu kaum lelaki dan kaum wanita. Oleh itu takutlah kepada Allah, yang kamu selalu meminta pertolongan kepadanya, serta jagalah ikatan silaturahim itu. Sesungguhnya Allah maha mengawasi terhadap apa yang kamu lakukan.  Allah SWT juga berfirman, wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan katakanlah kata-kata yang baik. Nescaya dengan itu sudah pasti Dia akan mengelokkan amalan kamu dan menghapuskan dosa-dosa kamu. Barangsiapa yang mentaati Allah dan rasul-Nya sesungguhnya dia telah memperoleh kemenangan yang besar. Amma ba'du, sesungguhnya Allah telah menghalalkan pernikahan, dan menggalakkannya, serta mengharamkan penzinaan dan memberi ancaman terhadapnya. Rasulullah SAW pula bersabda, apabila ada seseorang lelaki yang berkahwin, menjeritlah syaitannya seraya berkata ; Celakalah diriku, dia telah terlepas dari tipudaya aku. Baginda SAW juga bersabda lagi,berkahwinlah dan janganlah kamu bercerai-berai, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berkahwin hanya semata-mata mendapat kepuasan nafsu.”
Hening seketika ruang solat itu. Gentar hatinya mendengar khutbah yang disampaikan. Khalid menelan liur, mencuri pandang pada bakal isteri yang tenang disudut sana. Am, maafkan abang seandainya nanti kau tidak bahagia.
“Khalid Iqbal bin Maarof, anak sudah sedia?”
Tersentak dia seketika, namun huluran tangan dari kadi itu disambutnya. “Saya sedia.”

Bagai mimpi. Segalanya bagai mimpi. Riuh rendah sekelilingnya buat dia sedar, ini realiti. Seperti kata ummi, kendurinya dibuat kecil sahaja, hanya saudara dan rakan terdekat. Namun baginya, suduh cukup meriah. Lunyai serasa pipi dihenyak ciuman tahniah bertalu-talu. Mujur Husna dan Najwa sentiasa di sisi.
“Am, masuk cepat...majlis batal wuduk nak mula.”
“Sekarang ke?”soalnya bingung.
“Iyalah, takkan esok. Esok kau buat sendiri berdua. Aisha nak ambil gambar tu,”bilang Husna tegas. Tangan Amni ditariknya kuat. Nasib baik tak dirempuhnya tetamu yang berdiri sana sini.
“Kau duduk sini, buat muka malu-malu sikit. Aku nak suruh abang Im heretkan si Khalid. Dah la tak nak pelamin, mana nak rakam gambar. Nasib baik makan beradap ada, kalau tak...”bebel Husna lagi.
Amni ketawa. Dipandanganya bilik yang berhias cantik, sentuhan peribadi Aflah dan Aisha. Dindingnya sudah bertukar warna, sudah dicat dengan warna Nippon paint Momento warna Sparkle Silver. Bertungkus lumus abang Im menyudahkannya. Katil kayu jati itu pula tuk aki tempah dari rakannya di Kuala Berang, cantik bertiang dan berukir. Langsir, cadar semuanya warna putih berselang turquoise lembut.
“Sedapnya katil, lompat pun pasti tembus atap ni.”
Terkejut dia. Abang Im. Tersengih-sengih bak zirafah kenyang.
“Tak takut ke?”
Amni mahu ketawa. Ada tak abang dalam dunia yang sewel macam dia ni?
“Huiii...kalau abang takut...”
Luku boleh tak. Muka hensem, mulut macam mesin gun.
“Kalau dia apa-apakan, adik jerit...biar abang bantai dia.’
Akhirnya dia ketawa juga. Pening ada abang otak tak centre macam abang Im. Malangnya nasib bakal isteri abangnya nanti.
“Assalamualaikum.”
Menoleh mereka berdua serentak.
“Waalaikumussalam, sayang. Mau masuk, bayar tol. Penat aku belanja adik aku masa kecik-kecik dulu,”rapu Imran sambil menyekat pintu.
Dia start dah...Amni menggeleng kepala.
Khalid tergelak kecil. Dihulurnya satu sampul surat yang tersedia di dalam poket baju melayunya. Itupun Khalida yang beria-ia menyuruhnya. “Nah.”
Imran bertepuk tangan, membelek isi sampul. “Fuhhh...lumayan. Sila,sila masuk. Kay, nanti kita bagi sama rata.”
Khalida yang berada di belakang Khalid bersorak riang.
Khalid menggeleng kepala. Elok benar dua manusia itu. Nanti dia mahu beritahu ummi suruh nikahkan juga si Imran dengan Khalida. Biar runtuh langit dikerjakan dua insan itu.
“Lid.” Serius tiba-tiba bunyi suara Imran menyapa telinganya.
“Jaga adik aku baik-baik.” Entah kenapa dia sebak. Wajah mulus adiknya dipandang lama. Adiknya sudah diikat janji. Sudah bergelar isteri. Siapa nak masakkan dia maggi tengah malam nanti?
“Aku cuba.”
Dia memandang lagi, mengenyitkan mata pada adik yang ditatangnya selama ini. Good luck,little sis. Dia berlalu keluar, mahu menyalami tetamu yang datang.
Hatinya berkompang, laju bagai ketukan dram lagu Slipknot,Wait and Bleed. Khalid sudah masuk, duduk disebelahnya.
“Err...abang Khalid duduk, Am...kau melulut kat bawah, gaya macam nak salam hari raya,”arah Husna. Aisha pula sudah bersedia dengan kamera Nikon D750 miliknya.
Khalid melakar senyum. Kasihan dia melihat Amni yang terkial-kial. Ikut sajalah. Lagipun boleh dia berehat sebentar dibilik ini.
“Am, salamlah. Senyum-senyum. Dah halal, pegang ajelah.’
Aduh Na...masa ni pun kau nak melawak ke. Dia mencuri pandang. Khalid dilihatnya tergelak kecil.
Tangannya tiba-tiba berada dalam genggaman Khalid.
Sejuknya tangan isterinya ini. Dia memegang kemas. “Nak buat gaya rupa macam mana ni,cik andam?”
Gadis berjubah biru muda untuk tersenyum lebar.
“Bagus,bagus, sekarang ni ikut saja arahan saya.”
Khalid tersenyum lagi.
“Am, salam betul-betul.”
Kejap dirasakan pegangan Khalid, dadanya bagai mahu runtuh.
“Cium tangan suami kau tu lama sikit, Sha nak shoot banyak frame ni...”
Kuatnya dua minah ni mendera dia. Tunggulah giliran korang nanti, aku kerjakan cukup-cukup.
“Abang Khalid...boleh cium dahi Amni tak?”soal Aisha tiba-tiba. Dia menjeling nakal pada Husna yang menyembunyikan tawa.
“Dahi je?”
“Hoohhhh...kat lain pun boleh...we no hal...”
Ya Allah, janganlah aku pengsan di sini. Kepalanya ditarik lembut. Kucupan selembut rama-rama itu singgah di dahi, lama, cukup lama.
“Hello, pengantin, sila keluar. Makan beradab dah nak mula. Dayang-dayang dah meroyan lapar ni...”Khalida terjenguk di balik pintu.
Perghhh...selamat.

Baring salah, bangun pun salah. Dia duduk. Menggosok pipi beberapa kali. Jam pada dinding dijelingnya, pukul satu dua puluh dua pagi. Tetamu semuanya sudah beransur pulang sejak maghrib tadi. Kini yang tinggal hanya mereka sekeluarga dan tuk aki serta mak tuk. Itupun sibuk mak tuk mahu balik ke Kuala Telemong, teringatkan kucing-kucingnya. Dipujuk abang Im, bermalam juga datuk dan neneknya itu di sini. Daun jendela dia rapatkan. Tadi selepas isyak, hujan turun dengan lebatnya. Kedinginan mula mencengkam. Mungkin dia patut melelapkan mata. Dia tahu Khalid masih berbual dengan tuk aki diluar. Biarlah, nanti tahulah Khalid masuk tidur. Dia kembali baring bila telefon bimbitnya bergetar.
“Assalamualaikum, kau dah tidur ke?”
Cehhh...Husna.
“Kalau aku dah tidur, tak kan aku jawab call kau mak cik oiii...”
Terkekek-kekek Husna ketawa dihujung talian. “Kau pakai apa?”
Hishhh...memang nak kena dia ni. “Aku pakai baju la tongong, tak kan aku pakai guni...pergilah tidurlah.”
Kuat lagi kekekan si Husna. “Yelah,yelah. Tidur nyenyak ya,Am. Ehh...tidur ke?”
Belum sempat dia menjawab, Husna sudah memutuskan talian. Tongong punya kawan.  Baru saja dia mahu pejamkan mata, pintu diketuk. Tombol pintu itu kemudiannya dibuka perlahan.
“Assalamualaikum.” Lunak suara Khalid buat hatinya gentar.
“Waalaikumussalam.”
Khalid menutup pintu. “Am tidurlah dulu, abang nak mandi. Solat isyak pun belum ni. Mesti Am letih. Esok kita berborak,boleh?”
Berborak? Boleh sangat. “Tak apa, abang mandilah. Am tidur dulu ya,bang.”
Khalid dilihatnya mengangguk sambil memetik suis lampu. Yang menyala hanyalah night lamp didinding. Waktu mata mahu dipejam, dia melihat Khalid meluruhkan baju melayu dari badan. Dia menelan liur. Ya Allah, hebatnya ciptaan. Dalam samar lampu, dia dapat melihat tubuh sang suami yang tegap, berotot diperut. Belakangnya juga sama, bagaikan melihat sang jaguar yang bersiap sedia untuk memburu. Dia menelan liur lagi. Mata dipejam rapat-rapat kerana hatinya memberi amaran, jangan pandang. Jangan lihat, nanti kau sasau. Amni tersenyum dalam gelap. Bunyi shower dibuka buat dia kembali mencelikkan mata. Segera dia bangun, mencari t-shirt dan pelikat untuk Khalid dari dalam bagasi yang dibawa Khalid. Diletaknya di atas sofa bed ditepi tingkap hujung. Selepas itu dia kembali ke perbaringan. Matanya kian layu, otaknya sudah terawang-awang. Entah bila, suara Khalid menyentuh telinganya.
“Terima kasih,Am. Selamat malam.”
Dia tersenyum dalam mengantuk yang amat. “Kasihmu ku terima.”
Kemudian,sepi. Tiada apa-apa. Yang ada hanyalah dengusan nafas. Matanya kembali celik. Bila bantal golek ini berada di antara mereka? Seingatnya bantal golek itu sudah disimpan Aisha ke dalam almari. Perlu dia alihkan? Dia menjeling dalam kesamaran cahaya. Mata suaminya sudah terpejam. Dada itu berombak perlahan. Amni membekukan diri. Biarlah, mungkin ada baiknya mereka tidur begini. Dia tersenyum sendiri. Mata kembali dipejam.

Dia sedar. Sedar bila masa si dara miliknya menilik dia. Khalid menarik nafas. Berdosakah dia membiarkan Amni lelap tanpa pelukan seorang suami? Bantal golek itu sengaja diletaknya. Benteng. Perlu ada benteng, bukan saja pada hati,malah secara fizikalnya. Sementara sahaja. Sementara dia mahu fikirkan apa alasan yang sesuai untuk diberikan. Sungguh, dia mahu mengusap wajah Amni, namun sempat dia memberitahu hatinya, sanggupkah dia melukakan dan dilukakan? Khalid memusingkan badan. Biarlah dia memandang dinding buat waktu ini. Biarlah dahulu.

Enaknya mimpi. Dia dalam pelukan seorang lelaki. Rambutnya dielus lembut,belakangnya diusap perlahan. Mimpi. Ini hanya mimpi. Betulkah? Amni membuka mata. Bukan, sememangnya dia dalam pelukan. Menggigil dia. Jam digital di meja tidur memberitahunya baru jam empat setengah pagi. Mana perginya bantal golek tadi? Dia menggigit bibir. Perlahan cuba menarik selimut. Namun pergerakannya terbatas. Pelukan Khalid kian kejap. Macam mana? Dia kembali memejamkan mata. Just go with the flow.
Khalid tersedar. Kenapa lengannya terasa berat? Dijelingnya dia perlahan.
Amni.
Amni berada dalam dakapan. Dia mendengus kecil. Kenapa sampai jadi begini? Bukankah dia sudah tetapkan benteng antara mereka. Perlahan dia menarik lengan, cuba untuk tidak membangunkan si isteri. Dia menarik selimut, mengambil kembali bantal golek yang terbaring di lantai. Dia menjeling lagi. Amni masih tidur. Gadis itu bergerak, memusingkan badan. Kemudian diam. Dia menarik nafas lega.
Bibirnya digigit kuat. Nafasnya dikawal. Janganlah Khalid tahu yang dia juga sudah terjaga. Dia tidak mahu suaminya itu serba salah. Mungkin Khalid tidak selesa dalam posisi tidur mereka. Mungkin lengan Khalid lenguh-lenguh menampung dirinya. Mungkin segala mungkin yang ada. Dia sengaja perpusing, tidak mahu Khalid sedar dia membuka mata. Ya, mereka masih lagi orang asing walaupun sudah ada ikatan yang sah. Masa, masa jadi pengubatnya. Dia tersenyum tawar dalam kedinginan. Hai, hati bersabarlah. Lelaplah. Tidurlah Amni, tidurlah. Esok masih ada.

“Abang, dah subuh. Bangun, aki ajak kita solat berjemaah kat luar.”
Merdunya suara itu, bukan Nurul Ain. Suara itu berbeza jauh dengan Nurul Ain. Dia menggeliat, melunjur kaki. Matanya dibuka, memandang wajah tenang yang berada dihadapannya. Sebujur wajah nn ayu yang dinikahinya. Ramnut Amni yang lepas bebas diparas bahu menggoda matanya agar terbuka luas.
“Pukul berapa?”
“Enam pagi.”
Dia mengangguk. “Abang bersihkan badan, nanti abang keluar.”
Amni senyum, mahu berlalu. Namun langkahnya terhenti. Bagai renjatan elektrik, Khalid memegang tangannya. Habis wuduk aku. Lepuk baru tahu.
“Terima kasih kejutkan abang.”
Tersenyum cuma. Dia bergerak ke bilik air.
“Nak pergi mana tu?”
Amni menoleh. “Ambil wuduk. Abang pegang tangan Am tadi.”
Khalid tersenyum lebar. Silap la pulak. Yang dia gatal tangan nak pegang tu kenapa. Dia bangun, menggeliat lagi. Tidurnya tidak lena, namun matanya terpejam. Dia melucutkan pakaian, mengambil tuala.
Sewaktu melangkah keluar, bisa gugur jantungnya melihat. Selama ini dia sudah biasa melihat abang Im tidak berbaju, namun itu abangnya. Kini, yang bertula dihadapannya ini suaminya. Amni menelan liur. Khalid ni model sambilan ke apa? Perut flat, ada ketak-ketak manja bagai. Aduhhh...mana dia nak pandang ni?
“Am, tepi sikit. Kan kalau abang terlanggar, batal lagi wuduk tu.”
Terperanjat dia. Khalid tersenyum-senyum. Pantas dia mengelak. Fuhh...jaga tertib Amni. Jangan buat onar di pagi hari. Dia menjeling, Khalid sudah hilang dibalik dinding. Terduduk dia sebentar, ketawa seorang diri. Gila. Kalaulah Husna tahu, pasti histeria sahabatnya itu. Di menyarungkan telekung, menuju ke ruang keluarga.
“Seronok tidur berdua?”
Menoleh. Abang Im tersenyum-senyum. Psiko.
“Aik, lepas kahwin jadi bisu terus,abi.”
Haji Muaz menutup mulut, menahan tawa yang mahu keluar. Imran memang suka mengusik. Siapa lagi kalau bukan Amni yang jadi bahan usik nakalnya. Haji Muaz berdehem, membatukan wajah. Mahu dia kembali tergelak melihat jeling tajam Amni padanya. Macam pisau belati. Marah benar. Dia tunduk, merenung sejadah.
“Aduh...sakitlah mak tuk. Apa ni, pulas telinga orang...”
Amni ketawa. Padan muka. Mengusik tak kira tempat, tak endah masa. Mulut macam buntut ayam, pot pet, pot pet.
“Yang kamu nak kisah dia tidur berdua tu kenapa? Kamu tu, dah umur lebih tiga puluh, berkarat la kat situ.”
Ini sudah lebih. Imran menggaru kepala. Geram dia melihat sang adik yang mengekek ketawa. Nak diluku, abi dan mak tuk ada. Haishhhh...sabarlah. Berkarat, berkilat lah mak tuk.
“Imran, bangun...iqamah.”
Bangun, membetulkan pelikatnya. Nafas ditarik perlahan-lahan. Iqamah dilaungkan sepadan ruang. Khalid mengambil tempat disisinya. Imran menghela nafas. Menoleh pada Khalid yang cerah wajahnya. “Macam mana, seronok jadi family aku?”
Khalid ketawa kecil. “Seronok. Tu, tuk aki dah jeling.”
Diam. Takbir diangkat dalam hening subuh.

Tiada kata yang mampu keluar. Hanya jelingan sepi yang mampu dia berikan. Amni menelan liur. Khalid disebelahnya fokus pada pemanduan. Honda CRV itu melungsur laju di jalan yang agak lengang. Dia menekan punat radio. Lagu Coldplay kegemarannya sedang berkumandang. Dua hari dirumahnya, hari ini tiba jua. Teringat dia sengihan Imran dipagi hari. Dua jam perjalanan, tiada banyak kata yang keluar. Khalid lebih banyak diam, dia sesekali melelapkan mata.
“Am lapar?”
Cepat-cepat menggeleng. Tipu. Perut dah berkeroncong beberapa kali.
“Kita makan roti canai dulu. Abang lapar.”
Alhamdulillah, lega. Selamat dia. Nak cakap malu,bodoh kan. Rela lapar daripada malu. Dia ketawa dalam hati.
Matahari mencucuk pipi sewaktu mereka keluar beriringan. Baru  jam sebelas pagi. Khalid melangkah, namun berhenti seketika. Ditunggunya Amni yang baru keluar dari perut kereta. Cahaya suria yang menyinar menyuluh isterinya. Dengan khakis warna nude dan blouse polka dot warna coklat gelap serta warna shawl yang sama, Amni dimatanya bak puteri. Dia menggelengkan kepala. Amni. Isterinya. Dia kembali mempunyai seorang isteri. Nafas dihela, panjang dan dalam.
Kekok rasanya dia mahu berjalan. Kenapa dipandang sebegitu rupa. Khalid yang tegak berdiri dengan tangan dikocek buat hatinya kian berkompang. Sesekali dilihat rupanya iras Eric Shinwa. Tinggi dan bersahaja. Dia ketawa. Kalau dah hantu Korea, tunggu kayu pun macam artis Korea kegemarannya.
“Kenapa bang?”
Dihulurnya tangan kepada Amni.
Ekkk...kena sambut ke ni? Dia tunduk, namun huluran itu disambutnya. Khalid menuntun dia ke gerai yang sibuk dengan manusia. Genggaman itu erat, buat dia malu sendiri. Mereka duduk dibawah meja disebelah pokok yang merendang.
Ni tak nak lepas ke? Serba salah dia. Kalau dilepaskan, malu mungkin Khalid. Dia biarkan saja.
Kenapalah galak benar dihulurnya tangan pada Amni tadi. Entah apa yang dia fikir, mungkin tangannya bergerak sendiri. Perlahan dia lepaskan tangan nan mulus itu. Menggagau dia mencari rokok.
“Boleh abang merokok?”
“Boleh, tapi jauh-jauh.” Die menjeling dalam mengusik. Patutlah abang Im dan Irfad suka sangat dengan Khalid, spesies naga berasap.
Khalid tersengih, bangun merokok dibalik pokok. “Nanti orderkan abang roti canai telur dua, kopi ‘o’ kurang manis.”
“Okay.”
Disandarkan tubuh pada pokok nan rendang. Matanya dipejam, menyedut asap ke dalam paru-parunya, lalu dihembus kembali ke udara. Nurul Ain. Nurul Ain sudah tiada. Amni bukan Nurul Ain. Berkali-kali dia mengingatkan dirinya. Benar, dia langsung tidak mengenali Amni, namun bak kata mama, bercinta lepas nikah nikmatnya lebih thrill. Mama. Pandai-pandai saja.
“Abang, jom makan.”
Puntung rokok yang masih bersisa dibuangnya ke longkang. Aik, tadi order dua, kenapa ada empat keping?
“Am nak makan juga, lapar.”
Tergelak juga dia. Pemalu juga isteri ini. “Cukup ke?”
Amni tersipu-sipu. Itulah, tadi ditanya,buat sombong. “Kalau tak cukup, abang orderkan untuk Am,boleh?”
“Boleh...apa salahnya. Makan, nanti sampai di resort, kita makan puas-puas.”
Terjelepuk hatinya dikaki. Sudah mahu sampaikah? Seram dia. Wajah Khalid yang sedang makan dengan tenang buat hatinya menggeletar. Rileks Amni, rileks. Kita makan dulu. Cepat-cepat dia mencubit roti canai yang masih panas. Leganya dia dapat makan. Tea ‘o’ halia sejuk itu disedutnya sehingga tekaknya lega dengan kesejukan.
“Lapar lagi? Nak abang orderkan apa-apa?”soalnya dengan senyuman.
Erkk...dia menggigit bibir. Ya Allah, nampak sangat ke laparnya? Cepat-cepat dia menggeleng kepala.
Khalid tersenyum, mahu tergelak pun ada. Entah kenapa dia rasa seonok bersama Amni. Seronok walaupun baru beberapa hari mereka membina hidup bersama. “Kalau dah kenyang, abang rasa baik kita gerak. Dah tak jauh, dalam setengah jam lagi sampai.”
“Nak Am drive?”soalnya ikhlas. Kasihan dia melihat Khalid yang memandu penuh tekun. Lagipun dia kenal dan tahu dimana arah tuju mereka.
“Tak apa, Am rehat je. Abang okay. Sampai resort nanti abang rehat pula.”
Dia mengangguk. Seronok ada, debar pun kian menggila. Bodohnya dia. Kalau Husna tahu, pasti kena gelak habis-habisan.

Melangkah ke premier suite itu buat dia ingin melayang. Luas dan cantik. Pantas sahaja dia masuk, melunjurkan kaki diatas sofa nan empuk. Pintu sliding itu dibukanya. Berdegup jantungnya melihat jakuzzi yang tersedia di laman luar. Berpagar dan terlidung dari mata orang lain. Wow, their own private jacuzzi. Bunyi pintu dikatup buat dia menoleh.
‘”So, Am suka?”
Liur ditelan. “Suka, nice and spacious.”
Khalid bergerak ke ruang bilik. Pintu ditolak, dia melopong seketika. Tergelak pun ada. H sudah...macam mana ni. Diatas katil kayu king size bertiang larik itu, bunga-bunga ros ditabur bentuk hati. Dia menggaru kepala.
“Abang tengok apa?”
Nasib baik dia tidak terlompat di situ. Janganlah isterinya salah faham. Dia bukan lelaki yang seromantis itu. Tersenyum-senyum dia.
Apa ni? Aduhai...ummi, nak balik boleh tak? Menggigil kakinya. Dia menoleh, mata mereka bertentang.
Waktu bagai terhenti.
“Ni kita kena prank kot...” Tiada kata yang sesuai mampu diucapkannya. Amni menggigit bibir.
“Am tak suka ke?”soalnya dalm cuba sembunyikan senyum. Jangan risau, abang tak akan but apa-apa. Cinta abang sudah lama dibawa pergi.  Khalid menarik nafas, menyembunyikan risau dengan senyuman.
“It’s not that, it just to...”
“Too much?”
Nak jawab apa ni? Ya Allah, tolonglah dia. Berpeluh tapak tangannya dalam kedinginan. “No, too pretty. Sweet and beautiful.” Kali ini dia ikhlas. Dia tahu, itulah perasaannya tatkala melihat taburan kelopak ros itu. Mungkin bukan permintaan Khalid, namun ia cukup buat dia terharu. Wanita mana-mana pun pasti sukakan kejutan ini.
Dia meraih tangan Amni. Dibawanya ke dada, dipegangnya kejap. Tangan itu basah dengan peluh. Kasihan dia pada Amni. Serba salah dia. “Am pergi rehat. Abang keluar kejap. Rokok dah habis.”
Lega dia mendengarnya. Khalid berlalu pergi. Amni terduduk dibirai katil apabila pintu ditutup. Terbang semangatnya seketika, dia ketawa kecil. Ha, nak kahwin sangat, pandailah tanggung.
Khalid bersandar pada dinding diluar bilik. Ini tidak adil untuknya, untuk Amni. Kenapa wajah Nurul Ain masih lagi memburunya. Bukankah dia sudah membuang segala kenangan dan cintanya jauh ke ufuk dunia? Bukankah dia berjanji, tiada cinta, tiada rasa, hanya ikatan semata. Bukankah dia sudah berpesan pada dirinya agar jangan mudah percaya? Tidakkah di belajar sesuatu sewaktu dia menikahi dan hidup bersama Nurul Ain dahulu? Dia terduduk, memandang cincin putih yang tersarung dijarinya. Nampak padana senyum malu Amni, ketawa gemersik gadis itu. Kelembutan dan keriangannya. Kenapa perlu dihukum dia,dihukum Amni? Kenapa ya Allah, kau berikan aku insan sebaik dia? Aku tidak mampu, aku tidak mampu menyintai.

Entah bila dia terlelap, dia sendiri kurang pasti. Mungkin selepas solat zuhur tadi. Khalid ada disebelah,juga melelapkan mata. Tidak berbaju, sekadar berseluar khaki kelabu. Amni menelan liur. Perlahan menyisir rambut dan baring mengadap Khalid. Wajah itu tenang, damai dalam lena. Jarinya mendekat, mahu menyentuh dada yang bidang itu. Teringin benar dia mengusap wajah itu, menyentuh rambut Khalid yang sedikit terjurai didahi. Dia tidak berani, dia gentar. Ya, Khalid suaminya, sah baginya. Namun, mereka masih orang asing. Tangannya terhenti hampir dengan pipi suaminya.
“Am dah bangun?”
Ummi!!! Terkaku tangannya disitu.
Khalid membuka mata, mengambil tangan itu dibawa ke dada. Dia sedar, sudah lama sedar Amni memerhatikannya. “Abang lapar, jom kita makan, jalan-jalan tepi pantai,”cadangnya perlahan. Kenapa tika dia memegang tangan ini, hatinya tenang, jiwanya lapang? Kian kemas tangan itu dirapatkan ke dada.
Ummi...tolong Am. Am jatuh cinta. Macam mana ni,ummi?
“Am, nak ikut tak?”
Dia mengangguk, cepat-cepat. Rambutnya yang kembali terurai disentuh lembut. Abang Im, tolong adik. Adik lemas, lemas dalam perasaan. Apa ini? Kenapa dia begini? Ya Allah, inikah perasaannya bila diselubungi cinta? Kenapa dia mahu menangis dan ketawa dalam masa yang sama?sudah gilakah dia? Ya Allah, tolonglah dia. Amni menarik nafas.
“Ikutlah, Am pakai tudung jap. Abang pergilah pakai baju, tak kan nak keluar macam gitu,”usiknya dalam gentar.
Gelak kecil keluar dari mulut Khalid. “Apa salahnya abang keluar macam ni? Bukan luak pun,”katanya sambil berdiri, memerhati Amni yang membetulkan shawlnya. Kalau aku cium dia, agak-agaknya dia marah tak? Khalid, apa yang kau fikir ni? Dia menampar pipi sekali, dua kali.
“Hishhh, nanti semua perempuan ikut abang, mana muat bilik ni.”
Dia ketawa, dalam dan lega. Hai hati, jaga tembokmu. Lupakah engkau apa yang terjadi dahulu? “Okay,okay. Abang pakai baju. Abang tunggu kat luar ya.”
Ibu jarinya diangkat. Khalid dilihatnya berlalu sesudah menyarung sehelai t-shirt putih. Lega dia. Kekok dia berhadapan dengan Khalid, namun dia tetap mencuba. Mencuba untuk jadi yang teristimewa. Menjadi isteri yang sebaiknya.

Malam itu, bintang dimana-mana. Hembusan angin kian kuat walaupun cuacanya masih baik. Selesai candle light dinner, mereka kembali ke pantai. Duduk bersama membirkan diri ditampar bayu. Limpah cahaya lampu masih menerangi suasana. Diam tanpa kata, alam yang berbisik pada mereka. Alam yang menjerit tentang cinta.
“Am...kalau abang tanya, Am marah?”
Hatinya terhenti. Skirt chiffon itu diselitnya berhati-hati. “Tak marah, tapi kena bayar.”
Diam, Khalid mendongak, melihat langit yang hilang dibalik pekatnya malam. “Am suka abang?”
Haa...ummi,ummi...macam mana nak jawab ni. Abang Im, tolong Am. Nak tipu ke nak buat-buat tipu? Mak tuk...macam mana ni?!
Khalid menoleh. Dia tersenyum lebar. Dalam cahaya yang sedikit, masih dia nampak wajah itu pucat tanpa kata. Mungkin dia sudah dapat jawapannya. Dia tergelak kecil.
“Am suka abang.”
Haa...ingatkan dah bisu.
“Am dah jatuh cinta dengan abang...” Nafas dilepaskan, berat tapi lega. Salahkah dia berterus-terang. Dia tunduk, memandang pasir. Kenapa airmatanya mahu keluar? Berdosakah seorang isteri menyintai suaminya? Dia mengesat pipi. Apa melankolik sangat dia ni? Kenapa dengan dia? Dia bangun, mahu lari, mahu menyembunyikan diri.
Ketawanya mati. Tangan Amni ditarik, disentap kejap. Terjatuh Amni keribanya. Alam pun tiba-tiba sunyi. Udara seakan beku. Ombak pula bagai hilang tarinya. Khalid mengeluh berat. Ditatapnya gadis manis yang mengalirkan airmata dihadapannya. Dipeluknya sang isteri sepenuh hati. Maafkan abang,Am. Abang tidak mampu lagi mengucap cinta. Hilang sudah cinta abang, terbang dibawa kenangan. Ya Allah, kenapa mesti begini?
Amni cuba bangun, namun pelukan Khalid masih erat. Apa yang merasuknya? Kenapa dengan dia, sudah gila, sudah hilang akal? Dia mahu bangun, mahu lari.
“Am, pandang abang.”
Dia masih lagi tunduk.
“Am, abang...abang berbesar hati.” Aku kagum dengan kejujuranmu. Maaf sekiranya aku akan bakal melukakan. Aku mahu kau menjauh, jangan jatuh cinta dengan aku. Aku tidak sempurna. Aku tiada cinta.
Kali ini dia berjaya bangun, berlari meninggalkan Khalid yang sudah hilang kata. Kenapa? Kenapa?

Bilik itu sunyi. Kad magnetic diletaknya. Perlahan dan hati-hati. Amni sudah terbaring, mengiring mengadap dinding. Dia baring, merangkul isterinya lembut. Larilah selagi Am mampu, pergilah tinggalkan abang selepas ini. Abang tidak layak untuk Am. Am terlalu indah untuk abang. Cinta yang Am akui terlalu berat untuk abang. Dia memejamkan mata, mencari kekuatan. Cuba menyusun satu pembohongan. Biarlah, biar Amni benci, biar Amni lari. Dia tidak mahu melukakan.
“Am, abang ada satu pengakuan...”
Tiada balasan, tapi dia tahu telinga itu mendengar.
“Sebenarnya, abang dah kahwin, sudah punya isteri...” Cuma setakat itu dia pengakuannya. Selebihnya disimpannya sendiri.
Selimut itu disingkapnya laju. Bulat matanya memandang Khalid. Menggigil tangannya. Otak semutar mahu menerima apa yang didengarnya. Apa ini? Benarkah...
“Abang dah kahwin.” Dia tunduk. Tidak sanggup menentang mata yang berkaca milik Amni. Ya Allah, kuatkan semangatku. Dia terlalu baik untuk aku. Aku tidak layak untuknya.
“Kenapa...habis tu kenapa abang kahwini Am?”soalnya dengan suara kecil. Dia lihat Khalid tunduk diam. Bibirnya digigit kuat. Khalid milik orang? Ya Allah...apa yang sudah berlaku ni?
Dia menarik selimut, kali ini menangis sepuas hatinya. Lututnya dipeluk kemas. Dia menangis. Dia tahu, Khalid lelaki yang baik, anak yang baik. Kerana itu Khalid mahukannya. Bukan, mahu menikahinya. Menikahi kerana taat, kerana kasih pada mamanya. Dia menangis dan menangis lagi.

Salam sudah lama selesai, namun dia masih berteleku di sejadah. Khalid selesai solat lebih dahulu darinya. Suaminya masih dibilik air. Dia bangun, menyangkut telekung di kerusi. Semalaman dia tidak tidur. Khalid tidur di sofa. Dia dikatil, memikirkan kata-kata. Pintu bilik air terbuka. Mata mereka saling bertatapan.
“Am keluar ya, Am tunggu abang kat sana.” Dia menyarung tudung, mahu cepat-cepat keluar.
Bengkak sepasang mata itu buat dia dihambat rasa bersalah. Pantas dia menghalang laluan, menyandar diri pada pintu, depang sebelah tangan.
Amni terkedu.
“Am menangis.”
Iyalah, tak kan nak ketawa. Dia cuba melangkah, namun masih dia terhalang.
“Abang salah.”
Itu hak abang. Itu diri abang.
“Jangan tinggalkan abang.” Eh, apa aku cakap ni? Aduhai, nak tarik balik nanti ada yang menangis lagi. Apa yang cabul dengan mulut aku ni? Semalam rancang lain, pagi ni jadi lain. Dia menghela nafas. Menggaru kepala.
Bulat matanya. Apa kena dengan Khalid? Bukan semalam mereka setuju untuk bawa haluan masing-masing. Dia dengar segalanya. Dengar rayuan ampun dan maaf Khalid. Khalid juga dengar esak tangisnya. “Abang cakap apa ni?”
Ha mulut, jawablah. Tadi cabul sangat. “Jangan tinggalkan abang. Abang akan belajar menyayangi Am.” Ya Allah, apa ni...kan semalam dah reherseal apa nak cakap.
Bulat lagi matanya. “Habis itu, isteri abang yang tu tak  marah, tak mengamuk?”
Jawab, jawablah. Menipu sangat. Ya dia tipu, tapi sikit. Dia cuma mahukan Amni bencikan dia. “Abang nikahi dia tanpa restu. Abang tak mahu sakitkan hati mama.” Nah, lari jauh dari jawapan yang disediakan semalam. Khalid, apa kau buat ni? Bukankah engkau sudah janji, mahu lepaskan Amni pergi. Apa kena dengan aku ni?
Hilang terus kata-katanya. Amni melangkah, biarlah, langgar Khalid pun langgarlah.
Aik, main kasar ni. Dia mengikat tuala kemas-kemas. Tubuh itu dipeluknya erat. Dia tahu, Amni menangis lagi. Aduhhh...apa sudah dia buat?
“Jangan buat Am macam ni,bang...”rayunya sepenuh hati. Hatinya ada cinta. Jangan diujinya begini.
“Am kata Am jatuh cinta dengan abang, kenapa nak mengalah sekarang. Buktikan, buktikan pada abang yang Am betul cinta.” Serius suara Khalid menusuk ke hatinya.
What?!! Apa bukti pula ni...Dia mahu menjerit, tapi ditahannya suara. Dalam pelukan Khalid, dia lemah.
“Jadi isteri abang, terus disisi abang. Bersama abang. Buktikan Am benar cinta.” Keras suara Khalid buat hatinya tidak keruan. Ya Allah, kenapa dia yang perlu buktikan?
“Habis tu abang, isteri abang?”
“Abang tetap suami Am, sampai bila-bila.” Hanya Am isteri abang. Abang tak sanggup lepaskan Am begini. Kejam abang kalau itu yang abang buat. “Kita cuba, abang akan bahagikan kasih, sama rata, sama tinggi.” Kau seorang saja,Am. Abang takut, abang tidak mampu berikan cinta. Abang boleh berikan segala, namun bukan cinta.
Dia menangis lagi. Apa pula kali ini?
“Tak kan kita mahu berpisah tiba-tiba. Kesian keluarga kita, Am.”
Tergolek hatinya kerana cinta. Amni menarik nafas berkali-kali. Cuba menenangkan diri.
“Abang nak Am buat apa? Am buntu. Semalam bukan abang mahu kita berpisah?” Peritnya semalam masih terasa. Berkecai-kecai jantungnya dihamparan luka.
Ditariknya Amni ke birai katil, duduk berdua dengan lembut. Dia duduk disisi. “Abang tahu. Abang ingat apa yang abang ucapkan. Abang kesal...abang tak maksudkannya. Sungguh.” Tapi semalam benar dia maksudkan segala kata, namun pagi ini dia yang tidak mahu mengota kata. Dia sendiri tidak tahu kenapa, Amni buat dia keliru, buat dia sasau.
“Abang, jangan buat kita macam ni...Kasihan isteri abang...” Pedihnya ya Allah, pedihnya.
“Am juga masih isteri abang,bukan?”
Benar. Dia masih isteri Khalid. Macam mana ni?
Khalid mengeluh berat. Otak sarat. Apa yang berlaku buat dia gila. Kenapa tidak dia lepaskan sahaja Amni. Biar Amni ketemu lelaki yang lebih baik, selayaknya untuk dia. Apa sudah jadi. Dia menoleh, menatap si isteri yang masih mengalirkan air mata. Rasa bersalah menyelubunginya. Apa lagi yang perlu dia ucapkan.
“Isteri abang tak mahukan anak.” Nah, keluar akhirnya. Satu lagi penipuan. Wajah Nurul Ain kembali melayang didepan mata.
Amni terkedu, esaknya semakin hilang.
“Abang mahu bahagiakan mama, mahu bahagiakan Am.” Ini benar lagi sahih. Ya, dia benar mahu mama dan Amni bahagia.
“Kita makan, nanti kita bincang. Boleh?”pujuknya lembut. Amni dilihatnya mengangguk perlahan. “Tunggu abang, kita pergi sama-sama.”
Dia duduk, diam disitu. Mengapa dia mesti menurut kata. Kenapa tidak dia bantah sahaja cadangan Khalid? Kenapa? Kenapa?
Sebab cinta. Kerana cinta. Kerana dia mahu mencuba, mahu meneruskan cinta yang baru ditemuinya. Bodohnya dia. Tololnya dia. Tangannya ditarik perlahan. Dia mendongak. Wajah rusuh Khalid buat dia sendiri resah.
“Jom.”
Tangannya ditarik. Dia menggigit bibir, kuat. Dari belakang,Khalid bagaikan dunia yang baru baginya. Dunia yang sepatutnya terlarang untuknya. Mereka melangkah, dengan selubung kerisauan memayungi dua hati.

Malam sekali lagi menjengah. Kali ini mereka solat berjemaah. Khalid tidak banyak bersuara, termenung, tersenyum. Sewaktu menyalami tangan suaminya, airmata menitis lagi. Dahinya kemudian dicium lembut.
“Am, Am setuju?” Lembut suara itu bertanya. Dia memalingkan muka, kembali merenung sejadah. Kuatlah, katakanlah.
Setuju untuk terus menjadi isteri? Dia menguis kain telekung solatnya. “Kalau Am tak mahu?” Mashaa Allah, sanggupkah dia? Belum dua minggu menjadi isteri, sudah hilang status begitu saja. Bukan kerana itu. Dia tidak kisah. Apa yang difikirkannya hanya satu. Ummi.
Dia terbayangkan wajah ummi yang gembira. Ummi yang seronok dan bahagia. Ummi yang mahukan dia bahagia. Dan dia yang jatuh cinta. Jatuh cinta dengan manusia dihadapannya. Peliknya hati, anehnya jiwa. Kenapa walaupun sudah tahu akan terluka, masih lagi mahu menempuhnya?
“Kalau Am tak mahu, abang tak boleh paksa. Abang tak mahu Am terseksa dengan abang.” Sanggup dia melepaskan cinta yang diberikan Amni? Dia mengeluh berat. Makan  malam tadi pun hanya sedikit disentuh Amni. Dia kesal. Sungguh dia kesal.
“Am, betul Am tak mahu? Walaupun Am cintakan abang?” Jahatnya dia kerana menggunakan cinta itu sebagai alasan. Kejamnya dia kerana mahu Amni terus disisinya. Bukan, bukan cinta. Dia tahu ini bukan cinta. Mungkin kasihan, mungkin jalan penyelesaian.
“Am jatuh cinta. Jatuh yang boleh bangun. Jadi izinkan Am bangun, sedar diri.” Jahatnya lelaki ini kerana menjadikan cintanya sebagai alasan. Kejamnya Khalid kerana menggunakan pengakuannya sebagai ikatan.
Dahinya diurut beberapa kali. Berdenyut, dan menekan otaknya. Khalid bangun, merangkak ke atas katil.
“Abang, abang kenapa?” Wajah Khalid yang kepucatan tiba-tiba buat dia tidak keruan.
“Abang migrain. Ambilkan abang panadol. Tolong.”
Pantas dia ke ruang, menuang air dan mencari panadol yang sentiasa tersedia disalam tas tangannya. Sewaktu melangkah ke bilik, Khalid sudah lena dengan kerutan. Dia terduduk dihujung katil. Dia merangkak ke katil, berbaring disebelah Khalid.

Guruh dan petir tiba-tiba menjengah. Amni bangun, menjengok jam di meja sisi. Jam tiga pagi. Ribut yang menggila diluar buat dia mengucap panjang. Comforter itu ditariknya hingga ke dada, juga menyelubungi Khalid. Lampu ditutup, hanya lampu dimeja sisi dibiarkan terpasang. Dia kembali menarik selimut.

Nurul Ain. Nurul Ain yang berlari dalam hujan. Nurul Ain yang berlari meninggalkan dia dengan iringan guruh dan petir. Dia mengejar, namun berhenti. Berhenti tatkala Nurul Ain melayang tinggi, jatuh ke aspal bagai kaca yang berderai.
Dia kembali membuka mata. Khalid dilihatnya berpeluh dan berputar dikatil. “Abang, abang...bangun. Kenapa dengan abang? Abang...”
Khalid masih begitu, menggelepar, berpusing bagai menanggung sakit yang amat.
Amni menggeletar. Dia tekad, kali ini dia tekad. Dipeluknya Khalid sekuat hati. Dia mengucap panjang. Khalid bagai hilang kawalan. Tangan Khalid dipautnya kuat, dia membisikkan kata-kata yang dia sendiri tidak tahu apa maksudnya. Teringat dia apa yang ummi selalu lakukan jika dia mendapat mimpi buruk. Dia tawakal. Tapak tangan Khalid dibawanya ke dada. Dibacanya Al-Fatihah beberapa kali, lalu dihembusnya ke tapak tangan. Diciumnya tangan itu berkali-kali. Dan seperti apa yang ummi pernah lakukan, dia mengusap tapak tangan Khalid perlahan tapi tanpa henti. Khalid kian perlahan geraknya. Basah t-shirt Khalid dengan peluh. Amni melepaskan nafas. Khalid sudah diam, namun pegangannya masih erat, belum dilepaskan. Dia menggigit bibir, mahu mencari jawapan. Tangannya ditarik perlahan, namun tidak bergerak.
“Jangan tinggalkan abang.”
Amni terkedu. Mata Khalid dilihatnya masih tertutup rapat. Mengigaukah? Atau bermimpi? Dia bergerak, namun masih tangannya dipegang erat. Mata kian tertutup. Mengantuk mula menguasai. Dia baring, lalu terus lena.

“Kau gila?!!”
Mulut Husna ditutupnya rapat. Hishhh...ni yang dia malas nak bercerita. Namun, boleh gila andai dia menyimpan semuanya dalam hati. Cuma pada Husna. Hanya pada Husna.
“Habis kau ni apa? Isteri nombor dua?”
“Yalah kot. Kalau dia ada dua isteri, aku nombor tiga.” Sekurang-kurangnya masih lagi seorang isteri yang sah. Biarpun sekadr isteri dalam akad sahaja. Diatas sekeping kertas.
Husna menongkat dagu. “Kau sanggup bermadu?”
Dia senyum tawar. “Sanggup atau tidak, aku dah kahwin. Mahu atau tidak, aku kena terima.”
“Mashaa Allah, kau memang isteri mithali. Kalau aku, dah lama aku angkat kaki.” Husna menoleh, menatap wajah sahabat yang redup dengan kerisauan. “Kenapa kau tak angkat kaki?”soalnya kali ini.
“Sebab aku cinta.” Airmatanya mengalir. Kerana aku sudah jatuh cinta. Kerana hati aku sudah diikatnya. Kerana aku mahu bahagia. Kerana aku cintakan suami yang baru dinikahinya. Semuanya kerana cinta.
Dipeluknya Amni erat. Ya Allah, ujian apa yang kau berikan pada sahabatku ini? Dia menarik Amni ke tandas guru. “Gila kau? Kenapa tiba-tiba menangis. Basuh muka, lap balik muka tu. Kau jangan, nanti aku nangis sama-sama.”
Ketawa dia mendengar ugutan Husna.
“Habis tu kau nak buat apa?”
Wajahnya pada cermin direnungnya lama. “Aku akan buktikan, aku cinta dia setulus hati aku, Na. Aku akan berjuang untuk cari kebahagiaan aku, untuk diri aku. Kalau aku gagal, aku tak kesal.” Sekurang-kurangnya dia mencuba.
Husna tersenyum puas. Dia tahu, Amni cekal orangnya. “Aku sokong. Carilah kebahagiaan, minta pertolongan dariNya. Inshaa Allah, kalau niat kau betul, Allah akan tolong. Takkan dia mahu biarkan hambaNya terkontang-kanting tanpa arah tuju.”
Betul. Dia akan berusaha. Berusaha untuk membahagiakan semua.

Cincin itu ditiliknya beberapa kali. Teringat dia senyuman Amni sewaktu menyarungkan cincin itu dihari pernikahan itu. Wajah itu malu-malu, tersenyum simpul diusik rakan dan taulan. Wajah itu jugalah yang sayu dan sepi dihadapannya semalam. Dia buat Amni menangis. Buat gadis manis dan sebaik Amni itu menangis. Jahatkah dia?
“Hoit! Pengantin baru...apa termenung jauh. Macam mana honeymoon?”usik Yusri tiba-tiba. Berkerut dahinya melihat Khalid yang banyak diam. Baru sehari dipejabat, Khalid lebih banyak bungkam, fikiran melayang, melangit ke awan mana.
“Yus, aku rasa aku dah buat silap.”
Tersedak dia dengan cappuccino yang baru saja diteguknya. Nasib baik tidak tersembur ke muka Khalid. Dia menepuk dada, menelan air itu bagai payah sekali.
“Silap apa ni,Lid? Apa yang tak kena...kau jangan main-main. Hotel lagi tiga empat minggu nak buka, ada apa yang tak kena ke?”
“Bukan pasal hotel. Pasal aku. Tentang aku. Aku rasa aku tak patut kahwin.”
Sekali lagi di tersedak. Kali ini dengan sandwich yang baru disuapnya. Okay, tadi dia ingatkan kerana hotel, tapi kalau dah masuk bab nikah kahwin, ini dah serius. “Apa yang kau merepek ni,Lid. Isteri kau tu bukan main baik lagi. Dah la baik, cantik pula tu.”
Dia mengeluh, meraup muka berkali-kali. “Kerana dia baik yang buat aku rasa bersalah. Aku rasa macam aku tak mampu nak beri kebahagiaan.”
Terduduk Yusri di sofa kelabu itu. Dia tahu, Khalid pernah kahwin dahulu. Dia tidak tahu apa yang terjadi dengan perkahwinan pertama Khalid itu, namun dia tidak pernah bertanya. Baginya, itu perihal peribadi masing-masing. “Jangan buat gila,Lid.”
Khalid ketawa kecil. Tak. Sungguh dia tidak gila, hilang akal saja agaknya. Sofa itu dihenyaknya. Menyandar ke belakang, merenung kosong ke atas.
“Aku cakap aku dah kahwin.”
“Iyalah, kau memang dah kahwin dulu,kan.”
“Tapi aku tak cakap yang Nurul Ain dah tiada.”
Ohhhh...baru dia teringat. Nurul Ain. Nama isteri Khalid yang dinikahinya di UK dahulu. Gadis melayu tercantik di kampus mereka. “Apa maksud kau?”
“Aku cakap dengan dia, aku dah ada isteri.”
“Kan Nurul Ain dah tak ada.”
“Itulah masalahnya.”
Yusri menggaru kepala. “Kenapa kau buat macam tu,Lid.”
“Sebab aku nak dia benci aku, lari dari aku.”
Sekali lagi dia menggaru kepala.
“Tapi aku dah mula kasihankan dia. Dia tak bersalah. Aku yang bodoh.”
Yusri ketawa. Sudah, dia sendiri sudah pening. Dia ketawa lagi. “Habis tu, sekarang ni macam mana?”
Khalid melunjur kaki, merenung laut yang tenang diluar sana. “Aku nak lepaskan dia,tapi aku tak sanggup. Dia sah milik aku,Yus. Aku kena jaga dia. Aku takkan lukakan hatinya, tinggalkannya. Kecuali kalau dia tinggalkan aku dulu.”
Apa semua ni? Drama? Cerekarama? Cerita bersiri? Yusri memicit kepala. “Amni macam mana?”
“Dia terkejut. Dia sangka dia dimadukan, menjadi madu kepada seseorang.”
“Yalah, dah kau yang beri gambaran macam tu pada dia.”
Khalid ketawa dalam kepedihan. “Aku pun tak tahu kenapa aku buat macam tu,Yus. Sumpah, mulanya aku nak lepaskan dia. Tapi...”
“Tapi kau sayang, jatuh kasihan...”
“Gila kan aku?’
“Kau bukan gila, tak cukup waras.”
Mereka sama-sama ketawa.
“Lid.”
“Ya?”
“Apa yang berlaku antara kau dan Nurul Ain?”
Tangannya dikepal. Terlalu sakit, terlalu pedih untuk dibicarakan. “Biarlah rahsia.” Ya, biarlah rahsia. Biarlah segalanya berkubur bersama Nurul Ain. Dia mahu bina hidup baru. Dia mahu mencuba membina sebuah rumahtangga. Bukan untuknya, untuk Amni. Untuk ketenangan mama. Dia? Biarkan saja dia. Dia sudah selesa bersendiri.


No comments:

Post a Comment