Thursday 19 February 2015

Bab 5 sudah maiiii.....

BAB 5

Dahinya diurut beberapa kali. Mama betul-betul seriuskah? Khalid yang duduk dihadapannya juga terdiam kelu.
“Kalau tak mahu, mam tak paksa.”
Mamanya bangun, pantas menuju ke bilik. Khalida membuat isyarat, menyuruhnya duduk. Khalid kembali.
“Pa..can you help me this time?”pintanya perlahan. Wajah serba salah papa buat dia kian kecewa. Dia tahu, ini antara dia dan mama.  Permintaan mama terlalu tinggi, bagai mahu mencapai awan ke sembilan. Dia takut, dia bimbang. Dia tak mampu sebaik yang disangka.
“Entahlah Lid. Mama kamu tu, kalau dah tetap hatinya, payah nak dipujuk. Macam ni, bagi keadaan tenang, biar dulu seminggu dua. Lepas tu, Lid bincang dengan mama.”
Dia mendengus kecil. “Macam ni lah,pa. Lid tinggal kat kondo Lid dulu untuk seminggu dua. Bagi ruang untuk mama, untuk Lid sendiri. Lagipun semua perabot dah siap pasang. Nak merasa juga Lid tinggal di rumah sendiri.”
Maarof mengeluh berat. Nah, sekarang ni dua-dua merajuk. Silap Safiah juga. Nikah kahwin bukan perkara main-main. Dia tahu Khalid masih belum mampu merawat kesemua luka yang masih ada. Dia faham, dia juga lelaki. Lelaki, kalau betul sayang, sampai mati pun mereka sayang, tapi kalau hati sudah benci, mahu menghakis benci teramatlah susah.
“Papa tak nak halang, juga tak suruh. Terpulang pada Lid. Lid dah besar, dah ada hidup sendiri. Kalau Lid rasa perlukan masa dan ruang, just take the luxury to get it.”
Matanya memandang papa yang tenang bersandar pada sofa. Mungkin dalam bidang kerja papa, kesabaran dan ketahanan mental yang paling utama. Bukan setakat memegang pistol atau mengarahkan anak buah, emosi juga penting. Sebab itu dia sangat menghormati papa. Mengkagumi papa.
“Mama?”
Maarof tertawa kecil. “Biarlah dengan mama. Nanti tahulah papa dan Kay memujuknya.”
“Papa pasti mama faham?”
“Dia kena cuba faham. Bukan mudah perkara ini untuk diunjur begitu. Banyak perkara yang perlu diambil kira. Mama seorang ibu, justeru papa rasakan keputusannya dibuat atas dasar nama seorang ibu.”
Berteleku dia mendengar ulasan papa. Hebat seorang ayah, seorang suami, bisa tahu apa dalam hati. “Pa, Lid gerak dulu. Mungkin malam ni Lid terus tidur kat kondo Lid.”
Senyumna sumbing. “Tak apalah,Lid. Papa faham.”

Malam. Sunyi dirasakan sekeliling alam. Biarpun televisen yang dipetik suisnya itu pelbagai bunyinya, hatinya tetap sunyi. Dia bangun, membuka pintu sliding di balkoni. Angin Laut China Selatan bertiup kencang, umpama ribut dalam hatinya. Kondominium dan penthouse sepuluh tingkat itu baru siap akhir tahun lepas. Juga salah satu projek di bawah The Bliss Corporation. Setiap tingkat hanya ada satu unit kondo berkeluasan 1750kp, dengan tiga bilik, dua ruang tamu serta dua bilik air yang cukup selesa. Tiga penthouse itu pula berkeluasan 2450kp, dengan tambahan satu bilik dan satu bilik air. Mulanya dia hanya main-main, namun seperti kata Mr. Lehmann, beli sebagai aset. Mahal, namun sebagai anggota syarikat, dia diberi potongan yang lumayan. Khalida dan mamanya yang selalu menyusun atur segalanya. Dia biarkan saja, namun dia akui, pilihan Khalida serta mama memang tepat. Simple dan sederhana, tidak perlu menyesakkan mata. Telefon tangannya berbunyi.
“Assalamualaikum.”
Khalida. Dia tersenyum seketika.
“Waalaikumussalam. Apa telefon? Nak minta hutang?”
Suara Khalida ketawa buat dia tersenyum lagi.
“Bang, tak takut ke? Bukan tapak kondo abang tu berhantu ke?”
“Hantu apa, kaulah hantunya!”
Khalida ketawa lagi.
“Mama ada?”
“Ada lah. Dia nak pergi mana malam-malam buta ni. Dia tak makan tau, siaplah bang, dia mogok lapar.”
Kepalanya digaru berkali-kali.
“Jangan main-main,Kay.”
“Main apa? Main ting-ting, main layang-layang? Orang cakap tak percaya.”
Biar betul mama ni, tak kan mogok lapar kot. Dia mendengus kecil. Khalida mengusiknya mungkin. “Dah, abang banyak benda nak buat. Lain kali kita borak.”
“Benda apa? Korek hidung, basuh toilet. Sleep well, busuk.”
Hmmm...mesti Khalida main-main. Dia menamatkan panggilan. Tidur lagi baik.

Lanskap sudah selesai. Dia tersenyum puas. Tinggal sebulan lebih lagi hotel ini akan dibuka. Khalid bersandar pada tiang gazebo. Perutnya tiba-tiba berbunyi. Mencerut lapar rupanya dia. Pagi ini dia hanya minum segelas yogurt buah-buahan. Kalau dirumah, pasti mama sudah sediakan roti telur atau nasi goreng. Tiga hari, sudah tiga hari dia bermalam di kondominium miliknya. Tiga hari itu juga tidurnya tidak lena. Setiap kali menelefon mama, bila terdengar sahaja suaranya, mama akan letakkan gagang telefon. Dia mengalah. Hari ini, petang ini dia akan pulang mengadap mama. Dia akan minta ampun, pujuk mama sehabis boleh. Dia baring, mahu lelapkan mata sebentar.
Telefonnya bergetar, dicapainya tanpa membuka mata.
“Ya, apahal ni,Kay?”
“Lid, mama.”
Dia segera bangun, bagai direnjat elektrik. “Kenapa dengan mama?” Hatinya bergelolak dengan bimbang.
“Ada kat klinik. Mama pitam tadi.”
Hatinya bagai jatuh di kaki. Nafas ditariknya dalam-dalam. “Klinik mana?”
“Klinik dekat rumahlah, Klinik Al-Huda.”
“Tunggu, abang gerak sekarang.”
“Abang balik rumahlah terus. Dah nak keluar ni pun.”
“Ya, ya.”
Dia berlari. Selaju yang mungkin.

Tidur. Mama sedang tidur. Wajah mama yang sedikit pucat buat dia diikat rasa bersalah. Diciumnya dahi mama, sedikit panas. Khalid menghela nafas.
“Bagi dia rehat. Lid pergi makan dulu. Lid sendiri pun dah nampak pucat. Jangan risau, nanti eloklah mama kamu.”
Dia masih disitu. Derhakakah dia pada mama? Anak derhakakah dia? Khalid mengeluh panjang. Kusut kotak fikirnya seketika.
“Sebab Lid ke,pa? Kerana Lid mama jadi macam ni,kan?”
Bahu anak itu dipegangnya erat. Anak-anak, sebesar mana pun mereka, anak tetap anak. Maarof tersenyum tawar. “Jangan salahkan diri,Lid. Mama memang tak sihat, bukan salah kamu, bukan salah cuaca, jauh sekali salah papa.”
Khalid masih mampu tersenyum. Papa, kerana itu dia menghormati papa. Tangan mama dipegangnya erat. Diciumnya tangan itu berkali-kali.
“Biar mama rehat, baik kamu pun berehat.”
Khalid akhirnya bangun. Dia menarik langsir, tidak mahu cahaya matahari menjenguk mamanya. Mama perlukan rehat, perlukan ketenangan.

Seronoknya tidur dikatil sendiri. Selesa, nyaman. Dia berkalih, membetulkan belakang yang sedikit lenguh-lenguh. Sudah hampir masuk waktu Asar. Malasnya mahu bangun, namun dia tahu dia perlu. Bunyi suara diluar bilik buat dia tertanya-tanya. Nantilah, mungkin Kay dengan papa. Mahu dia segarkan badan dahulu, nanti dia mahu berdepan dengan mama. Mahu melutut, memohon maaf.
Sewaktu salam terakhir diberikan, dia perasan pintu biliknya dibuka. Dia menoleh, Khalida terlihat tersengih dimuka pintu.
“Mama panggil.”
Ditelannya liur beberapa kali. Bangun, menuju ke bilik mama.
“Assalamualaikum,ma.” Dia ke katii, baring di samping Safiah yang tersenyum lembut.
“Ma marahkan Lid?”
Diam cuma.
“Maafkan Lid,ma. Lid janji, Lid turutkan apa saja permintaan mama.”
“Apa saja?”soal Safiah lembut namun tegas.
Khalid memejamkan mata. Dia mengangguk. Apa saja.

Terlopong Hajah Amina dengan rombongan yang tiba-tiba menjengah ke terataknya. Wajah Maarof dan Safiah dipandangnya penuh risau. Dijelingnya Amni yang sedikit ternganga, lalu disigungnya anak itu agar sedar dari lamunan.
“Macam mana,Mi? Sudi berbesan dengan Yah?”
Haji Muaz tersenyum, tidak tahu apa perkataan yang sesuai perlu diaturnya. Benarkah Amni yang jadi pilihan? Rasa baru semalam dia mendukung Amni, memberi susu atau berkejaran di padang permainan. Benarkah dia mahu melepaskan Amni menjadi milik lelaki lain, menjadi seorang isteri? Layakkah anaknya itu?
“Yah berkenan betul dengan Amni. Cantik,lemah lembut, pandai serba serbi. Dia sempurna untuk Khalid,”tutur Safiah ikhlas. Dia yang paling sempurna untuk mengubati luka Khalid. Khalid perlukan teman, teman yang mampu mengeluarkannya dari lohong derita yang bersarang jauh disudut hati.
Aku? Dia menelan liur. Aku? Benarkah aku yang jadi pilihannya? Bukan, bukan. Kata aunty Safiah, dia yang berkenan, yang memilih. Bukan Khalid. Bibirnya digigit kuat.
“Amni, Amni sudi jadi ahli keluarga aunty?” Lirih suara Safiah bertanya. Airmatanya mahu melonjak, namun dia menahan. Janganlah hajatnya ditolak, dia tak mampu.
Amni memandang umminya yang tersenyum mengharap, menoleh pada abi yang mengangguk, dan pada Imran yang mengenyitkan mata. Nafas ditariknya beberapa kali. Sejuk serasa tapak tangannya. “Am, Am tak sempurna aunty, banyak perkara yang Am tak tahu.”
Sunyi seketika dirasakan ruang itu.
“Namun, andainya aunty sekeluarga, Khalid sendiri boleh terima kekurangan Am, siapa diri Am, Am terima.” Nah, akhirnya keluar semua perkataan yang mahu dikatakan.
Ya Allah, dia lega. Airmatanya mengalir tanpa sedar. Lengannya diletak pada dada yang tadi seumpama mahu pecah, namun kini kembali aman dan bergelombang. Safiah mengesat pipi dengan hujung selendangnya.
“Yah, kenapa menangis?” soal Hajah Amina sambil menitiskan airmata. Entah kenapa dia juga sebu melihat sahabat lamanya begitu rupa.
Dipeluknya erat tubuh Hajah Amina. “Terima kasih,Mi. Kalaulah Mi tahu betapa bermaknanya semua ini untuk Yah. Terima kasih.”
Imran bingkas bangun, menghulurkan tisu pada Khalida. “Nanti giliran kita pula,”katanya perlahan.
Khalida menjeling marah. Gila! Tak padan dengan muka hensem, tapi fius otak banyak yang dah rosak. Depan orang tua pun boleh cakap ikut sedap mulut dia. Aku lepuk kang, tak pasal-pasal kena lesing dengan mama.
Imran mengeluh. Aduhai, jelingan asmara. “Dah, dah...kita tinggalkan ibu-ibu ni buat drama. Papa, opps...Encik Maarof, jemput makan. Abi, jomlah. Nanti sejuk pula mi soto tu nanti. Kay, jom makan.”
Khalida mahu tergelak. Dasar muka tembok. Tembak baru tahu. Tangan Amni dipautnya lembut. “Temankan Kay,Am.”
Dia bangun, menuruti langkah.
“Tunggu Amni, ada sesuatu yang aunty lupa.” Cepat-cepat Safiah menyeluk ke dalam tas tangannya. Sebuah kotak baldu biru dikeluarkan. Sebentuk cincin emas putih permata nilam dikeluarkan, lalu disarungnya ke jari manis milik Amni. Lega hatinya cincin itu akhirnya bertemu pemilik.
Bibirnya diketap. Hatinya bengkak dengan rasa ngilu, gembira serta seribu rasa yang entah dari mana datangnya. Sedarinya tubuhnya dipeluk erat.
“Mama, sudah lah tu. Nanti pengsan anak dara orang. Pergi menangis berduet dengan bakal besan tu.”
Pecah tawa Amni sebentar. Berani betul si Kay ni marahkan mamanya. Kalau dia gamaknya, benjol kepala kena luku.
“So now my dear future sister in law, shall we eat?”

Dia menilik gambar-gambar dari iPad mini milik Khalida itu beberapa kali. Gambar mama dan aunty Amina sama-sama menangis buat dia mahu ketawa. Namun gambar Amni yang tersenyum sambil memandang cincin benar-benar buat dia tersentuh.
Amni.
Sungguh, kau gadis yang baik, namun hati aku masih beku. Berdosakah aku andainya aku melukakan? Salahkah aku andai cinta yang kau harapkan, tidak mampu aku berikan? iPad itu letaknya di sisi. Wajah mama yang berseri-seri buat dia serba salah. Tawa mama yang memenuhi villa ini buat hatinya bugar. Sanggupkah dia melihat mama kecewa? Tidak, pasti tidak. Jadi, apa perlu dia buat? Cintanya sudah lama mati. Bagaimana, bagaimana?

Wajah serius Imran ditenungnya lama. Sewaktu menerima panggilan dari Imran, dia tahu perkara ini akan dibincang.
“Kau serius mahukan adik aku,Lid?”
Suaranya bagai tergantung di langit, dibawa angin lalu hilang.
“Dia satu-satunya adik aku,Lid.”
“Aku tahu,Im. Macam Kay juga. Dia satu-satunya adik yang aku ada. Pasti aku mahukan insan yang terbaik untuk dia.
Imran mengangguk tanda faham.
“Aku tak boleh janjikan kebahagiaan umpama cerita dongeng,Im. Namun aku akan cuba untuk bahagiakan dia.” Biarpun dengan cinta yang kosong tanpa rasa. Aku akan berikan apa saja,Im. Asalkan bukan cinta. Aku tak mampu.
Lelaki dihadapannya ketawa. Khalid tersenyum, memujuk hati yang sedikit gentar dengan apa yang baru saja diucapnya.
“Aku tahu. Bukan mudah untuk kau,kan. Cuma pesan aku, andai ada kekurangan pada Am, kau maafkan dia,Lid. Huh...aku rasa dia masih kecil lagi, rasa macam kami masih dibangku sekolah. Boleh aku jentik, boleh aku tarik rambutnya bila ummi tiada. Masa mana entah dia dewasa, aku sendiri pun boleh tak perasan.”
Sayang engkau pada adik nan seorang itu kan,Imran. Dia mengeluh perlahan. Bagaimana mahu dia menatang Amni yang selama ini dijaga rapi oleh keluarganya? Bagaimana jika dia yang silap, jatuh dan terus jatuh? Bagaimana jika hatinya tertutup, tiada cinta yang mahu tumbuh? Apa akan terjadi, andai Amni bakal terluka dan menderita? Dia akan terima segala hukuman. Dia rela.
“Aku minta maaf,Lid. Bukan aku nak takutkan kau, jauh sekali. Aku alu-alukan kau jadi mahu jadi ahli keluarga aku, aku berbesar hati,Lid.”
Khalid mengangguk beberapa kali. Kau berbesar hati, masalahnya aku kecut hati!

Menjerit Husna dan Najwa disampingnya. Ni yang dia malas nak beritahu sesiapa. Kecoh jadinya. Tapi kalau budak berdua ni tak dimaklumkan, merajuk setengah tahun. Silap-silap majlis akad nikahnya nanti terus tak datang.
“Cantiknya...klasik gila. Mana kau dapat ni?” soal Husna sambil membelek jari manis milik Amni. Aduhai, bilalah dia nak dapatcincin macam ni?
“Aku rompak kedai emas semalam. Ada lagi tiga dalam beg ni. Kau nak?”
Tergelak dua dara dihadapannya. Senang hati tanya mana dia dapat. Amni tersenyum sambil merenung cincin itu. Benarkah ini?
“Aqil tak cakap pun nak pergi meminang kau. Bila nak langsung ni?” Berkerut dahi Najwa.
Husna memandangnya dengan mulut terlopong. Bulat mata sahabat itu memandangnya penuh tanda tanya. Dia menggelengkan kepala.
“Bukan Aqil?”
Amni gamam, menggeleng kepala. “Kak Ha dan kau yang pandai-pandai reka cerita, nasib baik belum masuk suratkhabar.”
Husna tersengih-sengih. “Mana aku tahu, kak Ha yang sungguh-sungguh. Aku ingatkan setakat nak hilangkan gossip lain, tak sangka lain pula yang keluar. Tapi Am, ni sape kasi? Takkan kau pergi rompak kedai emas betul-betul?”
Aishhh...luku kepala si Husna ni boleh tak? Main-main. Dia duduk di bangku di Taman Sains dan Angkasa. Husna dan Najwa turut sama melabuh duduk bersamanya.
“Ada kawan ummi aku, dia nak tunangkan aku dengan anak dia. Ni cincin tanda, tanda aku dirisik, dicop mohor.”
Husna menjerit “Yang hari tu ke?”
Amni sekadar senyum simpul.
Melopong dua gadis itu mendengar penjelasannya. Mamanya yang mahukan aku, dia belum tentu. Wajah Khalid kembali melintas, memenuhi ruang mata, ruang hati.
“Habis tu, kau terima macam tu je ke,Am? Aiyooo...please lah. Ini bukan zaman aiskrim potong, ini zaman muka buku. Kalau kau tak suka, tolak. Cakap tidak.” Tegas suara Najwa memberi pendapat.
Masalahnya, aku suka dia. Aku suka dia.
“Nak aku cakap dengan ummi kau? Bak telefon, sekarang juga aku telefon.”
Ketawa. Dia ketawa. Sewel gamaknya dua manusia dihadapannya ini. “Wa...kau sanggup ke lukakan hati mak kau? Tolak permintaan dia, sedangkan selama ini dia tidak pernah menolak permintaan engkau? Jadi anak yang lupa?”
Husna  juga Najwa terdiam.
“Betul, aku mungkin boleh tolak, tapi andai benar Khalid bukan jodoh aku, tetap terurai ikatan ni.”
Sepi seketika.
“Khalid? Klasiknya nama dia, kan” Komen Husna tiba-tiba.
Pecah ketawa mereka bertiga.
“Amboi...mengumpat saya ke?”
Serentak mereka bertiga menoleh. Alahai, datang pula putera pujaan sekolah ini. Husna tersenyum-senum, menjeling Amni yang serba salah.
“Mana ada, kami tengah umpatkan bakal tunang si Amni ni ha,”balas Najwa kuat.
Bakal tunang?
Dipandangnya wajah Amni yang tersipu-sipu. Hatinya serasa berderai, bagai kaca jatuh ke batuan nan kebal.
“Iya ke? Siapa yang rabun nak masuk meminang teacher kita ni?” Ada getar dalam soalnya. Gurauan. Husna mahupun Najwa memang suka bergurau. Dia duduk, setentang dengan kerusi Amni yang dilihatnya tersenyum malu. Benarkah? Benarkah dia sudah terlewat?
“Cakap tengok tudunglah,beb. Nampak tak cincin merisik kat jejari mulus tu?”
Sepantas itu matanya melirik. Ya, ada sebentuk cincin dijari manis milik sang perawan. Kau sudah dimiliki tanpa aku sedari? Belum sempat aku meluahkan rasa hati, kau sudah dibawa lari?
“Mana ada, nampak macam cincin tikam kedai Pak Mat depan sekolah je,”guraunya bersahaja.
Amni tergelak akhirnya. Dia memandang Aqil, namun pemuda itu memandangnya serius. Tajam sepasang mata itu bagai menikam-nikam jantungnya. Kenapa tiba-tiba saja ada debar dalam renungan itu? Dia cuba tersenyum, namun kekok rasanya. “Cantik?”soalnya sambil menayangkan cincin itu pada Aqil.
Aqil mengangguk. Dia bangun. “Cantik. Awak lagi cantik.”
Nah, apa yang dia cakap ni. Macam mana boleh teremosional pula. Tali leher dibetulkan. “Tapi Husna lagi cantik, yelah, muka macam penyanyi. Patutnya kau tukar nama dengan si Najwa tu, baru padan.”
Husna mencebikkan bibir tatkala Najwa terkekek-kekek ketawa. Amni juga turut tersenyum simpul.
“Dahlah, nanti pengetua ingat kita buat komplot nak apa-apakan dia. Pergi,pergi masuk kelas. Sila jangan buat apa-apa spekulasi,”arah Husna tiba-tiba.
“Am.”
Dia menoleh.
“Tahniah.”
Senyuman saja mampu diberinya.
“Pasti dia lelaki yang hebat.”
Amni menarik nafas. Itulah yang aku takutkan.

Kereta yang dipandu entah di mana berhentinya. Sedari dia, tiba-tiba saja dia berada di sini. Tali leher itu dicabutnya perlahan. Padanlah dua tiga hari lalu hatinya berdebar-debar, matanya tidak mahu pejam. Ini rupa-rupanya. Padan mukanya. Konon baru mahu mula langkah mengurat, sekarang siapa yang terjerat. Betul kata abangnya, kalau mahu, sambar saja. Jangan ditunggu lama-lama, nanti hanya dapat baunya. Ni bukan bau, jejak pun mungkin terhapus terus. Hai hati, mana nak cari handyplast untuk menampal luka. Dia ketawa. Baru mahu bertunang, bukan jadi isteri lagi. Mana tahu, mungkin apa yang dirancang tidak mnjadi. Mungkin. Mungkin tidak. Dia ketawa lagi. Oh mak gayah, sudah sewelkah aku?!

Safiah menggumam kecil. Wajah Khalid yang serius ditenungnya sekali lagi. Disepaknya kaki Maarof sekali lagi.
“Boleh tak,Ma?”
Safiah menghela nafas. Impinya, mahu buat kenduri besar-besaran. Mahu gilang-gemilang. Biar semua saudara-mara, rakan taulan jauh dan dekat datang bertandang.
“Lid nak buat majlis akad nikah. No pelamins, Lid mahukan yang wajib sahaja. Panggil pun saudara mara, Lid tak mahu kenduri Lid jadi pesta. I want it simple.”
Maarof menarik nafas panjang. Bimbang dia bercakar lagi dua insan ini.
“Okay, fine. Asalkan Lid nikahi Amni, mama terima.” Safiah bangun. Ya, dia kecewa. Namun dia tahu, Khalid sudah banyak bertolak ansur. Dia perlu menerima syarat itu.
“But, let me choose every little details, understood?” Dia tidak mahu mengalah begitu saja. Nak buat majlis kecil, fine. But as a mom, dia akan buat yng terbaik untuk bakal menantunya, untuk sahabatnya. I will fight my own way,Khalid. Aku ibumu, doa ibu paling mustajab. Moga satu hari nanti kau tahu betapa ajaibnya perkataan seorang ibu.

Gementar dia tatkala melangkah ke ruang tamu. Talam yang berisi cawan itu sedikit bergegar ditangannya. Khalid ada bersama aunty Safiah sekeluarga. Pulang dari kegiatan kokurikulum petang tadi, Honda CRV putih itu sudah tersadai di laman rumah. Nasib baik solat asar sudah dia tunaikan di surau sekolah, kalau tidak kelam kabut dia. Diletaknya talam itu berhati-hati. Dia tidak mampu memandang Khalid, dia bimbang dia disalah erti.
“Minumlah aunty,Kay. Maaflah Am tak semapat salin seragam. Am masuk dulu, mandi sekejap. Pakcik, abang Khalid, jemput makan.”
Khalida mengenyitkan mata. Amni terasa sedikit lega. Mana abang Imran? Kalau ada abang Im, mungkin tidak kekok dia begini. Ummi masih didapur, Cuma ada abi yang ralit bercerita dengan uncle Maarof. Langkahnya dibuka sedikit pantas. Adui, sudahlah dalam seragam kadet polis, wajahnya yang berdaki sana sini mensti buat aunty Safiah sakit jantung tadi. Dia ketawa sendiri. Baik dia cepat, nanti kena sound dengan ummi, baru betul-betul malu. Mandi pun dah macam dihambat harimau. Nasiblah, asal dia mandi. Jubah kelabu bunga merah jambu disarungnya segera. Aduh, tudung mana nak disambarnya, tudung pagi tadi pun bolehlah. Sedikit wangian disemburkan,sekadar untuk menyegarkan. Tombol pintu biliknya dipegang. Nafas ditarik dalam-dalam. Be natural, be you. Dia melangkah, melukis senyuman untuk sang tetamu.
Khalid mengangkat muka. Matanya terus memandang pada Amni yang melangkah. Huh, ironinya. Gadis yang melangkah ketakutan itu bakal menjadi surinya. Mahu dia tersenyum, namun tidak mampu. Otaknya masih sarat dan berputar dengan pelbagai perkara.
Amni menelan liur. Senyuman nakal Khalid sudah tiada. Yang ada hanya renungan tajam. Gentar kakinya mahu berdiri, dilabuhnya duduk disebelah ummi. Mana dia mahu pandang, apa pandang kakinya sendiri lebih baik. Ya Allah, macam mana ni?
“Am, aunty datang nak bincang pasal tarikh nikah. Cadangnya nak buat bulan depan, sehari selepas cuti Tahun Baru Cina. Boleh?”
Aaa...bulan depan? Terlopong dia. Ummi, biar betul. Dipandangnya ummi dan abi.
“Ummi dan abi Amni setuju, cuma nak persetujuan Amni.”
Dipandangnya Khalid yang hanya membisu.
“Abang Khalid setuju kah?”
Khalid mengangkat muka. Terkejut dia dengan soalan itu. Bagus, sekurangnya Amni tahu meminta pendapatnya. Mungkin boleh jadi isteri yang baik. “Abang ok. Terserah pada Am.”
Serahkan hatimu padaku,boleh?
“Am ikut. Mana yang ummi dan aunty rasa elok, Am ikut.”
“Ok, nanti kita bincang lagi ya,Mi. Kesian Am, penat balik sekolah tak hilang. Nanti kita sambung. Banyak lagi nak dibuat. Lid ni ha, kena naik KL malam ni.”
Amni mengangguk.
Khalid bangun, meluruskan urat-urat. Diambilnya sekeping kad, dihulurnya pada Amni yang masih berbual dengan mamanya. Terkejut gadis itu seketika.
“Ni kad abang. Anything you need, just give me a call.”
Kad itu diambilnya, dipegang berhati-hati.

Panggilan itu tiba-tiba masuk. Baru sebentar tadi dia terbaring dibilik hotel. Sepuluh malam. Baru sepulauh malam. Dia menjawab panggilan telefon. Unknown number.
“Assalamualaikum.”
Amni. Dia kenal suara itu. Gemersik, lunak ditelinga.
“Waalaikumussalam.”
“Abang ada kelapangan tak?”
Dia tersenyum. “Ada. Kenapa?”
“Boleh kita bincang?”
“Tentang?”
“Tentang kita. Itupun kalau abang ada masa.”
“Okay,shoot.”
“Betul abang nak nikah, kahwin dengan Am?”
Dia bangun, berdiri memandang KLCC yang bercahaya. “Iya,betul. Kenapa Am tanya?”
“Abang bukan kena paksa, kena ikut cakap mama abang?”
Khalid tergelak kecil. Wow, gadis ini memang berani.
“Kalau ya, kenapa? Apa Am nak buat?” Terdengar nafas dihela dihujung corong.
“Kalau abang kena paksa, biar Am pergi pujuk mama abang. Biar Am cakap baik-baik.”
Intresting. Cadangan yang baik, mungkin boleh pakai. “No, but thank you. Abang tak kan kahwin dengan sesiapa pun kerana terpaksa. I lead my own life,Am.”
“Habis tu kenapa abang nak kahwin dengan Am?”
“Sebab abang anak yang taat, yang kasihkan mama abang.”
Diam seketika.
“Am macam mana? Apa buah hati Am cakap, mesti dia marah kan?” umpannya sengaja. Terdengar suara itu ketawa.
“Am mana ada boyfriend, buah hati ke. Nak kena dengan ummi.”
Khalid tersenyum lagi. “Am rasa terpaksa?”
“No, bukan itu. Am rasa Am tak duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan abang.”
Skimanya ayat cikgu ni. Khalid menyeluk saku seluar, memandang langit yang didera cahaya lampu yang terlampau.
“Nak abang batalkan?” Bolehkah dia batalkan?
“Am ikut. Am tak mahu abang rasa terpaksa, dipaksa. Nikah bukan perkara main-main,bang.”
Liur ditelan.
“Am, can we talk this again, bila abang balik Terengganu nanti.”
“Okay. Sorry for disturbing you.”
“No, you just make my day brighter.”
Gadis itu tergelak. “Have a nice night ya,bang. Assalamualaikum.”
Dia menjawab salam, mematikan panggilan. Terbaring dia kembali di katil. Terpaksa? No. Entah kenapa bukan itu yang dirasakannya. Seperti kata ummi, Amni bukan Nurul Ain. Dia memejamkan mata. Nurul Ain. Mengapa kau seksa aku sampai begini? Lepaskanlah aku, Nurul Ain. Aku mahu terus hidup.

Sakit pipinya dicubit Husna. Pedih. Kurang garam ke apa Husna ni? Aduh...digosoknya pipi berkali-kali. Sakit woo...
“Apa kau dah tak siuman? Kau tanya dia macam tu je?”soal Husna kuat. Biarlah, sekarang ni hanya dia dan Amni dibilik guru. Yang lain sudah lama balik. Maklumlah, hari ni hari Khamis. Ada yang perlu ambil anak-anak di asrama, ada yang dalam perjalanan balik kampung. Cuti Jumaat dan Sabtu sangat bernilai bagi mereka.
“Yelah, yakkan aku nak bagi kertas subjektif, bagi dia tulis. Nanti macam kena paksa ambil exam pulak.”
Isshhh...cili mulut baru tahu. Husna kembali duduk. “Am, kau ni berani sangat lah. Nanti kalau dia batalkan betul-betul macam mana?”
Batalkan? Dia mungkin kecewa, menangis...tapi life must go on. Mungkin jadi kenangan yang paling terkesan dalam hati. Mungkin. “Aku cari yang lain, apa susah.”
Husna tersenyum sinis. “Sudahlah Am...semenjak tiga belas menjak kau pakai cincin tu, kau asyik senyum...muka pun berseri-seri. “
Benarkah? Dia merenung cincin itu. Benarkah kerana cincin itu, bukan...kerana ikatan yng ada pada cincin itu buat di jadi begitu. Karut. Husna sengaja mahu mengusiknya. “Nonsense la kau...”
Dia mengambil tangan Amni, memicitnya kuat-kuat. “Really? Are you that stupid? Pernah tak kau lihat diri kau sendiri dalam cermin? Tengok, pandang betul-betul. Kau betul-betul happy. At least that is what I can see...”
“Woo...kau speaking,Na. Kalah aku,”usiknya galak.
“Cehhh...itu baru speaking, belum aku cakap bahasa Arab, nanti kan kau tak faham.”
Amni ketawa. Senang je nak cucuk si Husna ni. Puji sikit mulalah melalut.
“Am, serius...kalau pernikahan nanti tu betul-betul abang hensem kau tu batalkan, apa kau nak buat?”
“Aku terima,Na. Dia lelaki yang baik. Dia sendiri cakap pada aku, bukannya dia dipaksa, dia buat semua ini atas nama taat dia pada mamanya. Kau tak rasa perkara tu sama ke? Paksa dan taat?”
“Ni, tulah...dulu masa belajar agama tak nak dengan betul-betul. Sibuk bermimpikan Brandon Incibus tu. Dengar baik-baik, dari Firman Alllah SWT dalam surah Luqman ayat ke 14:“Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya ,ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dari awal mengandung sehingga akhir menyusunya dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. Dengan demikian bersyukurlah kepadaKu dan kedua ibu bapamu dan ingatlah kepada Aku lah jua tempat dikembalikan untuk menerima balasan.”
Ternganga dia disitu. Nah kau, kena sedas dengan Ustazah Husna Afifah binti Haji Ripin. Padan muka dia.
“Kau bayangkan, Rasulullah s.a.w pernah ditanya dalam satu hadis oleh Mu’awiyah bin Haidah Al-Qusyairi. Katanya;“Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling patut untuk aku berbuat baik? Rasulullah s.a.w menjawab: Ibu Mu. Kemudian aku bertanya lagi siapa ? Rasulullah s.a.w menjawab: Ibu Mu. Kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah s.a.w menjawab lagi: Ibu Mu . Kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah s.a.w menjawab; Bapa Mu, kemudian orang yang paling hampir dengan mu dan seterusnya” Tengok, berapa kali nabi sebut ibu, tiga kali, tiga kali,Am.”
Haa...kan dah kena kuliah petang dengan si Husna. Amni bertepuk-tangan. “Patutlah la kau boleh jadi ustazah,Na. Gila ah,bukan calang-calang kau.”
Husna menjuihkan bibir. Eleh, saja nak lari tajuk la tu. “Jadi Cik Amni, tindakan Khalid itu bagi aku adalah satu ketaatan. Kalau paksa, no...jauh bezanya.”
“Yelah,yelah...aku faham. Dah, jom balik. Silap hari bulan nanti kau buat kuliah maghrib, siapa nak bayar?”
Ustazah itu ketawa, namun wajahnya kembali serius. “Am, kalau betul-betul batal macam mana?”
Dia terkedu seketika. “Kalau batal bermakna dia bukan jodoh aku.”

No comments:

Post a Comment