Wednesday, 4 October 2017

BAB 1 : LANGIT YANG KU TINGGALKAN





“Kita putus.”
Dia tergelak sambil matanya jatuh pada wajah gadis itu. Marlini nampak sugul. Angin yang tiba-tiba bertiup buat hatinya sebu. Cintanya semudah itukah? Lempar dan terbang jika tak diperlukan lagi? Ayad senyum sinis.
“I baru beli barang-barang untuk bertunang.” Matanya pandang tepat pada wajah mulus itu. Wajah yang diselit kemas dalam hati, dalam ingatan. Kekasih pujaan.
“Babah cakap putus, kita kena putus.” Tegas bunyi suara gadis itu.
Sekali lagi dia ketawa kecil. Kalau babah Marlini cakap terjun bangunan pun kena ikut samalah, kan. Ayad sandarkan tubuh, dongak tengok lagi.
“Yad, you need to do something!”
Pulak.
Tadi bukan cakap nak putus. Kalau mahu putus, putus sajalah.
“Bua tapa lagi? I dah cakap nak meminang you minggu depan, dah sekarang ni you pulak mintak putus. You nak I buat apa sebenarnya, Mar?” Dijongketnya sebelah kening.
“Apa saja!”
Aduh, ketawa dia seketika.
“Nak I jual Jag tu?”
Bulat mata Marlini pandang dia.
“Nak family I jual semua harta benda, macam tu?”
Marlini gigit bibir, gosok pipi berkali-kali.
“Habis tu, you dan papa you nak biarkan CBX Properties Group lingkup macam tu saja?”
Ahhh, itu yang sebenarnya, bukan?
“Kami sedang mencuba, Mar. You ingat senang ke kami nak trace balik duit yang bestfriend babah you gelapkan. You ingat dia main sorok-sorok bawah katil, macam tu?” Sengaja dia tekankan perkataan babah untuk pendengaran Marlini
Ikut hatinya yang panas, babah Marlini dia sembur. Pandai-pandai minta papa si Marlini kenalkan papa dengan Tuan Azam. Jutawan terhormat konon, ambik kau. Ayad urut dahi, lepaskan nafas perlahan-lahan.
“Habis tu, you nak salahkan babah I?”
Ahhh, yang ini dia malas. Perang mulut yang tak berpenghujung. Ayad ambil raybans, sangkut pada wajah.
“You nak pergi mana?” Terkejut Marlini melihat Ayad yang tiba-tiba bangun.
“Balik. Lagipun bukan you cakap kita nak putus ke? Okay, fine. Kita putus. The end, habis cerita.”
Dia buka langkah. Sungguh dia penat. Penat dengan segala dugaan yang datang bertimpa-timpa. Hatinya memujuk menyuruh dia menoleh, dia tetap teguh.
“Ayad!”
Dia tetap tak menoleh. Retak hati seorang lelaki teramat payah untuk bercantum kembali.

Sepi.
Ruang itu sunyi tanpa suara. Meja kayu kesayangan papa diusapnya lembut. Sudah hamper satu jam dia menunggu, bayang papa belum tiba.
“Dah lama along sampai?”
Dia sengih. Jarang papa memanggilnya begitu.
“Lamalah juga. Uzair mana?”
Haji Nasir senyum lembut. Dihenyaknya tubuh ke sofa, bersebelahan dengan Ayad.
“Ada di pejabat SPRM lagi. Papa tak larat nak menunggu lama-lama.” Dis sudah semakin tua, tenaganya mului surut. Pada Ayad dan Uzair saja dia mampu berharap.
“Ayad kena ke Terengganu. Ayad kena pergi dan pantau dari sana, papa tak percayakan orang lain.”
Terpempan dia seketika.
“Kenapa dengan Terengganu?” Berkerut dahinya dengan permintaan papa yang tiba-tiba.
“Tuan Azam gelapkan duit syarikat guna akaun cawangan kita di Terengganu. Ayad kena pergi sana. Bawa Lay sekali untuk pantau dan trace balik akaun.”
Dia tepuk dahi. Begitu rupanya. Wajah keruh papa buat hatinya terusik. Berat benarkah kali ini dugaannya?
“Mar minta putus, jadi rancangan Yad nak meminang dia dia minggu depan dah tak jadilah kot.”
Allah.
Haji Nasir urut dada. Terasa sebak namun dia gagahkan untuk larikkan senyum.
“Along tak apa-apa?”
Ayad ketawa besar. Dia? Baik-baik saja. Retak hatinya jangan dilaung pada dunia, malu. Dia lelaki, lelaki harus kuat.
“Baik dia putus sekarang, pa. Kalau jadi lepas kahwin, lagi sakit kepala. Biarlah, mungkin Yad dah tak mampu untuk jadi calon suami yang serba lengkap untuk dia.”
Haji Nasir tepuk lutut Ayad perlahan-lahan. “People generally see what they look for, hear what they listen for.”
“Maksud papa?”
“Learn, my boy. Learn how to be a man.”
Dia senyum, peluk papa erat-erat. Hati lelakinya sarat dengan serbu perasaan. Berpisah dengan Marlini langsung tidak seperti ini.
“She doesn’t deserve you, my boy.”
Dia angguk. Kalau Marlini mahu pergi, pergilah. Dia mahu berbakti untu papa dan keluarga.
“Bila Ayad kena pergi, pa?”
Secepat mungkin. Lay pun dah tahu, dia dah stand by. Rumah singgah ada papa sediakan. Alamatnya ada dengan Lay. Tak apa, jangan rushing. Tunggulah seminggu lagi.”
Dia geleng.
“Lusa Ayad pergi. Kita kena selesaikan hal ni secepat mungkin.”
Haji Nasir angguk, tepuk bahu Ayad dalam sebak.
“Maafkan papa, Yad. Papa betul-betul menyusahkan Ayad sekarang. Papa dah susahkan semua.”
Sekali lagi dia geleng. Dia genggam tangan papanya seerat mungkin.
“Allah sedang menguji kita, pa.We gonna make it, believe me.”

“Sini kau.”
Terkulat-kulat si pelajar untuk datang, heret kaki mengadap dia. Ewahhh, senang hati nampak.
“Apasal baju kat luar? Rambut pun panjang? Mu nak cikgu potong ke dengan sabit ke?” Mendidih pula dia melihat budak-budak sekolah zaman sekarang. Tonyoh kepala kat jalan tar ni karang masuk suratkhabar pula. Sabar, Lia, sabar.
“Rileks ah, cikgu. Panas ni.”
Menjawab pulak si malaun ni. Mahu makan karate dengan dia.
“Panas?”
Sengih dan angguk.
“Kalau panas, mari cikgu kasi lagi panas. Apa kata kau pergi berdiri kat tengah-tengah tapak perhimpunan tu, kau berjemur kat situ. Pergilah, pergi sekarang.”
Cepat-cepat pekajar lelaki itu masukkan baju uniform ke dalam. Tegak berdiri macam tiang bendera.
“Sorry, cikgu.”
Sorry naik lorilah wei! Sorrylah sangat. Esok buat lagi, dia bagi je.
“Jumpa dengan cikgu lagi macam ni, kau jalan itik tengah panas, faham?!”
Angguk, mencirit larinya.
Terdengar dia ketawa menyapa telinga. Bergegar sekejap.
“Kau jangan bukan-bukan Lia oiii…nanti ada parents saman kau baru melongo.”
Dah agak dah, mesti Shidah punya ketawa kalau sampai bergegar sekolah. Dia toleh, angkat penumbuk.
“Mak bapak macam tu elok aku saman balik. Buatlah.”
Sekali lagi ketawa Shidah bergegar. Tuannya kecik saja, apasal ketawa macam gergasi. Pelik dia.
“Kau apasal yang salty bebenor pagi ni? Putus kasih dengan lelaki pujaan?”
Binawe punya kawan. Dahlia cubit lengan Shidah kuat-kuat. Menggeliat rakannya itu.
“Sakit la wei!”
“Sakit lagi hati aku tak!”
“Hai ladies.”
Tiba-tiba saja diam.
Shidah sigung dia, mujur tak tersembam di lantai aspal. Memang binawe kepala banana betul.
“Good morning, Arman.”
“Good morning, teacher Shidah. Hai, Lia.”
Panjangnya umur lelaki ini. Baru dua saat melintas dalam hati terus terpacak depan mata. Hebat. Sila tepuk tangan ramai-ramai.
“Waalaikumussalam. Jalanlah dulu, kami nak mengumpat,” balasnya selamba. Shidah dia lihat sudah ternganga. Hah, ngangalah biar masuk lalat.
Ketawa besar si Arman. Pelajar-pelajar perempuan yang berjalan di hadapan mereka mula tertoleh-toleh. Nak buat macam mana, muka hensem si Arman memang pujaan satu sekolah. Bukan dia, huihhh…langsung tak kena dengan taste dia. Hensem tapi ramai sangat peminat. Buat sakit kepala adalah.
“Mengumpat saya ke?”
Kali ini tiga kepala itu menoleh serentak. Dah bila pula puan pengetua ada berjalan kat belakang mereka ni. Nasib baik tak sempat kutuk maki sana sini.
“Assalamualaikum, puan.”
Hajah Sazlinda senyum lebar, jawab salam dan berlalu pergi.
“Loceng dah lama bunyi ya, masa tu amanah ya cikgu-cikgu.”
Ambik kau, kena sebiji depan muka. Dahlia tahan gelak. Apa lagi, macam lipas kudung mereka buka langkah.

Ruang duplex itu dia tenung lama-lama. Sudah bukan rezekinya, tiada apa yang perlu dia kesalkan. Papa memang melarang dia jual kondo duplex ini, tapi biarlah. Lagipun rumah papa sudah cukup besar untuk mereka semua.
“Mithra, ini kad kunci. I dah ambil semua barang tapi kalau ada yang tertinggal, bolah tak yang tinggalkan di management office.”
Gadis itu senyum, angguk. “Dah you tak tinggal sini lagilah?”
Dia angguk, kenyit sebelah mata.
“Yang datang nanti lagi hensem tau, Mit.”
Mengekek gadis itu ketawa. “Hensem tu bonus, kalau baik hati macam you lagi I suka.”
Ayad lemparkan sengih. “Okaylah, take care. See you around.”
Bila dia buka langkah.sekali lagi dia toleh. Tak mengapalah, selama ini dia sudah merasa bagaimana hidup dalam serba ada,apa salahnya dia mulakan kembali. EXXO Global akan dia bangunkan kembali dengan papa dan Uzair.

Dahi mama dikucupnya lembut.
“Uncle!”
Lebar sahaja bukaan tangannya menyambut Izraa yang tiba-tiba datang. Diciumnya si kecil itu sehingga tergelak riang.
“Mana abi?”
Izraa sangkut tangannya pada leher Ayad, cium pipi Ayad penuh kasih sayang.
“Abi keluar, marah Rara.”
Dia ketawa lagi.
“Ummi?”
“Sleep.”
“Kenapa abi marah?” soalnya lembut. Diusapnya kepala Izraa berhati-hati.
“Rara tarik ekor Leo.”
Ahhh, patut pun. Leo kucing kesayangan Uzair. Pantang orang lain usik, marahlah dia. Hai, dengan anak sendiri pun marah ke?
“Nanti Leo gigit Rara, sebab itu abi marah.”
Geleng berkali-kali.
“Abi jahat.”
Habislah kau Uzair, merajuk takpasal-pasal si kecil ni.
“Uncle?”
“Uncle hensem, sayang uncle. Nak doll.”
Hah ambik kau, itu yang sebenarnya.Tergelak besar dia.
“Uncle tu taka da bini, Rara. Mintak je apa Rara nak, biar uncle belikan.”
Perghhh, panas telinga dia sekejap. Dia jeling mama yang mula terpisat-pisat bangun.
“Ingatkan tidur.”
Hajah Maya menggeliat. Dia cebikkan bibir. Diraihnya cucu nan seorang ke ribaan. Menggelekek Izraa ketawa.
“Macam mana nak tidur, susah hati pasal kamulah.”
Ayad sengih, bersandar dalam keluhan. Wajah suram mama buat dia serba salah. Dia tahu mama runsing, susah hati.
“Mama susah hati pasal syarikat?”
Hajah Maya geleng, capai tangan Ayad.
“Syarikat? Tak, mama runsing pasal Along. Mama dah lama hidup dalam susah dan senang, kalau Allah nak tarik balik pun, mama redha. Kita masih ada rumah dan mama masih ada papa, kamu semua.”
Dia cium tangan mamanya lembut. Mama hatinya kental namun lembut. Kadang-kadang nampak tegas namun kalau kena caranya mama cair dengan pujukan.
“Tak payah risaukan Ayad, ma. Dah besar panjang pun, hensem lagi tu.”
Geram pula “Habis tu kenapa Marlini nak putuskan pertunangan?”
Dia pejamkan mata. Sudah dia agak, inilah isu sebenar yang mama mahu bincangkan. “Mana mama tahu?”
“Ulfah.”
Tu dia, adik dia yang menetap di UK sekarang pun lebih pantas sampai beritanya. “Mana Ulfah tahu?”
Hajah Maya cubit lengan anak itu. Menyengih Ayad pandang dia.
“Babahnya yang mahu kamu putus?”
Angguk tidak, geleng pun tidak. “Mar dah dewasa,ma. Kalau babahnya suruh putus sekalipun, dia sendiri boleh buat keputusan. Orang tak hendak, takkan Ayad nak terkejar-kejar. It’s not my style.”
Wajah Ayad yang ceria dia pandang lama.
“Kamu tak sayang dia?”
Eh, apa punya soalan mama bagi ni? Tegaru-garu dia sambil tersenyum lebar.
“Kalau sayang pun orang tak mahu buat apa, ma.” Ditepuknya punggung Izraa yang tadi lena disebelahnya. Jadi budak-budak lagi senang hati kot, tidur, makan dengan main saja. Bahagia hidup.
“Lusa Ayad naik Terengganu, pantau cawangan sana.”
Pandai saja anak ini mengalih tajuk. Dia cubit sekali lagi lengan Ayad. Biasa tu. “kita bincang hal lain, kan?”
Mengaduh dia. Macam mak ketam naik angin.
“Kenapa mama tak tanya je Datin Siti Fatimah tu? Bukan mama Marlini tu kawan baik mama ke? Tanyalah dia kenapa, bagaimana dan mengapa? Tanya Ayad buat apa, bukan Ayad yang putuskan.” Sengaja dia tekankan nama mama Marlini, merangkapkawan baik mamanya.
“Itu dulu, waktu senang.Waktu susah siapalah yang nak mengaku kawan, Ayad.”
Hah! Dapat pun jawapannya kan. Ayad bangun perlahan-lahan, bimbang Izraa tersedar dari lena. “Macam itu juga dengan Marlini, ma.”
Hajah Maya gigit bibir, sayu pandangannya melihat batang tubuh Ayad. Bersabarlah hai anak, sesungguhnya Allah menguji orang yang Dia kasihi.

“Lia dah sarapan?”
Huuih, nasib baik dia tak melatah kea pa tadi. Janganlah main-main serang hendap macam gitu, lemah jantung dia kejap.
“Alhamdulillah, dah. Singgah café akak tadi sebelum datang sini.” Arman dia lihat senyum manis. Inilah yang dikatakan tall, dark and handsome tu. Mahu dia tergelak dalam hati. Entah berapa ramai sudah hati yang dipatah-patahkan si tall, dark and handsome sebelah dia ini.
“Cikgu,masa PJ ni, cepatlah.”
Sekali lagi mahu dia tergelak.Dua pelajar perempuan dengan muka kelat ada di hadapan mereka, berpeluk tubuh pandang dia dan Arman. Apa? Budak-budak ni ingat dia heran sangat ke dengan si Arman ni, tolonglah.
“Ya, pergilah beratur, buat warming up. Cikgu nak pergi padang juga ni pun.nak mengorat Cikgu Dahlia pun tak senang awak semua ni.”
Eh sedapnya mulut. Nak kereta dia kena calar ke? Budak-budak sekarang bukan boleh main oiii, muka macam bidadari belum tentu perangai macam malaikat. Nampak lagi kelat dua pelajar perempuan dihadapannya. Huh, underwear mak bapak belikan pun dah pandai jeling cikgu. Dahlia senyum lebar.
“Jangan nak mengada-ngada ya, saya dah ada pakwe pun. Ni, ambik cikgu awak heret pergi padang. Jeling apa jeling, nak rasa junjung buku tengah panas?”
Cepat-cepat dua pelajar itu geleng kepala. Hairan dia, kalau zaman dia sekolah dulu, nak angkat muka bertentang mata dengan cikgu pun segan. Sekarang? Silap haribulan dia kena maki dalam social media. Dahsyat.
“Betul cikgu dah ada pakwe?”
Ke situ pulak. Dah dia cakap tu iakan saja sudahlah. Banyak soal. Cepat-cepat Dahlia buka langkah. Lagi dilayan, lagi panjang ceritanya.
“Lia, nanti rehat sekali ya.”
Ishhh, dia seligi juga si Arman ni karang.

Berpeluh juga dia dan Lay memilih fail mana yang mahu dibawa. Boleh tahan berpinar matanya mengadap iMac. Mujurlah Lay memang kaki computer, semua benda dia tahu. Tak sia-sia jadi orang kanan dia.
“Lay, kau okay ke ikut aku pergi Terengganu ni?”
Pemuda cina itu tersengih namun matanya masih terpaku pada screen iMac.
“No hal. Lagipun kau memang boss aku, mana kau pergi, aku follow.”
“Tu bodyguard, kau IT konsultan merangkap pegawai akaun paling hensem kat sini. Menangislag semua awek kau kat ofis ni. Mahu meraung-raung kau taka da,” usiknya dalam gelak. Lay memang ada rupa. Kulitnya taklah putih sangat tapi memang kemas dan kacak. Kalau sekali pandang, memang boleh jadi artis kot.
“Kau pun sama la, Yad. Cakap aku buat apa, aku kuli je pun. Kau boss lainlah, awek beratur ,bro.”
Ayad ketawa kuat-kuat. “Dulu, sekarang ni bila company dah berantakan, awek pun lari, Lay.”
“Tu bukan awek, tu Pontianak. Tau hisap darah dengan duit je.”
Sekali lagi dia ketawa. Jangan main-main dengan si Lay ni, mulut macam mesin gun. Sekali senyum manis, sekali dia marah, tersungkur.
“Janice macam mana, dia marah tak kau ikut aku?”
Pantas saja tangannya mengetik itu dan ini.
“Janice? Mana ada Janice lagi, Yad. Dia dah ada baobei baru, lagi tebal poket tau.”
La, patut pun keruh saja air muka si Lay sehari dua ni, sama nasib rupanya.
“Perempuan memang macam tu ya, Yad? Masa susah semua lari.”
Ayad tarik nafas dalam-dalam. “Entah, aku pun takt ahu nak cakap apa. Memang lumrah kot. Dia sandarkan kepala pada dinding, terbayang wajah Marlini yang manis tersenyum. Bunyi ketukan pada pintu buat mereka berpandangan.
“Boss, Cik Marlini ada kat luar.”
Lay pandang dia, tersengih sambil angkat ibu jari.

“Habis tu you pergilah?”
Masih lagi dia diam. Kopi panas itu masih berasap nipis di hadapan mata. Renungan Marlini dia abaikan seketika.
“Yad, Mar tanya ni.” Rusuh bunyinya suara gadis itu.
Ayad angkat wajah, tenung Marlini penuh tanda tanya. Bukan ke mereka dah putus, apa lagi yang gadis ini mahu sibukkan.
“Kalau ya, kenapa? Bukan antara kita dah kosong, zero?” Pelik dia.
Diketapnya bibir berkali-kali. Riak serius Ayad buat dia serba salah.
“I masih sayangkan you, Yad.”
Okay, kalau dia lontarkan ketawa kuat-kuat pun tak apa, kan. Funny. Boleh buat sketsa drama kot. Matanya berpaut, cuba mencari jawapan di sebalik kata-kata itu. Percayalah, dia lelaki. Dengan mama dia boleh tersenyum, mengakui hatinya biasa-biasa saja. Aduh, mana mungkin. Renyuk, relai dan rebah hati lelakinya yang satu ini. Dia masih lagi manusia. Titik.
“Damn, you are joking, right?” Rendah nada suaranya melempar kata.
“I am, Yad. Tapi…”
There, there…ada tapi.
“Tapi babah berkeras mintak you putuskan juga demi masa depan you dan cari lelaki yang lebih baik untuk jamin kebahagiaan you sampai ke anak cucu, tak gitu?”
Terdiam dia tanpa kata. Wajah ayad yang serius memandangnya buat dia sedikit gentar. Sungguh, selama hamper tiga tahun dia bersama Ayad, lelaki ini sentiasa letak di tempat paling tinggi, teratas dalam carta hatinya.
“Jangan buat I serba salah, Yad. You tahu bagaimana I sayangkan you. But, sebagai anak, I kena ikut apa yang babah dan mama I mahu.”
Jarinya menolak rambut, merenung langit beberapa ketika sambil melepasakan nafas. Sungguh dia pelik. Ayad tolak senyum.
“Habis tu, apa yang you nak sebenarnya, Mar?”
“I need you to make things right! Baiki semua ni, kembali pada asal, suasah sangat ke,” tuturnya geram.
Mudah untuk bercakap bila yang terjadi bukan pada diri sendiri. “Habis tu you ingat I buat apa, goyang kaki?”
Ayad berang. Dia pasti kerna nada suara lelaki itu bertukar keras. Marlini tarik nafas dalam-dalam, tenangkan diri.
“Bukan macam tu, you paham tak apa yang I nak cakap ni. I still love you, Yad. Just you know, you kena pulihkan keadaan dan all gonna end well for all.”
Penat, dia penat dengan semua ini.
“Kalau macam tu, I gerak dulu. Banyak benda yang I nak kena baiki, kena pulihkan untuk dapat kembali tempat I macam dulu. Sementara kosong, apa kata you cari calon yang sepadan, boleh?”
Pantas dia bangun, cuba meraih lengan Ayad namun lelaki itu terus berlalu. Damn you, Ayad. Come back here!

Hari cuti memang seronok. Paling best lepas solat subuh dia kembali sambung membuta. Tak perlu berkejar-kejar ke bilik air, hidupkan enjin kereta atau masauk kerja. Ahhh, heaven.
“Aunty mama cakap bangun jangan tidur sampai tengahari nanti tak kahwin!”
Adoi, macam mana dia boleh lupa kuncikan pintu ni.dahlia tepuk dahi beberapa kali. Habislah dia kali ni.
“Aunty!!!”
Ya Allah, boleh cair tahi telinga dengan si Anggerik kalau macam ni.Hairan dia, muka cute  amat, suara macam bapak Godzila, bergegar satu rumah.
“Get out, main jauh-jauh, baby. Aunty nak tidur ni…” Dikuisnya Anggerik di hujung katil. Jangan tergolek jatuh ke bawah sudah, patah riuk anak kakaknya, mahu dengan dia sekali kena patah-patahkan sekali.
“Eee…busuk. Tak gosok gigi.”
Dahlia buat tuli, sengajalah tu nak suruh dia marah. Taktik lapuk la weiii…
“Baby, mama panggil.”
Anggerik diam sebentar, terkebil-kebil dia. “Taka da pun.”
“Baby!”
Dahlia gulingkan mata. “Habis tu, siapa panggil baby tu, hantu?”
Anggerik jelirkan lidah, cepat-cepat berlari.
Dia? Lagi laju dari anggerik lompat dari katil dan kuncikan pintu. Yahuuu, dia mahu sambung tidur!
Bunyi pintu biliknya ditepuk kuat buat Dahlia mahu menjerit. Apa lagi ni…
“Apa?!”
“Mama cakap kalau tak bangun mandi, baik masuk kubur!”
Binawe betul. Yalah, yalah dia bangunlah ni.

Dia seronok di sini. Angin dari pantai tak jauh dari café ini buat matanya diulit kantuk. Hari ini penuh café milik abang ipar dan kakaknya jadi tumpuan, biasalah hari cuti. Pagi-pagi lagi dia, Jijoe, Ema dan Tina berpeluh sakan. Danny yang bancuh air pun boleh mengeluh penat. Nasiblah, rezeki jangan ditolak.
“Kau tunggu putera idaman jatuh dari atap ke apa?’
Siutlah kawan macam ni. Mengekek-ngekek mereka ketawa. “Bila kau sampai?”
Shidah suap kuih kasturiyang masih lagi berbaki di tangan. Sedap, macam air tangan mak dia. Kacangnya tak manis sangat, ngam-ngam.
“Aku dah siap melahap laksam semangkuk, kau punyalah berangan sampai tak sedar aku sampai ya, Lia.”
Ditunjalnya kepala Shidah, tunjal-tunjal manja. Minah senget ni mana tahu malu.
“Cakap nak jogging, membedal bukan main banyak.”
“Nak bersenam kenalah ada tenaga, kawan. Nanti belum separuh jalan dah pengsan, langsung aku panggil ambulan.”
Menceceh banyak. Dahlia bangun, buat sedikit regangan. Sempat dia menjenguk ke dalam café, pelanggan sudah surut. Bolehlah dia dan Shidah teruskan rancangan mereka untuk berjogging.
“Cepatlah, nanti panas kau jugak merungut.” Lengan Shidah ditariknya lembut. Ternganga-nganga si Shidah mahu menyuap baki kuih.
“Kalau ya pun tunggulah kejap, kau nak aku mati tercekik ke wei?!”
Dahlia ketawa. Hai hidup, kalaulah hari-hari dapat ketawa begini, dia pasti bahagia.

Menyelusuri jalan yang sedikit lengang umpama satu perkara yang luar biasa bagi manusia seperti dia. Kesesakan lalu lintas umpama satu dongeng tatkala keretanya mula membelah jalanraya di Terengganu. Sibuk tapi jauh bezanya dengan Kuala Lumpur. Padat memanglah tapi bukan sesak macam sardine kena sumbat. Lay sudah lama lelap. Superbike pemuda cina ini ada bersama lori yang mengangkut barang-barang mereka yang jauh di hadapan. Selepas subuh tadi mereka bertolak, sekarang hampir jam sebelas pagi.
“Lay, dah sampai ni.”
Membebel Lay dengan mata yang masih tertutup. Mangantuk lagilah tu. Kata papa, rumah singgah di Terengganu ini serba lengkap. Cuma perlu bawa baju pakai dan barangan peribadi yang dirasakan perlu sahaja. Dia bukan kisah sangat, asal ada sudah cukup.
“Lei Jun, we are here.” Sengaja dia panggil nama sebenar sahabatnya itu.
Ternganga, mujur tak masuk lalat. Jaguar XE merahnya sudah dia jual. Biarpun dia sayang kereta itu, cukuplah dengan Honda CR-V baru ini untuk kegunaanya. Silap haribulan dia pakai motor terus.
“Dah sampai ke? Aku laparlah, bro.”
Ayad senyum. Memang pun, dia pun lapar. Berhentinya Cuma sekali sepanjang perjalanan, inipun dia dan Lay makan roti bakar sahaja tadi.
“Tak apa, sampai nanti kita tunggu dorang siap kemaskan barang, aku call pizza. Malam kita cari nasi.”
Ke langit ibu jari si Lay. Makan banyak, badan tak gemuk-gemuk. Baguslah, malas dia nak masuk gim. Jogging lagi seronok. Keretanya membelok ke kiri, perlahan-lahan menyusur laluan kea rah deretan rumah ters dua tingkat. Cantik, damai. Hujung jalan sana pantai memutih terhampar indah. Nice view.
“Wow, dekat dengan pantai. I like it. Petang-petang boleh aku memancing.”
Mahu tergelak dia. “Kau, memancing?”
Lay angguk, jongket kening. “Kenapa, tak percaya? Kau ingat aku larat nak mengadap lappy sepanjang hari, boleh biol, bro. Mata ni, kena rehat. Tengok benda yang cantik-cantik. Pantai cantik, langit cantik, perempuan cantik…”

Huh, memang. Semua nak cantik. Pandailah kau. Perlahan-lahan dia tekan brek. Alhamdulillah, sampai akhirnya. Semoga semuanya baik-baik saja.

No comments:

Post a Comment