Wednesday, 15 March 2017

BAB 5 Cik Reen dan En. Ngok Ngek...sila, sila, sila baca...

BAB 5

Dia hanya mampu diam. Bilik yang luas serta berhias indah itu dipandangnya sepi. Azreen gigit bibir. Memang, semua wanita impikan sebuah perkahwinan, seindah dan sehebat apa yang dilaluinya. Masalahnya sekarang, ikatan ini palsu! Dia tunduk, usap cincin berlian yang bersinar dalam cahaya. Kosong, tiada makna. Azreen bangun, mengintai dari luar tingkap. Pulang dari dewan, dia terus ke bilik. Banglo milik keluarga Harris masih tak putus dengan tetamu yang mungkin tak berkesempatan untuk ke dewan sewaktu resepsi siang tadi. Pintu bilik itu diketuk perlahan-lahan.
“Boleh ummi masuk?”
Cepat-cepat dia bangun, menyambut ibu mertuanya. Tangan ummi disalamnya lama. Perlahan ummi menariknya duduk di sofa. Hajah Jawaher genggam tangan mulus itu lama.
“Reen macam mana?”
Dia kelu. Mahu berterus-terang atau menipu? Tangan ummi digenggamnya kemas.
“Reen okay. Cuma…Reen bimbangkan Har, mi.”
Sememangnya dia bimbangkan Harris. Sepatah pun tiada diucapkan Harris selepas majlis akad nikah. Cuma waktu makan beradab saja mereka ‘konon’ berbual, mengambil hati. Sewaktu bersanding, mereka hanya biasakan diri dengan tersenyum, palsu namun meyakinkan. Mujur juga ada pengapit kecil, Nadrah dan Anum yang menceriakan suasana, dapat juga dia tersenyum di singgahsana. Ramai yang terkejut dengan apa yang berlaku, namun dia pasti segalanya berjalan dengan lancar. Maruah keluarga mereka perlu dijaga. Tunggu bila Izyan dan Iqram kembali, tahulah dia lenyek dua manusia itu jadi lempeng. Kembali? Maksudnya, bila Izyan dan Iqram kembali, dia dan Harris juga sepatutnya berpisah, bukan?
Hajah Jawaher diam, elus tangan itu lembut. Dia tahu, Azreen gadis yang baik, bertimbang rasa. Kalau tidak, masakan pengorbanan sebegini besar sanggup dia lalui. Dia tahu Azreen pastinya juga bimbang, resah. Harris? Masih membisu, diam tanpa kata di ruang tamu. Sesekali tersenyum tanpa cahaya di mata.
“Har baik-baik saja. Dia anak yang baik, yang taat. Reen jangan risau, nanti ummi bincang dengan Har.” Bincang? Entahlah. Mahu ke Harris berbincang? Biarlah dia fikirkan perkara kemudian. Dia perlu tenangkan Azreen dahulu.
“Bila Yan dan Q dah balik, dah jumpa, Reen rasa Reen dengan Har boleh berpisah kan, ummi?” soalnya dalam gentar. Wajah terkejut ummi ditenungnya hiba.
Ya Allah…kenapa ke situ pula jadinya.
“Apa Reen cakap ni? Kenapa nak berpisah? Reen dan Har dah jadi suami isteri, apa kata Reen cuba kenali dia. Har anak yang baik. Sesungguhnya dia bertuah dapat Reen sebagai isteri. Ummi pun berbesar hati.” Sebak tuturnya dilagukan. Hatinya terusik dengan kata-kata itu.
Azreen senyum dalam titis air mata. “Bukan Reen yang dia cinta, mi. Cinta tak boleh dipaksa, mi…”
Hajah Jawaher senyum, cium pipi Azreen lama-lama. “Memang cinta tak boleh dipaksa, tapi boleh dipupuk, boleh dibaja. Percayalah, anak ummi mungkin tidak kenal Reen. Pasti satu hari nanti, Reen dia jadikan isteri paling bahagia.”
“Tak mungkin. Harris sudah ada Zaza.” Keras suara itu buat mereka menoleh.
“Har…”
“Mi…kami tak kenal antara satu sama lain pun. Apa yang kami berdua lakukan, hanya untuk selamatkan maruah keluarga kita, keluarga mereka. Har nikahi dia demi kita semua. Har nak ceraikan dia sekarang juga!”
“Harris Zakuan!”
Mencacang umminya bangun, terkejut dia. Nasib baik dia tidak terjelepuk di lantai. Fuhhh…ummi kalau marah boleh bertukar jadi Godzilla. Dia telan liur namun tetap teguh berdiri.
Turun naik nafasnya. Kalau tidak kerana menantunya yang bulat memandang, ditonyohnya muka anak itu ke lantai marmar.
“Baik. Kamu berdua nak bercerai sangat, kan? Bila kita dah jumpa si Q dan Yan, bila mereka berdua tu dah selamat, ada depan mata kita semua, dah diijab kabulkan, masa tu ummi izinkan kamu bercerai. Faham?!”
Sekali lagi dia telan liur.
“Kalau dua budak gila tu tak balik-balik?”
Hajah Jawaher cekak pinggang, ukir senyuman paling ngeri. “Kamu jadilah laki bini sampai mati.”
Harris terduduk, garu kepala tanpa kata.

Nasib baik katil ini king size. Luas untuk mereka berdua. Bantal golek, bantal-bantal lain semuanya dilambak ditengah-tengah katil, umpama tembok.
“Nak pergi mana?”
Azreen hentikan langkah. Tak nampak ke aku pakai kain batik dengan t-shirt ni? Tuala pun ada siap sangkut atas kepala. Buta ke?
“Beli ikan.” Nah, puas hati?
“Tu, dalam almari tu, ada bathrobe. Cuba jangan kolot sangat dengan kain batik nenek kau tu.” Aduh, minah ni kampung mari ke? Bukan anak jati Kuala Lumpur macam dia ke? Dah kain batik bagai, macam orang kampung sesat.
“Tak payah. Saya selesa macam ni. Lagipun nak mandi nanti bukannya nak pakai apa pun, tak payah pakai apa-apa, kan?” soalnya kembali, sinis. Lantak dia la wei nak pakai kain batik ke kain pelekat. Lesing dua tiga das bagus juga. Kan nusyuz pula.
Hadeehhh…perlukah dia jentik telinga isterinya itu? Sengaja goda dia ke? Sorry naik LRT, dia tak tergoda! Harris geleng kepala. Karang kalau dia serbu masuk dalam bilik air tu nanti kecoh pula jadinya. Dibuatnya minah naga tu ada teakwando ke apa, mahu patah berlipat kot dia. Nak tangankan anak orang, walaupun dah jadi isteri dia. Haishhh…gangguan jiwa! Dia pejamkan mata.
Aduh mak…mahu gugur jantung daku weiii! Macam mana dia boleh cakap yang bukan-bukan depan si ngok ngek tu tadi. Apakah dia sudah bebal atau kebodohannya datang bagai halilintar…muahahaha…sengetnya dia!!! Terduduk juga dia di lantar kamar mandi itu. Jantungnya masih laju berkompang. Oit, tak penat ke berdegup laju-laju, cuba cool down sikit. Macam tu pun dah kecoh, pigidahhh…fuhhh…
Azreen bangun, kunci pintu kamar mandi perlahan-lahan. Huishhh…precaution kena ambik, babe. Dibuatnya encik ngok ngek tu tiba-tiba serbu masuk, sengaja mahu dajalkan dia ke apa, menangis karang dia. Ni bilik air ke taman? Siap ada bathtub, langsir bagai. Lantar marmar putih dan kelabu itu walaupun kering tetap sejuk dikakinya. Rumah dia pun ada juga bilik air, tapi bukan macam gini rupanya. Biasa-biasa saja. Ini bilik air pun macam menginap bilik hotel berbintang-bintang, buntang biji mata dibuatnya. Mandi sajalah. Lama-lama nanti dia tidur pula kat sini. Lagi naya.
Harris buka mata. Memang tak silap telinganya mendengar, bukan? Minah naga tu mandi sambil menyanyi ke? Dia bangun, dekatkan diri dengan pintu kamar mandi. Serius, minah naga tengah menyanyi. Paling serius, suara dia sedap. Macam aiskrim. Dia menyandar pada pintu, tergelak sorang-sorang sambal menadah telinga.
“Opah kau!”
Allah…nasib tak tergolek dia di situ. Dahlah pakai kain pelikat saja, terselak depan si Azreen ni mahu biru muka. Cepat-cepat dia tegakkan badan, pandang siling.
“Awak buat apa kat sini, skodeng saya ke?!” Ini sudah lebih. Dia seligi tulang rusuk si gila ni. Pandang siling konon. Auta naik unta lah wei!
“Skodeng? Hello cik adik, pintu bilik air ni, pintu cengal kalis air tau. Kau ingat nampak ke kalau aku skodeng kau? Dan satu lagi, aku tak hadap la nak skodeng-skodeng ni. Kalau aku nak sesiapa pun, aku petik jari je, paham?”
Amboi…mulut. Cili padi mau?
“Petik jari? Cuba petik nak tengok.” Dia tenung mata Harris, sambal senyum sinis. Apa…ingat dia takut ke?
Entah kenapa, mungkin sebab dia bodoh, ataupun ego dia tinggi benar waktu itu, dia petik jari. Bukan sekali, siap berkali-kali.
Azreen juihkan bibir, jalan melenggang. Dia toleh, beri senyuman paling manis. “Mana, mana? Dah petik jari, kan? Tak ada sesiapa pun datang. Cehhhh…”
Terkedu dia. Adoiiiii…kenapalah dia setuju pergi kawin dengan perempuan gila ni!!!

Sejuknya. Siapa buka aircond kuat sangat ni? Dah macam kat kutub utara. Dia tarik selimut, aik…mana pergi selimut tadi. Dia hulurkan tangan sekali lagi. Oh my cat! Azreen buka mata. Patut pun sejuk, selimut itu semua masuk sempadan sebelah. Yang orang sebelah pula tidur tak berbaju ni apahal. Dia telan liur. Tutup mata, buka balik. Tutup muka, tengok di balik jemari. Gulp. Seksi juga suaminya. Ada otot cantik gitu kat dada dan perut. Tak makan nasi ke dia ni? Azreen Che Azhan, tutup mata kamu. Sila jangan miang merenyam di katil ini. Dia ketawa dalam diam. Perlahan dia tarik selimut. Perlahan dan berhati-hati.
“Hmmm…mmmm…”
Haipppp! Nasib dia tak melompat buka silat. Kaku serasa sepasang tangannya. Harris berkalih tidur, mengadap ke arahnya. Dia garu kepala. Tangannya dilayangkan dihadapan muka suaminya itu. Nasib baik ada bantal golek.
Diam.
Bagus.
Kali ini dia cuba lagi, tarik selimut itu perlahan-lahan. Fuhhh…lega. Dia baring, cuba pejamkan mata. Hembusan nafas Harris terasa hampir di wajah. Dia buka mata. Perlahan menarik bantal golek hingga terlindung wajahnya. Azreen lebarkan senyum. Marvelous. Macam ni barulah lena.

Bisingnya. Bunyi alarm clock siapa tu? Aduhhhh…bingit! Dia angkat bantal tutup kepala. Nak tidur pun tak senang. Bunyi itu tiba-tiba diam. Perlahan dia angkat kelopak mata yang masih layu.
“Ni…bangun, solat subuh. Nak masuk neraka ke?”
Macam spring dia mencacang bangun. Tercampak bantal itu ke lantai.
Terbatuk dia cuba menahan tawa. Tu dia…macam askar taat setia. Bangun mencacang terus atas katil. Rugi tak ambil gambar, tayang kat facebook. Kihkihkih…
Adoiii…main neraka pulak.
“Ni pompuan, kejutkan aku baik-baik boleh tak?” Dijegilnya mata kepada Azreen yang siap bertelekung. Macam nak pergi umrah. Tapi…mulusnya kulit. Mata yang galak itu merenungnya penuh amarah. Bibir itu, merah dan mekar tanpa secalit gincu. Cantik, segar. Lain dari yang lain. Apa yang dia merapu ni!? Dia tarik muka. Kontrol, kontrol.
“Ni encik suami…saya dah kejutkan awak lebih lima kali tau. Alarm clock kat telinga awak tu pun dah tiga kali menyanyi. Dah namanya tidur macam batang kayu, memang kayulah…”
Dia lompat ke lantai. “Sape kayu…?”
Azreen cekak pinggang. “Awak lah!” Buntang matanya melihat Harris yang tidak berbaju itu kian hampir padanya. Dekatlah, aku sepak kelangkang kau. Cubalah!
Tak boleh jadi ni, dia cium juga si Azreen ni karang. “Mata awak rabun ke, Cik Azreen?” soalnya lembut. Langkahnya perlahan, menghampiri Azreen yang kian mengundur dan akhirnya tersandar pada dinding.
Ibu!!! Tengok orang gila nih!
“Jauhlah. Ada air sembahyang, bodoh!”
Dia menyeringai, dekatkan diri perlahan-lahan, kepung Azreen dengan sepasang tangannya. Sengaja dia denguskan nafas ke muka isterinya itu.
“Mulut busuk tak gosok gigi! Tepilah!”
Azreen pejamkan mata, palingkan wajah ke tepi. Dia dengar Harris ketawa kecil.
“Awak dah solat, sayang…”
Sayang? Berbulu telinga wei…
Dia palingkan wajah. “Saya dah mandi, saya dah solat, saya siap kentut lagi. Puas hati?” soalnya geram.
Dia menyeringai lagi. “Tadi cakap ada wudhu’. Dah kentut mana ada wudhu’.” Dia dekatkan wajah, sejengkal cuma jaraknya.
Kali ini Azreen yang tersenyum lebar. “Baru je saya kentut, tak bau ke?”
Hilang senyuman diwajahnya. Kembang kempis hidungnya. Pantas dia berundur, cabut lari ke kamar mandi. Gila. Perempuan ni memang gila!
Fuhhh…lega. Azreen duduk di lantai. Hai kentut, terima kasih selamatkan aku. Dia gelak. Mula-mula perlahan, namun kian kuat dan semakin kuat. Padan muka kau, ngok ngek!

Sopan amat. Cantik pula si naga ni pagi ini bila siap berbaju kurung. Sewaktu sampai di meja untuk sarapan, ummi dan abah sedang sibuk mengunyah makanan. Nasi goreng ayam, roti bakar dan kopi ‘o’ panas.
“Jemput makan, bang.”
Tersedak dia. Tersedak angin. Baru dia mahu menyuap sekeping roti bakar, sapaan lembut itu buat dia mahu tumbang. Bermimpikah dia? Dia toleh, pandang Azreen yang tersenyum manis sambil jungkit sebelah kening. Sekali lagi dia tersedak.
“Kamu ni kenapa? Makan tak bismillah lah tu…minum air tu…” Hairan dia melihat si Harris. Siap tersedak-sedak. Haji Manaf gelengkan kepala.
“Panas, bah.” Dia jeling kopinya yang masih berasap. Mahu terbakar anak tekak kalau itu yang diteguknya.
Azreen kembali bangun. “Reen ambilkan abang air masak ya.” Dia pandang Harris yang cuak memandangnya. Hehehehe…padan muka kau. Gelas air itu dihulurnya pada Harris dengan senyuman paling sweet.
“Terima kasih, sayang.”
“Sama-sama, bang.”
Terbelahak Hajah Jawaher. Aik, bukan semalam sibuk nak bercerai ke? Berlakon ke apa budak-budak ni? Dia sambung suap, sesekali jeling Azreen, sesekali jeling Harris. Muka dua-dua senyum, mata dua-dua berapi macam unggun api. Dia senyum sendiri. Berlakonlah tu.
“Ni, minggu depan pergi honeymoon, kenal mengenali satu sama lain. Abah dah settlekan semua. Kamu berdua pergi saja.”
Errrkkk…lekat air. Tolong, dia lekat air. Harris terbatuk-batuk. Abah pandang dia, jegilkan mata.
“Kat mana, bah?” Aduh…memang kena pergi ke ni? Dia tahu, kalau abah cakap, maksudnya kena buat.
“Dekat-dekat sini saja. The Bliss Hotel dekat KLCC tu. Kawan abah yang hadiahkan. Kamu kena pergi, jangan malukan abah.”
Malukan abah? Masalahnya menantu abah tu bukan pilihan hati abah oiii...aduhhhh. Harris garu kepala, senyum-senyum macam kera dapat handphone.
“Tak payah susah-susah, bah. Banyak kerja kami berdua ni nak buat. Nanti-nanti kami pergilah. Kan, sayang?” soalnya lembut.
Hahahaha…sayang tudung periuk kau! Dia juga senyum, angguk-angguk. “Betul tu, bah. Nanti ada kelapangan kami pergi.”
Haji Manaf geleng-geleng kepala. “Tak boleh. Kawan abah tu dah siapkan semua, termasuklah tarikhnya. Kalau kamu berdua tak pergi, apa kata dia nanti. Wajibulghunnah!”
Dah pulak…aduh, sakit kepala.
“Bila tu, bah?” soalnya kembali. Ambil hati.
Abah tersenyum, letakkan cawan kopi. “Khamis malam Jumaat ni.”
Uhuk, uhuk, uhuk!
Cepat-cepat dia ambil air, teguk laju-laju. Semua mata pandang dia. Dia lihat bapa mertuanya tersenyum-senyum sambal jeling ummi yang buat bodoh sambung makan tak pandang kiri kanan. Pakatan konspirasi apakah ini? Harris pula tunduk, buat-buat tak nampak.
Khamis malam Jumaat ni? Lagi lima hari tu. Dia jeling Harris sekali lagi. Pucat batang hidung, ingatkan tak ambik kisah. Padan muka kita, mangkuk!

Dia jenguk keluar, memang sunyi. Abah dengan ummi dah pergi mana-mana kot. Ummi mungkin kat luar, buat spotcheck bunga ros dan orkid dia. Abah tadi cakap nak masuk ofis sekejap, saja nak buat spotcheck juga. Dia baru saja selesai telefon ibu pejabat, minta Kamal ambil alih tugasnya dulu buat sementara. Duduk saja di birai katil, pintu itu dibuka.
“Puas hati kau?”
Azreen terkedu. Dia ingatkan Harris sudah ke mana-mana. Pintu itu ditutupnya rapat-rapat. Pandangan mereka bertaut.
“Apa maksud awak?” soalnya dalam debar. Dia lihat Harris bangun, menyinga riak wajahnya. Tarik nafas, Reen. Bertenang. Dengar dulu apa dia nak cakap.
“Kalau kau tak setuju, kau menentang habis-habisan, kita tak perlu kahwin tau.”
Ohhh…sekarang ni, dia pula yang salah. Azreen gigit bibir, namun hatinya menggeletar. Sebak mula berlumba ke dasar hati.
“Saya tak menentang? Awak macam mana? Saya perempuan, awak lelaki. Suara anak lelaki macam awak lebih kuat, lebih kukuh. Mana awak tahu saya tak menentang? Beribu kali saya katakan ‘tidak’ pada ibu dan ayah saya, tapi mereka merayu. Kenapa? Awak fikir saya betul-betul mahu menjadi teman hidup awak? Awak ingat saya ni gila sangat ke? Saya tahu, awak cuma mahukan Zaza, kan? Saya juga mahukan diri saya sendiri. Saya tak perlukan cinta, jauh sekali perlukan awak. Faham?”
Dia menangis. Memang dia menangis. Apa lelaki itu fikir dia lapar sangat mahu bersuamikan seseorang, huh…gila. Cepat-cepat dia sapu pipi.
“Saya buat kerana keluarga kita yang mahukan. Keluarga awak, keluarga saya. Kerana apa yang Q buat, juga kerana apa yang adik saya yang bengong tu buat. Kenapa awak nak letakkan semuanya pada saya?”
Harris kelu. Diragutnya rambut beberapa kali. Telefon tangannya tiba-tiba bergetar di meja. Pantas dia menyapu skrin telefon.
You dah sampai KL? Pergi tempat biasa, kita jumpa.” Dia matikan telefon, pandang Azreen yang masih tercegat di sebelah pintu. Kunci kereta di sauknya lalu berlalu pergi, tinggalkan Azreen yang masih diam tanpa kata.
Bila pintu itu ditutup, dia berteleku di lantai. Menangis dan terus menangis.

Meja mereka paling hujung di sudut ruang. Zaza ketapkan bibir. Kaca mata hitam jenama Chanel itu diletaknya berhati-hati.
You gila ke? Kenapa you tak ceraikan dia lagi,” desisnya sehabis perlahan. Perkahwinan Harris dan cikgu tadika itu mulai viral di alam maya. Rakan-rakan mula bertanya, berbisik-bisik dibelakang. Paling penting, isteri Harris itu dipuji-puji akan kecantikan dan keayuannya. Dia malu, sungguh...dia malu!
Dia urut dahi. “BabyI ajak you kawin, you tak nak. I dah terangkan semuanya pada you hari tu, kenapa I perlu buat benda ni, you cakap fine. Bila I dah kawin, you cakap I gila. Kan I dah cakap, tunggu semua ni selesai.”
Zaza hentak meja. “I don’t care! Ceraikan dia, sekarang. Now!” Dijegilnya sepasang mata itu kepada Harris. Kalau Harris sayangkan dia, Harris pasti lakukannya.
Babe, please…calm down. I tak boleh buat macam tu. I ada mak bapak dan juga keluarga mertua yang I perlu jaga air muka mereka. Bukan I tak nak ceraikan dia, babe…bila I dah jumpa Q dan bakal isteri dia tu, I settlekan benda ni. Boleh you sabar tak?”
Pada kerusi itu dia menyandar, menilik riak wajah Harris yang mendung. “Maksud you, bila you jumpa adik you yang bodoh tu, benda ni selesai?”
Dia angguk.
Denguskan nafas. “Mana dia sekarang?”
Geleng. “Kalau I tahu, taklah jadi macam ni. Seminggu dua nanti baliklah dia kot.” Harapnya itulah yang berlaku. Seminggu bagi dia sudah cukup lama.
Fine. Baik you wish adik you tu balik cepat. Report polis je lah. Takpun viralkan dalam facebook, apa susahnya.”
“Za…I dah cakap, benda ni benda sensitif. Kalau viral, semua malu. You faham tak!?” soalnya keras.
Tersentak juga dia. Bibirnya diketap berkali-kali.
“Minggu depan I pergi honeymoon. Balik je kita discuss balik. Harapnya Q dah balik masa tu.”
Terbeliak matanya. “You nak pergi honeymoon?” Serius dia tak percaya.
Angguk. “I have to. Hadiah kawan abah. Apa yang nak you risaukan sangat, I pergi pun kat KL ni saja. The Bliss Hotel.”
Huh, kata kahwin paksa, bulan madu pergi juga. Harris ni nak mainkan dia ke? “You pergi dengan perempuan tu lah? Satu bilik?”
“Yelah. Takkan I pergi dengan you kot. Memanglah satu bilik. Ada ke orang honeymoon lain-lain bilik, babe?” tanyanya kembali.
Mendidih juga hatinya. “Harris, better you be careful. Kalau dia goda you, you tampar saja dia!”
Harris gelak kecil. Jemari Zaza digenggamnya. “Don’t worry, babe. I will.”

Semua mata memandangnya. Harris lemparkan senyuman. Cepat-cepat dia bersalaman dengan ibu dan bapa mertuanya. Abah dan ummi juga ada.
“Kamu ke mana tadi?”  Haji Manaf menyoal ingin tahu.
Dia duduk, lepaskan nafas sambal menjeling Azreen yang diam di sebelah.
“Jumpa Kamal. Ada hal sikit. Ibu, ayah dah lama sampai?”
Che Azhan geleng. “Baru juga. Ibu kamu ni ha, risaukan anak dia. Ayah dah cakap Azreen hidup lagi, dia tak percaya.”
Muncung mulut Che Embun. “Saja nak menjenguk tak bolehkah?”
Suaminya ketawa, pegang tangan itu dengan lembut. “Boleh. Lagipun kita semua ni ada hal yang nak dibincangkan.”
Semua mengangguk. Diam seketika.
“Yan ada telefon kamu, Reen?”
Azreen geleng. Memang Izyan langsung tidak menelefon, apatah lagi memberi khabar berita. “Dia ada call ibu?”
Che Embun angguk, kesat pipi. Dah kenapa pula dia menangis tiba-tiba ni? “Ada. Semalam. Dia menangis, minta maaf banyak-banyak dengan kamu, dengan semua.”
Terkejut dia. Segera dia bangun, duduk di sebelah ibunya lalu peluk erat bahu ibu yang sedikit bergoncang.
“Yan kat mana, bu? Apa dia lagi yang dia cakap dengan ibu?” Dia juga sebak. Sampai hati Izyan buat mereka begini, buat dia begini.
“Dia tak bagi tahu. Cuma dia cakap dia selamat, tak mampu balik lagi. Dia betul-betul minta maaf dengan kamu Reen, sebab susahkan kamu. Juga Harris sekeluarga. Maafkan Yan…maafkan kami, Waher, Manaf…”
Hajah Jawaher senyum hiba. “Embun, jangan cakap macam tu. Iqram pun ada silapnya. Kalau tidak, masakan Yan merajuk sampai begitu sekali. Jangan nangis Embun, kita tunggu mereka berdua balik, kita selesaikan hal ni nanti baik-baik. Tak ada yang salah dalam hal ni, kita anggaplah semua ni sebagai satu ketentuan takdir.”
“Harris, ibu minta maaf. Azreen cakap kamu sudah ada pilihan hati, tapi kamu sanggup dan tetap kahwin dengan Azreen demi mahu jaga nama baik kami semua. Ibu betul-betul minta maaf.”
Kata-katanya semua hilang. Harris angguk sekadar mampu.
“Reen rasa, bila Yan dan Q balik nanti, mungkin Reen dengan Harris patut berpisah. Sebaiknya itu yang terbaik untuk Harris, untuk kami.”
Semua mata memandangnya. Azreen tunduk pandang lantai. Bukankah itu yang terbaik? Dia gigit bibir.
“Ya Allah…jangan cakap macam tu…biar kita selesaikan satu-satu hal ni. Harris, Reen…abah harap kamu berdua bersabar, jangan terburu-buru. Boleh?”
Harris bersandar pada sofa, tenung Azreen yang masih menunduk. Huh, berani juga kau bersuara ya. Memang dia tak mahu terburu-buru tapi dia rimas. Dia rimas bergelar suami dalam keterpaksaan.
“Harris rasa Reen cakap ikut perasaan. Macam ni, kita semua tunggu Q dan Yan balik, kita selesaikan masalah mereka dulu, lepas tu baru Harris dan Reen selesaikan masalah kami.” Matanya menyorot riak terkejut Azreen.
“Baguslah kalau Harris boleh fikir macam tu. Macam nilah…apa kata kita makan malam dulu, tenangkan hati. Kita solat berjemaah sama-sama di sini. Inshaa Allah, kita mohon pertolongan Yang Maha Esa.”

Azreen pandang kiri kanan. Di atas almari yang besar itu, ada beberapa comforter tersusun rapi. Dia berjingkit, cuba untuk mencapainya.
“Awak buat apa tu?”
Allah.
Bila Harris masuk bilik? Dia kakukan diri. Terasa nafas Harris dekat di telinganya. Kalau toleh karang ada yang sesak nafas ni.
“Saya tanya awak buat apa? Tak dengar ke, sayang…”
Aduh mak…seriau bulu roma dia. “Sayang nak ambik comforter tu, abang…”
Huh! Melawan. Ingatkan dah bisu kelu. Dia rapatkan tubuh, betul-betul rapat. “Awak nak buat apa?” soalnya di telinga Azreen, lembut dan perlahan.
Amboiii…ini sudah lebih. Perlukah dia karate mamat ni? Yang jantung dia pula, apahal berdentum-dentam dalam dada ni? Bikin kacau saja. Duduk diam-diam tak boleh ke? Sengaja dia mengundur, biar lelaki itu tahu dia tak suka.
Aik! Melawan lagi. Harris menyeringai. Kali ini dia yang ke depan, wajahnya sengaja disuakan ke wajah Azreen yang merah padam. Kena panggil bomba ke padam api malu isterinya?
“Tepilah!”
“Awaklah ke tepi.”
Dia nak ke tepi macam mana, mangkuk!
“Awak nak buat apa dengan comforter tu?” soalnya lagi. Geram juga dia, dari tadi ditanya tak berjawab.
“Saya nak tidur atas sofa. Puas hati?”
Ahhhh…tidur atas sofa rupanya. Patut pun ada dua bantal pada sofa di tepi tingkap bilik. Itu rupanya.
“Katil punya besar, apahal nak tidur atas sofa?” Sengaja dia tinggikan suara. Geram. Kenapa pula dia yang geram? Bukan sepatutnya dia bersorak riang ke?
Azreen tekad. Dia pusing, berhadapan dengan Harris. Nasib baik tak berlanggar batang hidung. Mata mereka bertentang.
“Katil itu bukan untuk saya, kan? Saya tak layak di situ.” Aduh jantung, berhentilah berlari laju, dia bimbang dia rebah di situ.
Sepasang mata itu dilihatnya redup namun umpama mencabar dia memberi jawapan. “Sememangnya. Katil itu untuk aku dan Zaza. Bukan untuk kau.”
Dia senyum, tolak tubuh itu agar jauh darinya. “Saya tahu. Ke tepi, boleh?” pohonnya dengan suara paling lembut. Dia gementar. Tiada lelaki yang pernah sehampir ini dengannya. Tiada. Pantas dia tundukkan wajah. Pergilah jauh-jauh…aku benci kau!
Ni apahal dengan dia? Kenapa kakinya jadi bodoh, tak mahu bergerak. Harris tarik nafas, matanya jatuh dibibir sang perawan yang berdiri dihadapannya. Isteri dia, kan. Suka hatilah apa dia nak buat, kan? Kan?
Kudratnya mengangkat tangan, menolak bahu lelaki itu kuat-kuat. Kalau sepak kelangkang nanti haru biru.
Pantas tangannya memegang tangan yang menunjal bahunya. Kemas genggamannya. Menggeletar. Betulkah si minah naga yang bukan main bengkeng dengan dia sedang menggeletar sekarang?
“Awak…saya nak tidur. Tolonglah ke tepi,” rayunya perlahan. Allah…terpaksa dia merayu. Genggaman kemas Harris pada tangannya buat dia mahu rebah. Itu baru pegang tangan, aduhai…tongongnya dia.
“Azreen…”
Dia angkat muka.
Pantas, dalam sekelip mata sahaja bibir Harris menyentuh dahinya. Dia terkedu.
Oh damn! Aku buat apa tadi. Gila. Gila. Gila. Dia cepat-cepat ke belakang. Mata Azreen yang membulat memandangnya dengan penuh rasa terkejut.
“Tu hukuman. Hukuman sebab awak nak tidur atas sofa. Awak isteri saya. Katil tu tempat kita. Awak buat lagi, saya hukum awak lagi dahsyat. Faham?” Selamba saja dia berlalu, masuk ke kamar mandi sambal bersiul riang.
Azreen nganga. Aku ke dia yang gila?

Bila pintu bilik air itu dibuka, Azreen dilihatnya sudah lelap. Di sofa. Harris senyum. Melawan juga gayanya si Azreen. Comforter pada katil dikebas-kebas lalu matikan lampu. Dia baring, pangku tangan dibelakang kepala.
Sedetik.
Dua detik.
Tiga detik.
Bangun, menyumpah dalam hati. Perlahan dia berjalan, selak comforter Azreen. Amboi mak, tido pakai baju kelawar dengan seluar panjang. Apasal tak pakai telekung solat terus, terus jadi hantu bungkus. Malu sangat ke dengan dia. Dia angkat Azreen berhati-hati. Tak berat pun, tak makan ke? Harris senyum sendiri. Perlahan dia baringkan Azreen dikatil. Tidurlah. Bukan aku nak apa-apa kau pun!

Bila masa dia atas katil?! Mencanak dia bangun, check baju seluar. Fuhhh! Lengkap. Azreen urut dada. Dia kerling pada jam di dinding. Dalam samar cahaya, baru jam enam sepuluh pagi. Dijelingnya Harris yang masih lelap. Bagus, tidur diam-diam. Hulurkan kaki, dia berjengket mengambil tuala.
“Semalam cakap nak tidur atas sofa, apahal tiba-tiba ada kat katil. Rindu saya ke?”
Oh my cat warna oren! Cikakak! Nasib baik dia tak jatuh terguling. Bila jantan tu bangun, aduhhh…
“Memang semalam saya tidur atas sofa, tup tup…pagi ni atas katil. Awak ke angkat saya?” soalnya selamba.
Harris selak selimut, meyeringai padanya. “Tak kuasa. Sleepwalking kot.”
Sleepwalking? Tak pernah hayat dia buat benda tu. Ke memang dia berjalan dalam tidur ke apa? Azreen garu-garu kepala. Ah…lantaklah. Bukan jadi apa-apa pun. Dia bangun, capai tuala dan terus ke kamar mandi.
Harris ketawa perlahan. Siaplah kau!

Penat satu pagi dia temankan ummi pusing-pusing taman. Memang cantik lanskapnya. Saujana mata memandang. Ini kali pertama dia tengok betul taman di banglo ini, hebatnya. Pokok bunga-bungaan juga herba ada ditanam dan tersusun rapi. Kucing kesayangan keluarga itu, si Joe juga ada berlari sana-sini. Mahu tergelak dia melihat gelagat kucing itu. Diambilnya kucing itu lalu digomolnya riang. Mengiau manja budak bulus itu dipangkuannya.
“Joe, sini. Jangan nak menggatal.”
Dia toleh. Harris. Ada berdiri dibelakangnya dengan jeans biru gelap dan t-shirt putih. Simple tapi kacak.
Gulp.
Oh Tuhan…apa dia fikir tadi, Harris ngok ngek tu kacak? Oiiittt Azreen, wake up! Dia tepuk-tepuk pipi, istighfar dalam hati. Si Joe yang masih lagi dalam pelukannya pun pandang dia macam orang senget…hahahahaha…hadoiiii.
Tu kenapa pula? Ada nyamuk ke main tampar-tampar pipi? Harris geleng kepala. Pelik juga si Azreen ni. Cantik tapi macam tak betul sikit. Tak cukup susu ibu kot. Dia hampiri Azreen, masukkan tangan dalam poket seluar.
“Joe, turun. Mari sini.” Dia hulurkan tangan, mahu ambil Joe dari tangan Azreen. Kucing itu buat bodoh, siap sondol-sondol manja lengan dan dada Azreen. Makan penampor kucing ni karang.
“Joe, sini…kat papa.”
Ohhh…papa. Azreen sembunyikan senyum. Gaya tough macam hero filem, hati cotton candy. Huh. Dia cuba hulurkan Joe, tapi kucing itu mengiau manja, menggesel muka pada pipinya. Alahai…comel bangat sihhh…
Amboi! Aku jentik telinga kau.
“Joe. Sini!” Keras kali ini suaranya. Sikit lagi dia mahu cekik tengkuk kucing malaun dihadapannya. Kucing itu mengiau manja, pada Azreen.
Dah, enough. Kucing aku pun kau nak ambik ke? Dia ambil Joe dari tangan Azreen, menggelepar kucing itu. Apahal dengan kucing dia ni? Buang kat Pasar Selayang baru tahu. Kucing itu mengiau kuat, lalu melepaskan diri. Terkedu dia seketika.
“Awak buat apa dengan kucing saya?” soalnya sedikit marah.
“Buat apanya, saya peluk dia je. Takkan itu tak boleh?” Bersinar matanya memandang Harris. Kucing dia yang tak sayang tuan, apahal dia pula yang kena?
“Awak main jampi serapah ke mentera apa?”
Ehhhh…nama saja orang bandar, otak kolot rupanya. Jampi nenek dia!
“Iya. Nak belajar? Hai marang kerapu, marang kerabu, marang ayam golek! Tunduklah dikau, lemahlah dikau. Aku hidangkan, siraplah bandung. Tunduklah!” Selamba badak dia dengan gayanya sekali. Ambik kau!
Ternganga.
Memang dia ternganga. Sah. Perempuan ni memang tak betul. Dia lihat Azreen senyum lebar, jalan melenggang masuk banglo.
Bunyi orang ketawa mengekek buat dia toleh ke belakang. Ketawa itu kian kuat.
Ummi.
Harris geleng kepala. Naya. Memang kes naya. Dia geleng kepala, ekori Azreen ke dalam rumah. Kemudian ketawa, perlahan. Perlahan dan semakin kuat. Hadoiii…dengan dia sekali agaknya sudah mereng.



No comments:

Post a Comment