Tuesday 17 February 2015

Bab 4 Dreamcatcher ...yeeehaaaa!!!!

BAB 4

Honda CRV miliknya menyusur masuk ke laluan yang diteduhi pepohon kelapa. Sesekali terik mentari menjenguk keluar. Mata terpacak pada papan tanda kayu yang berukir cantik.

‘ Inap Desa Ulik Mayang’
Ehh...ni bukan ke inap desa milik si Irfad tu? Apa kena mengena majlis aunty Amina dengan majlis Irfad? Langsung satu tempatkah? Beberapa buah kereta juga sudah beratur di laman parkir yang luas dan terjaga.
“Betul ke kat sini aunty Amina jemput kita,ma?”
“Iyalah, kat sinilah. Ni kadnya. Betul kan?”
Kad keemasan. Sama dengan Irfad. Sekali lagi hatinya tertanya-tanya. Apa kena mengena Irfad dengan aunty Amina, ada pertalian darah kah?. Berputar sekejap kepalanya mencari jawapan. Nantilah, dia tanya sendiri pada Irfad.
Khalida disebelahnya membetulkan selendang. Mahu tergelak dia melihatnya. Kekok semacam. Dah macam ayam pakai kasut, terkial-kial. Kalau ditegur, tak pasal kena lesing. Baik dia kunci mulut.
“Ma, kain tersangkut ni...tolonglah.”
Khalid mahu pengsan. Nak tergelak pun ada. Mahu saja dia melalak melihat adiknya memakai baju kurung biru muda itu tadi. Jalan bengkang-bengkok bagai. Nasib baik jelingan manja papa buat dia diam.
“Tu lah, masa sekolah dulu tahu pakai baju kurung,sekarang ni mulalah terkial-kial.” Kalau diikiutkan hati, dihempuknya Khalida dengan hadiah yang dibawa. Silap Maarof juga, selalu dibawa budak Khalida itu ke sana sini bersama Khalida. Perangai dah macam jantan. Nasib baik sempat dia rotan-rotankan, kalau tidak, dapat dua anak jantanlah dia.
“Kay,baik-baik la jalan. Kau ...nanti koyak baju kurung tu...” Khalid keluar dari kereta. Apalah nasib dapat adik macam Khalida. Kalau betul Imran betul mahukan adiknya, hari ni juga dia suruh menikah.
Cantik tempat ni. Pepohon merendang disekeliling kawasan buat dia terpukau. Tiupan angin dari laut benar-benar buat asyik seketika.
“Lid,cepatlah. Mama nak jumpa aunty Safiah. Nanti terlepas majlis berendoi.”
Khalid melangkah perlahan. Biarlah yang lain mendahulukan jejak, dia mahu meneroka inap desa ini dahulu. Damai. Itu saja perasaannya sekarang. Riuh rendah suara dihadapan sana tidak jadi gangguan. Dia melangkah, mengikut kaki yang berjalan.
“Lid,sinilah. Kau nak pergi mana?”
Irfad. Imran pun ada sama. Berkepul asap rokok menari-nari di udara. Ni apa ni, buat filem The Three Stooges ke apa?
“Bak sebatang.”
Mereka bertiga sama-sama duduk, berjemaah menyedut rokok bersama-sama.
“Im, kau dengan Irfad ni apa hubungannya?” Serius, dia perlu tahu. Muka dah ada iras-iras. Tak kan adik beradik kot.
Imran membuat muka terkejut, memeluk Irfad bagai sang kekasih yang sudah lama dirindui menjelma di depan mata. Yang si Irfad pula galak melalak bagai dirasuk syaitan. Khalid menepuk dahi.
“Lid, kau jangan bagitau sape-sape. Cinta kami terhalang, kami terseksa,Lid. Inilah pertemuan kami setelah setengah hari berpisah,Lid. Tolong Lid, tolonglah Lid,”rayu Imran sambil meletakkan dagunya di ribaan Khalid.
Berdekah-dekah ketawa itu keluar. Aduhai...macam mana dia boleh kenal dengan dua manusia ni serentak. Dia menekan perut, menahan tawa yang masih melantun. “Okay guys, tolonglah jangan buat lawak. Aku totally in daze. Really...sape korang ni?”
Irfad tergelak, ditepuknya bahu Khalid berkali-kali. “Okay, okay. Imran ni sepupu aku, merangkap my partner in crime. Kecil betul dunia ni. Well, welcome to IDUM. Jom, kita masuk. Nanti kalau ummi aku, ummi dia dengan mama engkau membebel, jahanam kita.”
Betul, kecil dunia ni. Serius, sudah lama dia tidak ketawa begitu. Lepas segala rasa dalam dada. Puntung rokok yang lama terpadam dibuangnya ke aspal.
“Lid,jom. Petang ni kita meranggah sampai pengsan.”

Ramai juga kaum kerabat aunty Amina ni. Penuh dengan tetamu yang datang. Dia melihat sekeliling. Sekumpulan wanita yang baru selesai berzanji dan berselawat kelihatan mengelilingi bayi kecil yang nyenyak tidur dalam buaian yang berhias cantik. Kelabu dan gold. Pilihan warna yang hebat. Dia menoleh, menilik ruang yang berhias sederhana tapi memikat mata memandang. Kali ini matanya terhenti. Kurung polos warna pink belacan, tudung warna kelabu digayakan ringkas.
Amni.
“Lid,jom makan. Kau tak mau rasa kambing panggang ke? Ni resepi makcik aku. Perap dengan jintan manis, bawang putih, halia, ketumbar sikit. Tambah lagi serai, rempah kari,kunyit ngan garam secukup rasa. Taruk gula sesedap lidah. Perap semalaman,ha...inilah hasilnya. Kat tangan aku ni.”
Khalid tergelak. Dah macam Masterchef si Imran ni. Dia bangun, menuju ke arah kambing panggang yang masih berputar di dapur arang. Dia menyuap secebis daging ke mulut.
Sedap.
Dia mengambilnya sekeping lagi.
Memang sedap.
“Nah,pinggan.”
Dia menoleh.
Amni.
Pinggan itu disambutnya dengan tawa kecil. “Amni intai abang ke?”
Gadis itu tergelak, lunak dan dalam. “Mana ada...kebetulan lalu tengok abang Khalid asyik suap aje, letak dalam pinggan, baru senonoh makan. Jangan ikut ajaran sesat abang Im dengan abang Ir, dua-dua tak boleh pakai.”
“Terima kasih. Mesti tak senonoh kan abang  tadi.”
“Ehh...mana ada,seksi apa.” Oppss! Bodohnya dia...perlukah dia cakap macam tu. Mana nak taruk muka ni. Kalaulah aku boleh bertukar jadi kura-kura, aku petik jari macam Miss Komet tu sekarang juga. Ni nak cabut lari ke nak berdiri macam tunggul kat sini?
Merah muka sang perawan dihadapannya. “Thank you,Am. Tak pernah ada orang puji abang seksi. Ingatkan kena berkemban baru dapat title seksi tu. Nanti abang belanja Am makan, tebus yang hari tu.”
Perghh...memang calon suami terbaik. “Okay, abang makan. Am masuk dalam, macam ummi panggil je tadi.” Cepat-cepat dia cabut lari. Jalan pun macam kaki dah terbelit. Mak aii...malunya.

“Hai, makan sorang-sorang ke? Cantik hari ni, macam puteri kayangan turun ke bumi.”
Dia tersedak. Khalida menepuk-nepuk dada, cuba menelan tart telur sampai habis.
“Ya Allah, terlekat ke? Nah, ni air. “
Dicapainya gelas yang masih ada separuh air sirap pandan itu diteguknya perlahan.
“Awak minum air saya.”
Kali ini hampir tersembur Khalida dibuatnya. Biar betul mamat ni? Psiko ke stalker? Namun diteguknya sisa air yang ada sampai habis. Lantaklah, siapa suruh kau bagi aku?
Imran tersenyum puas. Manisnya Khalida. Lemah lembut, sopan dan ayu. Lengkap pakej isteri impian nombor satu. Sabar Imran, ambil masa, jangan gopoh macam kucing kebulur. Rileks, tenangkan diri. “Awak nak kahwin dengan saya tak?”
Tersembur kali kedua air sirap tadi. Bulat mata Khalida memandang Imran yang tersenyum-senyum memandangnya. “ Awak ni memang dah gila,kan?!” Kalau ada lagi air, memang dicurah atas kepala lelaki dihadapannya ini. Muka hensem kemain, otak senget rupanya.
“Yes, I’m crazy. Totally crazy about you, Miss Kay.”
Terbeliak Khalida kali ini. Namun kenapa hatinya bagaikan fireworks meletup di udara, menyanyi riang. Dia pun sama sudah gilakah? Dia bangun. Pantas meninggalkan Imran yang masih terlopong memandangnya.
“Kay!”
Dia menoleh.
Imran tersengih, memberi tanda bagus.
Hishhhhh...gila dia dibuatnya.
Khalid yang ada berhampiran hanya mampu menahan gelak. Imran dan Khalida. Mana tahu, betul ada percaturan Maha Berkuasa, mungkin ikatan itu boleh terjalin. Sekurang-kurangnya sampai hajat mama mahu menantu. Dia bangun, mahu menambah kuah nasi himpit. Sedap, pedas dan pekat. Ini kalau makan di kedai, cair mengalahkan air. Bunyi bayi mengekek buat hajatnya mahu menyuap nasi himpit itu hilang. Dia menoleh. Irfan dari tadi mengekek kegembiraan. Amni dilihatnya galak mencium perut sang bayi.
“Cantik kan pemandangan. Mama pun suka tengok. Kalau cucu sendiri lagi seronok.”
Tu dia, macam Dark Phantom, tiba-tiba saja muncul di sebelah. Magic, mama memang magic.
“Nak balik dah ke? Lid nak makan sikit lagi, nak jumpa Irfad sekejap.”
“Tak nak balik pun tak apa. Mama tak kisah.”
Huihhhh...makin kuat galaknya.
“Kay mana?”
“Ada, berborak dengan Aflah, isteri Irfad kat luar sana. Mama nak jumpa Amni kejap. Nak ukur jari manis. Nanti senang nak beli cincin.”
Amboi, tingginya cita-cita, macam Gunung Kinabalu.
Safiah menghentikan langkah, menjeling Khalid yang buat-buat bodoh. Eleh...tahulah kamu kuasa ibu-ibu.

“Aisha tak dapat balik ke,kak Af?” Lincah tangannya menukar pampers milik Irfan. Banyaknya kencing, mesti banyak handsome boy ni menyusu hari ni.
“Tak, flight delay. Ribut kencang kat sana.”
“Buat apa dia pergi US,kak?”
“Eh, kau tak tahu ke,Am? Dia kan baru tahu dia dah ditunangkan dari kecil dengan anak uncle Malik, konon nak pergi tengoklah macam mana rupa. Sekali Uncle Malik sekeluarga pergi umrah, padan muka.”
Haahhhh...apalah si Aisha tu. Semangat gila. Uncle Malik sepupu abi dan pakcik Muzir. Setelah tamat belajar di Amerika Syarikat, terus saja dia kerja di sana. Kahwin dengan aunty Sarah, minah saleh berambut kuning yang cantik. Seingatnya, masa dia berumur sepuluh tahun, ada uncle Malik sekeluarga pulang beraya. Waktu itu, anak tunggal mereka, Brendan Izuan memang nakal. Muka dah penuh dengan freckles, selalu tarik rambut Aisha. Ekor lembu tuk aki pun selalu jadi mangsa.  Amni ketawa sendiri.
“Am...yang tadi tu hensem kan,”tutur Aflah perlahan.
“Yang mana?” liur ditelannya perlahan.
“Elehhh, yang dia dok mengurat tadi, yang pakai baju melayu turqoise tu. Macam akak tak nampak dia dok jeling-jeling. Berkenan cakap je, nanti akak suruh abang Ir pergi pinangkan.”
Melompat dia. “Akak jangan nak buat malu Am, ala...tak ada apa-apalah. Dah memang abang Khalid tu hensem, orang pandanglah. Bukan luak pun.”
“Memang tak luak. Tapi kalau jadi kau punya, lagilah bagus kan,”usik Aflah lagi.
“Malaslah nak layan akak. Nah, ambil Irfan. Am nak tapau lauk pauk. Nanti bising ummi.”
“Nak kasi bakal mertua ke?”
Amni menghelakan nafas. Cari gaduh betul si Aflah ni. Dia buat bodoh, berlalu pergi meninggalkan Aflah yang terkekek-kekek ketawa. Gelaklah, gelaklah lagi.

“Terima kasih datang ya,Yah. Maaflah kalau ada kekurangan,maklumlah...ingatkan tak ramai tetamu kak Wook, sekali selaut manusia datang.”
Safiah dan Khalida tersenyum. “Tak ada kurangnya,Yah. Kak Wook, terima kasih banyak-banyak jemput kami sekeluarga. Seronok dapat sampai ke sini.”
Hajah Wook memeluk Safiah erat-erat. “Ehh, saya suka. Lagi ramai kawan, lagi meriah. Datanglah lagi,Yah. Ingatkan nak kenalkan dengan besan, tapi mereka pergi umrah. Nanti ada kelapangan, datanglah lagi.”
“Aunty Safiah, ni ada bekal kuih muih dengan sedikit lauk. Nanti letak dalam fridge, esok boleh makan lagi.” Mangkuk tingkat itu dihulurkan pada Khalida.
“Crabstick kari ada ke,Am?”soalnya tanpa segan.
“Ada Kay, mangkuk yang bawah sekali. Baru goreng pagi tadi. Kalau nak lagi, cakap. Nanti Am buatkan.”
Khalida bertepuk tangan. “Tak apa, nanti Kay suruh abang Lid pergi rumah ambilkan. Boleh kan?”
Merah padam serasa mukanya. Janganlah diusik hati yang baru mahu berbunga. Khalid bukan lelaki yang sesuai untuknya. Dunia mereka jauh berbeza. Dia jauh berbeza. Dia tidak setanding Khalid.
“Abang kamu mana?”soal Safiah. Mana pula anak jantannya?
“Ada. Tengah mengumpat dengan Irfad, dengan Imran sekali.”
Mereka sama-sama ketawa.
Amni mengeluh lega.

Bagai kunang-kunang, bintang yang bertaburan itu berkelip-kelip. Salahkah dia berharap, menginginkan mimpi yang sempurna? Dia mengeluh. Lembut. Lembut sekali bayu yang menyapa. Bagai mahu memberi ciuman, kiriman sang perwira pujaan. Amni tersenyum sendiri. Dia menghulurkan tangan, menyentuh angin yang tiada rupa, tiada rasa. Sejuk dan dingin. Matanya dipejamkan, lama dan perlahan. Kenapa? Kenapa wajah itu yang muncul? Kenapa senyuman itu yang menjenguk layar fikirnya? Dia melemparkan diri ke katil, merenung ruang kosong. Cukuplah dia bermimpi, bimbang jatuh ke dalam kotak kenyataan, dia yang sakit. Dia bangun kembali, menutup daun jendela. Kipas yang berpusing seumpama nyanyian malam. Gemersik, halus. Tidur, dia kena tidur. Penat dia seharian di IDUM, berkejaran dengan Afiya, melayan tetamu yang datang, memandang wajah tenang Khalid.
Khalid.
Kenapa pula nama itu muncul lagi. Angaukah dia? Amni ketawa sendiri. Kali ini dia bangun, kembali membuka jendela. Macam mana ni? Macam mana dia nak tidur? Jam pada dinding yang sedikit kelam mula menunjukkan hampir satu pagi. Tidurlah mata, lelaplah hati. Jangan diseksa dia begini. Sudah diingatkan pada dirinya sendiri, jangan dibuai perasaan, jangan dibuai mimpi yang tak pasti boleh bertukar jadi kenyataan. Bulan. Ya, bulan di sana, hembuskan aku kuasa sakti, agar dapat aku lelapkan mata sepenuh hati.
Amni ketawa lagi. Bulan umpama tersenyum mengejek padanya.
“Am, bangun, rebus maggi satu.”
Ya Allah...biar betul!
“Am, bangunlah. Abang tahu kau mana lelap lagi, bangunlah, abang lapar ni.”
Mashaa Allah, geramnya dia!!!
“Bang Im...pergilah buat sendiri. Orang mengantuk la,”rengeknya geram. Ni aku tibai dengan buku baru tahu.
“Aik, kalau mengantuk dah lama tidur. Cepat bangun, buat pahala. Citer Frozen dah nak start ni.”
Hishhh!!! Buka langkah silat baru tahu.
“Bangun...nanti abang beritahu Khalid kau suka kencing malam.”
Ummi!!! Jerit boleh tak? “Heiiii...susah ada tiga suku macam abang ni!”
Imran ketawa perlahan. “Kalau abang tiga suku, kau setengah suku.”
UMMI!!!


No comments:

Post a Comment