Tuesday, 19 July 2016

Teruterubozu BAB 5.

Sunyi.
Ida tarik daun pintu pelan-pelan.
Memang sunyi.
Lili dah masuk kerja agaknya. Dia mahu mandi. Pagi tadi pun, dia hanya sempat ambil wuduk, tak mahu dia bertembung dengan sesiapa.
“Aku ingat kau dah mati.”
Nasib baik tak tergolek dia di situ. Ida urut dada.
“Ida, apa ni? Apa kena ni?!”
Dia mahu masuk ke bilik namun tangan Zarra lebih pantas memegangnya. Dilla juga sama, siap berkawal di depan pintu.
“Ya Allah…kenapa bibir kau pecah ni, Da? Kau taruk ubat tak?”
“Aku jatuh kat tangga semalam. Mengantuk kot.”
Dilla dengus nafas. “Kau cakap betul-betul, Da, aku lempang kau nanti.”
Ida pandang Dilla, pegang tangan Dilla kuat-kuat. “Betul, La…aku jatuh semalam.”Ada getar dalam suaranya. Beberapa kali dia mengalihkan wajah, menyembunyikannya di balik tuala.
“Kalau kau jatuh, dengan gigi kau sekali patah tau. Ini. Ini pecah macam kena tumbuk!”
Zarra diamkan diri. Tarik tangan Ida yang sejuk.
“Ida, tolong. Tolong kami tolong kau. Kalau kau betul jatuh sekalipun, jom kita ke klinik.”
Ida geleng cepat-cepat. “Aku okay, aku dah taruk minyak gamat dah.”
“Minyak gamat? Mari aku taruk minyak panas kat muka kau, mau?!”
“La…sabar…”
Dilla peluk tubuh. Dia tahu. Ibunya sama macam Ida. Kena belasah dengan bapaknya, masih cakap jatuh, tergelincir. Sehinggalah saat bapak meninggal dunia akibat kemalangan, ibu tetap setia. Dia tahu, dia faham segala keperitan yang dilalui Ida.
“Ida, aku ni, kalau kau nak mampus sekalipun, jangan depan aku, depan kawan-kawan kita. Aku tahu kau sayang Halim, tapi ini bukan sayang. Apa guna kau bela dia, cintakan dia kalau ini yang kau dapat hari-hari, Da? Cuba kau  cakap dengan aku, Da? Apa yang kau dapat? Apa yang kau dapat?!”
Kali ini dia menangis. Airmata yang turun tak dapat ditahannya lagi. Semalam juga dia menangis, namun seperlahan mungkin.
“Cukuplah, Da. Putus saja dengan Halim. Aku tak sanggup tengok kau macam ni…”
Ida menangis dan menangis lagi. Kalaulah dia mampu dan semudah itu.

Mahu dia melompat bila tengok mak. Diambilnya si Abam yang sedang tidur dipangkin kayu. Amboi…membuta kerjanya. Nasib baik kucing, kalau orang dia dah ikat pada tiang, sesen tak guna kalau asyik membuta.
“Bangunlah! Aku suruh kau jaga rumah, jaga mak, jaga nenek…ni siapa yang jaga siapa ni?!”
Kucing itu menggeliat. Mengiau panjang sambil menjilat mukanya.
Zarra gomol si Abam. Rindunya dia pada anak bulusnya ini. Dia letakkan Abam kembali ke pangkin, menyalami tangan Aini.
“Kenapa balik? Esok shift petang ke?” soal Aini mengah. Petang-petang macam ni memang dia senang ke tanah. Berkebun, bersihkan laman rumah.
“Esok Zarra off. Baliklah. Lagipun rindu mak…mana nenek?”
Aini senyum simpul.
“Ada, lelap kot. Nenek demam sikit semalam. Mak suruh dia rehat saja. Lagipun cuaca pun panas sangat campur dengan jerebu ni.”
“La…habis tu dah ada ubat? Kalau tak ada, Zarra pergi beli kejap. Mak, ambik ni. Zarra cari ubat nenek kejap.”
“Eh, kalau ya pun, naik dulu.”
“Nanti Zarra naiklah, mak. Zarra jalan dulu.”
Aini tak terkata. Kalau sudah cakap Zarra, larang macam mana pun, tetap dia buat. Keras kepala, macam arwah suaminya.  Dia tengok dalam plastik. Huh, macam-macam ada. Beras, gula, susu, bawang. Hai, underwear pun ada. Dia tergelak. Dapat gajilah tu.

Seronoknya dapat pecut motor laju-laju. Angin yang menderu umpama mahu mengajak dia berlumba bersama-sama. Ni kalau nenek tengok mesti dia kena pulas telinga. Zarra ketawa sendiri.  Seronok bukan, kala berseorangan, bawa motor laju-laju, menyanyi sorang-sorang macam orang gila. Yalah, kalau pandu kereta lain cerita. Bolehlah buka radio, takpun masuk cd, lepas tu karaoke dalam kereta kuat-kuat. Hidup. Hanya sekali,kan? Apa lagi, hiduplah betul-betul. Dia pulas minyak motor, mahu segera sampai ke Pekan Bukit Payung. Sampai di hadapan klinik, dia perlahankan motorsikal lalu mengambil parkir. Perlahan dia tanggalkan topi keledar.
“Dah agak dah. Gaya memang betul, tak sangka dah bertudung sekarang ni. Dah taubat ke?”
Zarra menoleh pantas, siapa pula yang cabul nak makan selipar jepun di petang hari nan mulia ini? Dia betulkan tudung yang senget, senyum manis.
Ahhh…manusia ini.
“Ya, saya. Abang Nuar dari mana? Baru bangun tidur? Mesti tak sembahyang Zuhur lagi, kan?”
Anuar sengih saja. Mulut Zarra memang bisa. Kalau nak cakap, cakap terus. Dia cabut spek mata hitam yang baru dibelinya di pasar karat di Kuala Berang minggu lepas.
“Biasalah, Zarra kan tahu jadual abang Nuar, penuh tiap hari. Kerja mana sekarang? Kalau tak kerja, 7 Eleven abang sentiasa terbuka untuk Zarra.”
Hahahaha…7 Eleven dia kepala otak berjambul. 7 Eleven tu, bapak dia yang punya. Yang si anak, berlagak nak mampus. Nak kerja kat situ lagi? Hohoho…tak nak dia. Tak pasal-pasal kena raba nanti. Anuar inilah yang dia karate dulu. Berani raba dia lebih kurang, ingat dia kucing macam si Abam ke. Sorry naik feri, ini Zarra Zainal!
“Tak apalah, abang Nuar. Terima kasih. Zarra dah kerja pun.”
Anuar senyum sinis. “Kerja apa, mekanik, jual air tebu?”
Ohhh…memang nak kenal rumput jantan ni. Dia senyum lagi, lebar dan bercahaya. “Menoreh.”
Ketawa besar lelaki itu. Mahu saja dilempangnya, tapi nanti kecoh pula. Masuk suratkhabar tak pasal-pasal. Muahahahaha!
“Itulah, abang Nuar ajak Zarra kawin dengan abang Nuar, Zarra tak nak. Tak payah Zarra kerja, menoreh ke apa. Goyang kaki.”
Kahkahkah…goyang kaki dangdut dia. Diri sendiri pun mak bapak yang tanggung, ada hati nak tanggung orang lain.
“Hishhh, mana layak Zarra untuk abang. Ramai lagi yang suka abang tau, abang je tak tau.” Dia mahu jalan, makin lama melayan, makin parah.
“Huh, sombong Zarra ni. Tahulah nanti siapa abang.”
Kali ini dia mahu gelak. Kenapa? Kau siapa? Bumblebee? Iron Man 5.0 ke Running Man ahli ke 8? Kalau bukan semua tu, tak payah auta, dia tak heran.
“Okaylah, bang. Jumpa lagi.” Oh no. Tak payah jumpa lagi, menyemak kepala otak saja. Sila blah!

Matanya separuh terbuka. Mengantuk jangan cakaplah. Selepas balik dari surau dengan mak dan nenek, terus dia tidur terguling di kerusi.
“Bangunlah, tidur dalam bilik.”
Dia buka mata, pandang mak yang tersenyum memandangnya. “Nantilah mak. Orang tak daya nak angkat kaki ni. Kalau merangkak masuk bilik aci tak?”
“Merangkak masuk kubur terus Zarra oiii…” sampuk Tuk Teh. Mulutnya asyik mengunyah sirih.
Pedihnya jawapanmu nenek weiii…mahu dia bertaubat terus.
Aini gelak sambil elus pipi Zarra. Kesian anak ini. Diciumnya dahi Zarra lembut.
“Apa ni mak, mana boleh cium-cium gitu,” marahnya olok-olok.
“Eleh, kalau mak cium boleh, nanti dah ada pakwe, kamu yang gatal nak cium dulu.”
“Buatlah. Kirim salam kat Abu Lahab kat neraka nanti,” sampuk nenek bersahaja.
Alahhh…nenek punya sampukan memang pedas amat. Dia ketawa, peluk Aini kuat-kuat, cium dahi itu dengan lembut juga.
“Zarra sayang mak.”
Dia bangun, peluk dan cium Tuk Teh.
“Zarra sayang nenek.”
Tuk Teh cubit pipi cucu nan seorang itu kuat-kuat. “Nenek tahu. Tidur, esok kita bungkus tapai.”
Dia ketawa lagi. Seronoknya hati, hanya Tuhan saja yang tahu.

“Beli ikan ke?”
Dia toleh.  Tuty.
“Ya. Tuty dari mana?” soalnya berbahasa.
“Tunggu Zatil. Nak pergi Paya Bunga Square, beli handphone baru.”
Ohh…panjangnya jawapan. Dia senyum. Mesti beli smartphone, kan? Dia ada telefon cikai ni pun dah kira okay.
“Kau kerja mana sekarang? Kau belajar U dulu kan?”
Kenapa semua orang sibuk nak temuduga dia ni? Glamour sangatkah dia.
“Menoreh kat hujung kampung,” jawabnya malas. Tangannya membelek-belek kangkung yang segar. Suruh mak goreng belacan sedap ni.
“Kan? Belajar tinggi-tinggi tak semestinya kerja pun tinggi. Membazir.”
Haishhh…aku libas dengan kangkung kang, malu satu kampung.
“Tak membazir, Tuty. Ilmu yang dapat tu penting. Kalau tak ada ilmu, bercakap pun orang tak mahu dengar, tong kosong. Kalau ada ilmu, kerja apa pun, ilmu tetap ada. Orang malas dengan pendek akal je yang fikir macam kamu.”
Zarra toleh.
Kak Halina. Kakak Hisham. Dia telan liur. Sudah lama dia tidak bersua dengan Halina. Kalau dia nampak, memang sengaja dia mengelak.
Tuty senyum-senyum, buat-buat pandang jam tangan. Bila Kancil milik Zatil sampai, cepat-cepat dia masuk ke perut kereta.
“Zarra cuti ke hari ni?”
Dia angguk, menyalami tangan Halina.
“Ye kak, off sehari. Lama tak jumpa mak dengan nenek.”
“Zarra kerja kat mana? Lama tak nampak.” Dia pandang Zarra dengan senyuman. Sudah dewasa, makin cantik. Nanti dia cakap dengan ummi, Zarra ada di kampung. Mesti ummi suka.
Dia berkira-kira sebentar, nak tipu ke cakap betul-betul?
“Kerja kat Bandar KT. Cashier, kak.”
Halina senyum.
“Baguslah. Asal kerja. Lama tak datang bengkel batik akak. Kalau ada masa, datanglah. Design yang mak Zarra buat memang cantik. Lagi cantik dari dulu tau.”
“Ya, kak. Inshaa Allah. Zarra jalan dulu ya, kak.”
Halina angguk.
Cepat-cepat dia membayar, lalu berlalu pergi. Entah kenapa, hatinya mahu menangis.

“Asal balik kampung je, muka cemerlang, gemilang,” usik Dilla. Hari ini ramai yang check out, jadi sebelah petang begini bolehlah mereka bertenang sedikit.
Dia senyum lebar sambil susun segala borang di dalam bakul. “Ambik semangat, La. Seronok aku. Ida kerja tak hari ni?”
Dilla angguk. “Kerja. Tapi macam tu lah. Bercakap tak mana. Banyak berkurung dalam bilik. Kerja pun kata kak Wanie, macam zombie. Zarra, tu…”
Zarra angkat muka. Hatinya kaku seketika.
Hisham.
Seluar khaki warna hitam dan t-shirt putih berkolar. Dia palingkan wajah, pandang ke arah lain.
“Hai ladies. Macam mana hari ni, okay?”
“Okay sangat, Encik Hisham.”
“Dilla, bukan setiap department ada group whatsapp masing-masing ke?”
“Ya, Encik Hisham. Tapi si Zarra ni, nak add dia pun tak boleh, pakai telefon zaman kanak-kanak Ribena dulu kala lagi.”
Aduhhh…merah padam mukanya. Takkan itu pun nak cerita, bongoknya kau Dilla.
Hisham senyum, pandang Zarra yang tunduk. Marah ke malu tu? Dia mahu ketawa, tapi dia tahan.
“Oh, dah dapat gaji belum, Cik Zarra? Belilah satu smartphone. Yang murah-murah pun banyak sekarang.”
“Inshaa Allah.” Apa? Ingat gaji aku tu tak ada benda lain nak buat ke? Sibuk je.
Aik, sepatah saja jawabnya.
“Entah, ni ha Naim, order je phone dengan dia, dia semua kedai telefon dia kenal.”
Zarra ketap bibir. Yelah, mangkuk. Ni apahal tercegat lagi kat sini? Pergi jauh-jauh.
“Lusa kita buat cabutan Employee of The Month. Jangan lupa tengok bulletin board sebelah wall Sky of Love.”
Aku tahu. Pergilah jauh-jauh.
Hisham tenung seketika wajah itu. Zarra, pandanglah abang walaupun sekejap. Tolong.
Dia terus tunduk. Ya Allah, tolonglah jauhkan dia dari lelaki ini. Kakinya sudah hampir longlai.
“Okay, keep it up. Selamat bertugas semua.”
Dia berlalu, meninggalkan Zarra yang masih sepi tanpa memandangnya. Zarra, sampai bila kita mahu begini?

Liyana senyum sinis. Dia pandang balik skrin smartphonenya. Gambar-gambar tadi telah dihantarnya kepada Kartini. Hai Zarra, makan tapak kakilah nampaknya.

Kartini ketap bibir. Sengaja dia hentikan Mini Cooper miliknya di bahu jalan. Dia tahu, kalau whatsapp dari Liyana, mesti ada sesuatu yang penting.  Cepat-cepat dia menyentuh skrin telefon. Ada lima keping gambar semuanya.
Hisham.
Hisham pandang Zarra.
Gambar Hisham yang tak lepas-lepas memandang Zarra.
IPhone itu dicampaknya ke seat sebelah. Baik. Dia mahu dengar, apa pula alasan Hisham kali ini.

Hisham urut dahi. Bukan sebab kerja dia sakit kepala, tapi kerana wanita ini. Selamba saja Kartini datang, menyerbu biliknya di pejabat. Mata yang memandang, bukan Kartini kisah. Kalau Tengku Adnan tahu, pasti dia juga yang dapat natijahnya.
“Kenapa dengan Tini ni? Sham banyak kerja nak dibuat, Tini.”
Kartini hempaskan diri pada sofa, pandang Hisham dalam renungan tajam.
“Kerja apa? Melawat kawasan, melawat lobi? Ziarah orang kampung?”
Haa…itu ke sebabnya? Hisham geleng kepala. Dia duduk di sofa berhadapan dengan Kartini yang masam macam yogurt basi.
“Ya. Sham melawat lobi, pantau coffee house, pantau restoran, pantau kitchen, pantau semua department dalam hotel ni. Itu tugas Sham. Kerja Sham. Kalau Tini tak suka, Sham jumpa dengan papa Tini, mintak dia tukar position Sham. Tini nak Sham kerja kat mana? Guard? Waiter? Receptionist? Mana Tini nak Sham pergi? Mana?”
Kartini telan liur, pandang wajah Hisham yang tenang walaupun nada suaranya sedikit keras. Dia gigit bibir, bermain-main dengan tali tas tangan diribaannya.
“Sham kerja kat sini, Tini. Sham bukan datang goyang kaki. I’m here to work my ass, babe.”
“Sambil flirting, kan?” Dia tak mahu kalah. Dia pandang Hisham, berlaga pandangan.
Hisham bangun, masuk tangan poket.
“Kalau Tini fikir macam tu, fine. Teruskan. Alang-alang dah orang cakap kita flirting, kita buat saja.”
Kartini tersentak. Terus dia bangun, pegang tangan Hisham.
“Sham…I’m sorry. Tini tahu Tini salah, but…Tini cemburu. You are mine, right?”
Hisham dengus nafas perlahan.
“Nobody owns me, Tini.”
Kartini tarik nafas, mahu dia menangis di situ.
“Maafkan, Tini…please…”
Hisham kembali duduk. Dia pangku dahi, pandang wajah Kartini yang mengharap. “Jangan buat lagi, Tini. You are too sophisticated to deal with all this nonsense.”
Terhenyak dia dengan kata-kata itu. Dia hanya mampu bungkam.
“Dah, tenangkan diri. Takpun pergi coffee house, isi perut you.”
“Temankan I ya, Sham.”
Hisham hanya mampu angguk.


“Zarra, tengok tu…meluat aku. Macam Miss Bitchy dengan Mr. Awesome. Langsung tak padan.”
Dia pandang ke arah yang ditunjukkan. Bergetar hatinya sesaat dua. Dia hanya pandang sekilas apabila Hisham dan Kartini melintas bersama-sama di lobi. Dia kembali tunduk.
Interkom disebelahnya tiba-tiba berbunyi.
“Zarra?”
“Ya, saya. Ada apa, Puan Jayasri?”
“Habis shift nanti naik ke HR department sekejap ya.”
“Okay, nanti Zarra naik.” Dia letakkan gagang.
“Siapa?”
“Madam Jayasri.”
“Apahal?”
“Entahlah, La. Nantilah aku cerita balik.”
Dilla angkat kening.
Zarra pandang depan. Ada lagi. Siap duduk-duduk lagi depan lounge di lobi. Biarlah. Bukan ada kena mengena dengan dia pun.
“Tak malu. Hari-hari datang menempel.”
“Biarlah, La. Hotel bapak dia. Kalau ini hotel bapak aku pun aku datang hari-hari.”
“Kau datang mesti nak kerja, kan? Dia? Dia tahu datang makan, mandi dalam pool, lepas tu pergi spa. Spa sendiri ada, buat apa datang sini. Makan gaji buta.”
Tergelak dia.
“Tak baik, La. Dah rezeki dia Allah beri macam tu.”
“Tapi serius, Zarra…aku tak paham kenapa Encik Hisham boleh couple dengan Miss Bitchy tu? Kalau dengan aku ke, kau ke, lain cerita.”
“Sebab mereka belajar kat oversea sama-samalah. Korang apa tahu, mengumpat je kerjanya,” sampuk Naim tiba-tiba.
“Dorang belajar mana dulu? Hebat. Oversea kau.”
“Korea.”
Naim dan Dilla pandang dia. Zarra tergamam seketika.
“Mana kau tau, Zarra?”
“La, bukan hari tu Ida ada cakap kan?”
“Ohhhh…betul juga. Anak orang berduit. Alaska pun boleh hantar, jangan cakap Korea.”
Zarra setuju dalam hati. Entah, tiba-tiba saja matanya mahu melirik, memandang pasangan itu yang mula bangun bergerak ke arah coffee house.
“Kita ni tengok saja bolehlah, Zarra. Dunia kita lain, dunia dorang lain.”
Dia senyum hambar namun jantung terhenti apabila Hisham memandangnya sekilas. Walaupun hanya beberapa saat, pandangan mereka bertaut.
Ya Allah…kenapa jantung ini kian bergetar-getar?

“Ummi, ada hal sikit Sham nak cakap dengan ummi.”
Hajah Kalsom letakkan kacamata di meja. Kitabnya ditutup.
“Abi mana?”
“Masjidlah. Lepas Isyak nanti dia baliklah. Ummi tak larat nak ikut malam ni, sakit pinggang.”
Dia diam saja, dengar keluhan ummi tanpa mencelah.
“Hal apa, Sham? Serius bunyinya.”
“Sham dah jumpa Zarra.”
Hajah Kalsom pula yang diam.
“Mana kamu jumpa dia? Kat kampung dia?” Huh, bukan dia tak tahu, Halina baru saja cakap dengan dia. Jadi betul lah Zarra ada di kampung sana sekarang.
Hisham geleng.
“Kat hotel tempat Sham kerja. Dia kerja kat situ jugak. Ummi ada jumpa dia ke sebelum ni?” soalnya kembali. Dia tengok ummi cool saja.
“Lepas dia masuk universiti, ummi langsung tak pernah jumpa dia. Akak kamu ada terserempak dengan dia hari tu. Jadi ummi tahu dia ada di sini. Nak ummi jumpa dia?” soalnya kembali, mencari jawapan pada wajah Hisham.
Buat apa? Tak payahlah. Dia dah besar panjang. Pandailah dia selesaikan sendiri.
“Tak payah, mi. Ini masalah Sham, biar Sham yang uruskan.”
“Kamu anggap Zarra tu sebagai satu masalah ke, Sham?” soal umminya tiba-tiba.
Aduhhh, silap penggunaan ayat pulak.
“Bukan macam tu, mi. Maksud Sham, antara Zarra dan Sham, biar Sham usahakan untuk cari jalan penyelesaian. Lagipun pun Sham dah mohon maaf dengan dia, mi.”
“Dia maafkan kamu?”
Hisham genggam dua belah tangan, pandang umminya yang berkerut dahi. “Ya, dia maafkan Sham.” Sekadar memaafkan tapi tak melupakan.
“Maaf tu boleh dengan mulut, Sham…tapi maaf yang tulus dari hati, itu yang payah. Kalau kamu fikir dengan maaf dari mulut itu sudah dapat legakan hati kamu, terpulanglah.”
“Ummi nak Sham buat apa sebenarnya?” soalnya menduga.
“Ummi mahu kamu lunaskan janji kamu sepuluh tahun yang dulu.”
Hisham sandarkan tubuh, sepasang tangan ke dahi. Inshaa Allah, ummi. Sham akan tunaikan.
“Kalau Sham tak boleh tunaikan janji tu?”
Hajah Kalsom pandang dia terkebil-kebil. “Itu antara kamu, Zarra dan Allah.”
Dia senyum. Dia tahu, dia sudah jangkakan jawapan itu.

“Da, kau dah macam mana?”
“Aku okay.”
Semua diam. Masing-masing kembali pandang televisyen.
“Kau sayang Halim, Da?” soal Zarra berani. Berani mati dia kali ini.
Dilla dengan Lili nganga pandang dia. Lepas itu pandang Ida yang juga nganga. Apahal semua nganga nih…
“Kalau kita sayang orang, kadang-kadang semua kelemahan dan kesilapan dia kita terima. Masalahnya sekarang, dia asyik ulang kesilapan yang sama, betul tak?”
Ida tunduk, pandang lantai. Dia tarik nafas dalam-dalam. Matanya mulai berkaca.
“Aku sayang dia, Zarra. Dari sekolah menengah lagi kami bercinta. Perangai panas baran dia saja yang tak elok…”
“Panas baran saja? Kau jangan nak bela dia, Ida…yang dia pukul, sepak terajang kau tu apa?” Keras suara Dilla.
Zarra jeling Dilla. Asal nak berbincang, terus naik suara. Bila masalah nak selesai. Cuba cakap elok-elok macam manusia ada akal. Dia angkat penumbuk.
“Betul cakap Dilla tu, Ida. Aku tahu kau sayang, tapi jangan sampai jadi hamba sayang, jadi mangsa.”
Ida tekup wajah pada bantal kecil. Sungguh, dia sayangkan Halim. Dia terlalu sayangkan Halim.
“Kau nak kau mati, baru kau nak sedar? Masa tu dah tak guna, Da. Kau nak bangun dari kubur, cari dia, hisap darah dia? Tak adanya jadi macam tu. Dalam filem bolehlah…”
“Dilla!”
Gadis itu gulingkan mata.
“Bukan macam tu. Aku tahu, dia boleh berubah. Aku cuma perlu sabar, La.”
“Da, kalau dalam setahun, setiap bulan kau kena, itu bukannya sabar, itu namanya bodoh. Tolonglah, Da. Tolonglah tinggalkan dia. Aku tahu kau sayang dia, tapi yang paling penting kat sini, kau sayang diri kau sendiri.”
“Kau tak faham. Bila dah cinta, besar mana pun salah dia, hati tetap cinta.”
Zarra terdiam. Macam salah Hisham pada dia? Sanggup ke dia maafkan Hisham? Tak mungkin.
“Dengar cakap aku. Kau bukan sayang, tapi bodoh. Kau bukan cinta, tapi buta! Faham!” Dilla bangun, masuk ke bilik laju-laju.
Zarra tarik nafas, tarik Ida dalam pelukan. Hai Ida, kuatkan hati kau, sahabat.

“Maaf, Puan. Zarra terlupa hari tu. Kenapa Puan nak jumpa Zarra?”
Jayasri pegang fail, senyum pada gadis dihadapannya. “Zarra, starting tomorrow, you kena masuk department Housekeeping.”
Ohh…pasal itu je ke? Dia okay je.
“Laa…okaylah tu. Lagi seronok. Boleh jalan-jalan masuk bilik sana-sinun. Start shift minggu ni ke, Puan?”
Jayasri angguk. “Seluar panjang hitam dah beli?”
Zarra senyum sambil angguk. “Dah, don’t worry. Terima kasih. I’ll do my best.”
Jayasri sambut huluran tangan itu. Kalaulah Zarra tahu yang dia dapat bertukar department bukan kerana permintaan dia dulu, tapi kerana arahan Miss Kartini. Jayasri mengeluh pendek. Kaya berkuasa, semua benda main petik jari.
Zarra tarik daun pintu.
“Kau kenapa? Dah kena pecat ke?”
Hak alah…kenapa selalu saja dia bertembung dengan Liyana ni?
“Tak, Cik Liyana. Naik pangkat, jadi mem.”
Liyana jungkit bibir. Hah, ingat dia tak tahu. Padan muka. Biar perempuan itu rasakan. Kerjalah sampai tertonggeng kat housekeeping tu.
“Mem apa. Kalau babu, tetap babu, Zarra. Tak payah nak ke langit tinggi sangat.”
“Tak teringin pun nak ke langit, Cik Liyana. Mati nanti masuk dalam tanah jugak, kan?”
Liyana ketap bibir. Satu hari nanti, makan penampar juga si Zarra ni. Dia jegilkan mata. Kau belum kenal siapa Liyana, Cik Zarra!

Wanie gelak sambil tepuk-tepuk dahi dia. Melampaulah tu.
“Sakitlah, akak!”
“Elehhh…tepuk dahi dah sakit. Ni..nanti kena basuh bilik air, kemas katil, lagi penat wooo…”
Dia senyum, betulkan tudung yang sedikit senget. Apasal asyik senget aje tudung dia. Saja dia datang menjenguk di sini. Lagi seronok kot dari berdiri macam patung mannequin di lobi. Esok dia kan mulakan kerja di department ini. Okaylah, shift mula pukul tujuh pagi, habis jam tiga petang. Kalau petang, tiga petang habis jam sembilan malam. Dia okay saja. Senang dia balik rumah. Kalau malas pun dia balik kuarters. Seluar slack hitam dia beli tiga pasang. Cukuplah tu.
“Kau okay ke? Dah lah lengking, nanti patah riuk tulang-temulang habislah…”
“Akak, kalau tengok tulang memang tak daya…tapi Zarra ni tulang tak sama dengan kederatlah…”
“Kederat kelaut kamu…tahulah esok macam mana.”
Dia mengekek-ngekek ketawa. Zarra lunjurkan kaki. Tak mengapalah. Dia hanya mahu mencari rezeki. Cukuplah untuk dia, mak, nenek dan si Abam. Bukannya dia mahu gaji sampai beribu-riban. Ini pun sudah cukup. Yang penting, dia tak menyusahkan sesiapa.
“Malam ni, Zarra makan nasi banyak-banyak. Esok datang semua bilik boleh Zarra bungkus.”
Mak Jan gelak bersama Wanie. Amboi, bersungguh benor gelakkan aku ya. Caitttt…
“Jangan nak cakap besar Zarra oiiii…kalau setakat kemas bilik kau, sambil korek hidung pun siap. Ini, ini lain wehhh…”
Dia bangun, cebikkan bibir.
“See the legs lah…”
Lagi kuat Wanie ketawa. “Kaki cam batang kayu nak suruh tengok. Dah, dah…pergi balik.”
Zarra angkat tangan, menggeliat macam kucing.
“See you tomorrow.”
Mak Jan senyum simpul. Ya, jumpa esok. Jangan melalak sudah.

Dia sengaja perlahankan kaki. Buat-buat muka serius sambil pandang sana-sini. Sekali lagi dia menjeling. Memang sah bukan. Dah tukar shift ke?
“Cari apa, Encik Hisham?”
Dia menoleh, pandang Dilla yang tersenyum lebar.
“Tak ada, nampak lain lobi hari ni. Baru mop ke?” Hahahaha…bodoh tak dia?
Dilla batuk-batuk kecil. Ni mesti tak pernah menipu. Nak tipu pun tipulah yang logik-logik sikit. Harunya mamat sorang ni.
“Zarra dah tak kerja kat sini.”
Terhenti jantungnya seketika. “Kenapa? Dia ada masalah ke?” Kena pecat dengan Kartinikah?
“Tak, bukan macam tu. Dia dah tukar department. Start hari ni, dia masuk kerja bahagian housekeeping, Encik Hisham.”
Ahhhh…macam tu ke. Mahu juga jantungnya gugur sebentar.
“Apasal kena tukar?”
“Dia yang mintak.”
Ohhh…nak larikan diri dari aku ke? Hisham gosok tengkuk.
“Nanti jangan pulak Encik Hisham tak jenguk kami kat sini,” tutur Dilla lembut. Mahu dia tergelak tengok Hisham tersengih-sengih. Nasib baiklah orang hensem, kalau tak nampak macam badut tak cukup make-up.
“Hisshhh…saya jenguk semua. Mana saya tinggal-tinggal.”
Dilla batuk lagi. Yelah tu…tak sabar dia nak bercerita dengan si Zarra. Kalau nak ziarah orang kampung pun takkanlah macam ni punya gaya. Ini dah kesampukan, kerasukan hati. Ohhh Miss Bitchy, mahu aku tepuk tangan laju-laju.
“Semua okay kat sini?” soal Hisham serius.
“Alhamdulillah, okay. Encik Hisham okay?”
“Ehhh…saya okay sangat. Tak apalah, saya nak round department lain kejap. Good work.”
Dilla tahan ketawa. “Jangan lupa jenguk housekeeping ya.”
Hisham gelak, tersenyum sambil melangkah. Rileks, buat macam tak tahu apa-apa. Aduh Zarra…payahlah abang mahu bertemu mata.

Baru dua bilik, mahu patah pinggang dia. Bilik standard dengan deluxe okaylah, kalau bilik Family dengan Suite, mahu dia terduduk kejap. Memang nampak macam sikit, tapi cerewet. Cadar kalau ada kotor tompok kecil pun kena tukar. Bilik air mesti kena pastikan bersih dan kering. Semua benda kena kemas dan rapi. Paling penting, bersih dan tersedia. Mula-mula memang dia okay. Masuk bilik kedua dah macam kena dera dengan Wanie. Semua benda dia kena buat. Wanie bahagian betulkan dan tegur saja. Kata Wanie, housekeeping ni macam duta kecil hotel. Kalau cantik kerja geng housekeeping, cantiklah juga nama hotel. Sebab tu kena buat betul-betul.
“Semalam cakap senang macam kacang. Sekarang apahal,cik adik?”
Dia tersengih-sengih. Semalam tak buat lagi, manalah dia tahu.
Zarra betulkan pinggang. Ni kalau balik rumah minta nenek urutkan mesti masyuk. Heaven. “Orang okaylah, akak. Saja buat-buat lenguh sana-sinun.” Okay amenda, mahu tercabut pinggang. Bawak motor jauh-jauh pun dah macam nak nangis, ini kan buat yang ini.
Tepuk-tepuk paha si Wanie ketawa. Amboi kau…melampaulah tu.
“Mula-mula memang cam gitu, Zarra. Nanti dah biasa, okaylah. Cakap kat kampung hari-hari angkut balak, ini angkut comforter tu pun muka macam kesiangan.”
Zarra gelak, kebas comforter beberapa kali. Bestkan kalau dapat tidur atas katil depan mata dia ni. Empuk dan nyenyak.
“Balak tu lain kak…balak yang Zarra angkut besar jari kelingking je.”
“Korang buat kerja ke korang borak? Ingat hotel ni bapak kau punya ke?”
Mereka sama-sama menoleh. Wajah sinis Liyana tercatuk di depan pintu buat dia rasa mahu campak bantal. Hai…kat sini datang spotcheck juga ke?
“Ni kau tukar kerja ke? Jadi mandur? Siput sedut gila kuasa?” soal Wanie bercekak pinggang. Melampau perempuan ni. Semua benda mahu mahu diselak. Kain sendiri tak cukup tak pula ambil tahu. Memang melampau.
“Aku tak cakap dengan kau ye, gendut!”
Ini sudah lebih. Kalau lumur dengan Fabuloso ni karang ada yang melalak pulak.
“Gendut aku, ada laki. Kau? Daki banyaklah…hah! Masuklah kalau berani. Kau ingat aku takut!”
Zarra pegang Wanie. Pegang kuat-kuat. Bimbang dia, sekali Wanie hentak si Liyana tu, mahu patah empat kerat bahagi dua puluh. Hancur.
“Dahlah…cuba bawak bersabar sikit, kak…”
“Ada laki pun tak guna kalau kau mandul, bahlul!”
Wanie terdiam, ketapkan bibir sekuat mungkin. Jangan sebut pasal anak, hatinya tersentuh. Terduduk dia di hujung katil.
Liyana jegilkan mata, melambai sinis lalu berlalu pergi. Melenggang gadis itu berjalan, ketawa kecil bagai tiada rasa bersalah.
“Kak Wanie…kalau dengan kata-kata busuk si Liyana tu akak termakan, akak memang tak patut. Anak, jodoh, rezeki, semuanya datang dari Dia. Dah, mengucap, istighfar.”
Wanie kesat pipi. Sebak dadanya sebentar. Cakaplah apa saja pasal dia, dia telan. Jangan dimainkan pasal anak, hatinya tersentuh. Betul, suami dan keluarga mertuanya sangat baik, tapi kalau bab anak, dia sensitif.
“Akak muda lagilah. Ada masa lagi. Dah, kita sambung buat kerja. Nanti semua bilik Zarra kemaskan hari ni. Round ni, Zarra buat semua.”
Wanie tarik Zarra, peluk gadis itu kuat-kuat.
“Terima kasih, Zarra.”
Zarra gelak kecil. Tepuk paha Wanie lembut. “Sama-sama. Jom, kita buat kerja kita. Berkat tau kak kerja kita ni. Yang penting, halalan toyyiban.”

Allah…penatnya. Lima belas bilik dia bersihkan hari ni. Kalaulah dia boleh pejamlan mata, seronoknya. Dia melunjurkan kaki. Mahu meletup urat dibuatnya. Wanie sudah ke surau mini di tingkat yang sama di belakang pantry pekerja. Dia awal-awal lagi sudah solat Zuhur. Bukan apa, baik kerjakan solat awal-awal, taklah terlajak nanti. Stor housekeeping ini cukup teratur kemas. Paling dia seronok, tempat inilah. Ruang rehat yang lengkap dengan sofa, televisyen dan juga pantry. Di belakang pantry ada surau mini. Bersebelah surau mini pula ada bilik khas untuk pekerja wanita menyimpan barang, mandi dan menyalin pakaian. Bilik khas lelaki di tingkat bawah, bersebelahan dobi. Zarra pejamkan mata. Dapat lelap sepuluh minit pun cukuplah.
Wanie betulkan tudung. Perutnya sudah mencerut. Kena makan ni. Dijelingnya Zarra yang terlelap. Patut ke dia kejutkan? Kesian pula. Tak apalah, nanti dia bungkuskan makanan. Kalau hotel lima bintang tempat dia bekerja dahulu, jauhlah macam The Bliss. Mana ada layanan sangat. Tempat berehat pun surau. Makan pun ala kadar. Bila dia bekerja di sini, dia terus terpaut. Manakan tidak, gaji walaupun dulu lebih sedikit tapi masih lebih baik dari dulu. Makan minum untuk pekerja pun ada. Paling dia seronok bila ada setiap deparment ada ruang khas masing-masing. Buat kerja pun hati senang. Kuarters pun siap dibina.
“Mak Jan, kami turun makan dulu. Nanti kalau Zarra bangun, cakap saya dah tapau untuk dia. Biarlah dia rehat. Dia penat tu.”
Mak Jan angguk, pandang Zarra yang sedang lena.
“Mak Jan nak bungkus?”
Mak Jan geleng. “Puasa sunat hari ni.”
Wanie angguk. Dia pandang Zarra sekali lagi. Tersenyum dia dalam hati. Tidurlah. Moga kau mimpikan yang indah-indah.

Hisham diam. Wajah yang lena di sofa itu dipandangnya lama. Cantik. Tatkala Zarra tidur, dia akui, Zarra yang tercantik di matanya. Umpama sepuluh tahun yang lalu. Ruang itu kosong. Hanya ada dia dan Zarra di situ. Dia perlahankan langkah, duduk sesenyap mungkin. Wajah dihadapannya ini buat hatinya kian luluh. Kau masih bencikan abang, Zarra?
“Encik Hisham.”
Dia menoleh, memberi isyarat supaya pemilik suara itu diam.
Wanie gigit bibir. Aduhai Zarra…matilah kau.
“Maaf Encik Hisham. Dia letih sangat tu. Hari ni dekat sepuluh bilik dia bersihkan. Maaf, nanti saya kejutkan dia.”
Hisham senyum sahaja. “Tak apa, saya faham. Biarlah dia tidur. Saya pun datang nak tengok-tengok semua department.”
Huiih…lega. Kalau tak ada yang kenal pecat on the spot. Naya.
“Nanti bila dia bangun, saya pulas-pulas telinga dia ya, Encik Hisham.”
Kali ini Hisham tergelak. Dia bangun, pandang sekilas si gadis yang masih lena.
“Jangan kuat-kuat sangat, sikit je.”
Wanie angguk. Dia telan liur. Nasib baik dengan Encik Hisham Zarra oiii…kalau dengan Cik Kartini, mau makan tapak kasut tumit tinggi tu gamaknya. Aiyyakkk…
“Saya jalan dulu. Keep up the good work.”
“Yes, Sir.” Amboi, speaking.
Sebaik saja Hisham hilang dari pandangan, Wanie terduduk.
“Huihhh…speaking. Yes Sir gitu.”
“Terkejut aku gila!”
Zarra bantai gelak kuat-kuat. Dia bangun, menggeliat macam kucing. Gila. Mahu saja jantung dia pecah bila dia sedar Hisham datang. Mujurlah dia buat-buat tidur. Mahu saja dia pengsan terus.
“Kau sedarlah masa Encik Hisham ada kat sini tadi?”
Dia angguk. Caitt…habis senget tudungnya.
Wanie gelengkan kepala.
“Tolol. Nah, makan.”
Zarra ketawa. Memang dia dah lama bangun. Lapar kau. Perghhh…mujurlah Hisham malaun tu dah angkat kaki.
“Zarra, bismillah dulu.”
Dia sengih, gelak-gelak kecil. Hai hati, tadi kenapa kau menyanyi riang?

1 comment:

  1. alhamdulillah..boley saya sambung baca teruterubozu ni..hari2 saya jenguk belog akak ni..hehehe..thanks a lot akak..

    p/s: saya suka tajuk teruterubozu tu...rare n interesting & nanti dah dibukukan akak gitaw ye nk p beli cepat2.hihi

    ReplyDelete